Saya termotivasi dengan tips perniagaan yang dikongsikan oleh Jutawan Internet terkenal Saudara Irfan Khairi. Sekarang beliau sudah bergelar jutawan hasil susah payah dalam perniagaannya puluhan tahun dahulu. Beliau layak dinobatkankan sebagai ahli perniagaan yang berjaya.

Hakikatnya konsep perniagaan akhirat tidak terlalu jauh bezanya dengan perniagaan dunia, kedua-duanya beroleh keuntungan, samada ia bersifat sementara atau berpanjangan. Jika anda seorang peniaga yang bijak, pastinya anda mahukan keuntungan yang berpanjangan.

Pokoknya, perniagaan yang dijalankan dengan perancangan yang baik pasti akan membuahkan keuntungan. Jika di dunia kita akan digelar jutawan, di akhirat jua begitu. Tetapi jangan pula menjadi seperti golongan yang disebut oleh Nabi saw sebagai orang yang "muflis" atau bankrupsi, Neraka adalah tempatnya.

Perniagaan takkan lari daripada pelaburan, orang yang bijak, dia hanya perlu melaburkan sedikit daripada wangnya dan dia akan beroleh keuntungan dalam tempoh yang lama.

Justeru, perniagaan yang saya ingin sampaikan ini sungguh menarik. Perniagaan yang hanya memerlukan usaha kuat pada permulaan tetapi anda akan mendapat keuntungan berpanjangan. Menarik bukan? Kerja hanya sekali, tetapi pendapatan sampai bila-bila.

Kalau dalam istilah perniagaannya ia disebut sebagai Residual Income - iaitu pendapatan residual, atau dalam erti kata lainnya, "kerja sekali, pendapatannya sampai bila-bila"

Sebagai contoh, Seorang artis atau penyanyi akan mendapat apa yang dipanggil residual income. Walaupun sudah hampir 10 tahun mereka menyanyi, tetapi wang keuntungannya masih mereka perolehi. Tak mustahil, seorang penyanyi yang hanya merakam satu atau dua album mereka mampu menjadi seorang jutawan hanya kerana satu dua lagunya yang sedap didengari.

Ya, kerja hanya sekali, keuntungannya sampai bila-bila. Selagi albumnya menjadi permintaan peminat & pendengar, selagi itu dia akan mendapat wang royalti hasil daripada penjualan album tersebut. Menarik bukan?

Itu baru habuan dunia, mari kita beralih kepada topik asal yang ingin saya sampaikan. Bagaimana untuk menjadi jutawan di akhirat nanti. Pastikan anda terus berpegang kepada tema asal perbincangan ini: "Kerja sekali, keuntungan sampai bila-bila"

WAKAF

Jika anda mempunyai lebihan harta yang jarang digunakan atau merasakan ia tidak diperlukan oleh diri-sendiri, harta tersebut boleh dipanjang-panjangkan kepada orang lain yang lebih memerlukan. Pendek kata, anda memberi sesuatu daripada harta sendiri untuk dimanfaatkan oleh orang lain.

Misalnya, anda memiliki sebidang tanah yang tidak diusahakan seperti kelapa sawit yang tidak lagi berbuah, atau kebun dan semak-samun yang terbiar, wakafkan saja kepada individu tertentu yang memerlukan untuk dijadikan sebagai pusat khidmat masyarakat seperti surau, sekolah tahfiz, rumah anak-anak yatim dan lain-lain lagi.

Ataupun, sekiranya anda mempunyai barang-barang terpakai yang masih elok dan boleh digunakan, hantarkan saja ia ke surau-surau atau sekolah-sekolah anak yatim untuk dijadikan sebagai barang wakaf.

Pendek kata, kerja mewakafkan hanya dilakukan sekali, tetapi untungnya berpanjangan. Pahala yang diperolehi boleh dibawa sampai ke mati dan hidup semula.

"Tapi, saya tak ada harta yang banyak untuk diwakafkan, bagaimana pula?"

ILMU YANG BERMANFAAT

Kalau tak ada harta yang banyak untuk diwakafkan, kita boleh beramal dalam bentuk yang lain, iaitu menyumbang ilmu pengetahuan. Saya pasti, mereka yang mempunyai ilmu ugama sudah tentu ia salah satu kelebihan untuk mereka. Tetapi tak semestinya ilmu ugama sahaja, ilmu sains, ilmu matematik, ilmu perniagaan dan lain-lain ilmu juga boleh menyumbang sesuatu.

Asalkan saja namanya ilmu, ia boleh memberi keuntungan. Jika anda mempunyai ilmu tajwid, ajarkan kepada anak-anak yang buta huruf Al-Quran secara percuma sehingga mereka mampu membaca ayat Al-Quran dengan baik. Ataupun, jika anda mempunyai ilmu perniagaan, ajarkan kepada pengusaha-pengusaha yang ingin membuka perniagaan kecil, beritahu mereka tentang apa yang Halal dan haram di dalam perniagaan, itupun sudah memadai.

Pendek kata, apa jua ilmu yang anda miliki, sampaikan saja kepada manusia lain, ia adalah amal jariah yang paling bermanfaat nilainya. Sabda Nabi saw: "Pabila mati anak Adam itu, terputuslah seluruh amalannya melainkan 3 perkara, Anak yang soleh, ilmu yang bermanfaat...."

Ya, menyampaikan ilmu hanya sekali, tetapi untungnya berpanjangan.

"Tapi, saya tak pandai mengajar orang, ilmu pun kurang, bagaimana pula?"

SUMBANG TENAGA

OK, kalau tidak mempunyai kemahiran mengajar atau kekurangan ilmu pengetahuan, kita boleh menyumbang tenaga.

Biasanya kalau di kampung-kampung, akan ada aktiviti bulanan seperti gotong-royong membersih masjid, membina surau atau balai raya dan bermacam-macam lagi aktiviti yang boleh dijadikan sebagai modal untuk menyumbangkan tenaga. Luangkan sedikit masa dihujung minggu untuk menyertai aktiviti amal seperti itu. Paling-paling tidak, di samping menyumbangkan tenaga, dalam masa yang sama dapat mengeluarkan peluh untuk kesihatan diri.

Kalau tak mampu mengerah tenaga untuk menyimen bangunan surau, cubalah untuk memaku kayu atau membancuh simen, jika tidak mampu mengangkat batu-bata, pergilah cari kerja-kerja yang mudah dan sesuai dengan kemampuan diri untuk mnyumbang. Sapu keliling surau pun sudah memadai, atau pergi membersih kawasan tanah perkuburan. Itupun pahala juga. Asalkan ikhlas.

Pendek kata, asalkan menyumbang tenaga kepada kerja yang halal, itupun sudah cukup. Jika anda membantu kerja-kerja membina surau, selagi surau itu diguna pakai untuk sembahyang, selagi itu pahalanya mengalir dalam 'akaun' anda. Ya, menyumbang hanya sekali, pendapatannya sampai bila-bila.

"Tapi, saya mungkin tak ada masa untuk menyertainya, hujung minggu terlalu sibuk, bagaimana pula?"

INFAQ & SEDEKAH

Cara ini adalah amal jariah yang paling mudah bagi mereka yang mempunyai duit. Tak perlu menunggu menjadi kaya pun kita boleh bersedeqah. Sedeqah tak semestinya dengan wang berjuta-juta ringgit, dengan syiling 10 sen pun kita boleh bersedeqah.

Sekarang ini, sudah banyak tabung-tabung derma yang diletakkan di masjid-masjid atau surau. Anda cuma perlu meringankan tangan untuk memasukkan wang anda ke dalam tabung tersebut. Kalau tidak banyak, sikit pun jadilah. Duit syiling yang berbaki daripada sarapan pagi apa salahnya disedeqahkan kepada tabung masjid. Kalau tak ada duit syiling, duit pun kertas pun boleh. Lebih banyak sumbangan yang anda infaq-kan, lebih banyaklah pendapatannya nanti.

Ataupun, ketika anda sedang membeli juadah di pasar malam, hulurkan saja wang syiling yang berpatutan kepada peminta-peminta sedeqah, mereka itu kadangkala sangat memerlukan. Kalau mereka menipu atau sendiket haram, itu urusan mereka dengan ALLAH taala. Yang penting tugas anda untuk menyumbang telah selesai.

Pendek kata, sekali memberi sedeqah, pahalanya berpanjangan. Jika penerima sedeqah tersebut menggunakan wang anda pada jalan kebaikkan, pahalanya akan terus mengalir dan mengalir sampai bila-bila.

"Tapi, saya tidak tahu untuk menyumbang dengan cara ini. Bagaimana pula?"

BUANG BAHAYA DARI JALANAN

OK-lah, kalau tak mampu juga untuk bersedeqah, kita cuba cara yang ini pula.

Suatu ketika, Nabi saw didatangi oleh sekumpulan fakir miskin. Mereka sangat cemburu dengan orang-orang kaya yang mampu menyumbang harta untuk ISLAM. Sedangkan kumpulan fakir miskin ini juga mahu menyumbang sesuatu untuk agama cuma mereka tidak mampu kerana tidak mempunyai harta. Lalu Nabi saw punbersabda: "Membuang duri di jalanan juga adalah sebahagian daripada sedeqah (amal jariah)"

Lalu golongan miskin berkata lagi: "Golongan kaya pun boleh membuang duri dijalanan. Habislah peluang kami untuk beramal"

Nabi saw menjawab: "Itulah kelebihan yang ALLAH berikan kepada mereka. Mereka mempunyai harta untuk menyumbang"

Nabi saw mengajarkan kita cara bersedeqah yang begitu unik. Jika tidak mampu untuk memberi sesuatu kebaikkan, kita menghindarkan suatu keburukkan. Membuang sesuatu yang boleh membahayakan khalayak adalah salah satu caranya untuk bersedeqah. Atau dalam erti kata lain, apabila kita membuang satu kebahayaan, bermakna kita telah memudahkan urusan manusia.

Setiap kebaikkan pastinya diganjari dengan pahala termasuklah dengan cara ini. Membuang bahaya di jalanan cuma sekali, tetapi pahalanya kekal berpanjangan selagi manusia selamat melalui jalan tersebut.

"Tapi, jalan raya sekarang tak ada duri, DBKL pun dah ada yang membersihkan, bagaimana pula?"

Hmmm, di sinilah saya nak kongsikan juga kata-kata daripada Dato' Dr Fadhilah Kamsah: "Orang lain buat duit, kita pula buat alasan"

KESIMPULAN

Terlalu banyak cara untuk mendapatkan pahala melalui amal jariah, tetapi sekiranya banyak alasan, jangankan pahala, dosa pula yang akan terpalit. ISLAM membuka seluas-luasnya ruang untuk beramal, cuma kita sahaja yang memilih samada mahu ataupun tidak mahu.

Soalnya adalah SIKAP!

sekian, selamat menchoba!!
__________________________________________

Nota Kehidupan (1): Rapat umum BERSIH 2.0 baru-baru sangat memberi kesan kepada sebuah perjuangan menegakkan kebenaran. Benarlah, jika kebenaran itu pahit, jalan untuk melaluinya juga lebih kelat dari apa yang kita sangkakan. Ada yang luka, ada jua yang disakiti, ada yang menghadiahkan nyawa sebagai taruhan untuk ugama. Segalanya adalah bukti bila ditanya nanti: "Apakah sumbangan-mu untuk ISLAM?"

Nota Kehidupan (2): Saya masih mencari-cari nilai Hikmah yang paling fleksibel dalam pena penulisan saya agar dakwah di arena ini mampu diterima oleh seluruh khalayak walaupun saya tahu, saya tidak berkuasa memuaskan semua pihak. Sepinggan nasi goreng tidak boleh memuaskan siapa yang memakannya, ada yang suka masin, ada yang suka manis, ada yang suka pedas. Itulah Hikmah barangkali.

Nota Kehidupan (3): Manusia itu sebenarnya hebat. Seorang yang mencipta kereta itu lebih hebat daripada kereta yang dicipta olehnya walaupun dia tidak mampu berlari selaju kereta yang diciptanya. ALLAH apatah lagi?

Usah Jemu Memberi

3 Responses so far.

  1. Ijinkan anakanda mengopy artikel yang penuh benifit ini iya..

    Saya akan gerakkan orang lain untok mencoba..~~

    Jangan jemu menulis iya tuan tanah..

  2. Selamat menghadapi musim imtihan terakhir...boatt tarbaikk yer..

    kimslm saudara shamsol iskandar mat akin yer..

  3. menarik, penuh in-put & manafaat.