MUDAHNYA KITA MENILAI MANUSIA KAN?

>> Tuesday, November 10, 2009


‘Dah baca Novel ******, yang penulisnya best seller tu?’

‘Sangat boring! Jalan cerita slow. Cerita pun macam novel budak-budak’

‘Eh, begitu sekali?’

‘Aku dah lama baca novel, aku tahulah!’

Ali dan Salman terus berlalu dari sebuah kedai buku. Hasrat Salman mahu memiliki novel yang ala-ala islamik itu terbantut lagi kali ini. Bulan lalu selepas sahaja novel itu dipasarkan, dia tidak berpeluang membelinya kerana duit belum mengizinkan. Kata-kata Ali tadi membingungkannya lagi.

‘Alahai, inilah aku paling lemah tengok cerita melayu. Last sekali mesti mati. Kan dah cakap. Bosan la macam ni’

‘Pengarah dia memang tak pandai buat jalan cerita ke?’ tambah seorang lagi.

‘Setakat cerita B***H begini, adik aku pun boleh buat’

Selepas seorang, seorang memberi komen. Semuanya melontarkan pendapat yang bernada negatif. Yang menghairankan, semua pengkritik tadi, mata-mata mereka masih lagi terpaku menghadap televisyen, tidak berganjak. Mulut terus mengomel.

‘Bayar mahal-mahal, macam ni je programnya? Menyesal datang!’

‘Entahlah, makan pun tak seberapa’

‘Baik tak payah buat program’

‘Betul tu, aku setuju sangat. Amat membosankan!’

Begitulah perbualan mereka petang tadi, seusai mengikuti satu program motivasi dan seminar cemerlang SPM selama dua hari. Mereka berdua pelajar cemerlang yang mewakili sekolah ke seminar tersebut.

______________________________


Adakalanya situasi ini berlaku pada kita. Dan jarang sedar bahwa kita telah memperkecilkan seseorang atau sesuatu tanpa memikirkan susah payah yang berlaku di sebaliknya. Melontarkan yang bukan-bukan terhadap ketidaksukaan diri kepada sesuatu dengan mudah sekali. Apabila melihat sesuatu yang kurang selesa atau diri tidak mendapat sesuatu seperti yang diharapkan, maka lidah mudah saja menghukum sebagai bosan, B***H, dan segala bagai lontaran yang negatif.

Ada yang terus menghukum tanpa mahu mengambil sedikitpun manfaat daripadanya. Kalau makanan, terus dilabelkan sebagai tidak sedap, sedangkan kurangnya hanya pada garam, lalu disumpah-sumpah makanan yang tidak bersalah itu.

Kalau yang pernah mengikuti program, ada saja kondisi program yang tidak kena. Ceramah yang bosanlah, makanan yang tidak sedaplah, aktivitinya tidak menarik. Akhirnya bila diri melabelkan sedemikian, manfaat yang sepatutnya diambil tidak kesampaian. Yang ada hanyalah seranah dan kata-kata yang meburukkan penganjur program. Itu tidak kena dan ini juga tidak kena. Macamlah dia …………………………..

Amat sedih dan simpati,

Kalaulah kita difikir-fikirkan sejenak, orang yang mahu menyediakan masakan yang dihukum sebagai tidak sedap tadi melalui pelbagai kesusahan untuk memberikan yang terbaik kepada pelanggan. Ke pasar membeli bahan mentah, memotongnya, membasuh, mencari menu, dan segala macam lagi untuk menjadikan masakan itu sebagai sebuah masakan yang sempurna. Akhirnya, usaha tukang masak yang bermula dengan membeli, memotong, membasuh dan lain-lain lagi kepayahan ditamatkan dengan kata:

‘Tak sedap langsung nasi goreng ni. Tak reti memasak ke tuan kedai?’

Begitu juga dengan ahli jawatan kuasa program, usaha mereka dengan tidak tidur malam memikirkan program yang bakal dijalankan, mencuri masa bersama keluarga dengan memberi komitmen kepada program, mengeluarkan modal sendiri untuk menghasilkan yang terbaik untuk program, akhirnya dihukum sebagai:

‘Bosan, bosan dan bosan’

‘Entah apa-apalah program ni. Menyesalnya aku daftar!’

Begitu juga dengan yang lain, novel yang penuh dan sarat dengan ilmu-ilmu bermanfaat terus dinafikan kebaikkan yang terkandung di dalamnya hanya kerana jalan cerita yang sedikit perlahan dan tidak diselitkan plot-plot cinta. Akhirnya tanpa memikirkan bahawa penulisnya bersengkang mata menulis cerita, memerah otak memikirkan jalan cerita, dan lain-lain lagi, mereka terus melabelkan penulisnya sebagai:

‘Tidak kreatif’

‘Novel yang bosan jalan ceritanya’

Ya, begitu mudah kita menjadi pengkritik dan penghukum kepada sesuatu tanpa memikirkan susah payah orang lain. Sekurang-kurangnya janganlah menghukum sesuatu kelemahan itu sebagai keburukan yang seratus peratus sehingga bagi kita tidak ada langsung manfaat yang boleh diambil, walhal itu bukanlah kehendak tukang masak tadi jika makanan itu tidak sedap. Begitu juga dengan pihak penganjur program atau penulis novel. Mereka-mereka ini semuanya sudah cuba sedaya upaya untuk memberikan yang paling baik. Berilah sedikit kredit yang positif dengan cara kita menegur atau memberi nasihat. Paling kurangpun diam sahaja daripada memburuk-burukkan orang lain.

‘Ini bid’ah. Nabi tak pernahpun buat!’

‘Eh selama ini aku buat tak ada orang nak marahpun?’

‘Kalau dah biasa buat yang salah dan bid’ah, memang tak sedar. Yang salah tetap salah’

Orang agama, lain pula cara menyalahkan, ada ilmu sedikit sudah mula berani membid’ahkan orang lain, sedangkan yang dibid’ahkan itu bukanlah salahnya secara mutlak, khilaf sahaja – itupun sudah dihukumkan sebagai bid’ah. Mudah bukan?

Yang terlebih ekstreme, bukan sahaja membid’ahkan orang lain, tetapi mengajak pula orang lain membid’ahkan yang lain. Merasakan diri sendiri sahaja yang betul. Semacam sudah tiada adab dalam disiplin menuntu ilmu – saling meyalahkan.


Marilah Bersangka yang Baik-Baik

Saya pernah mendengar ada sebahagian kawan-kawan yang sangat mudah menghukum keburukan seseorang dengan persepsi negatif serta gelaran yang kurang enak. Bagi mereka perangai buruk itu semacam sudah tidak boleh berubah, lalu dicop mereka yang nakal-nakal ini bahawa mereka akan kekal dengan kenakalan mereka selama-lamanya. Lalu ada nada sinis yang berkata:

‘Kau jangan percaya sangat dengan si polan ni, masa di sekolah dulu dia kena buang’

‘Banduan tetaplah banduan! Kalau dah kaki pencuri selamanya pencuri’

‘Eh, dia ni wahabi. Jaga-jaga sikit dengan dia’

Semua sikap ini secara tidak sedar telah membuang sifat husnu zon (bersangka baik) yang pernah Nabi saw perintahkan. Kerana sikap yang terlalu waspada, kita terus meletakkan pra-sangka buruk dan persepsi yang tidak kena pada seseorang, walhal orang itu sudah berubah menjadi baik.

Marilah kita menjadi manusia yang sentiasa berfikiran positif dan terbuka dalam menghadapi apa jua situasi. Yang penting adalah pandangan pertama kita terhadap orang lain mestilah yang baik-baik dahulu, tidak kiralah orang itu jahat sekalipun.

Tidak salah kita sentiasa meletakkan persepsi (tanggapan baik) begitu pada sesiapa saja, manusia yang dijadikan ALLAH ini sejahat mana sekalipun, ada kebaikkan yang boleh kita perolehi. Sezalim-zalim firaun, ada pengajaran baik yang ALLAH mahu tunjukkan kepada manusia dalam mendepani KEHIDUPAN. Jika tiadalah lalat dan nyamuk yang kotor dan pembawa penyakit itu, maka tiadalah kilang penyembur racun yang boleh memberi makan serta rezeki kepada manusia yang bekerja di situ.

Semuanya yang dicipta ALLAH ada baiknya walaupun di mata manusia nampaknya buruk. Manusia yang bijak adalah mereka yang sentiasa berfikir dengan cermat tentang kejadian yang berlaku, bukannya menghukum.

Untuk read more, tulis di sini...
Baca Lagi...

Read more...

MUHAMMAD SAW INSAN TELADAN SEPANJANG ZAMAN : MENGGAMIT MEMOIR SERAMBI MEKAH

>> Thursday, November 5, 2009

'Kitab sirah boleh disifatkan sebagai sebuah ‘manual’ bagi setiap mukmin yang berdaya juang. Ia diyakini mampu meningkatkan roh perjuangan. Melalui jalur-jalur kisah KEHIDUPAN junjungan kita Nabi Muhammad saw yang diperincikan melaluinya. Khalayak seakan-akan sedang dihidangkan dengan sebuah santapan rohani. Daripada gerak-geri baginda dalam pelbagai situasi tenang, terancam, cemas, istiqomah dan berani tanpa disedari pembaca telah dan akan dititip dengan ‘akhlaqul karimah’. Ia bisa meresap menusuk bahkan mampu mengubati jiwa.

Jauh mengatasi kepentingan kisah yang resap dalam perjalanan sirah Rasulullah saw ini ialah teknik, taktik dan stratergi peperangan baginda. Jikapun suasana dan dimensi masa boleh berbeda, namun maudhu’ pendekatan dan uslub yang digariskan tetap relevan. Pendek kata, musuh dan seteru tetap satu. Tinggal lagi, bagaimana Nabi kita mendepani pelbagai hikmah dan fatonah. Inilah mesej tersirat yang cuba dibawa oleh buku ini untuk direnung dan dikongsi.


Maka, adakah sunnah yang sebesar ini hendak kita sisa-siakan?
'

Komen saya: andainya dapat ditayangkan disebuah layar besar titipan sirah Nabi ini seperti sebuah filem wayang, maka buku inilah selayaknya diberi keyakinan sebegini sehingga apabila membacanya kita seolah duduk di mimbar zaman dahulu.

Suka-dan-duka Nabi adalah seperti mainan biasa, kerna suka Baginda terlalu sedikit jika mahu dibandingkan dengan saat sengsara yang setiap masa mengejar serta mencemburui Beliau serta para sahabatnya.

Sirah ini mengajarkan kita makna kedapatan sebuah iman dan bagaimana mahu mencahayakan gembali syiar Islam. Kisah perjalanan ini mambawa sidang supaya dapat berfikir dan kembali merenung siapa diri yang dihidupkan, adakah kita sudah merencanakan matlamat atau masih lagi alpa dan terus terkeliru apabila di hujung KEHIDUPAN nanti.

Membacanya walaupun sehelai muka surat adalah kemestian bagi anda, mengetahui sirah Baginda seolah kita menghargai sirah yang dicipta oleh Muhammad saw serta sahabatnya. Lalu, jika anda hendak menjadi sebahagian daripada ansorullah yang dijanjikan syafaat, maka bermula dari langkah mengenal sirah barulah anda mampu mengorak perjalanan menaikkan bendera sirah dan agama.

p/s: 'zaman-zaman' exam ni susah benar nak istiqomah mengup-date blog. maaf buat sahabat blog yang selalu bertanyakan tentang 'kelembapan' blog ini. anda adalah inspirasi saya dalam mencipta khazanah ilmu. saya amat hargainya.

Untuk read more, tulis di sini...
Baca Lagi...

Read more...

RAHSIA RESIPI MEMASAK KARI YANG BERSYUKUR

>> Wednesday, November 4, 2009


Cerita Saya Dulu-dulu yang Lupa Nikmat

Dahulunya,

Masa mula-mula kami ke sini, awal langkah menjejak kaki ke dunia luar, tempat saya menyambung belajar sekarang (iaitu Negara Jordan), Nasi Putih, Telur Goreng Rangup dan Kicap Manis (brand Kipas Udang) pun sudah cukup istimewa bagi kami, tambah-tambah pula kalau dihidangkan bersama sambal budu dan ikan kering, mahu tak kecur air liur?

Dulu-dulu,

Ketika di awal masa berkecimpung dalam ‘kerjaya’ memasak, masa itu juga kami masih di awal pengajian di sana, bagi kami Nasi Goreng kampung ini adalah yang paling special dalam hidangan bujang kami. Apa tidaknya, untuk kami kaum adam yang bujang sejati ini, kalau berjaya menghasilkan sepinggan nasi goreng (walaupun dikongsi dengan 5 orang) itu sudah dikira kejayaan yang melangkaui tahap ajaib.

Apa tidaknya juga, kerja kami di tanah air Malaysia dulu bukanlah memasak, tetapi di sini apabila kami berjaya mencuba-cuba rutin kaum hawa (memasak) dan berhasil, maka itu adalah pingat emas buat kami. Biarpun nasi goreng tadi hanyalah daripada himpunan bawang merah dan bawang putih yang ditumis (kadangkala hangus), sedikit hirisan cili dan jika ada secebis ikan bilis yang dikupas-kupas akibat mengikuti ‘plan penjimatan’.

Seharian yang memenatkan akan bertukar ceria jika kepulangan kami daripada kuliah dapat menjamah menu-menu ‘special’ tadi. Pertama yang keluar daripada mulut selepas perut diisi adalah:

‘Ya ALLAH, nikmatnya. Kalau hari-hari macam ni kan best’


olek kerana tidak pandai memasak, makanan yang biasa-biasa tadi telah menjadi terlalu istimewa untuk hidangan kami dan sungguh kami hargai situasi itu, Maka jadilah;

Nasi putih, Telur Goreng dan Kicap, adalah nikmat ketika itu.

Nasi Goreng Kampung dengan ikan bilis juga kenikmatan kami masa itu.

Sekarang,

Sebut saja apa yang mahu dijamah, Kari Ayam Mamak, Sup Siam, Tomyam Putih, Ayam Black Pepper, Ayam Masak Merak Ala carte, dan macam-macam lagi, kami mampu menghasilkannya dengan kadar yang bukanlah lima bintang tetapi tetap ada rasa basicnya. Jika sup insyaallah saya pasti rasanya juga sup. Pendek kata kami boleh memasak semua itu.

Kadang-kadang,

Kami dijemput untuk memasak bagi program-program besar yang kuantitinya hampir 3 ke 4 ratus orang yang perlu kami sediakan. Bermakna kami diberi kepercayaan untuk memasak, pendek kata, kami adalah cheff di tempat kami. Bahkan ketika duduk di masa lapang selalu saja mencuba masakan baru. Senang saja, search di internet, apa menu yang anda mahukan semuanya ada. Cuma mahu atau tidak mahu.

Sekarang,

Bila selalu dihidangkan dengan kari ayam, ada saja yang berbunyi, bukan tidak sedap, tetapi mungkin sudah kerap atau hari-hari menjamahnya:

‘Aduh..asyik kari je, dah tak ada rempah lain ke kat dapur tu?’

‘Semalam kari, hari ni kari. Esok lusa kari lagi, jemulah!’

‘Aku dah tahu dah. Kalau dia ni memasak mesti kari punya, tak pun sup. Ha, kan aku dah cakap, kari’


Kesudahannya, kami menjamahnya juga tetapi sambil-sambil bermuncung mulut dan berseranah di dalam hati dek kerana kari yang sudah lali dimakan. Dengan kata lain, buat-buat makan sajalah kerana takut tuan yang memasak itu berkecil hati atau makan dengan hati tidak ikhlas.

Lalu,

Sayalah orang yang paling terlupa dan paling kurang bersyukur kerana hidangan kari tadi. Saya lupa yang dahulunya nasi putih dan telur goreng itulah hidangan pertama kami yang kami anggap terlalu istimewa dan nikmat itu.

Ya, saya lupa seketika, bahawa kerana kekurangan yang ada itulah (tidak pandai memasak), saya reti menghargai dan menilai NIKMAT.

Saya juga lupa bahawa sebelum dikurniakan kepandaian dalam memasak kari tadi, nasi Goreng Kampung itulah yang menjadi santapan special dan kenikmatan ketika itu. Kami lupai semua itu kerana sehingga sekarang masih belum pandai memaknakan erti syukur. Bagi kami yang sedap-sedap saja adalah nikmat, yang tidak sedap tidak perlu disyukuri.

Akhirnya,

Kami secara automatik mendapat cebisan tempias daripada golongan yang TUHAN pernah sebutkan dalam kalamnya:

‘DAN TERLALU SEDIKIT DARIPADA HAMBA-KU YANG BERSYUKUR’

Nasi Putih dan telur goreng dahulunya nikmat, tetapi sekarang tidak lagi kerana sudah pandai memasak.

Kari Ayam juga masa dulu-dulu adalah kelazatan dan kesyukuran, tetapi sekarang bukan lagi kesedapan tetapi kebosanan dan cemuhan, kerana tidak tahu erti bersyukur.


Nikmat itu adalah “Yang Datang Jarang-jarang”

Betulkah ungkapan di atas?

Bagi saya itulah sebahagian daripada erti nikmat yang terlalu luas maknanya. Kalau anda tidak percaya mari saya coretkan sedikit perbandingan.

Ambillah satu makanan yang paling sedap dan special bagi kamu, KFC (Kentucky Fried Chicken) misal kata. Bagi mereka yang bekerja di francais-francais KFC sudah pasti jemu menatap hidangan itu, Ayamnya, kentangnya, Burgernya atau apa-apa hidangan saja di KFC sudah tidak ada nilai lagi bagi mereka akibat hampir setiap hari menjamahnya. Lalu Ayam Goreng KFC itu sudah hilang nikmat dan specialnya.

Namun,

Untuk kita-kita ini, yang hanya setengah tahun sekali menjengah ke warung KFC tadi amat merasakan itulah hidangan yang paling istimewa dan terbaik di antara segala makanan. Tidak hairanlah jika anak muda atau pakwa makwe dan siapa saja akan menjadikan hidangan KFC tadi sebagai tempat perjumpaan yang istimewa, kerana apa? Kerana sekali sekala saja dapat ke sana, kerana jarang-jarang saja dapat menjamahnya.

Kalau saya pun jika diberi peluang untuk memilih tempat menyambut ulangtahun perkahwinan saya, saya akan memilih tempat-tempat yang jarang saya pergi, supaya saya dapat merasakan nilai nikmat dan kelazatan.

Begitu juga, kami-kami di sini. Kalau dapat menjamah Meehon goreng itu adalah kenikmatan yang paling berharga kerana di Jordan susah untuk mendapatkan makanan itu, maka itu adalah nikmat Tuhan untuk kami. Tetapi orang di Malaysia pasti berbunyi:

‘Alahai, Meehon Goreng je pun, apalah sangat. Di medan selera depan rumah aku tu bersepah-sepah’

Tak mengapalah, itu kata orang yang di Malaysia, kata-kata orang yang sudah selalu jumpa Meehon Goreng. Tetapi kami tidak. Yang jarang itulah yang Nikmat untuk kami.


gambar hiasan

Tetapi bukanlah saya mahu menafikan bahawa perkara yang selalu dan kerap diberi itu sebagai perkara tidak perlu disyukuri dan dihargai, itu juga nikmat Tuhan. Yang selalu juga nikmat, yang jarang juga nikmat.

KFC tadi adalah nikmat bagi yang tidak selalu menjamahnya tetapi mungkin Nasi lemak yang jarang dimakan oleh pekerja KFC tadi adalah nikmat pula buatnya.

Di Negara-negara yang mempunyai 4 musim seperti Jordan ini mungkin merasakan hujan adalah nikmat kerana jarang dihujani hujan, tetapi di Malaysia yang sudah kerap dilanda hujan pastinya mengharapkan panas seketika sebagai nikmat. Panas dan hujan, kedua-duanya sama saja keperluannya tetapi lain kedudukkannya di dalam bicara nikmat.


Celoteh Bersyukur

Kata orang-orang tua dahulu:

‘Orang berbudi, kita berbahasa, orang memberi, kita merasa’

Amat cantik bidalan orang tua-tua dahulu dalam melampirkan makna syukur. Ini bukan sekadar pantun semata-mata tetapi bidalan yang memberi makna syukur dalam bahasa mudah dan suasana kita sebagai manusia sesama manusia. Dalam bahasa senangnya:

Orang tolong kita, kita tolong orang..... Orang beri sesuatu, kita balas sesuatu

Ini salah satu cara kita bersyukur kepada manusia, bahkan cara bersyukur kepada ALLAH tidaklah sedemikian yang ingin saya sampaikan. Misalnya, ALLAH memberi kita rezeki berupa duit, bukanlah jika kita mahu menunjukkan rasa bersyukur kepada ALLAH, kita mesti memberi semula duit itu kepada ALLAH sebagai tanda syukur, tidaklah begitu. Masakan ALLAH memerlukan duit sedangkan DIA yang menciptakan dan memberi semua itu, mengapa DIA perlu kepada duit. Bahkan ALLAH sudah mempunyai lebih daripada nilai sebuah duit.

Ambil semula kata-kata di atas: Orang tolong kita, kita tolong orang, Orang beri sesuatu, kita balas sesuatu. Ibaratnya beginilah jika mahu bersyukur sesama manusia:

‘Eh, kau ingat tak pakcik yang tolong baiki kerata kita yang rosak tempohari tu? Nampak tak dia kat depan sana, motor dia rosak. Jom kita tolong dia?’

Ibarat lain pula:

‘Terima Kasihlah Izwan sebab belanja Nasi Ayam ni. Lain hari kami pula yang belanja kamu’

Lagi ibaratnya, tetapi kita kaitkan kata-kata ‘Orang tolong kita, kita tolong orang, Orang beri sesuatu, kita balas sesuatu’ dengan TUHAN pula.

‘TUHAN sudah beri pada kita duit yang banyak ni, kita kenalah belanja TUHAN dengan duit ni’

Mudahkan cara bersyukur? Jika dengan manusia kita membalas jasa, tetapi jika dengan TUHAN lebih mudah. Ikutlah apa yang disuruh dan tinggal apa yang dilarang. Suruh solat kita solat, TUHAN minta jangan merokok, maka janganlah. Pendek kata:

Apa yang ALLAH larang, say NO!

Apa yang ALLAH suruh, say YES! YES! dan YES BOSS!

Cara menghargai Nikmat adalah bersyukur. Cara mempamerkan syukur adalah membalas budi. Jalan untuk membalas budi TUHAN adalah ikut perinta-NYA.

Sekian saja celoteh saya.

Untuk read more, tulis di sini...
Baca Lagi...

Read more...

PERKAHWINAN : HIMPUNAN KASIH-SAYANG, SUKA-DUKA, DAN ROMANTIKA

>> Saturday, October 24, 2009


Ketika minum-minum malam dua hari yang lalu, kami duduk berbual-bual sambil menghilangkan letih seharian bekerja. Maklumlah, malam minggu semua ketensionan mesti dibuang jauh-jauh, pelajaran dilupai seketika, yang ada hanyalah suka ria. Biasalah, lepak orang bujang-bujang, kalau tidak tajuk kahwin yang menjadi bualan, tidak sah!!

Kahwin, Nikah, Calon. Itu saja topiknya, pusing-pusing ikut jauh sikit, tajuk ini juga yang asyik diagendakan dalam minum-minum kami. Bukan malam itu saja, bahkan sudah selalu. Alahai, memang dasar bujang trang tang-tanglah semuanya.

Saya bertanya pada kawan saya yang seorang, dia belum ada calon lagi ketika ini: ‘Kalau kau diberi pilihan, nak cari calon yang Hafizah juga atau yang biasa-biasa?’

Lama dia berfikir, baru menjawab: ‘Yang biasa je. Yang penting ada agama’

Saya berseloroh pula, sekadar menduga: ‘Hai, takkan yang biasa je. Tak sekufulah, nanti macam mana nak mengulang Quran, zaujah tak menghafal quran?’

‘Alah, itu semua atas diri sendiri. Kalau dah malas nak mengulang, dapat zaujah yang masyi* pun kita tak mengulang. Tak begitu?’

‘Kau cakap je orang fiq. Kau pun sama’

Berderai gelak tawa kami berempat malam itu. Sambil-sambil mengunyah ayam goreng, sembang dan tawa tak lepas daripada mulut kami. Lepas seorang, seorang lagi yang membuka cerita. Tepat jam 12 malam baru kami mula melangkah pulang ke rumah.

___________________________________________



Ramai Yang Ingin SEKUFU, Tapi Tersalah Anggap

Asal mahu memilih pasangan mesti diletakkan syarat supaya pasangan mestilah sama padan atau sama …………... Kalau doktor mesti mahu dengan doktor, yang ustaz pula harus berkahwin dengan ustazah, Syed juga perlu dipadankan dengan Syarifah atas tujuan menjaga nasab yang dikatakan bersambung dengan Nabi, lalu janda jugalah yang menjadi mangsa keadaan, nak mencari duda sebagai pasangan hidup baru mereka, kan ke susah begini?

Habis tu, macam mana pula Datuk K yang berstatus duda boleh berkahwin dengan Datin S yang masih dara? Jadi, tidak sekufulah mereka?

Musykil alam.

Betulkah sekufu itu maksudnya mestilah ‘sama’? atau ertinya sama padan dan taraf? Kalaulah begitu maksudnya, maka ramailah yang sudah tersalah pilih pasangan, ustaz sudah ada yang berkahwin dengan doktor, bahkan ada ustaz yang telah berkahwin dengan artis, kan dasyat sekufunya tu?

Beginilah, saya tidaklah mempunyai pengalaman untuk mempasang-pasangkan orang, jauh sekali mempunyai pengalaman berkahwin, sudah tentu tidak layak saya memperkatakan tentang isu sekufu ini, namun saya cuma membuka ruang buat semua untuk sama-sama berfikir seketika sahaja. Sekadar mahu merungkai istilah yang disalah anggap oleh sesetengah pihak.

Mudah sahaja, jika ada yang beranggapan sekufu itu sama padan betullah maksudnya, jika ada yang beranggapan selain daripada itupun tepat juga maksudnya. Yang penting ertinya tidak lari daripada istilah asal iaitu ‘mahu mencari titik persamaan’ dalam asas pembinaan rumah tangga. Kalau masa depan anda dijamin bahagia dan mampu hidup dengan pasangan anda yang sama bidang serta tarafnya, itu juga sudah disebut sebagai sekufu.

Tetapi ada pula yang berkahwin berlainan bidang, bahkan tidak sama padan langsung. Adakah mereka ini boleh terus dilabelkan sebagai pasangan yang tidak pandai mencari yang sekufu? Bukan begitu, mereka ini pun sekufu juga, cuma cara sekufu mereka ini lain sahaja. Tamsilannya begini, dua orang yang mahu ke destinasi tertentu, masing-masing menggunakan kenderaan yang berlainan, seorang menaiki bas ekspres manakala seorang lagi menonggang motor. Sampainya tetap sama cuma berlainan masa, mungkin disebabkan berlainan kenderaan. Pokoknya mahu sampai dengan selamat ke destinasi.

Perkahwinan pun begitu, selagi tujuannya satu iaitu mencipta kebahagiaan dan keharmonian rumah tangga terjaga, maka itu juga membawa maksud sekufu. Akhirnya maksud sekufu yang saya ingin kongsikan itu adalah ‘perkahwinan yang saling melengkapi antara satu sama lain’. Suami yang ada kekurangan tetapi ditampung oleh isteri, isteri pula banyak kelemahan lalu dibantu pula oleh si suami. Kan bahagia? Tidak kiralah suami itu seorang anggota polis sekalipun, jika isteri yang juga seorang ustazah itu mampu membawa suami ke arah kebahagiaan akhirat, itu lebih baik daripada pasangan ustaz dan ustazah yang sering sahaja bergaduh dan bermasam muka kerana mahu menegakkan ilmu atau ego masing-masing.

Saya tidak larang jika rakan-rakan saya ada yang mahu berkahwin dengan minah-minah rempit di luar sana, jika tujuan mereka untuk memperbaiki. Kerana minah-minah ini juga mulia dan ada hak untuk menjadi seorang Muslimah yang baik-baik seperti sekalian ustazah.

Sekufu itu, saling melengkapi, sekufu itu bantu-membantu, sekufu itu walaupun lain keinginan tetapi sama tujuan. Sekufu itu, walaupun lain tarafnya tetapi mahu mencari titik persamaan. Sekufu itu, Tampung kelemahan dan terima kekurangan, saling bermaafan.


Janganlah Memilih Sangat!

Bila saya bertanya pada rakan-rakan, kalau mahu mencari isteri apa syarat yang mahu diletakkan? Ramai yang menjawab: ‘Tak cantik sangat pun tak mengapa, yang penting tahu tentang agama. Pandai jaga hati suami’

Ada juga yang berkata, jawapan yang nakal-nakal: ‘Cantik pun penting, nanti tak adalah nak cari yang lain. Nabi pun suruh cari yang cantik-cantik’

‘Yang pandai memasak dan mengemas’

‘Yang rajin dan Romantik’

‘Pandai memujuk kalau merajuk’

Macam-macam lagi jawapan yang kalau ditanya maka akan bersusunlah syarat-syarat yang menjadikan ramai anak-anak dara menjadi andartu, dan si teruna terus dengan sikap memilihnya. Ada juga yang memberi jawapan sekadar mencari yang baik-baik, rupa tidak jadi masalah. Tetapi bila di offer, banyak pula songehnya: ini tidak lawa sebab tak pakai kaca mata, ini kurus sangatlah, dia tu garanglah, itu tidak kena dan ini pula tidak kena, sedangkan yang di offer tadi semuanya ada rupa dan baik-baik belaka.

Ah, pendek kata, lelaki ini kebanyakkan memilih dan banyak songeh. Macamlah selepas berkahwin nanti diorang yang mengandung dan bersalin atau menyusukan anak-anak.

Nasihat saya pada semua kaum Adam, janganlah memilih sangat nanti melepas baru tahu.

Saya petikkan sedikit pendapat buat tatapan semua, bagi saya betul juga Pak Cahyadi Takariawan berbicara dengan pendapatnya tentang isu jangan memilih ini, lalu saya juga mahu menyoal anda semua, dengan kadar apakah anda menilai untuk memilih pasangan anda, adakah mendahulukan kecantikkan atau agamanya? Sebelum menjawabnya, dengarkan ini:

‘Anda laki-laki Muslim yang berniat melaksanakan pernikahan. Usia anda pula sudah 25 tahun. Anda dihadapkan pada realitas bahwa wanita Muslimah yang sesuai kretiria Fikih Islam untuk anda nikahi ada sekian banyak jumlahnya. Maka siapakah yang lebih anda pilih, dan dengan pertimbangan apa anda memilih dia sebagai calon isteri anda?

Nah, apabila semua laki-laki Muslim berpikiran dan menentukan calon isterinya harus memiliki kecantikkan ideal, berkulit putih, usia 5 tahun lebih muda dari dirinya, maka siapakah yang akan datang melamar para wanita Muslimah yang usia di atas 30 tahun , atau di atas 35 tahun, atau bahkan di atas 40 tahun, (atau yang kurang rupanya tetapi cukup dipenuhi dengan ciri-ciri keagamaannya)?


Ini hanya satu contoh saja, bahwa dalam konteks pernikahan, hendaklahnya dikaitkan dengan proyk besar dakwah Islam (ciri-ciri keagamaan). Jika kecantikkan harapan anda bernilai 100 point, tidakkah anda bersedia menurunkan kadar 20 atau 30 point untuk bisa mendapatkan kebaikkan dari segi yang lain? Ketika pilihan itu membawa maslahat bagi dakwah, mengapa tidak begitu?’


(Pak Cahyadi Takariyawan - dipetik daripada Buku Dijalan Dakwah Aku Menikah)

Ini soalan saya seterusnya:

Jika gadis harapan anda adalah berusia 20-an dan anda menginginkan yang cantik molek sebagai syaratnya, tidakkah anda bersedia untuk memberikan sedikit toleransi dengan melihat kepada gadis yang kurang sedikit cantiknya tetapi mempunyai ciri agama yang lengkap dan sempurna?


Redha Ibu Bapa didahulukan

Mungkin ada suatu lagi ciri-ciri kesekufuan yang kita tidak perasan dan sedari. Ia adalah redha ibu dan bapa. Kalau anda sekufu macam mana sekalipun, itu sudah lengkap, ini pun sudah sempurna, agamanya cukup, ilmunya cukup tetapi berkahwin tanpa izin ibu bapa atau berkahwin lari tanpa pengetahuan ibu bapa, yang mereka itu suatu ketika dahulu melahirkan kita, menyuapkan nasi kepada kita semasa kita kecil, yang mendodoikan kita apabila terjaga di malam hari. Maka itu sudah jauh daripada landasan sekufu yang pertama sekali perlu dicari.

Lalu, apakah yang ada pada sebuah sekufu jika redha yang mengandungi asbab (punca) sekufu itu telah diabaikan ?

Jangan main-main dengan kuasa atau power sebuah redha ibu dan bapa. Sekali penangannya selamanya pasti akan menyesal dan terasa. Jika di dunia tidak tahu, di akhirat pasti tahu. Betullah kita yang akan hidup dengan pasangan kita, tetapi siapakah yang ‘menjadikan’ anda dewasa sehingga anda mampu berkahwin dan menipu mereka?

Fikir-fikirlah.

Semoga perkahwinan ini menjanjikan kebaikkan sahaja untuk semua mempelai yang bakal menciptakan gerbang perkahwinan nanti.


p/s: Oh, kawanku kahwin lagi… Selamat pengantin baru buat Ustaz Zaidi ‘Tok Woli’ yang berkahwin ‘senyap-senyap’ tapi terkantoi dengan saya, hehehe. Agar kalian berdua dapat mengisi ruang kebahagiaan dengan ketenangan hakiki.

Juga buat Abang Azharku ex-DQ yang sepatutnya terus kekal dengan gelaran ‘Hang kebal’ tetapi sudah ‘kebas’ ops! Sorry. Buat pasangannya juga Kak Athirah Ajos. Jaga Abang Azhar elok-elok ya! Moga kalian terus thabat dalam perjalanan membina Islam di Tanah Air kita.

Takbir!!


Untuk read more, tulis di sini...
Baca Lagi...

Read more...

SAAT YANG DIRINDUI PERGI JAUH

>> Thursday, October 22, 2009

Ustaz Ramadhan Fitri dan Ustazah Khadijah (Almarhumah Nur Fatimah dalam pelukan ibunya)


Saya sempat mengutip ilmu daripadanya sekali dua sahaja, mengenali beliau di usia saya yang ketika itu di zaman-zaman kampus dahulu. Tetapi, bersua itu banyak kali juga, kalau dibilang, entah kali ke berapa saya terserempak dengannya di Pesta Buku Antarabangsa sekitar PWTC. Tak sempat pun menegur, tetapi hanya berbalas senyum.

Saya tidaklah seFAMOUS Ustaz Ramadhan Fitri ini, dia orang hebat semenjak di kampus Universiti Malaya lagi, bak kata pepatah Orang Lama. Sebut saja namanya, semua orang di kampus itu mengenali diri beliau, di era 90-an dialah hero kampus ketika itu. Itu sebab saya katakan yang dia adalah orang famous seperti artis-artis di Malaysia juga, ibaratnya begini, seperti M. Nasir atau Mawi: ‘Saya kenal dia, tapi dia belum tentu kenal dan ingat lagi pada saya. Saya juga peminat dia, tetapi belum tentu dia minat dengan saya’

Apa-apa sajalah.

Lama saya tinggalkan Malaysia, sehingga tidak sedar yang Ustaz sudah berkeluarga, bahkan sudah punyai anak kecil diberi nama Nur Fatimah. Zaujahnya saya kurang mengenali tetapi namanya persis serikandi agung, Ukhti Khadijah.

Dua minggu sudah, berita ini sudah saya dengari daripada email dan blog-blog teman. Ketika itu dengan harapan anak sekecil Nur Fatimah ini akan diberikan kekuatan menghadapi. Namu apa yang dipunyai oleh kudrat anak sekecil itu. Kerana rahmah Tuhan, dia dipinjam sekejap oleh-NYA untuk beberapa ketika. Akhirnya menghembuskan nafas terakhir pagi tadi (22 Oktober 2009 – 6.20 pagi). Saya percaya anak sekecil Nur Fatimah akan menuntut janjinya dengan Tuhan bahawa akan bersama ayah bondanya beriringan ke pintu syurga.

Saya hanya panjatkan doa untuk kalian berdua, kerana ujian ini terlalu berat untuk mereka. Namun saya percaya, orang sekuat ini tidak cepat putus asa. Barangkali ALLAH mahu gantikan Nur Fatimah dengan serikandi agama yang lebih hebat suatu hari kelak.

Takziah saja yang saya dapat ungkapkan selain kunjungan doa untuk Ustaz dan isteri. Semoga ALLAH taala mencucuri rahmat ke atas rohnya (Nur Fatimah). Dedikasi artikel ini adalah juga dedikasi doa untuknya.
Al-Fatihah.

Lain-lain rujukan saya: www.saifulislam.com/

Untuk read more, tulis di sini...
Baca Lagi...

Read more...

ANIS OKTOBER 2009 : LEBARAN BERSAMA SANDARAN AGAMA

>> Monday, October 19, 2009


Ramai teman-teman lelaki bertanya: ‘kenapa selalu up datekan Majalah ANIS? Itukan majalah wanita? Tak malukah?’

Buat sahabat muslimah yang menjadi peminat setia bacaan ini pastinya tahu apakah isi kandungannya. Tetapi untuk kawan-kawan lelaki yang sudah maklum tentang kewujudan Majalah ini tetapi belum pernah berpeluang menyelak helaiannya, silakan berbuat demikian untuk mengetahui santapannya yang lebih daripada seorang lelaki harus membacanya. Masakan tidak boleh lelaki seperti saya untuk mempunyai naskhah ini sebagai minat bacaan saya? Boleh, apa salahnya jika saya mahu mengetahui tentang wanita, aibkah kita mempelajari ulasan agama berkenaan wanita? Tetapi itu bukan alasan saya untuk meminati Majalah tersebut. Sebab saya meminatinya cuma ia telah mengandungi kupasan pelbagai aspek dalam kehidupan yang bercirikan Islam.

Huraiannya tidak terlalu tinggi nilai estetika bahasanya, tetapi mendalam isi yang mahu dikongsikan kepada pembaca. Nilai introspeksi yang dijadikan sebagai trend dan trademark Majalah ANIS ini adalah sumber utama kepada minat saya. Saya mulai mengumpulnya sejak tahun 2004, tetapi usaha saya mencari artifak ANIS ini sehingga saya punyai koleksinya bermula tahun 2000, malah saya ada menyimpan naskhah ANIS di tahun 1999, saya pun tidak ingat di mana saya memperolehinya. Samada dua cara, minta simpati pada rakan yang mempunyai Majalah itu atau saya melanggannya.

Oh ya! Kalau rakan-rakan lelaki yang tidak percaya apakah isi kandungannya berkisar tentang wanita sahaja ataupun lebih dari itu, bolehlah mencubanya. Saya pasti anda juga akan seperti saya. Sehingga sekarang Majalah ini masih dilayangkan ke sini (Jordan), terima kasih kepada Ayahanda yang sudi melayangkan guni ilmu itu ke tanah sejauh ini.

Berkali-kali saya mahu mempromosikan ANIS ini kepada semua pembaca blog saya. Lihatlah apa yang menarik di dalam ANIS keluaran Oktober ini:


CERIA SYAWAL DENGAN ZAKAT DAN SEDEQAH

Paling merisaukan, ada sesetengah orang yang merasakan, kekayaan adalah hak peribadi. Siapa yang berusaha dia merasa. Pecahkan ruyung demi sagunya. Rezeki mesti dicari bukan diberi. Maka, jadilah sesetengah orang yang ‘sombong’ dan kedekut dalam diam, bagai api dalam sekam. Sifat negatif, kikir dan bakhil berakar di dalam hati tanpa mereka sendiri sedari. Akhirnya, luhur pemurah diganti mazmumah, sifat qanaah sudah berubah, belas ehsan kian menipis. Mungkin kita tidak terasa, tapi ada caranya agar kita boleh mengetahui status pemurah, qanaah dan ehsan kita.


Buat peminat fesyen Muslimah terkini, di sini:

HITAM ITU ELEGAN

Jubah dan abaya hitam memang tidak asing buat para Muslimah di Timur Tengah. Untuk anda yang ingin tampil elegan cubalah padanan jubah dan abaya hitam eksklusif yang diberi perincian sulaman dan hiasan manik. Ternyata hasil kreativiti kaum Adam dari Timur Tengah ini cukup unik dan menarik!


Dedikasi buat Ustaz Asri Ibrahim Rabbani:

ANDAI DIA PERGI DULU SEBELUM MU

Andai dia pergi dulu sebelummu, katakan pada diri, akanku galas amanah ini. Sekiranya terpaksa bertongkat dagu pun, aku tidak akan lemas dipagut sendu. Berjuanglah, agar dia bisa senyum di barzakh itu. Oleh nukilan doa anak yang soleh dan solehah. Kalau benar cinta itu setia, anak-anak itulah titiannya. Di jambangan munajat, di taman ibadat, tentu ada sungai pahala… yang mengalir selamanya.


MEMINJAM KEGEMBIRAAN MENGHAPUS KEDUKAAN

“Zikir seperti memasukkan cahaya ke dalam hati, tetapi persoalan utamanya adalah bagaimanakah keadaan hati itu?” “Adakah ia juga bercahaya?” “Atau adakah ia hitam pekat?” “Sama seperti kita lihat kepada pelita minyak yang menyala-nyala, namun cemeninya hitam pekat dengan jelaga. Adakah kita memperoleh apa-apa faedah dari cahaya itu?”


Fokus bulan ini:

RAYAKAN SYAWAL DENGAN SILLATURRAHIM

Satu Syawal datang lagi, meninggalkan pergi Ramadan yang belum tentu kembali. Berlalulah sudah bulan yang penuh berkat di mana terbuka seluas-luasnya peluang mendapat rahmat dan keampunan Allah SWT. Sehingga kerana itu badan dan jiwa terasa ringan dan mudah untuk memperbanyakkan segala bentuk ibadah. Di dalamnya pula ada tawaran, beramal satu malam tetapi diberi ganjaran pahala lebih baik daripada seribu bulan beribadah. Bayangkan betapa besar ertinya tambahan umur hampir 84 tahun dalam ibadah kepada umat Nabi Muhammad SAW yang amat singkat umurnya berbanding umat nabi yang lain.

p/s: banyak lagi yang perlu anda baca pada keluaran kali ini, saya tidak boleh menceritakan semua, nanti ANIS saman pula!!

Untuk read more, tulis di sini...
Baca Lagi...

Read more...

JANGAN JEMU DICIPTAKAN SEBAGAI WANITA

>> Friday, October 16, 2009


MALAM tadi sukar melepaskan mata untuk dilenakan, kira-kira mahu mengukir sesuatu. Seketika mencari idea kalau datang manfaat yang dapat dijadikan tulisan. Lama saya termenung, terlintas wajah bonda mengajak hati mahu mendedikasikan sebuah hadiah untuknya. Bonda yang juga seorang wanita serikandi buat saya dan 5 lagi adik-adik saya. Sehingga kini baru saya dapat rasakan tunainya penat lelah seorang ibu kepada saya. Ibu seorang wanita, tetapi dia kuat seperti bukan seorang wanita. Saya rasakan dia persis seorang pahlawan.

Jam tangan memulaskan ke angka 1245 malam.


_______________________________________________



SEINGAT saya, kisah ini sudah lama saya lalui, barangkali di bangku sekolah rendah, ketika itu di peringkat darjah satu, guru kelas saya masa itu namanya Cikgu Hasnah Akil. Hingga kini, guru pertama yang menjadikan saya seorang ‘orang’ masih diingati raut dan namanya. Ketika hari pertama saya di kelas:

‘Siapa yang mahu jadi ketua kelas?’

Saya dan juga 4, 5 orang rakan sedarjah yang lain dengan tidak segan silunya mengangkat tangan, kononnya mahu mengoffer diri untuk naik ke kerusi pengetua bagi kelas satu Ali. Di barisan belakang pula, ada juga 2 dan 3 orang yang mengangkat tangan. Apa yang menggelikan hati saya juga terkejut, 2, 3 orang itu adalah budak-budak perempuan. Mereka ada semangat juga, tetapi ketika usia sekecil itu barangkali mereka tidak tahu bahawa jawatan ketua kelas hanya diperuntukkan untuk budak lelaki. Boleh sahaja budak-budak perempuan mahu menjadi ketua kelas, tetapi dengan syarat seluruh ahli-ahlinya di kalangan perempuan sahaja.

‘Cikgu, orang perempuan boleh jadi ketua kelas ke cikgu?’

Cikgu Hasnah yang saya amat sayangi itu lantas ketawa kecil, tetapi masa itu saya masih belum mengerti tentang erti senyum sinisnya itu.

‘Fatimah, Nurul dan Siti. Turun tangan dulu ya. Ketua ni hanya untuk orang laki-laki saja. Kamu bertiga nanti cikgu akan lantik sebagai calon penolong kelas’

Cikgu Hasnah pandai memujuk. Dan ketika itu Fatimah, Nurul juga Siti lekas-lekas merebahkan tangan mereka walaupun terpaksa bermasam muka lagi mencuka. Bukan malu, tetapi kecewa tidak dipilih sebagai calon ketua kelas.

Akhir ‘pilihanraya’ saya dinaikkan ke jawatan itu, rasminya sebagai Ketua Kelas Satu Ali. Pulang ke rumah terus dikhabarkan berita itu kepada Abah dan Bonda. Apa lagi, pujian menggununglah yang saya perolehi malam itu, senyum sampai ke telinga dibuatnya.

Saya pula sempat bekerja dalam masa yang singkat sahaja, sebelum dibuang daripada jawatan ‘veto’ tersebut. Oleh kerana kenakalan saya dan rakan-rakan, saya dipecat!! Cikgu yang melucutkan jawatan itu bukanlah Cikgu Hasnah tetapi guru lain yang mengajar saya subjek bahasa melayu, namanya Cikgu Noraini Bahauddin. Kesnya hanya kerana saya keluar daripada kelas tanpa izin ketika ketiadaannya. Namun saya akui memang saya sendiri yang teramat nakal. Ketua kelas tidak mensyaratkan saya untuk berperangai dan berfeel baik. Saya dan rakan-rakan adalah hero menyakat budak perempuan di sekolah tersebut. Dunia sekolah rendah adalah dunia yang paling nakal dalam episod hidup saya - Saya mula menjadi manusia setelah berbelas tahun saya mengenali kenakalan.

Cukuplah.

Itu semua kisah 16 tahun yang lalu. Saya hanya boleh menyimpan ikhtibar daripada lipatan kisah itu. Yang mahu saya kisahkan adalah isu lain, tetapi coretan kenangan tadi ada kaitnya jika anda pandai dan bijak menghubungkan pointnya.


WANITA; Kedudukkannya di Tempat Kedua, Namun Peranannya Tetap di Hadapan

Mari bayangkan seketika, apa yang akan terjadi bila seekor burung telah hilang sebelah sayapnya? Atau sebuah kereta yang tiada dipasangkan enjinnya, atau kapal terbang yang cuma ada sebaeah sahaja daripada sayapnya? Jangankan mahu terbang tinggi atau bergerak laju, jalannya juga pasti akan tergelong-gelong kerana tiada keseimbangan, tiada kestabilan ataupun tiada pelengkap yang sepatutnya saling melengkapi.

Saya tidak mahu mengibaratkan mereka yakni wanita, perempuan, muslimah persis sayap kapal terbang atau kepak bagi seekor burung, bahkan lebih daripada ibarat itu wanita adalah nyawa yang berdenyut lalu mengalirkan sumber hidup. Bukan juga sebagai nyawa sahaja tetapi seumpama pelengkap kepada kelompangan sesuatu.

Sayap adalah harta segalanya untuk seekor burung, dengan kuasa yang membolehkan ia terbang, ia mencari rezeki dan menyara hidup, lalu sayap itulah sumber nyawanya.

Wanita pula adalah segala nyawa buat pasangannya (lelaki), dengan kelembutan dan kecekalannya, kami yang laki-laki inilah mengambil dan mengutip kelebihan itu untuk menyempurnakan hidup.

Begitulah namanya wanita, peranannya tetap diletakkan dihadapan, kepentingannya jua tetap berada dalam keutamaan, cuma yang dikurangkan sedikit hanyalah kedudukannya sahaja. Kedudukan itu bukanlah dibezakan kerana wanita itu ilmunya sedikit, bukan juga kerana fizikalnya yang lemah tetapi diletakkan dalam situasi itu hanya untuk menunjukkan bahawa wanita itu perlu berada dalam suasana yang harus dibimbing, perlu dijagai rapi, perlu disayangi dan dibelai, dan yang paling penting mereka perlu dipelihara maruahnya. Kedudukan mereka di tempat kedua ini tidak langsung mencacatkan mana-mana fizikalnya atau mengurangkan hak-hak mereka bahkan diberikan sebanyak-banyaknya kelebihan yang mahal.

Kedudukannya yang berada di belakang lelaki tidak langsung menjejaskan apa-apa yang ada pada diri wanita bahkan mereka itu lebih selamat juga terpelihara. Justeru itu, dalam agama Islam lebih-lebih lagi tidak pernah mengabaikan kedudukkan insan ini tetapi tinggi dari itu menyanjung martabat manusia bernama wanita. ALLAH amat sayang pada wanita lalu DIA meletakkan wanita itu sebagai insan yang dijagai dengan rapi. Cantik sungguh cara ALLAH menyayangi wanita.

Anda wahai wanita boleh keluar berjihad untuk bakti anda kepada agama jika tidak berlaku fitnah tetapi anda juga akan memperolehi pahala seumpama keluar berjihad dengan cuma melahirkan taat setia kepada seorang suami. Pahala sebesar dan seagung itu anda perolehinya tanpa perlu mengangkat pedang atau mengorbankan darah dan nyawa.

Alangkah banyaknya jalan dan lorong mudah yang dihamparkan untuk wanita semata-mata membolehkan insan bernama wanita ini senang untuk ke syurga. Hanya mengeluarkan sedikit titik peluh untuk berpahala berbanding lelaki yang lebih rumit jalannya.

Seorang sahabat bertanya kepada Nabi saw, kepada siapakah dia harus hormati selepas ALLAH dan RASULNYA? Lalu 3 kali Nabi menyebut agar ibu perlu dahulu dihormati, kemuadiannya barulah si ayah.

Ibu, ibu dan ibu…


Kudrat Anda Adalah yang Terhebat!!

Saya mahu mencabar kita-kita yang lelaki ini supaya merasakan apa yang telah dirasai oleh wanita-wanita yang sedang mengandung atau ibu-ibu kita yang pernah mengendong kita semasa di alam ‘perut’. Letak sahaja beberapa buah buku di dalam sebuah beg jinjit, lalu bawalah ia ke mana-mana saja destinasi yang anda bergerak, waimmah ketika tidur sekalipun jangan ditanggalkan beg tersebut. Paling kurang 3 kilogram pun sudah cukup, agak-agak apa yang kamu rasakan?

Sudah pasti pertamanya rimas, terpaksa memegang beg sentiasa dan setiap masa.

Laginya, berat.

Lenguh sendi dan bahu.

Letih dan sebagainya penat yang akan terasa.

Sudah pasti mulut sentiasa merungut-rungut.

Tetapi seorang yang bernama ibu ini yang juga jantinanya seorang perempuan boleh melalui semua kerenah itu tanpa sebarang gundah atau sesal. Bukan sehari dua tetapi 270 hari bersamaan dengan 9 bulan tanpa rasa jemu, boring, tension dan sebagainya. Tidak pula ibu ini merungut-rungut kepada anak yang dikandung bahkan dibelai dengan kasih sayang walaupun yang hanya dia perolehi adalah sakit yang sentiasa menemaninya dan berhadapan dengan maut ketika kita mahu dinyawakan ke dunia.

Hebat bukan? Adakah kita laki-laki ini masih tidak mahu menganggap insan ini sebagai nyawa atau heroin kita?

_____________________________________________


Saya bukan seorang ayah, apalagi layak digelar serikandi bernama ibu, saya juga selamanya tidak akan boleh menjadi seorang ibu yang mampu merasai perit derita seorang yang bernama ibu, bonda, emak, mama, atau ummi, jauh sekali dapat melahirkan zuriat kerana saya bukanlah insan mulia yang dilahirkan sebagai wanita yang agung ini.

Tetapi saya mahu menghargai mereka ini dengan saya memahami jiwa juga perasaan mereka. Saya tidak ada jiwa seorang wanita, namun saya akan hidup dengan mereka juga suatu hari nanti, lalu saya dahulunya perlu menerokai insan-insan ini. Bermula dari ibu saya cuba memahaminya.

Malam tadi saya dapat melelapkan mata dengan lena walaupun seketika sahaja, kerana dedikasi sudah saya coretkan. Bukan untuk bonda saya seorang tetapi untuk semua wanita yang menggalas tugas seorang ibu.

Saya mungkin akan faham tentang mereka setelah saya dikurniakan seorang isteri dan cahaya mata nanti.

0149 am – seusainya, saya mahu berdoa untuk ibu pula.

Untuk read more, tulis di sini...
Baca Lagi...

Read more...

KONGSI KISAH: 2 TAHUN LALU, SAYA DI 'HALUANKAN'

>> Monday, October 12, 2009


Minggu Haluan Siswa 2007 di Mu'tah, saya bersama Team Work dinobatkan sebagai kumpulan terbaik.


Kalau ada yang bertanya mula-mula sekali, MHS itu akronim untuk apa? Jika di TV3 sinonimnya adalah MHI, iaitu Malaysia Hari Ini tetapi MHS ini jika diperingkat kita-kita sebutannya saja sudah di ketahuan umum, - MINGGU HALUAN SISWA.

Masa ini saya berpeluang menyibukkan diri saat pertama kali selepas 2 tahun saya tidak bersama-sama adik-adik baru tika di awal pengajian. Tahun pertama duhulu saya di ‘Haluan’kan, tahun lalu pula saya pulang ke tanah air. Lalu, tahun ini seperti keinginan itu disambut, oleh demikian peluang ini tidak saya lihatnya dengan sebelah mata, untuk itu saya awal-awal lagi sudahpun meninjau-ninjau jika ruang masih lagi luas diselakkan untuk saya. Tujuannya cuma satu saja – Ucap terima kasih atas ‘HALUAN’ yang dulunya pernah mendidik saya, saya bersungguh sangat mahu berkhidmat, itu saja!

Ada beberapa cerita pengalaman yang mengajar saya sepanjang hampir 4 hari berkampung di sana (University Yarmouk, Irbid), MHS bukan sekadar suka-duka atau memoir kecil, tetapi lebih daripada gedung ilmu yang tidak saya perolehi di tempat saya belajar (Mafraq).

Cara bekerja yang unik dan ceria,

Kredibiliti dan sisipan pengalaman yang bermakna.


Semua itu sempat saya kutip dan teladani dalam tempoh saya berkhidmat semasa berlangsung program mega tersebut. Saya tidak memikirkan pengalaman mereka yang menjadi titik tolak saya untuk berubah hala, tetapi saya amat mengagumi cara ‘orang-orang sana’ bekerja, bahkan mereka lebih hebat daripada saya dan kita-kita semua.


Analogi Suka Duka.

1. Kami bekerja dalam tempoh singkat yang sepatutnya tidak logik untuk melaksanakan tugas berat ini dalam masa masa yang terlalu mencemburinya. Hasilnya amat memuaskan dan seolah seperti sudah berbulan-bulan persiapannya.

2. Saya hanya bekerja dengan seorang teman tetapi tenaga yang saya perolehi ibarat 10 orang. Ramai yang ringan tulang membantu.

3. Walaupun di saat-saat akhir berlaku beberapa perubahan yang mendadak, tetapi ia mampu dilangsaikan dengan baik. Kesungguhan dan kerjasama kami dapat menghasilkan gabungan tenaga yang luar biasa.

4. Satu cabaran yang pertama kali kami lalui adalah kemampuan menyelia hampir empat ratus peserta serta AJK dengan bilangan Team work kami yang tidak sampai 20 orang.

5. Cerita asalnya adalah, program MHS ini seperti yang dirancang akan menggabungkan kesemua pelajar universiti mantiqah di seluruh Jordan yang bakal mengumpulkan hampir 600 orang siswazah, tetapi di saat akhir ia terpaksa dilaksanakan secara berasingan kerana berlaku masalah pada penempatan.

6. Di mu’tah, kami di khabarkan bahawa setiap perjalanan majlis pentas dirakam sepenuhnya oleh pihak universiti kerana pihaknya mendakwa bimbang berlaku perkara yang boleh memburukkan nama Negara mereka dan nama baik universiti.

7. Adalah pertama kali apabila dua program besar telah digabungkan. Apa yang menarik, Minggu Haluan Siswa kali ini di hujungnya telah disertakan dengan majlis hari raya yang cukup gilang gemilang.


Kadang-kala Kita ‘KALAH’ dengan Mereka.

Saya dan kawan-kawan sebelum ini bukanlah tidak pernah bekerja dalam mana-mana organisasi atau program, cuma belum sempat untuk memautkan bidang kerja bersama-sama profesionalis-profesionalis di Irbid secara sepenuh masa. Kalau adapun bukan selalu dan jarang kami dapat peluang bekerja. Tetapi kali ini saya mencapai peluang itu di MHS. Profesionalis yang saya ulahkan ini adalah – DOKTOR.

doktor-doktor yang ceria dan berbakat ustaz, Syafiq kawan saya (kanan sekali)

Bermula daripada diskusi gerak kerja sehinggalah ke arah skop pelaksanaannya, saya mencapai kepuasan bekerja yang maksima. Nilai penat saya amat berbaloi kerana ditampung oleh keceriaan dalam bekerja dan kematangan etika mereka. Saya terlalu optimis dengan idea-idea doktor ini sehingga semangat saya menjadi luar biasa untuk bekerja. Ini semua sikap mereka yang harus saya puji.

Pantas dalam gerak kerja.

Idealisitik yang relevan.

Berani dan bersungguh.

Etika dan keceriaan bekerja.

Saya tidak mahu menyebutkan dengan siapa saya bekerja dan siapa pula mereka-mereka yang saya anggap unik itu kerana mereka ini adalah orang-orang yang majoriti. Semuanya sama sahaja cara bertindak dan berfikir, sama hebat dan yang paling penting berani untuk bertindak secara positive thinking. – tidak kira lelaki atau perempuan, keduanya tidak dapat saya sangkal kehebatan mereka.

Di dalam mesyuarat lagi saya sudah memasang mata memerhatikan gelagat mereka bekerja, walaupun dalam kekalutan kami yang hanya diberi masa seminggu untuk melangsaikan tugas berat ini, tetapi dengan bantuan dan idea-idea bernas daripada golongan doktor inilah, kami mampu melangsaikannya dengan kejayaan yang harus kami banggakan. Singkat tetapi hasilnya sungguh tidak kami sangka. Saya melihatkan bahawa kesungguhan adalah nilai kejayaan yang pertama kami perolehi. Ia lantas mengajar saya agar memperlakukan yang terbaik dalam proses awal bekerja. Team work yang mereka bina amat mengagumkan saya dan saya terlalu serasi dengan mereka yang pandai menjiwai rakan sekerja.

Menariknya, idea mereka tidak pernah kering dan bersambung-sambung sehingga menjangkau ke tahap yang tidak sempat saya fikirkan. Mahu itu dan mahu yang ini, namun semuanya relevan. Tidak segan silu mencadangkan sesuatu atau melontarkan pandangan, kalau mahu dikira hampir banyak cadangan dan idea telah ditolak, tetapi terus-menerus memberikan pandangan. Ajaib sifat mereka ini.

Saya menulis dalam sisi saya sebagai seorang pelajar di bidang agama. Jika ada terdapat pandangan saya yang sedikit mengkritik kawan-kawan yang sama bidang dengan saya, anggaplah ia hanya untuk tegur-menegur dan asam penambah perisa buat anda bersama. Kerana kritikan ini adalah untuk saya juga.

Saya sejak dahulu amat suka memerhatikan sesuatu dan terus berfikir. Saya menghasilkan buah fikiran melalui pemerhatian saya sendiri. Saya seronok dengan tabiat demikian kerna manfaat yang saya perolehi dapat saya bandingkan dengan pemerhatian lain yang saya buat. Hasilnya saya banyak mengumpulkan pengalaman orang lain untuk saya bukukan sebagai panduan dan sempadan untuk hidup saya.

Sepanjang MHS, saya hanya memerhati, memerhati dan tidak jemu memerhati. Bukan sahaja gelagat tetapi seperti yang saya sebut adalah cara atau etika profesionalis ini bekerja. Bermula dari LDK (latihan Dalam Kumpulan) seterusnya hingga kepada pembentangan dan penyelaiaan slot-slot di dalam program tersebut.

Di dalam LDK, saya tertanya-tanya. Kenapa saya tidak nampak lagi ‘ustazah-ustazah atau ustaz-ustaz’ bersuara? Terus terang saya amat teliti dalam pemerhatian ini bahawa saya hanya melihat doktor-doktor yang banyak menyampaikan dan bersuara daripada ustaz atau ustazah. Kumpulan sana doktor sedang bercakap dan menerangkan sesuatu, kumpulan di sini juga begitu, di hujung sebelah pentas juga kelibat dokor sedang bercakap. Kadang kadang sahaja saya melihat ustaz atau ustazah ini hanya menambah-nambah perisa selebihnya hanya mengangguk-angguk tanda faham dan setuju serta senyap seribu bahasa. Mungkin mahu memberi peluang kepada doktor bercakap tentang agama – musykil saya!

Mana ustaz dan ustazah? Sudah tenggelam dengan arus kekuatan mereka yang bergelar doktor kah? Saya terus memerhati.

Respect dan kagum saya terus meninggi kepada seorang muslimat ini, saya tidak pasti itu siapa, tetapi dia bukan dari golongan adam, kerana saya melihat sendiri dan sempat menghadiri sesi slot muhasabah bersama peserta. Saya hanya masuk di hujung slot tetapi saya dapat merasakan seluruh isi slot tersebut. Insaf kerana cara pembawaan dan kagum dengan keberanian. Anda bayangkan, yang mengendalikan slot tersebut hanyalah seorang perempuan yang tidak malu berdiri di hadapan hampir dua ratus orang khalayak lelaki. Dan beliau mampu menyudahkannya dengan hasil yang terbaik dan memberi kesan terbaik untuk hati peserta juga saya. Saya berbual-bual dengan seorang fasilitator:

‘siapa tu?’

‘tak tahulah, kena tanya pada programmer. Tapi memang ana respect muslimat tu’

‘untunglah kamu di sini. Ana masih mencari muslimat yang macam tu di tempat belajar kami, tapi masih belum jumpa’


Semasa di dalam perjalanan pulang juga saya sempat berbual lagi dengan sahabat yang lain berkisar tentang muslimat tadi. Rupanya keberanian muslimat itu bukan saya seorang yang dapat rasakan tetapi rakan lain juga begitu.

‘Powerkan muslimat tadi? Berani ke depan’

‘di tempat kita tak ada lagi yang macam tu’


‘ada… tapi tidak seberani itu’


‘kita hanya hebat di gelanggang sendiri. Bila bersama yang lain atau orang luar, kita senyap dan lesu’

Saya tidak mahu melonjakkan pujian yang lebih kepada muslimat tadi. Tetapi sekadar mengambil tauladan baik daripadanya – iaitu BERANI.

Akhir pemerhatian saya, saya hanya mematikan ulasan saya yang kita (golongan agama) bukan saja sudah pudar kewibawaan seorang agamawan tetapi kalah juga dari segala sudut. Doktor sekarang sudah mulai pandai bercakap tentang agama bahkan lebih hebat daripada itu. Tidak perlu saya katakan tentang doktor yang lebih hebat bersuara daripada ustaz/ustazah, jauh dari sudut yang lain kita mula-mula lagi telah kalah dari segi imej. Soal berani ke hadapan jauh sekali, kita juga kalah.

Yang ke kuliah dengan berpakaian baju melayu juga berketayap, sebahagiannya di kalangan doktor, tetapi yang berseluar jeans ke kuliah lagi bergaya rambutnya, banyak yang dilihat adalah ustaz-ustaz. Saya tidak melarang pun jika mahu berpakaian begitu, tetapi sekurang-kurang kalau mahu berimejkan sedemikian jangan sampai tertinggal atau hilang langsung imej seorang agamawan. Kerana itu adalah izzah.

Saya cuma berharap agar izzah dan kekuatan ini akan kembali kepada saya dan kami di golongan agama ini. Kalau boleh mahu berdiri sama hebat dengan golongan profesionalis.

Saya kagum dan malu dengan mereka.

Mereka hebat.

Untuk read more, tulis di sini...
Baca Lagi...

Read more...

HATI GULANA KALAU BERDOSA

>> Monday, October 5, 2009


Soalan: Apa itu Dosa, apa pula Pahala?

Amat mudah mengenali dua perkara ‘sinonim’ ini, namun ianya tidak pernah akan sekali dan terus berbeza. Tetapi jarang sekali manusia mahu mengambil salah satu daripadanya dan meninggalkan satu daripadanya. Apa yang terjadi Pahala sering diabaikan dan menjadikan dosa sebagai kesedapan serta ditunggang untuk menurut hawa nafsu. Pahala, apa saja kebajikan yang digariskan syara’ serta disuruh untuk diamalkan adalah berupa ganjaran yang baik. Sebaliknya dosa, segala apa larangan yang ditegah oleh ALLAH daripada melakukannya.


Soalan: Bagaimana mahu mengenal Dosa dan Pahala?

Ada beberapa jalan mudah untuk mengenali dosa dan pahala ini, dan Nabi saw pernah memberitahu sifat dan naluri jika kita mahu mengenalnya. Kata Nabi saw: ‘Apa sahaja yang kita lakukan jika hati merasakan tidak tenang dan kita malu untuk menunjukkan di hadapan manusia tentang perbuatannya itu adalah dosa. Sebaliknya apa sahaja perbuatan yang hati merasakan tenang untuk melaksanakannya adalah berupa jalan kepada pahala’ . itu jalan mudah untuk mengenal dosa, hati akan rasa tidak damai dan gundah jika melakukan dosa kerana fitrah hati mahukan yang baik-baik sahaja. Percayalah, hati anda tak akan pernah menipu walau sekali, walau anda memaksanya hati tetap katakan yang benar sahaja.


Soalan: Betulkah hati sukakan yang baik?

Dalam banyak-banyak anggota yang tuhan jadikan, semuanya mungkin boleh menipu dan tertipu oleh hawa nafsu. Tangan misalnya boleh mencuri, kaki pula boleh membunuh dan sebaginya. Hati bukan itu sifatnya. Kerana itu hati menjadi rebutan oleh Syaitan, Nafsu dan Malaikat supaya dapat menguasai anggota badan. Nabi pernah menyebut: ‘jika baiklah darah itu, maka baiklah seluruh anggotanya, jika buruk maka akan buruklah anggotanya. Dan seketul darah itu adalah Hati’ Anda boleh melihat, bila hati sudah ditutup dan dihalangi dengan kotoran hitam, maka Hati sudah tidak lagi mampu menyalurkan kuasa kebaikkannya ke seluruh anggota badan, lalu jadilah manusia tadi terjerumus ke lembah yang tidak baik. Hidup penuh dengan dosa dan tidak nampak jalan kebaikkan selagi hati tidak dibersihkan. Percayalah, walaupun kita sedang melakukan kesalahan dan keburukkan, ketika itu pasti akan ada sekelumit rasa tidak tenang dan rasa bersalah di dalam hati.


Soalan: Kenapa Hati suka pada kebaikkan?

ALLAH taala ciptakan Hati untuk mengawal manusia dan mengajak manusia kepada kebaikkan. Fitrah hati dan manusia adalah sukakan kepada kebaikkan. Suka yang indah, suka yang bersih, suka yang tenang dan banyak lagi perkara baik yang menjadi kesukaan hati, kerana hati itu fitrahnya suci. Sebab itulah telah terbukti, apabila seorang manusia yang berdosa dan mencari kebenaran ia akhirnya akan kembali ke jalan yang baik kerana dia menurut hati. Ketika dia melakukan kejahatan dahulu, hati tidak akan putus-putus menyuruh supaya jangan melakukannya dan segera kembali semula kepada kebaikkan. Hati itu baik maka ia akan kembali kepada kebaikkan. Seorang pencuri yang kerjanya mencuri sepanjang hayat pastinya tidak mahu anak-anak atau keturunannya menjadi seorang pencuri juga sepertinya, kerana dia tahu perbuatan mencuri itu tidak baik dan berdosa.


Soalan: Ada manusia yang selesa melakukan dosa, setiap hari dia tidak merasa bersalah dan seronok melakukannya. Apa sudah terjadi pada hati mereka?

Kalaulah ditanyakan pada hati, adakah hati mahu berbuat dosa? Pasti hati akan menangis dan menolak sekeras-kerasnya untuk terjebak kepada dosa, apatah lagi bersekongkol dengan perbuatan itu. Bila selalu melakukan dosa, hati sikit demi sedikit akan dijangkiti penyakit. Jika tubuh badan ibaratlah seperti kudis dan luka-luka. Semakin hari semakin parah sehinggalah hati menjadi kritikal dan tidak mampu lagi menguasai dan menyalurkan naluri kebaikkannya ke seluruh anggota badan. Ketika itu, manusia akan mula terpesong kerana sudah hilang kawalan diri, dan juga hilang pedoman untuk melakukan kebaikkan. Ketika hati sudah semakin parah, manusia tidak lagi akan rasa berdosa bila berbuat dosa dan selesa melakukan kejahatan sedangkan hati ketika itu meronta-ronta mahu supaya kita kembali ke jalan yang benar.


Soalan: Hati juga sakitkah? Apakah ubatnya?

Hati juga seperti anggota tubuh yang lain. Setiap hari perlunya kepada makanan dan minuman. Jika perut, tangan, mata, kaki, hidung dan lain-lain anggota perlukan makanan maka hati jua begitu. Anggota yang tidak diberi makanan harian serta ubat ketika sakit, maka ianya akan terus menjadi tidak sihat dan akhirnya akan mati. Hati yang tidak sihat dan lemah itulah akan diserang dengan penyakit seperti malas, kedekut, tamak, dengki, pemarah, dan lain-lain sifat Mazmumah. Jangan berikan sifat Mazmumah ini menguasai hati manusia kerana ia amat sukar untuk dibuang dan diubati jika tiada kesungguhan. Ubat hati yang sakit adalah mudah jika sebelum ianya menjadi sakit kita sudah mula mencari punca-punca penyakit dan segera mengubatnya. Ubat yang mudah adalah selalu berzikir kepada ALLAH taala. Jika mampu yang lain, boleh melakukan amal kebajikan pada setiap hari. Apa yang terpenting untuk ubat bagi hati adalah memohon ampun kepada ALLAH selepas melakukan dosa samada ketika sengaja ataupun tidak iaitu istighfar. Juga tidak salah jika mahu beristighfar setiap hari walaupun tidak melakukan dosa.


Jagailah Hati kerna Hati itu lembut dan suci fitrahnya, Usah sampai hati berkubur dengan noda yang menutupi pusaranya, Bajai hingga subur dan tumbuh menjalar di segenap liang roma, Hati tahu, jika naluri merasa resah, Hati gundah, jika berlarutan dengan salah, Hati tenang, jika lahirnya adalah fitrah, Fitrah itulah suci wadahnya. Sucikan hati dengan Istighfar, Lembutkannya dengan zikrullah, Basahkan dengan sifat Mahmudah.


p/s: cinta dan hati selalu disinonimkan, mengapa ya? berhati-hati mendidik hati...
Untuk read more, tulis di sini...
Baca Lagi...

Read more...

JANGAN BERJANJI, KITA AKAN BEREHAT ESOK!!

>> Friday, October 2, 2009


‘Syafiq, ana ingat kita kena buat pembaharuan sikit dalam sesi kita tahun ini, apa pendapat anta? Ahli-ahli kita pun nampak sudah semakin komitmen,’ cadangan itu Syafiq perolehi daripada Presidennya dua hari lepas. Dalam kepalanya masih berfikir-fikir tentang itu. Sungguh banyak perkara yang dicadangkan oleh tuan Presiden. Semuanya memerlukan kerja sepenuh masa oleh Syafiq. Komitmen dan tanggungjawab. Kali ini, kepercayaan diberi terus sepenuhnya kepada Syafiq. Lalu, maksudnya dia bakal berhadapan dengan segala kerja berat.

‘Esok mesyuarat Ahli Majlis Eksekutif, anta dah maklum ke Syafiq? Cuma 2 paper work program terdekat tu anta dah siapkan?’ semalam juga baru Syafiq teringat mengenai kertas kerja yang masih tertangguh. Program Seminar Motivasi dan kursus Usahawan Berjaya. Jangankan tajuknya, Laptop pun masih tidak dinyalakan semenjak semalam. Baru hari ini dia menjejakkan kaki ke rumah selepas semalaman membuat kerja luar kampus, menguruskan teknikal dan persiapan program terdekat. Turun ke bandar mencari keperluan asas program. Tugas luar kampus semalam selesai walaupun terpaksa menahan kehendak tidur. 2 jam sudah memadai baginya. Jarinya terus menaip. Menyudahkan kertas kerja yang masih berbaki 60 peratus siap walaupun jam sudah ke angka 3 pagi.

‘Syaf, esok kau free ke? Temankan aku ke pekan. Ingat nak pergi bayar bil dan cari kitab-kitab,’ rakan sekuliahnya menyapanya ketika usai kuliah petang itu. Baru saja Syafiq mahu ke Kantin sudah disapa dahulu.

‘Emm! Maaflah Azmi, aku ada meeting pagi esok. Kalau petang bolehlah kot,’ Sungguh berat saja Syafiq mahu menolak pelawaan kawannya tadi. Menolak beerti mengguris hati seseorang. Itu bukan sahabat biasanya, tetapi boleh dianggap karib. Rakan bersembang dan study group. Lantas, terus difikir-fikirkan masa lain untuk tidak menolak pelawaan tadi, selepas mesyuarat! Tidak kisahlah walau penat sedikit.

‘Petang pun petanglah, esok aku call semula. Thanks Syafiq!’ rakan tadi berlalu dengan hati yang seronok. Azmi tahu Syafiq jarang sekali menolak jika diminta menolong. Itu saja kelebihan yang Azmi nampak pada Syafiq. Kadangkala Azmi juga segan, tetapi mahu buat bagaimana, orang lain semuanya sibuk.

‘Ada apa senyum-senyum ni Yusuf? Ana tahu sangatlah kalau senyum kambing macam ni, maksudnya ada hajatlah tu. Ha, beritahulah ana,’ cepat saja Syafiq menduga rakannya.

‘Permintaan ni Syaf. Untuk program Sukaneka tu belum ada lagi Ketua Unit Programnya, ana ingat nak lantik anta saja yang jadi ketuanya. Itupun kalau anta sudi,’ sudah dijangka awal-awal lagi dalam kotak fikiran Syafiq. Dari gaya sahabatnya ke rumahnya tadi sambil memegang kertas kerja dia sudah dapat mengagak.

Syafiq diam seketika, mengukir senyuman walaupun hatinya berat mahu menerima. Bukan saja-saja mahu menolak, tetapi kerja-kerja di belakangnya masih berbaris menunggu giliran untuk ditouch-upkan.

Semuanya berstatus IN PROGRESS!! Hampir sepuluh kerja begitu statusnya.

‘Oh yeke? Bukan macam tu Kamal, ana pun masih banyak kerja yang tak siap lagi. Minggu depan nak kena hantar. Pendapat ana, kalau ada orang lain lebih molek. Macam mana?’ Syafiq beralasan dengan harapan dia mendapat pengecualian. Tapi dia pasti kecenderunagn itu hanyalah sia-sia.

‘Ana dah puas cari. Tapi tak ada menerima. Yang ana minta semuanya tarik diri. Ada kerjalah, malulah. Please Syaf, anta sorang je lagi,’ Sayu saja hati Syafiq mendengar luahan Kamal tadi. Syafiq tahu, betapa sukarnya menjadi seorang pengarah bagi satu-satu program, mahu mencari ketua-ketua unit, mahu mengendalikan mesyuarat, mahu menyiapkan kertas kerja program, mahu mencari dana lagi dan mahu macam-macam untuk perlaksanaan yang terbaik bagi program. Syafiq sudah lalui semua itu sejak diawal penglibatannya di medan kampus, hampir 5 tahun sehingga kini. Syafiq tahu amat susah bila mahu mencari Ahli Jawatan Kuasa yang mahu bekerja untuk program, apatah lagi menjadi ketua unit. Syafiq amat faham perasaan pengarah jika seorang yang mahu dilantik sebagai ketua unit tiba-tiba menolak jawatan itu, frust!!

Syafiq senyum lagi, namun di sebalik senyumnya ada keletihan yang tidak siapa tahu, waimmah Kamal sekalipun. Syafiq tahu, permintaan dan kehendak Kamal mesti dituruti. Itu bukannya kemahuan Kamal tetapi persatuan. Sedari dulu lagi, Syafiq amat sukar bermain dengan ‘perasaan’ persatuan, sedih persatuan adalah juga sedih baginya, susah persatuan adalah susah buatnya. Syafiq sudah serasi dengan komuniti yang bernama persatuan, ibarat sudah menjadi darah dan juga dagingnya.

‘Oraitlah! Kalau sudah macam itu keadaannya, ana terima. Tapi dengan syarat, carikan timbalan ana yang baik-baik ya, jangan yang garang-garang, nanti kalau ana pengsan anta yang kena angkat ana,’ Syafiq berjenaka menyedapkan hati Kamal juga hatinya. Satu lagi tugas diambil dan disandang. Dia mengeluh seketika, tetapi tidak mahu sampai merungut, dalam-dalam dia menyedut udara baru cuba mencari nafas keikhlasan.

Mesej dan SMS yang diperolehi siang tadi mematikan mood Syafiq untuk menyudahkan Assignment yang sepatutnya dihantar dua hari lagi. Dua hari Syafiq adalah dua jam saja masanya, kerana ditimbuni dengan kerja-kerja lain. Kalau masa yang terpaksa terluang ini tidak disiapkan Assignment itu, bermakna dia bakal mencari nahas. Markahnya untuk kerja kursus akan dilayangkan begitu sahaja. Tetapi moodnya sehingga sekarang tidak lagi kunjung tiba. SMS petang tadi masih lagi terbayang-bayang.

‘SALAM USTAZ. KENAPA USTAZ TAK BERITAHU YG USTAZ X SEMPAT NAK SIAPKAN SENARAI NAMA2 TU? MINTA USTAZ DAPAT BERI KOMITMEN. ANA HARAP USTAZ DAPAT SIAPKAN DALAM MASA TERDEKAT INI. MAAF KALAU MENYUSAHKAN’

HATI Syafiq agak terluka dikatakan sedemikian rupa sedangkan banyak sudah komitmen yang diberikan dan dikorbankan hanya untuk persatuan. Masa belajar dikurangkan, masa tidur dihad-hadkan, masa bersembang untuk rakan-rakan dibataskan sedang itulah ruang penghilang tekanannya, banyak lagi masa yang penting-penting dan tidak penting dibuangkan semata-mata mahu melahirkan rasa ambil beratnya terhadap persatuan, itupun masih lagi dicerca sebagai tidak komitmen. ‘Tidak mengapa’ kata hati halus Syafiq, biar ALLAH saja yang menilaikan komitmennya nanti.

Akhirnya dia menoktahkan perbualan SMS siang tadi dengan berkali-kali lafaz maaf, Syafiq tahu itu kesilapan yang mesti diakui. Walaupun ketika tidak bersalah, maaf itu bukan susah untuk diucapkan. Maafkan atau memaafkan, itu etika Syafiq dalam bekerja. Yang penting jangan susahkan hati manusia. Syafiq mengalih duduknya, mencari kembali semangat. Mencapai sebatang pen lalu memulakan kembali kerja assignment.

‘Kita ada bisness baru ni Syaf! Kau kena tolong aku minggu depan. Banyak kerja kita nak kena setlekan. Tapi ganjarannya lumayan,’ sapa seorang rakan karibnya. Sejak tahun pertama lagi Syafiq dan Thaqib tidak pernah keseorangan dalam team work. Kalau Syafiq ada keuntungan maka keuntungan itu pasti dikongsi berdua, tetapi dengan syarat kepenatan dan keletihan pasti terlebih dahulu perlu dikongsikan. Jawabnya, kerja berat bakal mendatang lagi dan digalas!

‘Apanya tu? Nampak macam durian runtuh je,’

‘Jualan Gerai. Aku ingat nak jual makanan. Jadi kau kena tolong aku memasak,’ Syafiq tidak terkejut tetapi sudah tahu lebih awal. Kali ini, dia tidak dapat menolak lagi, kerana sudah dua kali dia menolak permintaan rakan baiknya itu. Terus saja Syafiq menyatakan persetujuan walaupun hatinya berat berkata mahu menolak.

‘OK! Kau punya permintaan apa saja aku turuti,’

Sepi.

‘Syaf. Malam ni kau free tak? Nak minta tolong sikitlah,’

‘Malam ni aku ada Usrah dengan adik-adik baru di Kolej Melati. Kenapa ya Azrul? Ada apa-apa yang aku boleh bantu?’ Soal Syafiq. Mudah-mudahan kerja ringan saja yang yang bakal mendatang. Duga Syafiq.

‘Nak bincang tentang taqwim sikit, aku ni tak berapa mahir bab-bab nak merangka taqwim. Kau ada pengalaman sikit’ terang Azrul, sekarang dia menjawat jawatan Ketua Kelab Kebudayaan dan Kesenian Islam di Kampus tempat dia dan Syafiq menuntut. Tanggungjawab merangka aktiviti Kelab itu diletak di bawak pengendalian Azrul.

‘Oh yeke? Kalau sekarang kau busy tak? Kalau free boleh kita create sikit-sikit dulu. Yang lebihnya aku akan complete kan,’ akhirnya, Syafiq terpaksa mengiyakan saja permintaan Azrul tadi. Rancangannya untuk ke pekan mencari barang-barang keperluan dapur dan belajar petang itu ditangguhkan ke hari yang dia pun belum pasti bila.

‘Syaf nak tanya sikit ni. Tapi anta jangan marah ya,’

‘Insyaallah tak marah. Apa dia? Tanyalah, banyak pun tak mengapa,’

‘Jadi ke anta nak bertunang hujung tahun ni?’ ‘Isyy! ke situ pula perginya. Ingatkan soalan apa tadi, rupanya cepu emas,’

‘Laa..kata tak mahu marah?’

‘Ehh, ana marah ke ni? Sory-sory. Anta punya soalan tu susah ana nak menjawabnya, terkejut adalah. Tengoklah macam mana, ada rezeki adalah. Lagipun buat apa nak tunang-tunang ni, kahwin je terus, tak begitu?’

‘Ewah-ewah. Kita tanya sikit, dia dah berangan jauh,’

‘Tak adalah gurau-gurau dengan anta. Calon pun belum comfirm lagi, macam mana nak betunang, huhu,’

‘Cakaplah macam tu, nanti jadi betul-betul baru tahu,’ kedua-duanya berderai ketawa.

Kadangkala Syafiq merasa lucu, kesibukkannya bekerja sehingga melupakan seketika akan masa depannya. Hingga yang mengingatkannya tentang itu adalah sahabat-sahabatnya, iaitu hasrat mahu membina masjid. Selalu saja dia memikirkan soal itu, tetapi belum sempat mencari ruang untuk serius dalam hal kahwin, mungkin kerana terlalu sibuk atau dihujani dengan kerja yang pelbagai lalu ruang dan peluang memikirkannya menjadi terbatas, akhirnya terus menjadi lupa begitu sahaja. Puncanya hanya terlalu sibuk.

Sesekali dia juga ada terfikir, bagaimana jika selepas berkahwin nanti dia bakal menjalani kehidupan dalam kesibukkan yang lebih dua kali ganda berbanding sekarang. Bagaimana keadaan dan hati bakal isterinya jika kesibukkan itu menjadikan dia terpaksa meninggalkan rumah dan insan tersayang, isteri dan juga anak-anak. Oleh itu, masa sekarang inilah dia mesti bijak membahagi masa dan kerja. Syafiq tersenyum sendirian. Dia mungkin tidak kisah dengan keadaan yang akan mendatang itu, kerana ada pepatah yang masih dipegang hingga kini: ‘Sayang isteri tinggal-tinggalkan’

Kerja dakwah memerlukan banyak pengorbanan. Tidak kira perasaan diri atau kesusahan diri. Semua itu ertinya pengorbanan. Kurangkan kehendak untuk diri dan berikan pada orang lain, itu juga bentuk pengorbanan.

Sedang tekun dan khusyu’ Syafiq mengulang kaji dia disapa. Final exam sudah semakin hampir, rasanya lagi 4 hari. Semester ini sahaja bagi Syafiq terpaksa menduduki sebanyak 6 kali exam bagi subjek-subjek penting. Kali ini juga penentu untuk menaikkan nilai pointernya yang agak menjunam pada semester lepas. Harapannya dia boleh buat yang terbaik!

‘Tengah study ke? Maaflah menganggu kau. Nak minta kau ajarkan aku subjek Fiqah. Susah benar nak faham. Agak-agak ada masa tak malam ni?’ Perlahan-lahan Syafiq meletakkan pen serta buku teksnya. Baru setengah jam sahaja dia sempat menumpukan perhatian pada subjeknya. Baru saja dia mahu menyambungkan sudah ada yang menegur. Masih ada baki setengah buku yang perlu dilangsaikan, jika tidak………………

‘Oh ya! Apa salahnya. Mana yang aku boleh tolong aku tolong,’ Syafiq menyambut saja pelawaan juniornya. Anak muda itu perlu dibimbing, jangan kisahkan tentang kesusahan diri dahulu ketika itu, orang mahu pertolongan mesti dibantu. Lagipun bukan kerja berat, mengajar sahaja. Akhirnya, malam itu pengajiannya dan niat mengkhatamkan sebuah buku terbantut untuk kali kedua. Dia menyimpan buku, berdoa moga esok masih punyai masa dan diluaskan ruang untuk diri.


______________________________________________


Malam itu tidurnya sengaja dilewatkan, selepas Maghrib tadi dia terlelap seketika selepas balik daripada stesen bas menjemput rakan-rakan yang baru pulang bercuti. Hari ini seharian dia bekerja, hanya sempat singgah bersembahyang untuk mencuri masa rehat. Sedari pagi dia keluar dari kolej kediamannya sehingga lewat petang baru kembali.

Dalam menungnya malam itu dia mula berfikir-fikir, sungguh unik Tuhan yang mentakdirkan dia hidup begini. Hidup dalam kesibukkan yang sentiasa menggembirakan hatinya, kekalutan dan pengorbanan masa yang amat memberikan ketenangan pada jiwanya. Masalah dan tekanan adalah sahabat karibnya yang sentiasa mengekori, selepas satu, satu yang lain pula akan datang. Tetapi dia pelik, masalah dan tekanan itu sentiasa membuatkan dia tersenyum dan ketawa. Bukan masalah dan tekanan untuk dirinya sahaja yang perlu dilalui, tetapi masalah orang lain juga dia terpaksa hadapi.

‘itulah hidup. Banyak pengorbanan yang tidak harus aku tolak ke tepi,’ luah Syafiq.

Pada Syafiq, prinsipnya tak akan pernah berubah. Menjaga dan menghiburkan hati orang adalah pegangannya sejak dahulu lagi. Kegembiraan orang lain adalah kegembiraan dirinya ketika sedih. Bagaimana pula jika diri terguris? Biar diri terguris, jangan mengguris perasaan dan hati manusia. Tuhan jauh sekali.

Dulu pernah dia ditanya seorang sahabat sejati, ‘Tak penatkah ke sana ke sini semata-mata untuk orang lain? Dengan rendah diri Syafiq menjawab: ‘Entahlah, rasa gembira bila dapat gembirakan orang lain’ itu prinsip Syafiq. – memberi bukan untuk menerima.

Dia masih ingat pesan seseorang, bagi Syafiq itu sebuah amanat yang sungguh keramat: ‘bantu orang lain, nanti Tuhan akan mudahkan urusan kita’. Hingga sekarang kata-kata itu disimpan sebagai penguat ketika putus harapan dan keletihan. Kurniaan Tuhan memudahkan urusan seseorang lebih bermakna ertinya daripada nilai sebuah kepenatan atau keletihan. Itulah Nikmat tanda sayang.

Adakala dia pun tidak sudah memikirkan kudratnya. Walaupun dalam kesibukkan dia masih lagi dikurnia kekuatan. Kekuatan berupa ketabahan menghadapi sesuatu dan ketenangan mendepani resah hidup. Semua itu sudah dia lalui.

Syafiq menyudahkan bait-bait akhir diarinya. Esok dia akan bergerak ke Kolej seawal 6 pagi. Kerja persatuan, kerja kursus subjek dan lain-lain kerja luar mesti dilangsaikan sebelum buka semester baru yang hanya berbaki seminggu. Cuti sebulan kali ini bukanlah rehat baginya meskipun itulah yang direncanakan di awal-awal percutian, dia tidak hampa tetapi seronok kerana cutinya diisi dengan kerja-kerja membantu persatuan dan kebajikan. Jalan pahala itu sungguh banyak terbentang, dia harus mengambil peluang sebelum mata dipejamkan.

Esok atau lusa, dia belum pasti bila akan tiba waktu rehat untuknya. Kalau ada, dia harus bersyukur, jika tiada dia perlu redha. Redha dan syukur adalah pengorbanan yang mententeramkan hatinya. Dia bangkit, menuju ke bilik air. Ibadah malam seperti kebiasaan jangan ditinggalkan meski keletihan terlalu mencemburuinya.

Berdoa agar ALLAH sentiasa menilai dan menerima amal kebajikannya selama dia berbakti. Amin!

Untuk read more, tulis di sini...
Baca Lagi...

Read more...

About This Blog

Lorem Ipsum

kunjungan anda

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP