Tidak ada penggunaan ayat quran dan hadith di dalam penulisan (artikel) blog anda, mengapa?


Seawal pembabitan saya dalam penulisan blog ini, saya tidak berniat untuk menulis berkenaan perkara-perkara yang berkaitan dengan hukum-hakam agama, mengistinbat ayat-ayat Quran dan lain-lain yang berkaitan dengan hukum syariat. Tetapi sekadar menulis dengan beberapa pandangan dan komentar yang biasa-biasa sahaja, dengan bahan bacaan yang santai dan ringan untuk tatapan pembaca yang inginkan keterbukaan (dengan had dan batasan) dan kerehatan minda.

Justeru itulah, apa yang saya cuba hidangkan kepada pembaca adalah bacaan yang tidak berkaitan dengan hukum-hakam agama, agar saya tidak tersalah tafsiran dan terlajak dalam mengeluarkan pendapat. Oleh itu, artikel saya hanyalah berkait rapat dengan pandangan peribadi, isu semasa, muhasabah diri dan nasihat serta teguran membina untuk semua. Maka, target utama saya dalam penulisan blog ini adalah setiap pengunjung yang melawati blog saya adalah terdiri daripada semua golongan terutama sekali dari golongan non-muslim. Supaya dalam saya menyampaikan mesej dakwah kepada golongan Muslim, mereka juga (non-muslim), boleh turut sekali menerima dakwah Islam yang saya ketengahkan. Jadinya saya ketepikan sementara dalam penggunaan ayat-ayat Quran dan Hadis di dalam penulisan saya tetapi mengetengahkan huraiannya sahaja dengan sebab-sebabnya sekali. Agar pembacaan ini dapat diterima oleh “mereka”.

Mengetepikan penggunaan kedua-dua sumber tadi seolahnya saya tidak mengiktiraf kedudukan al-Quran dan Hadis nabi, benarkah begitu? Anda semua tentu lebih mengenali dengan Ahmed Deedat? Seorang tokoh terkenal dalam pendebatan dengan paderi-paderi kristian. Beliau tidak menggunakan dalil-dalil quran sebagai hujah utama beliau, tetapi sekadar mengadaptasi BIBLE sebagai pematah hujjah paderi-paderi krisrtian. Adakah beliau mengetepikan Quran dan Hadis? Tidak sama sekali, tetapi berdakwah menggunakan method dan suasana mad’u yang lebih memerlukan cara itu pada ketika itu. Pernahkah anda terfikir? Seorang non-muslim yang tidak tahu apa-apa langsung tentang agama Islam tiba-tiba anda menyampaikan setiap dakwah anda dengan ayat quran dan Hadis? Bagi saya, method itu adalah salah sama sekali. Andalah seharusnya mengeluarkan kefahaman quran terlebih dahulu dan diterjemahkan dalam kefahaman mad’u tadi, bukan dengan membaca ayat quran sebiji-sebiji.

Dalam aspek yang lain pula, saya cuba menggabungkan hasil item-item keagamaan dan prinsip-prinsip sunnatullah sebagai hujah dan dalil di dalam setiap penulisan (artikel) saya, bagi membuktikan kebenaran yang terkandung di dalam al-Quran adalah selari dengan fitrah manusia tidak kira dari segi aspek logik akal atau lain-lain pemikiran. Bukan saya mengetepikan kedua-dua sumber utama itu (al-Quran dan Sunnah), bahkan sebelum menulis sebuah artikel bahan itulah yang mula-mula saya rujuk. Kemudian saya olah dengan sedikit (hasil research) dan kajian saya. Melalui ayat Quran dan mafhum hadis, dari situlah saya mengadaptasi beberapa kesimpulan yang saya tulis sebagai hujah di dalam artikel saya.

Mungkin cara penyampaian saya sedikit berbeza dengan anda semua, tetapi itulah yang mahu saya sampaikan kepada audience supaya kedua-dua belah pihak (pembaca beragama Islam dan juga bukan Islam) mampu berfikir bahawa apa yang berlaku itu bukan sahaja yang terkandung di dalam al-Quran sahaja, tetapi seiring dengan fitrah manusia dan logik akal.

Sebagai contoh, seorang bertanya, mengapa Khinzir itu haram dimakan? Bagi sesetengah golongan agama yang biasa-biasa amat mudah untuk menjawab persoalan ini, hanya dibacakan sepotong ayat quran dan beberapa pendapat ulama, maka akan terjawablah ia, dan mereka yang menjawab soalan tadi sudah dipandang hebat. Namun jauh di sudut itu dia jahil dari segi ilmu sunnatullah yang lain. Bayangkan anda ditanya soalan yang sama tetapi oleh orang yang berbeza, seorang yang non-muslim? Ayat quran mana yang anda mahu bacakan? Hadis mana yang anda boleh berikan supaya dapat menjawab soalan tadi dan memahamkan seorang bukan Islam itu bahawa pengharaman Khinzir oleh ALLAH taala adalah bersebab? Makanya perlu kepada jawapan yang lain. Bahawa pengharaman khinzir itu kerana beberapa faktor kuman yang terkandung di dalam daging khinzir tersebut, yang mana kuman tersebut amat merbahaya dan tidak dapat dimusnahkan. Tidak semua orang yang terlintas untuk memberikan jawapan sebegini.

Ternyatalah, jawapan saya sebegini bukanlah mengetepikan nas-nas al-Quran mahupun mana-mana Hadith Nabi saw sebagai rujukan, bahkan niat saya untuk mengangkat darjat kedua-dua sumber itu dengan cara mengetengahkan sebab dan huraian sebenar tentang pensyariatan ALLAH taala, sebab apa ianya dilarang dan ditegah, juga sebab apa pula ianya disuruh kita lakukan. Sejujurnya, saya bukan menolak al-Quran dan sunnah, tetapi sebagaimana yang saya jelaskan di atas, kedua-dua itu adalah rujukan utama saya, cuma apa yang berbeza adalah cara huraian dan olahan saya di dalam artikel yang saya tulis, itu sahaja. Ataupun lebih mudah saya istilahkannya sebagai METHOD dalam penyampaian.


Sesetengah orang gemar menggunakan nama samaran dengan mengambil nama para sahabat, golongan ulama dan tokoh-tokoh tertentu sebagai nama pena mereka, tidak kira di dalam email, blog dan lain-lain. Anda?

Peribadinya, saya tidak gemar menggunakan nama samaran dengan meletakkan nama-nama daripada kalangan ulama, para sahabat, dan orang-orang yang mulia sebagai nama pena saya, kerana takut serta bimbang orang yang empunya nama tadi mendapat tempias buruk di atas keburukkan feel dan kelalaian saya sendiri, tetapi cukup saya menjadikan mereka sebagai ikon dan idola saya. Meminjam nama ‘mereka’ seolah-olah kita meminjam identiti mereka juga, begitu juga jikalau meletakkan nama al-Farouk sedangkan diri kita tidak seperti itu, tidakkah nama yang dipinjam itu mendapat fitnah? Dengan kata lain, gelaran juga pada sesetangah kefahaman akan membawa maksud sikap, imej dan identiti. Kerana itulah kita lebih suka mengambil gelaran yang baik-baik sahaja kerana semua tahu sekiranya mengambil gelaran yang tidak baik maka kita secara automatik akan di cop sebahagian daripada nama itu. Kenapa tidak ambil gelaran Namrud dalam nama samaran? Kerana orang semua tahu namrud itu seorang yang derhaka dan jika menggelarkan diri dengan nama itu, maka tanggapan orang kepada kita adalah seperti perangai namrud juga.

Jauh dari sudut itu, niat saya bukan untuk menghalang anda daripada menggunakan nama pena sedemikian, tetapi mengajar semua supaya berhati-hati dan menjaga gelaran yang digunapakai itu dengan cermat. Kalau mengambil nama al-Farouk jadilah seperti al-Farouk janganlah pula sebaliknya. Kalau mengambil nama Az-Zahra’ berusahalah menjadi seperti kelembutan Az-Zahra’. Anda bebas menggunakan apa sahaja nama yang anda minati dengan syarat anda tidak mendatangkan fitnah dan keburukan kepada nama yang anda pinjam tadi. Saya bimbang, di akhirat kelak akan dituntut oleh tuan punya nama disebabkan kelalaian anda.


Sebagai seorang pelajar yang berpendidikan dan berjurusan di dalam bidang agama, lazimnya memilih pasangan hidup di kalangan mereka yang juga belajar agama, namun anda bagaimana pula?

Soal sekufu dalam perkahwinan telah saya tulis dalam artikel yang lepas. Tidak semestinya seorang doktor mesti berkahwin dengan seorang doktor semata-mata kerana mahu menjaga status dan maksud sekufu. Penyalahgunaan makna sekufu yang menganggap sekufu adalah ‘sama’ bagi saya adalah tidak tepat. Mengambil sedikit kupasan daripada artikel yang lepas berkenaan isu sekufu, ianya boleh juga membawa maksud pelengkap kepada pasangan hidup. Sekiranya seorang yang berjurusan agama itu berkahwin dengan seorang yang lain bidangnya (bukan agama) dan mereka mampu memahami di antara satu sama lain, dan yang paling utama mereka mampu melengkapi dalam mengisi dan menampung kelemahan serta kekurangan suami isteri, itu sudah dikira sekufu juga maknanya.

Siapapun calon pasangan hidup saya, ianya tidak menjadi masalah utama kepada saya untuk membuat pilihan, tidak kiralah dia seorang doktor mahupun ustazah saya menerimanya sebagai jodoh yang sudah ditentukan ALLAH. Cuma bila ditanya dengan soalan sebegini dan juga diberi pilihan memilih, saya lebih mudah menjawab untuk memilih calon di kalangan orang biasa-biasa sahaja (maksud saya bukan dari bidang agama), dan dengan pilihan itu saya rasakan sudah hampir sekufu bagi saya. Saya lebih suka dan serasi mencari pasangan di kalangan orang yang tidak berpendidikan agama tetapi dia bercita-cita mencari erti agama dalam hidupnya daripada seorang yang sudah lazim dengan kehidupan beragama lantas dia mengabaikan prinsip agama yang sekian lama dianutinya. Kerana seorang yang kehidupannya senantiasa mencari agama akan lebih dekat dengan agamanya di atas usaha keras mencari makna sebenar tentang agama kerana sedar akan kekurangan dirinya. Lantas setiap hari dia akan berusaha memperbaiki nilai agamanya.

Sepanjang pemerhatian saya, sesetengah golongan agama kini sudah nampak akan pudarnya keizzahan mereka. Identiti agama tidak lagi terserlah di kalangan golongan ini. Golongan ini nampaknya semakin hari cuba mahu membebaskan diri daripada kongkongan beragama, mahu bebas, dan mahukan keterbukaan. Golongan bukan agama pula sedikit demi sedikit sedar akan kekurangan diri sendiri mula merasakan mereka perlu berubah ke arah yang lebih baik dengan mengambil langkah kembali ke jalan Islam yang sebenar, langsungnya siratan ini sudah menjadi terbalik dan seakan songsang pusingannya. Golongan bukan agama kembali ke hadapan dan golongan agama berpatah balik ke belakang. Mungkin salah satu sebabnya adalah sesetengah golongan agama ini sudah mulai bosan dengan kehidupan beragama, maklumlah lahir-lahir sahaja emak dan ayah mereka seorang ustaz dan terus-menerus diberikan pendidikan agama sejak kecil. Dan apabila meningkat dewasa mereka cuba menjauhkan diri. Berbanding golongan bukan agama, apabila dari kecil mereka tidak didedahkan dengan agama sejurus meningkat dewasa mereka terasa kehidupan beragama ini adalah seperti suatu khazanah yang baru dan selesa dengan suasana begini lantas mereka cuba mencari erti sebenar dan berpegang betul-betul dengan prinsip ini. Apa pun, bukan semua golongan agama bertabiat seperti yang saya sebutkan, cuma segolongan kecil sahaja tetapi nampak kesan majoritinya.

Namun, isterilah sebagai juru ukur kita di dalam meniti kehidupan berumah tangga, dialah penasihat dan dia juga sebagai teman berbicara dalam suka dan duka. Memilih pasangan hidup yang baik adalah suruhan Nabi s.a.w. Kata nabi utamakanlah yang beragama maka akan beruntunglah kamu. Kata nabi lagi, jadilah kamu orang yang berilmu, atau orang belajar ilmu, atau orang yang mendengar ilmu, atau orang yang cinta akan ilmu agama (mencari dan mencintai agama), dan janganlah menjadi golongan yang kelima maka akan binasalah kamu. Anda mempunyai pilihan untuk mencari bagaimanakah ciri-ciri pasangan yang bakal anda kahwini. Dialah yang bakal mencorakkan anda dan anak-anak anda suatu masa nanti.


1 Response so far.

  1. salam

    saya setuju dengan pendapat saudara. tapi sebenarnya tak kira orang dalam jurusan agama atau orang biasa yang mahu kembali kepada agama, kedua-duanya sukar ditemui kalau diri sendiri tidak bersedia menerima cinta.