JAGALAH TUTUR KATA DAN PERASAAN ORANG LAIN

“Assalamualaikum, boleh tumpang duduk di sebelah?” sapa saya petang kelmarin, 4 dan 5 tahun yang sudah.

“Eh abang, duduklah,” dia terkejut kedatangan saya di taman itu. Tempat selalu kami ‘lepak-lepak’ raih ketenangan di hujung minggu.

“Redupkan petang ni bang?” dia memulakan bualnya. Saya lirik-lirikkan mata melihat wajahnya. Semacam ada masalah yang sengaja disembunyi dari saya.

“Yah! Redup-redup. Tapi wajah budin tak seredup petang ni ana tengok,” saya memancing. Budin gugup.

Dia diam. Tersipu-sipu memalingkan wajahnya ke arah lain.

“Eh abang ni, ke situ pula. Ada-ada aja, saya ok je bang,”

“OK yang buat-buat atau ada apa-apa yang Budin sembunyikan daripada ana?”

Selepas memancing dengan pelbagai selok-belok, akhirnya Budin membuka cerita sebenar. Oh! Rupanya Budin ada salah faham dengan seorang sahabat karibnya, Nizam.

“Apa Budin kata pada Nizam, sampai dia merajuk macam tu sekali?” soal saya. Dia diam lagi, mungkin dia cuba ingat-ingat semula peristiwa yang terjadi semalam. Pudar saja matanya. Barangkali menggamit sedikit sesalan.

“Budin dah minta maaf pada Nizam?” saya menambah, cuba mahu meredakan hati kusut Budin.
Dia menggeleng. Diam Budin petang itu terus digamit perasaan.

“Abang rasa Budin yang salah ke bang?” soal Budin ingin kepastian. Saya gembira, kerana dalam kata-kata yang terlontar oleh Budin tadi sudah nampak ada sedikit keterbukaan.

“Dalam hal ini, bukan soal siapa yang bersalah, tapi siapa yang dahulu mahu meminta maaf, dia yang dikira teman terbaik dalam persahabatan,”

“Kalau Budin tak bersalah sekalipun, apa kurangnya kalau budin yang dahulukan untuk memohon maaf,” lembut saya menyatakan pada Budin. Agar dirinya tidak tersinggung dan supaya hatinya terus terbuka untuk merapatkan jurang.

“Tapi bang....”

“Hmmm?”

“Tak akan teguran macam itu pun Nizam nak ambil hati. Lagipun saya dan dia dah lama sangat bekerja, kena fahamlah,” Budin menyambung kata-katanya yang terputus tadi. Nampak berangnya.

“Faham yang macam mana Budin maksudkan?”

“Iyalah, takkanlah kerana teguran yang sikit tadi, menyebabkan dia merajuk sampai abaikan tanggungjawab?”

“Budin rasa macam itu?”

“Hmm.. maksud ana, tanggungjawab lebih utama daripada melayan perasaan sendiri atau merajuk, begitu?” tambah saya. Budin cepat-cepat mengangguk, wajahnya serius memandang saya menunggu jawapan.

“Kalau Budin duduk di tempat Nizam, agak-agak apa Budin rasa?” saya menduga seketika. Budin diam lagi.

“Masakan Budin tidak tahu perasaan Nizam, 3 tahun ana lihat Budin rapat dengan dia,”
Saya pula diam, membiarkan Budin berfikir. Dia kelihatan sedih.

“Budin tak setuju dengan pendapat ana? Marah dengan ana?” soal saya. Perlahan-lahan dia menggeleng. Saya merapatkan duduk saya disebelahnya.

“Ingat lagi kisah Nabi Yunus a.s.? Masa mula-mula berdakwah dia sangat konsisten dalam kerja dakwahnya. Lama-kelamaan bila umatnya tak mahu terima dakwahnya. Nabi Yunus a.s. meninggalkan kampung tersebut. Agak-agak Budin, kenapa Nabi Yunus buat begitu?”

Sunyi.

“Tak akan seorang Nabi bersifat dengan putus asa,” saya memecahkan kebuntuan agar Budin dapat mencari jawapan yang sudah ada pada saya.

“Merajuk?” jawab Budin.

“Lagi?” saya mengorek. Budin terkedu tak menemui jawapan yang sebenar.

“Kalau ana kata Baginda berkecil hati budin setuju?” soal saya.

“Sebab kaumnya tak menerima Nabi Yunus, lalu baginda pun berkecil hati. Macam itu ke maksud abang?” jawapan tepat yang saya cari sudah jumpa.

“Sekarang Budin sudah akui bukan? Yang Nabi pun ada perasaan, kadangkala gembira, adakalanya pula bersedih dan berkecil hati. Dalam kisah tadi adakah Nabi Yunus tak sedar akan tanggungjawab dia sebagai rasul? Sedangkan tanggungjawabnya sebagai seorang rasul lebih besar daripada melayan rajuknya tadi?”

“Sudah tentu bukan bang!” Budin sudah mulai faham topik yang saya cuba sampaikan

“Dia cuma berkecil hati dengan kaumnya yang tidak mahu menerima dakwahnya. Sebab apa nabi merajuk? Kerana dia pun ada perasaan macam Budin juga, macam Nizam juga,” pantas saja jawapan saya.

“Dalam persahabatan juga begitu, Nizam bukan tidak tahu tanggungjawab dia pada Budin dalam gerak kerja, tetapi cuma berkecil hati sedikit. Manalah tahu kalau-kalau Budin ada berkasar bahasa yang menyebabkan dia tersentuh dan merajuk,” tambah saya.

“Budin tak rasa macam tu?” tanya saya menduga.

PADA BERLAPANGNYA DADA...

“Hmm..saya kurang jelas dengan perasaan dan tanggungjawab tadi. Mana yang perlu didahulukan ye bang?” saya nampak dia mulai faham konsep yang saya mahu sampaikan.

“Dua-dua penting Budin!”

“Ibarat seperti makan dan minum. Kedua-duanya perlu ada beriringan, kadangkala bila dahaga kita minum dulu baru kita menjamah makanan. Adakala bila terlalu lapar kita terus makan dan kemudiannya baru menguk air. Dan kalau dah stabil, mana-mana sahaja boleh didahulukan. Kalau perasaan dan hati lapang, kerja dan tanggungjawab jadi mudah dan senang,justerusenang nak perolehi Ikhlas. Baru persahabatan berpanjangan,” tambah saya lagi.

“Habis tu saya kena minta maaf pada Nizam?”

“Siapa-siapa pun tak apa. Kalau Budin rasa ini jalan terbaik untuk ukhwah Budin dengan Nizam. Teruskan,” cadang saya.

“Budin kenalah berlapang dada,”

“Berlapang pada?” Dia terkejut. Mungkin pertama kali mendengar perkataan itu.

“Maksudnya, lupakan saja apa yang berlaku untuk menjaga maslahat yang lebih besar. Yakni, PERSAHABATAN dan UKHWAH,” jelas saya. Budin nampak sedikit ceria. Mungkin sudah mulai faham.

Petang yang damai itu, saya puas dapat mengikat semula dua hati. Juga dapat memahamkan yang ukhwah itu memerlukan perasaan dan hati yang perlu di jaga dan di pelihara. Hati dan perasaan itu halus, lalu ia perlu dijaga dengan rapi. Bukan sekadar berlapang dada, tapi juga perlu memahami di antara satu sama lain.

“Mahu ke mana tu Budin?” tiba-tiba saja Budin bangkit mahu meninggalkan saya.

“Nak cari Nizamlah bang,”

“Tinggalkan ana sorang-sorang?” saya bergurau.

“Aduh. Manja sangatlah abang ni. Dah kahwin nanti susahlah isteri abang nak kena angkat macam ni,” dia mencapai tangan yang saya hulur.

Berderai hela tawa. Petang itu menjadi saksi usia persahabatan kami.

kadangkala gurauan itu perlu untuk ikatan kasih sayang antara kita

1 Response so far.

  1. salam, ana copy ye..smpaikn pd sahabat
    penulisan yg bermanfaat