Sejak hari semalam, Pak Lah senyumnya melebar manis. Bukan dibuat-buat tapi penuh pengertian yang bukan sinis. Berat tanggungjawab di bahunya dahulu, sudah beralih pundak. Kerna itulah saya kira Pak Lah wajar membuang gundah jauh-jauh lalu memberi laluan kepada angin lain mengubah arah supaya tenang seketika. Daripada gelaran Dato’ Seri sudah menjadi Tun.

Berehat bukan berhenti bekerja. Rehat yang berfikir.

Najib juga bukan calang-calang senyumnya, merasakan era barunya akan bermula, Najib mulai sedar akan tugas-tugas berat yang bakal mendepaninya. Kontroversi dan Konfrantasi mesti sedia dia hadapi. Bukan sahaja keyakinan diri pada rakan pimpinan mesti dijagai rapi, tetapi lebih berat adalah kepercayaan jelata pada imej dan peribadinya perlu ditekan, agar tragedi oktober tidak diulang skrip dan jalan ceritanya. Tanggapan rakyat mungkin saja begini, barunya kepala Negara Malaysia, maka akan barulah keteladanannya. Maka baru jugalah pembawaannya. Dengan harapan peristiwa lama tidak dikutip semula.

Satu Malaysia. Rakyat di Dahulukan. Pencapaian diutamakan.

Oh, mesej yang baru rupanya. Saya berbesar hati bila ada rakyat dalam sebut-sebutnya. Seolah sama dengan istilah yang pernah saya dengar, Ke Arah Negara yang Berkebajikan, yang ini juga saya pasti maksudnya sama, cuma belum diberi peluang dan laluan. Bila rakyat dipentingkan, maka kebajikan negara akan terjaga. Semua orang gembira. Senang hati.

Gendang gendut tali kecapi, kenyang perut senang hati.

Kita lupakanlah cerita-cerita buruk yang mendampingi Najib dahulu, kerana peluang mesti diberi pada muka baru, lembaran dan ceraian baru sudah bersedia untuk dibuka dan selak-selak helaiannya. Najib wajar meniru ayahandanya dalam corak pemerintahannya kalau itu garis panduan yang terbaik. Bila sahaja Najib dinamakan oleh Pak Lah sebagai penggantinya, saya seolah terbayang wajah Tun Razak membayangi Negara Malaysia di sekitar tahun 80-an dahulu, hidup dalam aman dan ketenteraman yang luhur. Tidak ada bunuh-bunuh, tidak ada rasuah-rasuah dan tiada politik kotor.

Bersih dan suci keseluruhan.

Pesan saya pada Najib:

Jangan korbankan jiwa rakyat dengan kepentingan diri dan kroni, kerana itu akan membinasakan kelompok kedamaian negara ini, jangan pisahkan ketenangan daripada jiwa rakyat, kerana kedamaian itu telah sebati dalam hati rakyat yang mencarinya. Jangan hancurkan luka rakyat dengan pelbagai alasan dan auta yang jelek, kerana rakyat itu dalam diamnya mereka berfikir. Kerana Rakyat itu persisnya naga di tasik, senyapnya disimpan, pendamnya tiada siapa yang boleh menduga. Sekali pecah, akan terus mara ke hadapan, biarpun di depannya aral yang menongkah bakal sebesar awan putih. Sedangkal-dangkal kewarasan fikiran rakyat, mereka kenal erti kebenaran dan apa itu temberang, mereka belum mahu dikhianati dan tidak akan mahu diperlaku begitu.


JANJI BISA DIKOTA

Semalam Najib sudahpun bersama rakyat, riak cerianya seakan-akan terbit dari wajahnya yang ikhlas. Masakan tidak, sapaan pemandu lori pun bersungguh-sungguh benar Najib gagahi, cuma menghulurkan tangan untuk bersalam, Najib cepat-cepat sambut!! Jiwa rakyat ini yang sama-sama mahukan nanti. Berbetulan pula, dalam slogannya menyebut: satu Malaysia, rakyat didahulukan, inilah pengertiannya saya dapat rasakan.

Itu baru sahaja sebahagian, bagaimana pula janji?

Hebatnya Najib nanti akan dipandang bila janji-janjinya ditunaikan, tingginya reaksi rakyat kepadanya dilihat kalau Najib bisa merealisasikan kata-katanya. Sumpah taat setia sudah, harapan dan janji juga telahpun terlafaz, yang tinggal hanyalah mengotakan apa yang dikata.

Kata Najib:

“Rakyat diutamakan akan merentasi keseluruhan masyarakat, dan kumpulan etnik di setiap pelusuk tanah air”

“Akan bekerja tanpa mengenal erti jemu dan penat lelah, berkhidmat dan membela untung nasib rakyat serta mengukuhkan lagi keyakinan rakyat terhadap pihak yang berwajib”

“Akan komited memastikan kepimpinan terus berdiri teguh bagi menghadapi krisis ekonomi yang kini melanda seluruh dunia”

Lagi katanya:

“Akan tetap berpegang kepada iltizam untuk memenuhi keperluan, kepentingan dan aspirasi setiap warga Malaysia”

“Memang saya tersentuh dan terpanggil untuk meneruskan agenda besar kerajaan untuk membasmi kemiskinan, menstrukturkan semula masyarakat Malaysia, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti untuk semua, serta meniupkan semangat sebuah generasi baru untuk menumpah khidmat kepada Malaysia”

''Tidak ada sesiapa yang patut berasakan diri mereka tercicir atau terpinggir daripada wacana nasional. Kita akan rapatkan hubungan rakyat dan kerajaan daripada dikelirukan dan diperdaya oleh permainan muslihat politik”

Akhirnya, janganlah tinggalkan janji yang tidak dikota, kelak akan rosak. Tidak pecah di mulut lambat laun akan pecah di perut. Usah bermain dengan kata-kata yang manis sahaja ibarat janji yang ditabur tinggi menggunung, kerana ia juga seperti bermain dengan api yang kecil, bila membesar boleh melawan diri sendiri.


BERANIKAH NAJIB?

Ketika sahaja usai upacara angkat sumpah, Najib mengumumkan penarikkan larangan terhadap Harakah dan Suara Keadilan. Maka, Akhbar ini boleh bercakap-cakap seperti selalunya, bahkan selepas sebulan berehat mungkin lebih banyak isu-isu panas yang bakal dibicarakan nanti. Tahniah saya untuk Najib atas tindakkan itu, relevan dan bernas ketika ini. Kerana selain Akhbar Utusan, Harakah juga tabloid kegemaran saya sebagai informan politik.

“Kenapa kau kata begitu pula?”

“Apa tidaknya, Dia yang mengharamkan akhbar tu dulu, sekarang nak tarik semula larangan tu? Tektik macam budak-budaklah! Nak buat baik pun janganlah nampak dirancang, ingat orang lain tak boleh fikirkah?”

“Sabar,”

“Sekurang-kurangnya kita dah boleh membaca semula. Tak ke besar jasa Najib tu?”

“Iyalah!”

Saya tersenyum. Kedua-dua belah pihak tak boleh dilaga-lagakan. Semua ada khidmat dan jasa. Rakyat perlu faham situasi pemimpin. Pemimpin pula kalau bersalah jangan ego untuk turun memohon maaf. Esok lusa kalau dikenang, nama kita juga akan disebut-sebut.

Lontaran dan coretan ringan ini bukanlah bertujuan mengukur kelemahan dank kredibilti Najib, tetapi untuk peringatan ketikan berjaga, biar berjaga di awal malam sebelum tertidur di hujung pagi. Najib berpengalaman hampir puluhan tahun di dalam parti dan kerajaan. Masakan Najib tidak tahu selok belok menguruskan Negara. Saya memberikan sepenuh kepercayaan kepada beliau dalam peluang terawal ini untuk dia menunjukkan kebolehannya. Andai tercicir sedikit, jaga-jagalah nanti, mungkin saya juga orang pertama daripada jutaan ribu rakyat yang akan menjadi pengkritik dan bersuara nanti.

Tahniah buat Dato’ Seri Najib Tun Razak beserta barisan pimpinan dan Kabinet yang bakal bekerja, semoga slogan Satu Malaysia. Rakyat di Dahulukan. Pencapaian diutamakan dapat direalisasikan menjadi impian dan bakal menandingi slogan Malaysia yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Sama-sama laungkan MALAYSIA BOLEH!!

0 Responses so far.