Saya bukan seorang seniman yang kerjanya menggubah bait-bait irama dan lagu, saya jua tidaklah persis seni jalanan yang meluahkan isinya dengan bakat mengukir potret, saya bukan itu semua yang mempunyai jiwa seni menghalusi sesuatu, namun saya bersungguh-sungguh ingin menghargai seseorang yang saya sanjung tinggi susur perjuangannya, tetapi buntu melalui bakat mana yang harus saya tunjukkan?

Menyanyi; Jauh sekali merdu suara saya dapat menunjukkan rasa apresiasi.

Bersajak; Mungkin saya seorang saja yang mengerti pucuk maknanya.

Melukis; Lukisan apa yang saya mahu lakarkan agar menjadi pengertian sebuah penghargaan?

Barangkali nilai seni itu jauh melekat di dalam diri saya, apatah lagi sebati. Pendek kata, saya tidak punyai apa-apa kelebihan sehingga hari ini mahupun esok lusa sebagai penjamin bahagia untuk sesiapa. Seperti yang saya katakan, bahagia dan damai ini tetap saya mahu kongiskan bersama dengan orang tersayang yang saya anggap beliau sebagai seri kandi dunia juga akhirat.

Dengarkan saya mahu menyanyi, walaupun perdu-perdu di hujung kerongkong ini tidak enak didengari kalian, bait lagu Brothers ini mengundang rasa sepi bila tiada bonda di sisi, biar tidak sedap alunan melodinya tetapi ambillah pada sorotan isinya:


Seorang wanita yang bermahkota ibu,

Menggenggam jari-jari kecil,

Ikatan ini tidakkan terurai kerna tautan ini,

Tautan darah dan aqidah,

Dan Rahmat dari ALLAH,

Kini ibu,

Peganglah tanganku ini,

Ingin ku bawa ibu menjelajah,

Hasil titik peluhmu,

Biar ku bawa ke alam luhur

Hasil ukiranmu selama ini.


Dengar pula saya mahu bersajak, mungkin juga karangan syair ini tidak begitu mengujakan buat kaki-kaki seni seperti kalian, justeru buat kekasih yang saya sayangi, apapun saya gagahi. Ianya mula mengusung emosi saya ke taman-taman indah semasa bersama ibu, seolah ketika ini leher saya sedang berbantalkan lengan dan didodoikan dengan sebuah lagu berirama syahdu oleh Bonda, lantas saya lena di sisinya. Dengarkan:


Menduga hati seorang Bonda,

Bukannya dengan keringat,


Tetapi mahu jua dengan kalbu yang berbisik halus,


Kerna menjiwainya adalah pahala dan barokah...


Susu ibu yang mengalir,

Dan peluh ibu yang menyusur di dahi,


Adalah nyawa kami,


Syurga kami jua dalah redhanya,


Biar berpuluh hati yang berbudi,


Ibu tetap bidadari yang satu.



Ketika ini saya mahu menggendong sebanyak-banyak himpunan ampun dan maaf kepada Bonda dan Ilahi, supaya keredhaan itu mengalir dalam diri saya. Saya agak pasti Bonda terbuka menghulurkan tapak tangannya mengambil rimbunan kata-kata ampun itu. Ibu tidak akan menyorokkan kasihnya yang sekian lama ditumpahkan buat anak-anak seperti saya. Ketika ini juga saya belum sempat membelikan apa-apa buah tangan penghargaan untuk dikalungkan ke leher Bonda, melainkan kiriman doa kudus yang padanya ada sekelumit nilai keikhlasan, saya bunyikan bait doa itu di sini serta beriringan juga semasa sembahyang, semuanya adalah buat ibu agar menerima bahagia dari saya seadanya, dengarkan ya:


Rabbighfirli waliwalidayya warham huma kama robbayani soghiiro’

SELAMAT HARI BONDA!!


HAPPY MOTHER DAYS!!


Untuk read more, tulis di sini...

1 Response so far.

  1. Tanpa ibu dan bapa..siapalah kita...