Kata orang tua-tua, kalau jodoh tidakkan ke mana-mana, hidup mati di tangan Tuhan. Membuat keputusan untuk menjadi tetamu Agung amat sukar bagi saya, siang malam berfikir agar nyata pendirian saya untuk ke sana biar dengan hati yang mahu, bukan perasaan yang mengikut semata-mata. Sebulan sebelum hari ini, didatangkan dengan masalah kewangan, terus menyerongkan hati ke arah berbolak-balik, mahu pergi ke tidak?

Penat memikirkan jalan keluar dari belenggu kecil ini, tetapi kalau difikir panjang sekalipun, jawapannya adalah menanti duit tiba baru hati lega menjadi tetamu nanti. Tunggu dan terus menunggu, harapannya masih nampak pudar, kata hati mahu saja dibatalkan hasrat untuk ke sana, agar tidak lagi susah memikirkan masalah yang meruncing ini.

Khabar Gembira, seolah tahu..

Rupanya kata orang tua-tua itu seiring dengan kata-kata ALLAH, qada’ dan qadar itu DIA yang tentukan. Mujur di hujung-hujung keterdesakkan dan poket hampir kering dengan wang saku, dihantar pula dengan sesuatu yang ketika itu amat-amat diperlukan. Bukan sikit, tetapi menggunung yang belum pun terbayang akan dihantar sebanyak itu. Kali ini keputusan adalah nekad, ke sana sebagai tetamu seperti orang lain.

Ini adalah pertama kali tetapi dengan harapan bukan kali terakhir untuk ke sana. Kalau boleh biarlah rezeki ke sana setiap tahun, selepas ini mungkin haji pula. Kalaupun ditakdirkan menghembuskan nafas terakhir di tanah suci itu pun tidak mengapa, saya merindui Baqi’ dan sahabat-sahabat di sana.

Pergi ini dengan digenggam bersama harapan, mungkin pulang dengan perubahan. Sekurang-kuranya tertunai sudah satu lagi tuntutan Islam dan sunnah Nabi saw. Doa dan munajat sentiasa digendong dalam bekal-bekal dan disarungkan bersama, agar dipermudahkan hendaknya nanti. Moga ALLAH memberkati perjalanan ini.


p/s: saya meninggalkan ruang ini buat seketika waktu, insyaallah akan ke Tanah Suci selama lebih kurang sepuluh hari. Teruskan membaca dan memberikan komen yang membina, saya sentiasa menantikan pandangan yang bernas dari pengunjung semua. Doakan perjalanan kami dipermudahkan. Labbaikallahumma Labbaik…

Untuk read more, tulis di sini...

1 Response so far.

  1. Selamat berangkat ke tanah suci..Mudah-mudahn setiap langkahan ke sana mendapat berkat.