Apabila saya menulis, bercakap, atau menggarapkan sesuatu dan menyatakan pendapat, maka cabaran besar yang mungkin saya hadapi adalah berdepan dengan ‘orang-orang’, pembaca, penulis lain yang berbeza pendapat, dan juga pengkritik yang sudah bersedia serta bila-bila masa akan menghujamkan kritikan atau kata tidak setuju terhadap saya. Tidak kiralah pengkritik atau hasil kritikan itu bersifat dengan daya pembina semangat atau sengaja diselitkan unsur-unsur kedengkian, agar seseorang itu jatuh dan berhenti daripada terus membuahkan pendapat yang dapat mempengaruhi jalur pemikiran orang lain – hanya dua itu sajalah jangkaan saya. Ia menyorong saya untuk mengembalikan kekuatan dan kredibiliti seseorang penulis.

Justeru itu, seorang penulis yang mahukan ketekunan, keteguhan serta keiltizaman dalam penulisannya, hendaklah berdiri bersama-sama prinsip yang benar-benar dipasak kuat-kuat, apa yang utama, asalkan ianya (hasil penulisan) tidak melanggari batas syara’ atau sensitiviti – Kalaupun ia mengandungi kegurisan dan ada sedikit palit-palit yang mencarik sensitiviti, mungkin isinya boleh dipertimbangkan semula. Garam dan gula kalau sebati, akan lazatlah hidangan.

Apapun, mengguris sensitiviti adalah sikap dan sifat yang perlu dijaga baik-baik serta rapi dalam menyalurkan atau mengemukakan pendapat, kerana ia boleh menjauhkan audiens daripada mengambil manfaat dalam hasil dan karya penulis. Namun, sekadar pengalaman dan perjalanan penulisan saya serta rakan-rakan, bagi memuaskan semua orang dan mahu menyedapkan hati setiap pembaca apalagi pengkritik, adalah suatu yang sungguh mustahil untuk saya lakukan. Alasannya, manusia itu dijadikan akal mereka oleh Tuhan, amatlah berbagai-bagai dalam mentafsir pemikiran juga pendapat.

Tamsilannya, sesetengah orang melihat sesuatu yang kecil nilainya sebagai baik, ada pula melihatnya sebagai tidak baik. Sebab itulah, telur ayam pun digradekan kualitinya. Suri rumah sahaja yang tahu baik serta buruknya. Masakan tidak, ada suami yang mudah saja dileteri oleh si isteri hanya kerana tersalah membeli telur yang kecil. Suami kadang-kadang pening juga, baginya besar atau kecil sama sahaja, telur untuk dimakan bukan untuk diletak sebagai hiasan.

Mungkinlah begini, ada sesetengah orang berpendapat wanita yang memiliki kulit putih sebagai comel dan ayu, namun saya tidak dapat menafikan bahawa sebahagian lelaki-lelaki yang lain lebih memilih wanita yang sawo matang sebagai cantik, manis, tertarik, dan menawan. – di situ sudah ada timbal perbezaan, bukan? Oleh itu wahai para wanita, janganlah anda bermuram durja jika anda berlainan warna kulit.

Jawapan daripada kepelbagaian pendapat dan pandangan ini adalah : sesuatu perihal itu dinilai isinya adalah dengan suatu pertimbangan yang terlalu subjektif dan halus serta minat yang berbeza. Lalu, subjektif itu akan melahirkan kritikan yang pelbagai. Maka kita jangan mudah-mudah mengatakan pendapat ini tidak betul, dan pendapat itu kurang sesuai, ini salah dan perlu dipadam. Kerana sudut pemikiran manusia ini dijadikan cukup berbeda mengikut pandangan masing-masing. Itulah kecantikan akal kurniaan Ilahi.

Dulu-dulu saya pernah ditegur (bagi saya itu sebuah kritikan jua), “kenapa tidak berkopiah?” lalu saya menjawab “saya lebih memahami suasana dan sekitaran yang saya lalui”.

Bila difikir-fikirkan semula, tidak langsung terlintas di minda saya, hanya perbuatan saya yang tidak berkopiah ketika berhadapan di khalayak, akan jatuhlah kredibiliti serta akan hilang thiqah orang lain terhadap saya. Ini semua mungkin suatu dakwaan dan teori yang menyangkal kebernasan sehingga menyempitkan ruang berfikir. Ini pertimbangan saya. Namun ada masanya, saya akan berkopiah atau dalam sesetengah majlis yang lain saya tidak akan memakainya. Ia bukan pula hujjah untuk saya menafikan kebaikkan berkopiah. Kerana label itu sudah terlalu sinonim dan melekat.

Ada orang, dia lebih melihat kepada maslahah yang besar dan jauh kehadapan, lalu buah fikiran dan pandangannya lebih melangkau beribu-ribu tapak ke tempat dia berfikir, jadilah hasil pandangan itu suatu yang kreatif dan kritis. Kerana apa ya? Mungkin kerana tidak semua akan ada dengan kelebihan itu. – oh ya! Sukar sungguh untuk kita bersependapat dan bersepakat dalam ruang fikiran yang ala-ala terbuka ini, ada saja silap dan salahnya. Lompang dan berlubang. Aduhaiii...

Mungkin kerana itu juga, imam-imam mazhab ini berselisih pendapat. Cuma bezanya dengan kita, mereka ini lebih positif dan matang dalam pemikiran serta tahu adab-adab berkhilaf. Tetapi kita?

Apabila berselisih pendapat dan salah faham, terus-terus sahaja mengkondem dan berlaku pergaduhan dingin, atau paling kurangpun akan bermasam muka. Maka berpakat-pakatlah dari suatu kelompok supaya dapat menjatuhkan kelompok yang lain, yang mengeluarkan pendapat yang mungkin tidak sebulu dan seirama dengan mereka. Saya serta sahabat-sahabat sudah lalui semua situasi itu, perasaan? Hanya Tuhan dan saya yang tahu sedihnya, tetapi apabila berfikir positif dan menilainya dengan keterbukaan dalam berpendapat, saya cuba-cuba juga untuk senyum, hasilnya ia amat memberikan saya kekuatan yang luar biasa impaknya.

Saya seorang yang terbuka lagi terbuka dalam menerima apa jua kritikan, tohmahan dan segala macam kemarahan orang, kerana daripada situ saya memperolehi sesuatu.

Belajar daripada kritikan lebih bermakna bagi saya berbanding kepujian yang melambung-lambung. Kerana pujian itu hanya menerbangkan anda ke awanan tanpa arah tuju, akhirnya bila jatuh, baru tersedar bahawa kita tersalah. Waktu itu, sudah tidak boleh buat apa-apa. Lain pula dengan kritikan, ia menjadikan anda sentiasa berwaspada dan beringat-ingat , oleh yang demikian, seseorang itu akan duduk dalam berhati-hati kerana dia tahu tidak akan ada buah fikiran yang samanya sehingga 100 peratus nilainya. Paling-paling pun mungkin 99.99 peratus.


APA KATA MEREKA?

Kapten Hafiz Firdaus Abdullah (seorang juruterbang juga seorang penulis buku) mengupas mengenai ini, apa katanya:

‘saya sendir lazim menerima sejumlah kritikan yang pada awalnya agak sukar untuk diterima dan dihadapai. Sebegitu banyak sehingga pada suatu ketika saya mengadu kepada guru saya ustaz Dr Abdullah Yasin, semoga ALLAH sentiasa memeliharanya.

‘Ustaz, macam mana ni...banyak orang yang mengkritik saya!’

‘Atas dasar apa merek mengkritik anta?’ beliau bertanya saya.

‘biasalah ustaz, sebab saya menulis dalam subjek agama padahal saya bukan dari lulusan agama’ jawab saya.

‘ohh, kalau begitu biarlah lebih banyak kritikan ke atas anta’

‘err, apa maksud ustaz?’

Kritikan lahir di atas sikap dengki dan tidaklah seseorang itu mengkritik melainkan dengki ke atas kebaikkan yang anta lakukan, yang mereka sendiri tidak mampu lakukan’ jelas ustaz Dr. Abdullah penuh hikmah.

Pada suatu ketika yang lain pula, saya pernah bertanya kepada Dr. Muhammad Asri zainul Abidin, bagaimana pula sikap beliau dalam menghadapi kritikan yang dilontarkan ke atasnya. Beliau menjawab bahawa Sheikh Albani pernah ditanya soalan yang sama, lalu beliau menjawab:

‘mereke itu ingin mendapat tempat di sisi masyarakat tetapi tidak mampu meraihnya dengan melakukan kebaikkan. Lalu mereka cuba meraihnya dengan melakukan kritikan terhadap orang yang sudah mendapat tempa di hati masyarakat.

Kata ustaz Kapten Hafiz Firdaus Abdullah lagi:

‘setelah sekian lama menjadikan kritikan sebagai sumber kekuatan, giliran saya pula memberikan nasihat kepada sahabat handai, salah seorang daripadanya Mohd yaakub bin Mohd Yunus pernah berceita kepada saya bahawa ada beberapa agamawan yang mengkritik bukunya keran rujukan-rujukan yang digunakan adalah daripada edisi terjemahan saya menjawab:

Jika itu saja yang mampu mereka kritik, maka baguslah kerana beerti tiada kelemahan dalil dan hujjah dalam buku anta. Adapun factor bahasa dan sumber rujukan, apakah orang yang belum mahir berbahasa arab hendak mendiamkan diri semata-mata kerana kelembapan orang yang kononnya mahir berbahasa arab? Tentu tidak

Hakikatnya, orang yang lazim sangat mengkritik sebenarnya mengahdapi konflik dalaman terhadap dirinya sendiri. Dia mempunyai sijil pengajian agama namundia sedar bahawa ilmu itu tidak diukur dengan kertas, tetapi diukur dengan kadar manfaat kepada masyarakat. Dia memiliki kemahiran dalam berbahasa arab namun dia malu kerana sehingga kini masih belum Berjaya menterjemahsatu kitab jua untuk tatapan masyarakat.


PESANA BUAT SEMUA PENULIS

Kadangkala semasa menulis kita tidak sedar akan kesilapan kita kerana telah dikabur-kaburkan dengan semangat ingin menyampaikan. Kadangkala juga perasaan taksub menyebabkan kita lemah mencari punca silap dalam hasil penulisan. Apa yang paling ditakuti, kita akan merasa syok dengan pandangan kita sendiri sehinggakan apabila orang menegur atau mengkrtitik, kita sudah tidak mahu lagi mendengarnya.

Berhati-hatilah dalam mengeluarkan pendapat, kerana pendapat yang salah mungkin akan dieksploitasikan oleh orang-orang munafiq yang senantiasa menanti hujjah begini untuk digembar-gemburkan.

Lazim-lazimkan ketika mahu menulis, dimulai dengan nama ALLAH dalam hati kita, agar ketika menulis itu idea dan cambah buah fikiran yang terkeluar bukan dari corong nafsu sebaliknya datang daripada rahmat ALLAH yang mahu kita bersama-NYA.

Untuk read more, tulis di sini...

0 Responses so far.