Cerita Saya Dulu-dulu yang Lupa Nikmat

Dahulunya,

Masa mula-mula kami ke sini, awal langkah menjejak kaki ke dunia luar, tempat saya menyambung belajar sekarang (iaitu Negara Jordan), Nasi Putih, Telur Goreng Rangup dan Kicap Manis (brand Kipas Udang) pun sudah cukup istimewa bagi kami, tambah-tambah pula kalau dihidangkan bersama sambal budu dan ikan kering, mahu tak kecur air liur?

Dulu-dulu,

Ketika di awal masa berkecimpung dalam ‘kerjaya’ memasak, masa itu juga kami masih di awal pengajian di sana, bagi kami Nasi Goreng kampung ini adalah yang paling special dalam hidangan bujang kami. Apa tidaknya, untuk kami kaum adam yang bujang sejati ini, kalau berjaya menghasilkan sepinggan nasi goreng (walaupun dikongsi dengan 5 orang) itu sudah dikira kejayaan yang melangkaui tahap ajaib.

Apa tidaknya juga, kerja kami di tanah air Malaysia dulu bukanlah memasak, tetapi di sini apabila kami berjaya mencuba-cuba rutin kaum hawa (memasak) dan berhasil, maka itu adalah pingat emas buat kami. Biarpun nasi goreng tadi hanyalah daripada himpunan bawang merah dan bawang putih yang ditumis (kadangkala hangus), sedikit hirisan cili dan jika ada secebis ikan bilis yang dikupas-kupas akibat mengikuti ‘plan penjimatan’.

Seharian yang memenatkan akan bertukar ceria jika kepulangan kami daripada kuliah dapat menjamah menu-menu ‘special’ tadi. Pertama yang keluar daripada mulut selepas perut diisi adalah:

‘Ya ALLAH, nikmatnya. Kalau hari-hari macam ni kan best’


olek kerana tidak pandai memasak, makanan yang biasa-biasa tadi telah menjadi terlalu istimewa untuk hidangan kami dan sungguh kami hargai situasi itu, Maka jadilah;

Nasi putih, Telur Goreng dan Kicap, adalah nikmat ketika itu.

Nasi Goreng Kampung dengan ikan bilis juga kenikmatan kami masa itu.

Sekarang,

Sebut saja apa yang mahu dijamah, Kari Ayam Mamak, Sup Siam, Tomyam Putih, Ayam Black Pepper, Ayam Masak Merak Ala carte, dan macam-macam lagi, kami mampu menghasilkannya dengan kadar yang bukanlah lima bintang tetapi tetap ada rasa basicnya. Jika sup insyaallah saya pasti rasanya juga sup. Pendek kata kami boleh memasak semua itu.

Kadang-kadang,

Kami dijemput untuk memasak bagi program-program besar yang kuantitinya hampir 3 ke 4 ratus orang yang perlu kami sediakan. Bermakna kami diberi kepercayaan untuk memasak, pendek kata, kami adalah cheff di tempat kami. Bahkan ketika duduk di masa lapang selalu saja mencuba masakan baru. Senang saja, search di internet, apa menu yang anda mahukan semuanya ada. Cuma mahu atau tidak mahu.

Sekarang,

Bila selalu dihidangkan dengan kari ayam, ada saja yang berbunyi, bukan tidak sedap, tetapi mungkin sudah kerap atau hari-hari menjamahnya:

‘Aduh..asyik kari je, dah tak ada rempah lain ke kat dapur tu?’

‘Semalam kari, hari ni kari. Esok lusa kari lagi, jemulah!’

‘Aku dah tahu dah. Kalau dia ni memasak mesti kari punya, tak pun sup. Ha, kan aku dah cakap, kari’


Kesudahannya, kami menjamahnya juga tetapi sambil-sambil bermuncung mulut dan berseranah di dalam hati dek kerana kari yang sudah lali dimakan. Dengan kata lain, buat-buat makan sajalah kerana takut tuan yang memasak itu berkecil hati atau makan dengan hati tidak ikhlas.

Lalu,

Sayalah orang yang paling terlupa dan paling kurang bersyukur kerana hidangan kari tadi. Saya lupa yang dahulunya nasi putih dan telur goreng itulah hidangan pertama kami yang kami anggap terlalu istimewa dan nikmat itu.

Ya, saya lupa seketika, bahawa kerana kekurangan yang ada itulah (tidak pandai memasak), saya reti menghargai dan menilai NIKMAT.

Saya juga lupa bahawa sebelum dikurniakan kepandaian dalam memasak kari tadi, nasi Goreng Kampung itulah yang menjadi santapan special dan kenikmatan ketika itu. Kami lupai semua itu kerana sehingga sekarang masih belum pandai memaknakan erti syukur. Bagi kami yang sedap-sedap saja adalah nikmat, yang tidak sedap tidak perlu disyukuri.

Akhirnya,

Kami secara automatik mendapat cebisan tempias daripada golongan yang TUHAN pernah sebutkan dalam kalamnya:

‘DAN TERLALU SEDIKIT DARIPADA HAMBA-KU YANG BERSYUKUR’

Nasi Putih dan telur goreng dahulunya nikmat, tetapi sekarang tidak lagi kerana sudah pandai memasak.

Kari Ayam juga masa dulu-dulu adalah kelazatan dan kesyukuran, tetapi sekarang bukan lagi kesedapan tetapi kebosanan dan cemuhan, kerana tidak tahu erti bersyukur.


Nikmat itu adalah “Yang Datang Jarang-jarang”

Betulkah ungkapan di atas?

Bagi saya itulah sebahagian daripada erti nikmat yang terlalu luas maknanya. Kalau anda tidak percaya mari saya coretkan sedikit perbandingan.

Ambillah satu makanan yang paling sedap dan special bagi kamu, KFC (Kentucky Fried Chicken) misal kata. Bagi mereka yang bekerja di francais-francais KFC sudah pasti jemu menatap hidangan itu, Ayamnya, kentangnya, Burgernya atau apa-apa hidangan saja di KFC sudah tidak ada nilai lagi bagi mereka akibat hampir setiap hari menjamahnya. Lalu Ayam Goreng KFC itu sudah hilang nikmat dan specialnya.

Namun,

Untuk kita-kita ini, yang hanya setengah tahun sekali menjengah ke warung KFC tadi amat merasakan itulah hidangan yang paling istimewa dan terbaik di antara segala makanan. Tidak hairanlah jika anak muda atau pakwa makwe dan siapa saja akan menjadikan hidangan KFC tadi sebagai tempat perjumpaan yang istimewa, kerana apa? Kerana sekali sekala saja dapat ke sana, kerana jarang-jarang saja dapat menjamahnya.

Kalau saya pun jika diberi peluang untuk memilih tempat menyambut ulangtahun perkahwinan saya, saya akan memilih tempat-tempat yang jarang saya pergi, supaya saya dapat merasakan nilai nikmat dan kelazatan.

Begitu juga, kami-kami di sini. Kalau dapat menjamah Meehon goreng itu adalah kenikmatan yang paling berharga kerana di Jordan susah untuk mendapatkan makanan itu, maka itu adalah nikmat Tuhan untuk kami. Tetapi orang di Malaysia pasti berbunyi:

‘Alahai, Meehon Goreng je pun, apalah sangat. Di medan selera depan rumah aku tu bersepah-sepah’

Tak mengapalah, itu kata orang yang di Malaysia, kata-kata orang yang sudah selalu jumpa Meehon Goreng. Tetapi kami tidak. Yang jarang itulah yang Nikmat untuk kami.


gambar hiasan

Tetapi bukanlah saya mahu menafikan bahawa perkara yang selalu dan kerap diberi itu sebagai perkara tidak perlu disyukuri dan dihargai, itu juga nikmat Tuhan. Yang selalu juga nikmat, yang jarang juga nikmat.

KFC tadi adalah nikmat bagi yang tidak selalu menjamahnya tetapi mungkin Nasi lemak yang jarang dimakan oleh pekerja KFC tadi adalah nikmat pula buatnya.

Di Negara-negara yang mempunyai 4 musim seperti Jordan ini mungkin merasakan hujan adalah nikmat kerana jarang dihujani hujan, tetapi di Malaysia yang sudah kerap dilanda hujan pastinya mengharapkan panas seketika sebagai nikmat. Panas dan hujan, kedua-duanya sama saja keperluannya tetapi lain kedudukkannya di dalam bicara nikmat.


Celoteh Bersyukur

Kata orang-orang tua dahulu:

‘Orang berbudi, kita berbahasa, orang memberi, kita merasa’

Amat cantik bidalan orang tua-tua dahulu dalam melampirkan makna syukur. Ini bukan sekadar pantun semata-mata tetapi bidalan yang memberi makna syukur dalam bahasa mudah dan suasana kita sebagai manusia sesama manusia. Dalam bahasa senangnya:

Orang tolong kita, kita tolong orang..... Orang beri sesuatu, kita balas sesuatu

Ini salah satu cara kita bersyukur kepada manusia, bahkan cara bersyukur kepada ALLAH tidaklah sedemikian yang ingin saya sampaikan. Misalnya, ALLAH memberi kita rezeki berupa duit, bukanlah jika kita mahu menunjukkan rasa bersyukur kepada ALLAH, kita mesti memberi semula duit itu kepada ALLAH sebagai tanda syukur, tidaklah begitu. Masakan ALLAH memerlukan duit sedangkan DIA yang menciptakan dan memberi semua itu, mengapa DIA perlu kepada duit. Bahkan ALLAH sudah mempunyai lebih daripada nilai sebuah duit.

Ambil semula kata-kata di atas: Orang tolong kita, kita tolong orang, Orang beri sesuatu, kita balas sesuatu. Ibaratnya beginilah jika mahu bersyukur sesama manusia:

‘Eh, kau ingat tak pakcik yang tolong baiki kerata kita yang rosak tempohari tu? Nampak tak dia kat depan sana, motor dia rosak. Jom kita tolong dia?’

Ibarat lain pula:

‘Terima Kasihlah Izwan sebab belanja Nasi Ayam ni. Lain hari kami pula yang belanja kamu’

Lagi ibaratnya, tetapi kita kaitkan kata-kata ‘Orang tolong kita, kita tolong orang, Orang beri sesuatu, kita balas sesuatu’ dengan TUHAN pula.

‘TUHAN sudah beri pada kita duit yang banyak ni, kita kenalah belanja TUHAN dengan duit ni’

Mudahkan cara bersyukur? Jika dengan manusia kita membalas jasa, tetapi jika dengan TUHAN lebih mudah. Ikutlah apa yang disuruh dan tinggal apa yang dilarang. Suruh solat kita solat, TUHAN minta jangan merokok, maka janganlah. Pendek kata:

Apa yang ALLAH larang, say NO!

Apa yang ALLAH suruh, say YES! YES! dan YES BOSS!

Cara menghargai Nikmat adalah bersyukur. Cara mempamerkan syukur adalah membalas budi. Jalan untuk membalas budi TUHAN adalah ikut perinta-NYA.

Sekian saja celoteh saya.

Untuk read more, tulis di sini...

0 Responses so far.