Sejak pertama kali, dirimu telah memiliki hatiku.


“Kak Nurul, tengok ni kak. Kuliah Maghrib oleh Ustaz Rizal di Masjid Universiti” Mereka singgah sebentar melihat iklan di papan tanda seusai kuliah petang itu. Kebetulan hari itu, pensyarah kuliah Tafsir tidak hadir dan mempunyai urusan di luar kampus, mereka pulang awal ke kolej kediaman.

“Kalau kerja akak beres awal, Syuhada pergi dengan akak sekali ye”

“Amboi, semangat nampaknya kak?”

“Kita nak dengar ilmunya, bukan nak menatap wajahnya” bidas Nurul pendek.

“Sambil-sambil lah tu Kak” Syhuhada sempat menjawab.

“ish, nakal sungguh kamu ni Syuhada!”
___________________________________

“Kak Nurul, hebatkan Ustaz Rizal tu? Bukan setakat ada rupa, pandai beri ceramah pula tu” Syuhada memulakan bicara. Mereka dalam perjalan pulang ke asrama.

“Kamu ni Syuhada, ke situ pula perginya”

“Bertuahlah siapa yang jadi suri di hati dia nanti. Saya suka kalau akak ada jodoh dengan Ustaz Rizal” Syuhada berseloroh.

“Akak ni, tak sepadan dengan Ustaz Rizal. Ilmunya tinggi, akhlaknya baik, berbudi pula tu. Kalau dia nak pilih calon, bukan akak orangnya tau!”

“Rendah dirilah akak ni. Kalau Syu lah, dah lama…..” belum sempat habis bercakap, Nurul memintas kata-katanya.

“Haaa, mulalah nak mengarut tu!” Nurul mencubit bahu Syuhada.

Malam itu Nurul terasa terlalu damai, dapat mengambil ilmu daripada seorang ustaz muda.
__________________________________

ABU IKRIMA sibuk mencari kelibat Rizal, katanya mahu bertemu dengannya di kantin Bangunan Al-Khusaini. Selesai sahaja kuliah Ulum Quran, dia bergegas ke kantin, tetapi hampa tiada kelibat Rizal di situ. Abu Ikrima cuba menghubungi Rizal melalui telefon bimbit, namun tiada juga jawapan.

“Abu!”

“Kat situ rupanya” bisik Abu Ikrima.

“Maaf sangat-sangat, aku jumpa Prof Masyitah sekejap tadi, dia minta ana carikan maklumat berkenaan bahasa. Dah lama enta tunggu ana?”

“Tak, ana pun baru sampai. Ada apa ni Rizal?” jawab Abu Ikrima.

“Petang ni demo Palestin di Masjid Kampung Bharu, nak join?” Bisik Rizal ke telinga Abu Ikrima sambil memerhatikan keadaan sekeliling. Bimbang kalau-kalau ada yang mendengar perbualan mereka.

“Enta ni Rizal, tak serik-serik. Demo bulan lepas nyaris-nyaris enta kena tangkap, kali ini nak pergi lagi?” ujar Abu Ikrima. Dia amat faham akan sikap Rizal, terlalu berani. Namun, dalam diam dia sendiri mengkagumi sikap Rizal.

Rizal punyai semangat juang yang tinggi.

“Hari tu memang nyaris-nyaris, tapi kali ini kena tangkap baru best. Amacam?” gurau Rizal.

“Enta jangan main-main Rizal, kalau betul-betul jadi nanti, baru……..”

“Shhhhhh… sudah-sudah, kalau nak pergi, jumpa ana di kolej. Sebelum Jumaat kita mesti bertolak ke Kampung Bharu. Kalau lambat, parking penuh” Rizal memotong kata-kata Abu Ikrima. Selepas mempelawa, Rizal terus meninggalkan Abu Ikrima yang termangu-mangu keseorangan di situ.
___________________________________________

Perkarangan Masjid Kampung Bharu.

“Abu, kalau terpisah nanti, kita jumpa balik di Jalan Raja Laut ye! Enta tunggu ana di restoran mamak depan sana tu” Rizal menunjukkan ke arah sebuah restoran india muslim bersebelahan selekoh masuk Lorong Haji Taib 3. Demontrasi secara aman sudahpun bermula. sorak-pekik orang ramai telah mulai kedengaran menandakan pergerakan secara beramai-ramai.

Takbir dilaungkan bertalu-talu oleh tekong yang mengepalai sambil diikuti oleh orang ramai.

Sejam berlalu, keadaan dan situasi menjadi semakin tegang. Ada sebahagian orang ramai yang menyertai demontrasi tersebut mula merempuh polis terutamanya anak-anak muda. Air pemedih mata disembur, orang ramai bertempiaran lari mengelakkan diri.

“Kita jalan sampai hujung!” sahut Rizal.

“Ana takutlah Rizal. Sampai sini sajalah, lagipun kat depan tu bahaya, ramai FRU” balas Abu Ikrima takut-takut. Dahinya berpeluh.

“Jangan risau, ana kan ada. Ayuh!”

Akhirnya, Abu Ikrima mengambil keputusan untuk tidak mengikut Rizal. Dia berhenti di tepi jalan sahaja. Dari jauh dia memerhatikan Rizal meneruskan perjalanan dan berasak-asak dengan sekumpulan polis. Abu Ikrima mulai risau dan berdebar-debar.

Sekejap kelibat Rizal hilang dari pandangan dan sekejap ada semula.

Pertempuran orang ramai dengan polis dan FRU semakin tidak terkawal, ada yang sudah ditangkap dan ada sebahagiannya dibelasah oleh FRU. Akhirnya mata Abu Ikrima tertancap pada sebatang tubuh yang sedang di kepung.

“Ya, ALLAH, Rizaaaaaal…….!”

Rizal diheret masuk ke trak polis - Black Maria.

Bersambung..

2 Responses so far.

  1. Ya Allah.....taksabarnya nak baca cerpen ni sampai habis....

  2. afiq, cpatlah smbung crite ni..