“Eh, Ustaz Rizal. Bila ustaz sampai?” sapa Syuhada, dia baru sahaja tiba di hospital tersebut. Seusai kuliah jam 10 tadi dia terus bergegas ke hospital untuk menziarahi Nurul.

“Pagi tadi lagi ana sampai. Abu Ikrima yang beritahu ana Ustazah Nurul pengsan dan kena tahan di wad”

“Ustaz dah melawat Kak Nurul, err Ustazah Nurul?”

“Belum lagi. Masa ana sampai tadi tak ada sesiapa pun dalam bilik tu, tak manis pula kalau ana sorang-sorang pergi ziarah Ustazah Nurul”

“Kalau ustaz nak ziarah dia, marilah ana temankan” pelawa Syuhada.

“Emm, tak mengapalah Ukhti, sekarang mungkin tak sempat, ana kena balik ke kampus dulu, jam 12 nanti ada kuliah pula” ujar Rizal.

“ohh..”

“Pesan pada Ustazah Nurul, banyakkan berehat. Tadi ana jumpa doktor yang merawat dia, penyakitnya tak berapa serius, cuma pening-pening biasa” Rizal sebenarnya merahsiakan sesuatu daripada Syuhada.

“Tentang bayaran, ana sudah dahulukan duit ana. Ukhti janganlah risau. Yang penting Ustazah Nurul selamat dan sihat”

“Ustaz..”

“Ye ukhti?”

“Hmm, tak mengapalah” Syuhada membatalkan hasratnya untuk memberitahu sesuatu.

“Kalau macam tu, ana mohon diri dulu. Sampaikan salam ana pada Ustazah Nurul bila dia sedar nanti”

“Assalamualaikum wbth” Rizal beredar meninggalkan Syuhada.

“Waalaikumsalam wbth” balas Syuhada perlahan. Dia terus berjalan menuju ke bilik Nurul. Syuhada menyelak pintu bilik perlahan-lahan, dari jauh dia melihat Nurul sedang khusyuk membaca.

“Assalamualaikum Kak”

“Waalaikumsalam, Syuhada”

“Syukur Alhamdulillah, akak dah sedar. Akak pengsan semalam, Syu dengan Abu Ikrima yang hantarkan akak ke hospital”

“Terima kasih Syuhada, akak ni menyusahkan kamu je”

“Ish, akak tak boleh banyak bercakap dan bergerak, nanti lambat sihat. Tadi Ustaz Rizal pesan dia suruh akak berehat dan rajin makan ubat supaya lekas sembuh. Risau betul dia kat akak”

“Ustaz Rizal……..?” Nurul terkejut, dia meraba-raba kepalanya bimbang kalau-kalau semasa dia sedang tidur lena tadi dia tidak mengenakan tudung atau penutup kepala, dia malu jika Rizal melihatnya tidak menutup aurat.

“Akak jangan riaulah, dia tak masuk bilik akak pun. Syu terserempak dengan dia kat depan kaunter tadi. Lepas tu, dia kata nak balik ke kampus, ada kuliah”

“Dia kirim salam sekali pada akak. Ini ada buah apple dan coklat, dia minta Syu bagi pada akak” tambah Syuhada sambil tersenyum kecil.

“Waalaikumsalam..” bisik Nurul perlahan.

“Nampaknya, semakin ambil berat Ustaz Rizal pada akak kan. Kalau macam ni, hari-hari sakit pun tak apa kak…”

“Syuhadaaaa…”

“Err, sorry kak”
____________________________________________

Sejak dari awal kuliah lagi fikiran Rizal tidak henti-henti memikirkan tentang Nurul, dia seakan tidak percaya apa yang sedang berlaku kepada Nurul. Di sebalik keceriaan gadis itu rupanya dia bijak menyembunyikan sesuatu.

Nurul menghidap migraine dan hampir diserang stroke semalam. Mujurlah Syuhada segera menghantarnya ke hospital.

Dia amat mengagumi gadis itu. Senyumannya tidak langsung menggambarkan yang dia menghidap penyakit sehebat itu. Apabila diimbau-imbau kembali, barulah Rizal sedar yang Nurul kerap kali gelisah ketika duduk di dewan kuliah. Kadangkala dia melihat Nurul mengurut-urut kepalanya sendiri.

Kalaulah benar apa yang dikatakan oleh doktor kepadanya siang tadi, maka Nurul harus segera dirawat. Jika bertangguh akibatnya Nurul akan menempah maut.

“Rizal..”

“Pssstt Rizal, Prof panggil kau tu” sapaan Taufiq rakan sekuliahnya menghilangkan Rizal daripada lamunan. Cepat-cepat dia memalingkan wajahnya ke hadapan. Hampir separuh pelajar di dewan kuliah itu memandang ke arahnya.

“Err, ye Prof”

“Dari tadi saya tengok kamu termenung jauh! Teringat mata air ke?” sindir Profesor Mustafa. Pensyarah Jabatan Usuluddin sejak 15 tahun yang lalu. Satu dewan kuliah pecah dengan hilai-tawa.

“Maafkan saya, prof”

“Bacakan perenggan yang seterusnya”

Kelam-kabut Rizal mencari-cari muka surat yang perlu dibaca. Seusai membaca, dia menarik nafas lega. Kalau tidak kerana Taufiq yang menegurnya, sudah pasti dia tebal muka dengan semua pelajar lain di dewan kuliah tersebut.

‘Fuh, Nurul-Nurul. Masa-masa genting macam nilah prof suruh aku membaca’ bisik Rizal di dalam hati. Dia ketawa sendirian. Fikirannya kembali teringatkan Nurul.

Bersambung..

[Usah Jemu Memberi]

1 Response so far.

  1. bismillah. alhamdulillah. assalamualaikum.

    maaf saya nak komen.
    harap boleh terima secara terbuka.

    tidak dinafikan rasa suka dan cinta pada seseorg sebelum kahwin.

    tapi jgnlah dibesar2kan hingga mnejadi novel. pada sesiapa yg membaca, tp sudah berumah tangga, mungkin tiada masalah. tapi yg belum, lalu membacanya..maka siapakah manusia yg lemah ini yang dapat mengawal hati dan perasaan?

    utk apa dibesarkan? utk membenarkan kita sebagai muslimin atau muslimat mengatakan..-'oh, x apalah suka pada org, tolong dia, ingat dia dalam hati, walaupun dia bukan mahram saya-asalkan utk perjuangan islam'

    perjuangan apa yg saudara ingin ketengahkan?

    saya faham juga perjuangan itu. tetapi apa salahnya jika diketengahkan terus 'perjuangan' saudara itu, jika boleh dikatakan perjuangan (yakni, sanggup masuk lokap, stadi terganggu, sedangkan objektif perjuangan itu PERLU didasari manhaj yg sahih, saudara lebih tahu krn saudara belajar agama).

    pandangan saya, ubahlah sikit tema itu. pada saya, saya boleh membaca novel yang menetapkan perjuangan, tp sekiranya boleh (saya doakan allah bg saudara kekuatan utk itu), jauhkan dari tema sebegini.

    tanamkan cthnya bagaimana seorg muslim yang jahil, menuntut ilmu dan menerima cabaran dari ahli keluarga utk membuat perubahan pada diri. ceritakan bagaimana dia berdepan dgn keluarga, terutama mak dan ayahnya. penerimaan kawan2 atas perubahannya. dan jangan lupa selitkan ayat quran, hadeeth sahih dan pemahaman sahabat di dalam cerita saudara.

    ilmu..ilmu yg perlu ditekankan, saudara. bukan emosi semata2.

    sekadar komen dan cadangan. saya tidak kisah juga jika saudara tidak berminat utk melaksanakannya. tapi tjawab saya untuk menegur dan memberikan alternatif.

    wallahu'alam~