Anak kecil itu semakin berusia, wajahnya tak ubah seperti arwah ibunya, Suhaila. Alis dan matanya seumpama jelmaan Suhaila. Irasnya akan mengingatkan Zaid pada Suhaila yang telah lama pergi. Anak sekecil itu tidak pernah merasai kehadiran seorang ibu dalam hidupnya. Hingga usianya menjangkau 5 tahun, dia belum pernah mengenal isiapakah yang melahirkannya. Pada Zaid, anak itulah yang menjadi pengubat duka dan pemanis seri sepanjang menjalani kehidupan sebagai seorang bapa. Adakalanya, telatah Suhaili mengundang ketenangan di jiwanya.

Suhaili & arwah Suhaila - bagi Zaid kedua-dua insan itu adalah sama.

Anak itu sungguh cerdik dan pintar. Mungkin kerana dia dipaksa berdikari dalam usia sekecil itu menjadikan dia mudah ramah dengan sesiapa sahaja.

Kehadiran Salwa, mulai merubah sebuah keharmonian. Disangka cerah akan sampai ke petang, rupanya hujan ditengah hari. Pelangi yang muncul tidak berseri warnanya seperti selalu.

Salwa tidak dapat menerima hakikat bahawa dia seorang isteri yang tidak mampu menghadiahkan zuriat buat Zaid. Hati siapa yang tidak luluh bila dikhabarkan dengan berita itu, kerana itu sajalah jasa seorang wanita kepada seorang suami.

Hari demi hari, Salwa mulai berubah sikap. Cintanya kepada Zaid semakin pudar, kasih dan sayangnya kepada Suhaili berubah kebencian. Ketika anak kecil itu belum mengerti apa-apa tentang perasaan, dia dihukum dengan sebuah kasih sayang yang didambakan oleh seorang anak.

Arwah Suhaila – wajah itu kerap muncul dalam mimpi Zaid, sesekali wanita itu menyuntikkan semangat buat suami yang lebih dahulu ditinggalkan. Zaid yakin, arwah semakin tenang di alam sana, kerana setiap kali wanita itu muncul di dalam mimpinya, dia hanya tersenyum sambil melirikkan matanya.

Akhirnya, Zaid harus tahu dan sedar bahawa cintanya tidak akan dicurahkan buat sesiapa selain kepada wanita yang bernama Suhaila untuk hari ini dan jua selama-lamanya.

0 Responses so far.