MEMBERSIHKAN PERSEPSI BURUK TERHADAP HUDUD

Ketika ini, dan beberapa tahun sebelum hari ini, isu hudud telah dimomokkan sebagai hukuman yang amat menyeramkan. Lalu ia digambarkan dengan suatu gambaran yang meragut hak asasi manusia sehingga masyarakat yang jahil mula mengiyakan berdasarkan kecetekan ilmu lojik akal semata-mata.

Hudud difahamkan sebagai hukuman yang zalim, bukan lagi hukuman kepada mereka yang zalim.

Yang mencuri dipotong tangannya, yang berzina disebat atau direjam dengan batu!

Seksa dan menyeramkan! Inikah Islam?

Segolongan yang lain mula tertanya-tanya akan keindahan yang ingin dibawa oleh Islam. Mengapa begitu keras sekali hukuman Islam?

Soal keadilan tidak boleh dinilai mengikut lojik akal semata-mata, akan tetapi manusia yang lemah seperti kita memerlukan jagaan dan kawalan daripada Tuhan (empunya manusia) untuk membawa kesejahteraan. Kawalan itu berbentuk panduan khas yang dicipta ALLAH untuk memandu hidup manusia. Al-Quran & Sunnah adalah rujukan hidup yang relevan walaupun terpaksa mengetepikan soal lojik akal.

Lembu tidak akan mampu menjaga lembu-lembu yang lain melainkan yang berkuasa menjaganya adalah tuan lembu itu sendiri. Dia lebih mengetahui apa yang diperlukan oleh lembu-lembu di bawah jagaannya.

Selama-mana Hudud tidak dipraktikkan dan ditonjolkan kepada masyarakat tentang gambaran sebenar, selagi itulah persepsi buruk terhadap Hudud akan bermain diminda masyarakat dengan kefahaman yang salah.

Akhirnya, masyarakat yang jahil (terutamanya) atau yang bukan Islam akan melabelkan Hudud sebagai hukuman zalim yang bakal menatijahkan kesan negatif kepada masyarakat. Pencuri yang dipotong tangannya akan menjejaskan produktiviti Negara dan lain-lain lagi tanggapan buruk. Semua persepsi seperti ini harus dibersihkan terlebih dahulu sebelum hudud dapat dilaksanakan.

Maka, tidak lain dan tidak bukan, kefahaman tentang hukuman hudud dan praktikalnya harus segera dikuatkuasakan supaya tanggapan negatif terhadapnya tidak menjadi semakin buruk sehingga boleh menyebabkan seluruh isi kandungan Islam akan ditolak oleh masyarakat terutamanya non-muslim.

Seluruh tanggungjawab pembersihan, kefahaman dan praktikal adalah terletak dibahu kerajaan dan pimpinan yang mentadbir Negara. Operasi pembersihan ini harus dimulakan dengan kefahaman seterusnya ditonjolkan dengan praktikalnya. Kerelevanan hukuman hudud akan dilihat sebagai suatu yang indah jika masyarakat sudah mulai faham akan konsep dan matlamatnya.

Islam itu indah dengan pengamalan yang bukan sekadar teori.

HUKUMAN, PENCEGAHAN & KESEJAHTERAAN

Berbalik kepada topik perbincangan.

Oleh kerana Islam itu agama yang bukan sekadar ritual, ia melandasi manusia dengan cara hidup supaya manusia mampu menjalani kehidupan dengan terpimpin. Islam menyediakan peraturan hidup yang tersusun, pengurusan hidup yang stratergik, pengawalan hidup yang sesuai dengan fitrah dan memenuhi segala keperluan serta kehendak manusia yang akhirnya akan menjurus kepada kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Apa yang diperlukan oleh manusia semuanya terkandung dalam Islam. Hudud juga salah satu keperluan manusia untuk kesejahteraan hidup di dunia.

Hudud dilaksanakan demi memelihara kebajikan manusia seperti yang disebutkan di dalam rukun maqasid-syar’iyyah. Kalaupun ia dilihat seperti suatu yang menyeksakan tetapi ia bukan pedoman utama untuk menilai keberkesanan sistem hukuman ini. Potong tangan tidak boleh dijadikan sebagai kayu ukurnya, apa yang diambil kira adalah kesannya.

Melalui kaedah “menanggung mudhorat kecil untuk mengelakkan kemudhorotan yang lebih besar berlaku” hukuman hudud itu dilaksanakan. Dengan kata lain, seorang pesalah itu dihukum untuk mewujudkan manfaat yang lebih besar kepada puluhan ribu masyarakat yang lain iaitu keamanan.

Oleh itu, prosiding hukuman bukan menjadi ukuran utama kepada pelaksanaan hudud, tetapi kesan hukuman adalah kayu ukur utama yang perlu dilihat.

Hukuman sivil juga mempunyai prosiding tersendiri dalam menjatuhkan hukuman kepada pesalah, tetapi sejauh mana hukuman tersebut mampu menghasilkan kesan yang positif kepada masyarakat sekeliling.

Persoalannya, adakah semua bentuk hukuman kepada pesalah itu harus dilabelkan sebagai zalim?

Jawapannya: Tidak.

Kerana semua bentuk hukuman pastinya tidak akan lari daripada bentuk penyeksaan kepada pesalah. Itu adalah prinsip hukuman. Yang bersalah mesti dihukum. Kewajaran bentuk hukuman itu pula bergantung kepada kesalahan yang dilakukan oleh penjenayah. Pokoknya adalah pesalah itu harus dihukum dengan adil.

Apa yang mahu dibawa oleh hukum hudud bukan sekadar menghukum pesalah tetapi, bagaimana dengan hukuman yang dijalankan mampu mendidik masyarakat dan mewujudkan suasana keamanan serta kesejahteraan. Ia tidak mungkin ada dalam mana-mana hukuman termasuk sivil.

Hudud dilihat sebagai satu bentuk hukuman yang istimewa kerana ia mengandungi beberapa elemen berikut:

1. Hukuman – Menghukum pesalah yang melakukan kezaliman dengan adil.

2. Mendidik – Mendidik masyarakat mengenal dosa dan pahala melalui ancaman & hukuman yang berat.

3. Mencegah – Mencegah daripada berlaku kezaliman (jenayah) yang seterusnya yang akhirnya akan mewujudkan suasana keamanan dan kesejahteraan dalam masyarakat.

Apabila 3 elemen ini mampu dihasilkan dalam satu bentuk hukuman, maka hukuman tersebut boleh dianggap relevan dan mesti dipraktikkan. Justeru, dalam mana-mana jenis hukuman, prinsip seperti ini perlu diteliti. Hudud mengambil kira pelbagai aspek kemanusiaan, keadilan dan kesejahteraan sehingga pendekatan hukuman yang dijalankan adalah tidak tertakluk kepada pesalah semata-mata.

USAHA KEFAHAMAN & SURVIVOR ISLAM

Lewat ini, kita gagal mencerminkan keindahan sebenar tentang hukuman hudud, jika tanggapan buruk ini terus berleluasa tanpa adanya usaha memahamkan masyarakat dengan kedudukan yang sebenar, realiti hudud akan terus berkubur. Kalaupun hudud masih belum mampu dilaksanakan dalam sebuah Negara Islam, usaha memahamkan masyarakat terhadap hakikat hudud tidak boleh dihentikan.

Jika masyarakat terus difahamkan dengan wujudnya sistem hukuman Islam, maka keamanan lebih terjamin dan berpanjangan.

Namun begitu, adalah lebih baik dan praktikal jika sepanjang usaha memahamkan masyarakat tentang hudud ia digabung jalinkan dengan praktikal agar teori yang dipelajari dapat dilihat secara realiti oleh masyarakat.

Disaat ini, masyarakat mungkin hanya terbayang-bayang akan kesakitan seorang pencuri ketika dipotong tangannya sebagai satu penyeksaan (kezaliman), tetapi lebih jauh daripada itu, kita mahukan masyarakat melihat kepada kesan hukuman yang dijalankan seperti tertegahnya jenayah mencuri dan wujudnya keamanan dengan tiadanya jenayah.

Semua jenis hukuman tidak akan lari daripada bentuk penyeksaan terhadap pesalah dengan tujuan membaiki diri pesalah, tetapi apa yang mahu diambil kira adalah, hukuman manakah yang paling relevan dan mampu menghasilkan keamanan serta kesejahteraan kepada manusia secara berpanjangan. Yang paling utama adalah dengan adanya hukuman tersebut, ia mampu mendidik masyarakat untuk tidak melakukan jenayah.

Agama Islam tidak akan syumul tanpa dilengkapi dengan sistem hukuman yang bersifat mendidik seperti ini. Ketika hukuman dilaksanakan terhadap pesalah, dalam masa yang sama ia mendidik masyarakat untuk tidak bersekongkol dengan kerja-kerja jenayah. Islam itu sifatnya memandang jauh, hukuman yang dianjurkan bukanlah semata-mata untuk pesalah, tetapi jua untuk manusia lain agar tidak melakukan kesalahan yang sama.

PENUTUP

Kembali kepada Islam adalah penyelesaian hidup yang paling efektif, kerana ia bukan peraturan hidup yang direka oleh manusia tetapi cara hidup yang disusun oleh Tuhan yang menciptakan manusia. Ketika manusia gagal memikirkan jalan penyelesaian kepada permasalahan, Islam adalah jalan terbaik untuk merungkaikan kekusutan itu.
Segala-galanya terkandung dalam Al-Quran dan Sunnah.

[USAH JEMU MEMBERI]

0 Responses so far.