panduan

Idea oleh Mohd Afiq Mohd Saleh Thursday, August 21, 2008 at 9:23 PM 0 Comments



Cinta Enta dan Enti

cerita asal: Maszlee Malik

Ketika sedang membelek-belek beberapa helaian di halaman Majalah i, saya tertarik pada satu rencana, padat dan menarik untuk saya kongsikan bersama-sama pembaca sekalian, khususnya pada golongan "ustaz/ustazah", selamat membaca...

"Sesungguhnya mukmin itu bersaudara" (Surah al-
Hujurat:ayat 10)

"Tidak beriman seorang muslim itu sehingga dia
mencintai saudaranya sepertimana dia mencintai
buat dirinya" (Hadis Riwayat al-Bukhari)


Cinta Remaja Dakwah.

Sebagai seorang pensyarah di IPT yang bergelar
ustaz, penulis mempunyai peluang yang menarik
untuk bercampur dengan para pelajar yang
menempuh zaman muda belia mereka. Pelbagai
masalah, isu dan juga pengalaman yang mereka
bawa untuk dibincangkan. Antara perkara yang
sering dibawa berbincang ialah persoalan cinta. Alaf yang
serba unik telah menyaksikan bagaimana para
remaja dan belia dakwah tidak dapat lari dari
fenomena cinta. Menariknya, cinta yang mereka
alami ini telah di"Islamik" kan seperti mana bank-
bank, institusi-institusi kewangan lain diislamkan.
Maka timbullah istilah "Cinta Ukhuwwah". Ayat-ayat
dan hadis-hadis sering dijadikan alat untuk
menjustifikasikan apa yang dilakukan. Menarik lagi
gejala ini menular di kalangan mereka yang
berkopiah, berserban, bertudung litup, naqib-
naqibah usrah dan mereka yang menggunakan
ganti nama "ana - anta dan ana - anti".

Sms,Yahoo Messenger, email dan lain-lain
kemudahan perhubungan era ICT telah menjadi
penghubung utama cinta "anta-anti" ini. Ia lebih
selamat, kerana tidak perlu berdating seperti
pasangan yang tidak Islamik. Tidak perlu membazir
tambang teksi, tambang bas dan juga membazir
membeli kertas kajang berbau wangi dan dakwat
yang berwarna-warni seperti mana halnya anak-
anak muda lain yang jauh dari arus kebangkitan
Islam. Bermula dengan kata-kata tazkirah, berakhir
dengan ikon senyuman, teddy bear dan kadang-
kadang gambar wanita bertudung.

Malah ada yang menjadikan kehadiran di seminar-
seminar, kursus-kursus dan juga wacana-wacana
ilmiah sebagai peluang untuk berjumpa. Bagi yang
aktif berpersatuan pula, mesyuarat-mesyuarat dan
aktiviti-aktiviti persatuan sering menjadi medan
pelepas rindu. Alahai...kreatif betul anak-anak
muda dakwah alaf baru ini.

Fenomena yang berlaku ini dimeriahkan dan
dikosmetikkan lagi oleh nasyid-nasyid Melayu yang
berpaksikan cinta muda-mudi. Klip-klip video nasyid
pun, tajuk-tajuk yang bombastik berbau cinta
asmara. Hakikatnya, fenomena cinta "anta-anti" ini
semakin ketara dan semakin rancak. Ada yang
berakhir dengan perkahwinan, dan ada juga yang
kecewa di pertengahan jalan, dan tidak kurang
juga yang telah menjerumuskan kedua-dua
pasangan ke lembah maksiat. wal'iyadhubillah...


Salah Faham Ukhuwwah fillah

Teringat juga penulis kepada satu fenomena
apabila seorang siswi datang mengadu dia diusik
oleh Pak Lebai. Bukan sekadar sms, kad ucapan
hari lahir, kad hari raya, malah sejambak bunga
ros di hari lahir juga telah dikirimkan oleh Pak Lebai
tersebut.Tidak tahulah penulis apakah tanggapan
masyarakat terhadap fenomena seumpama ini.
Yang pasti di setiap kad, sms dan di jambangan
bunga tersebut terukir kata-kata "Ukhuwwah fillah
kekal abadi..".sekali lagi makna ukhuwwah disalah
gunakan.

Satu kes yang lain pula, seorang siswa meluahkan
kekecewaannya apabila dihampakan oleh seorang
siswi yang satu "jemaah" dengannya. Beliau tidak
sangka setelah berpuluh-puluh minggu mereka
bertukar-tukar sms dan tazkirah melalui email,
akhirnya siswi tersebut bertunang dengan orang
lain yang juga satu "jemaah" dengan
mereka.Aduh..lagi hebat daripada filem "Love
Story" yang pernah popular di tahun-tahun 70'an
dahulu. Yang pasti, sekali lagi tema "ukhuwwah
fillah" menjadi "camouflagde" ke atas perhubungan
antara dua jantina yang ada kesedaran Islam ini.

Dalam satu insiden yang lain pula, seorang siswi
pernah meminta pendapat penulis. Seorang
seniornya yang sedang menuntut di dalam IPT yang
sama dengan beliau telah bersungguh-sungguh
melamarnya. Walaupun telah ditolak lebih 20 kali,
namun si teruna terus melamarnya juga.Sekali lagi
slogan "ukhuwwah fillah" menjadi lapik dan
dijadikan bahan ugutan. Jika si siswi tadi menolak
lamarannya, maka hatinya akan hancur, dan ia
bertentangan denga mafhum hadis tadi. Oleh
kerana bersimpati dengan si senior tersebut, si
siswi terpaksa menerima lamaran itu. Menarik
bukan "trend" percintaan golongan anta-anti ini.

Seorang siswa juga pernah meluahkan
kemarahannya ke atas naqib usrahnya di bilik
penulis. Mengapa tidak, tatkala di dalam usrah,
berkepul-kepul dalil dan fikrah yang dibawanya.
Sampaikan ketika pertukaran ke usrah lain, si naqib
meminta siswa tadi agar berbai'ah untuk kekal di
dalam perjuangan dan tidak menyertai jemaah lain.
Sayangnya, di dalam perjalanan balik kampung,
siswa tersebut nampak sang naqib berjalan
berpegangan tangan dengan naqibah sekelas
mereka...ini yang paling menarik.Lebih hebat lagi,
kedua-dua mereka lengkap dengan aksesori
berkopiah dan bertudung litup. Jika di zaman 70'an
dahulu nescaya apa yang dilakukan oleh sang naqib
dan naqibah tersebut bakal menerima cop "kafir"
dari pendukung gerakan dakwah yang lain.

Di satu sudut yang lain pula, seorang siswa yang
sering menceritakan kehebatan "Abuya"nya kepada
penulis, juga tidak dapat lari dari fenomena cinta
anta-anti ini. Penulis amat kagum dengan siswa
yang sering muncul dengan baju Melayu berkancing
dan juga songkok berwarna-warninya ini. Matanya
yang bercelak sahaja sudah cukup untuk rakan-
rakan yang lain hormat kepada beliau. Sayangnya
atas takdir Allah, ketika penulis berkunjung untuk
menziarahi beliau, penulis ternampak gambar
seorang Muslimah menghiasi desktop komputer
peribadinya. Ditanyakan sama ada itu adik, kakak
ataupun emaknya atau mungkin neneknya, beliau
menafikan. Beliau terpaksa mengaku bahawa itu
adalah "kawan"nya. Yang hebatnya, tertulis di
sebelah keayuan wajah gadis tersebut "Ukhuwwah
fillah membawa ke Jannah".

Persoalannya, adakah fenomena ini sihat? Adakah
ia sudah cukup islamik? Atau penulis yang
ketinggalan zaman sehingga naif terhadap trend
muda mudi masa kini? Ataupun fiqh Islamiyy juga
perlu diubahkan untuk disesuaikan dengan
perubahan semasa. Di dalam artikel yang terhad
ini, penulis tidak berhajat untuk memberikan
hukuman mahupun pandangan terhadap fenomena
yang menarik ini. Biarlah para pembaca membuat
penilaian mereka terhadap "sihat" atau tidak
sihatnya budaya ini. Semoaga ada di kalangan
pembaca yang akan dapat memberikan pandangan
yang rasional serta boleh diwacanakan.

(Diperolehi daripada Majalah i edisi Bulan Februari)

0 Responses so far.