aduhai...DEBAT


Berkali-kali Dato’ Seri Anwar Ibrahim (selepas ini penulis menyebut sebagai Anwar shj), menyebut dan menegaskan bahawa penurunan kadar harga minyak sebanyak 50 sen adalah sebagai langkah awal untuk “mengurangkan bebanan rakyat”, namun lihat sahaja respon pada Datuk Ahmad Shabery Cheek (Menteri Penerangan Malaysia) seolah-olah beliau hanya melihat perkara/isu ini dengan ‘sebelah mata’. Seawal perdebatan hingga ke hujung sesi itu, tidak sedikit pun Dato’ Shabery meletakkan situasi rakyat berada di hadapan (akan saya dikupas sebentar lagi), yang hanya diulang-ulang adalah bagaimana mahu menampung kerugian Negara sekiranya harga minyak diturunkan kelak. Saya bingung.

Suka saya memfokuskan di sini adalah istilah mengurangkan bebanan rakyat. Isu inilah yang dititik beratkan oleh Saudara Anwar sejak dipermulaan debat. Tidak kira dilontarkan dengan isu apa sekalipun Anwar cepat-cepat akan mengaitkannya dengan isu bebanan rakyat/masyarakat. Benar.!!

Terlau awal untuk saya mengeluarkan pandangan & bicara seperti ini, mungkin kerana terlalu obsess dan beremosi dengan debat kelmarin, saya berkobar-kobar untuk menulis sesuatu yang bersifat umum ini.

Secara peribadinya saya cukup kagum dengan sikap dan prinsip Anwar semalam, bagi saya dia adalah ‘sama’ tidak kira di mana, mempertahankan hak dan kesusahan rakyat adalah ‘tugas’ dan tanggungjawab utama beliau di dalam sosialnya berpolitik. Tidak hairanlah beliau adalah salah seorang tokoh dan ikon yang saya pandang tinggi sebagai pendebat dan pemidato yang terhebat. Saya tertarik juga dengan keupayaan beliau mempertahankan pendirinnya walaupun diasak dengan serangan peribadi oleh Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Secara keseluruhannya, saya menggulung debat kelmarin kepada beberapa isu penting yang perlu dikupas dan rasionalnya. Ini adalah kritikan saya:


a. Tiada Pembelaan Terhadap Kesusahan & Kepayahan Rakyat:

Saya tidak mahu menyalahkan Menteri Penerangan itu secara total dan seratus peratus kerana hujah dan fakta beliau juga ada benarnya, namun keimbangan beliau dalam menyampaikan hujah beliau itu tidak sepatutnya begitu, meletakkan rakyat di belakang adalah bukan selayaknya bagi seorang pimpinan. “Negara nombor satu, dan rakyat bukanlah nombor dua”, tentunya sahabat sekalian pernah mendengar ungkapan ini, tetapi yang didengari semalam adalah sebaliknya. Datuk Ahmad Shabery Cheek tetap mempertahankan hujah beliau seolah-olah kemajuan ekonomi itu yang terutama tanpa memandang situasi rakyat juga adalah sebagai bahagian yang tidak terkecuali daripada aulawiyyat itu.

Betullah, sekiranya Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata demikian, namun memandangkan yang menjadi mangsa keadaan setelah harga minyak melambung tinggi adalah rakyat jelata, isu rakyat ini tidak harus diketepikan dan perlu didahulukan. Saya memandang ‘rakyat’ dan ‘ekonomi’ adalah dua mekanisma penting yang sentiasa berganding dalam memacu sesebuah Negara ke arah yang lebih maju. Adalah suatu yang tidak seimbang sekiranya kedua-dua item ini tidak wujud dan stabil lebih-lebih lagi kepada Negara Malaysia sebagai pengeluar minyak antarabangsa. Ya, sebahagian hujah menteri itu saya bersetuju, manakan tidaknya, sekiranya ekonomi mundur rakyatnya juga turut terjejas dengan situasi itu, sekiranya rakyat terjejas maka ekonomi juga akan mundur, dan begitulah sebaliknya siratan itu berlangsung. Kedua-duanya adalah sama penting dan bergerak seiring, tetapi mana satu yang perlu di dahulukan?? Adakah kepentingan ‘kroni’ termasuk sekali..?

Puas saya cuba memahamkan istilah-istilah yang digunakan oleh dua pendebat semalam, namun tidak semuanya berjaya difahamkan. Saya terus menumpukan terhadap sesi debat itu.

Memetik kata-kata Datuk Ahmad Shabery Cheek semalam, harga minyak yang naik adalah disebabkan kedudukan harga minyak global, sekiranya harga minyak diturunkan maka Malaysia akan turut terkesan dengan kadar inflasi, itulah lontaran beliau sejak dipermulaan debat dan turut dijadikan sebagai ice breaking. Kalau tidak istilah inflasi beliau akan menyebut pula kalimah subsidi.

Soal bayaran insentif dan subsidi bukannya menjadi perkara pokok setakat ini, hal itu sememangnya sudah menjadi tugas dan tanggungjawab kerajaan yang memimpin untuk melunaskan, tetapi yang menjadi kayu ukurannya ialah kenaikkan harga minyak yang amat mendadak sehingga membatasi kesanggupan rakyat untuk terus mendepani kos hidup yang tinggi. Kata Anwar kerajaan hanya menampung anggaran satu billion sahaja sekiranya minyak diturunkan sebanyak 50sen, itu pun sukar untuk ‘kerajaan’ berkorban?? Sedangkan banyak lagi hasil-hasil bumi yang mampu digunakan oleh kerajaan untuk menampung dan mengukuhkan ekonomi Negara Malaysia selain menaikkan harga minyak (terlalu tinggi), juga dalam masa yang sama kita sebagai pengeksport minyak, tidak mustahil semua ini!!


b. Tidak Menjawab Kehendak Soalan dengan Tepat dan Memutar-belitkan Fakta

Kebanyakkan isu yang dijelaskan oleh Datuk Ahmad Shabery Cheek adalah bersifat terkeluar daripada kehendak penyoal dan cuba melarikan diri dari jawapan sebenar, bagi saya beliau tidak menjawab persoalan yang diajukan apatah lagi tentang kupasan isu. Tidak kiralah samada beliau ditanya oleh wakil pendebat Anwar dari Akhbar Siasah dan seorang Profesor (saya terlupa namanya) atau perantara debat (Dato’ Johan), jawapan beliau pasti meleset, seolah-olah mahu lari daripada fakta. Sudahlah sesi debat berada dalam keadaan berat sebelah, ini pun masih mahu menipu..?

Misalnya dalam sesi ketiga tidak silap saya, Anwar mengajukan soalan mengapakah media selalu memutar-belitkan fakta terhadap rakyat dalam setiap isu (terutama isu minyak), namun jawapan yang diberikan oleh menteri itu jauh meleret-leret kepada isu lain, membangkitkan isu kegawatan semasa pemerintahan Anwar dahulu, dan sebaginya. Cuma di akhir-akhir jawapannya barulah beliau menyelitkan respon tetapi langsung tidak menepati.

Reaksi ini juga dirasakan oleh sebahagian penonton yang hadir di Balai Budaya Tun Syed Nasir DBP semalam, Ketika ditanya Ahli Parlimen PKR Kulim Bandar Baru, ZULKIFLY NOORDIN berkata: “ Apa yang Anwar sampaikan semua sudah jelas. Apa yang diperdebatkan tidak berkenaan soal minyak, sebaliknya terlampau menyentuh perkara peribadi dan membangkitkan isu lama. Apa yang BN katakana hanyalah omongan kosong dan tidak jelas…”. Saya juga berpendapat sedemikian, dua kali saya menonton sidang debat kelmarin samada siaran secara live dan tertunda, saya tetap tidak dapat menangkap jawapan yang diberikan oleh Datuk Ahmad Shabery Cheek itu bahkan diputar belitkan hujahnya. Kesimpulannya ia tetap tersasar.


c. Pujian Terhadap Keterbukaan Pihak Kerajaan

Barulah kita dapat berbangga dengan sedikit sikap keterbukaan Kerajaan Malaysia dalam mendepani isu-isu semasa, langkah kerajaan mengadakan debat seperti ini harus dipuji kerana memang ini sahajalah ruang media yang ada untuk Pakatan Rakyat menjelaskan hal & situasi yang sebenar kepada rakyat dan penyokong. Kalaulah ruang bicara seperti ini disekat atau dikuasai oleh setengah pihak sahaja, di manakah demokrasi yang selalu di uar-uarkan oleh kerajaan? Media elektronik, media cetak dan sebagainya semua ini telah dieksploitasi oleh kerajaan sepenuhnya, pembangkang hanya terbatas dengan ruang yang kecil dan sempit untuk berkomunikasi bersama masyarakat.

Ruang dan cara berdebat ini telah lama dicadangkan oleh pihak pembangkang, tetapi tiada respon yang positif daripada kerajaan. Kalau ada pun ketika Ustaz Zaharuddin menjawat jawatan sebagai pengerusi GAMIS duhulu, membincangkan tentang isu wajarkah mahasiswa berpolitik. Sehingga kini barulah nampak hasilnya.

Biarpun pada awalnya Anwar secara terbuka berkata agar debat ini diadakan di antara beliau dengan Pak Lah atau Dato’ Seri Najib, namun yang hadir ini pun sudah cukup untuk membuktikan ‘kejantanan’ pihak kerajaan (Barisan Nasional), mungkin mereka berdua sibuk dengan diskusi peralihan kuasa mereka tanpa sempat untuk menghadiri debat kelmarin. Apa pun Tahniah sekali lagi untuk kerajaan Malaysia.

Walaupun saya kira debat ini berlaku dalam keadaan berat sebalah, masa yang terbatas dan singkat sehingga tidak cukup untuk menjelaskan banyak lagi perkara-perkara yang penting, baru Anwar mahu menutup muqaddimahnya, loceng sudah berbunyi, kemudian di api-apikan lagi dengan serangan peribadi. Ini semua adalah stratergi untuk menghalang Anwar daripada berkata dan mengolah tentang fakta-fakta sebenar. Cukup licik..!! ibarat “bermain golf di gelanggang futsall” tak boleh nak pukul jauh-jauh, bimbang outside dan fall. Terhad, terbatas dan dikawal.

Konklusinya, kerajaan perlu cepat bertindak selepas isu debat harga minyak ini berlangsung, sekiranya tidak rakyat akan terus bersuara tidak kiralah di jalanan atau di mana-mana sekalipun. Suara rakyat adalah suara keramat, yang bisa merubah segala-galanya (dengan izin ALLAH). Jangan biarkan rakyat dalam kesempitan dan penderitaan yang berpanjangan, kerna yang akan disoal mula-mula sekali di akhirat kelak ialah golongan umara’. Tidak kiralah samada pemimpin Negara, persatuan, masyarakat, keluarga dan sebagainya. Semua taklifan ini akan diteliti oleh ALLAH satu persatu. Renung dan Fikirkanlah..

Akhirnya,
Terima Kasih Dato’ Seri Anwar Ibrahim… Terima Kasih Datuk Ahmad Shabery Cheek, terima kasih daun keladi, ada masa bertemu lagi kalian…


afiqsa
gombak,selangor
selasa-1425pm-160708

p/s: kalau lah pak-pak menteri rasa dan tau yg RM10 tu tak cukup untuk penuhkan satu tangki minyak bg motor Kriss, nescaya harga petrol mungkin takkan naik mendadak...


1 Response so far.

  1. What is even harder to Abercrombie clothing come by than cheetah print curtains? abercrombie Jeans Cheetah print clothing. Shirts, jackets, Abercrombie Pants or pants that have cheetah Abercrombie Tees Spot patterns on them are very niche item and Abercrombie Shorts hence are not very easy to come by. If you're looking for clothing with this pattern, Abercrombie Sweaters you will have to go on specialty online stores, or you will have to make them yourself. If you want to purchase cheetah clothing, your best bet is the internet; however, if you're aiming to make the clothing yourself, you can find the designs in many fabric stores.