Kisah I (Ibu)

Sedang leka dia bermain, terdengar akan ibunya memanggil namanya berulang-ulang. Feelnya terhenti seketika. “Ya, ibu?” segera dia mendekati ibu yang berada di dapur. “tolong mama sapukan halaman?” “Hmm..” balasnya dihujung bibir. Ibu hanya memerhati gelagat Irfan dari jauh, semacam mahu tidak mahu Irfan menyapu. “Sudah siap sayang?” Dia mengangguk malas. “tolong mama potongkan sayur pula?” sengaja si ibu menduga sekali lagi. “Hmm..” Irfan hanya menjuihkan bibir. Seusai kerja Irfan cepat-cepat berlari ke bilik menulis sesuatu di atas kertas. (sapu halaman RM0.50, susun kasut RM0.50, potong sayur RM1.00, jumlah semuanya RM2.00) “terima Kasih sayang tolong mama,” sahut ibu dari jauh. 5 minit berlalu Irfan muncul di hadapan ibunya menghulurkan sehelai kertas kepada si ibu. Si ibu mencapai kertas dan membaca, lalu ibu tersenyum. Lantas ibu menulis sesuatu juga dibelakang helai kertas tadi, lalu dihulurkan bersama jumlah wang yang Irfan mahu RM2.00. Di ruang tamu Irfan membaca kembali apa yang ibunya tulis tadi. (mengandungkanmu-percuma, melahirkanmu-percuma, menyusukanmu dan membesarkanmu-percuma, menjagamu ketika sakit-percuma, mendidikmu-percuma, segalanya untukmu-percuma). Irfan tersenyum kecil, tanpa disedari air matanya mengalir di pipi. Saat ibunya sedang sibuk di dapur dia mengucup pipi si ibu. “terima kasih, mama”


Kisah II (Ayah)

Dari jauh Irfan memerhati ayahnya sedang membelek-belek sehelai kertas, dia merapati si ayah. “Papa sibuk?” Tanya Irfan “Kenapa sayang?” “siang tadi cikgu minta murid-murid bayar yuran UPSR, kawan-kawan Irfan semua dah bayar kecuali Irfan,” si ayah mula memahami maksud si anak tadi. Si ayah mengeluh kecil, Irfan nampak ayahnya memicit-micit dahi. “bila tarikh akhirnya Irfan?” “Minggu ini, kalau tidak Irfan tak boleh ambil periksa,” balas Irfan. “Boleh tangguh sikit masa lagi? Nanti bila gaji ayah dah masuk ayah bayarkan,” Mendengar jawapan begitu dari si ayah Irfan terus berlalu meninggalkan si ayah, merajuk dan marah. Dari jauh Irfan nampak ayah berbincang sesuatu dengan ibu di dapur. Ibu juga asyik mengeleng-geleng. Namun Irfan tidak peduli, dia mahukan juga duit itu. Rajuknya tadi terbawa-bawa sehingga dia tertidur di ruang tamu. Keesokkan harinya Irfan ke sekolah tanpa duit yuran di tangan. Pulang dari sekolah irfan terus mencari-cari ayahnya. “Irfan cari siapa?” Tanya si ibu. “Papa,” “Papa ke sekolah bayarkan yuran periksa Irfan,” balas si ibu. “Mana motor papa?” soal Irfan lagi. “Papa kata dia jualkan sekejap sementara mahu dapat duit gaji,” Tersedu hati Irfan mendengar jawapan ibu, air matanya mengalir lagi...



Kisah III (Ibu)

Ketika si anak pulang ke rumah, ibunya menyambut riang, terukir senyum ibu melihat anaknya pulang. Setiap kali pulang ke rumah dia menaiki bas, itulah rutin semenjak si ayah meninggal dunia semasa umur si anak menjangkau 2 tahun. Namun si anak berwajah muram hari itu. “kenapa sayang?” soal ibu. “Mari ibu tanggalkan kasut,” tambah ibu lagi bila melihat si anak masih lagi bermuram. Dari jauh si ibu melihat si anak masuk ke bilik dengan lemah. Malam itu selepas makan malam si anak masih lagi bermuram muka, si ibu memberanikan diri bertanya, si anak hanya menggeleng lemah. Lantas si anak masuk ke bilik membawa sesuatu lalu dihulurkan pada ibunya. Barulah ibunya mengerti rupanya report card si anak tidaklah terlalu cemerlang seprti selalu. Ibu bertanya “Kenapa karangan ini markahnya sikit, anak ibukan pandai menulis,” ibunya mula mengambil hati si anak. “ “Amin tak tahu hendak menulis tentang apa ibu,” “lalu, amin tak tulis apa-apa?” si ibu hairan. Si anak menghulurkan sehelai lagi kertas kepada ibunya, kertas karangan tertulis di atasnya 5/50. Si ibu lantas membaca perlahan-lahan tajuk karangan tersebut, “KASIH SEORANG AYAH” . Si ibu lantas memeluk erat anaknya. “Tidak sayang, ibu sentiasa di sisimu, ibu akan berikan kasih untuk mu sehingga akhir hayat ibu,” air mata ibu mengalir.


Kisah IV (Ibu)

“Mari makan sayang,” panggil ibu. “kejap-kejap,” balas si anak. Ibu mendengus kecil terus menghidangkan lauk ke atas meja. Setelah semua berkumpul anak-anak ibu semuanya menikmati makan tengahari. Si ibu hanya memerhati dari jauh. “Ibu tak makan sekali?” sapa seorang anaknya. “haah, jom ah makan sama-sama ibu,” pelawa seorang lagi anaknya, mulutnya penuh dengan nasi. “makanlah dulu, ibu kenyang lagi,” balas ibu pendek. Hati ibu sejuk melihat anak-anaknya makan dengan penuh selera. “Ibu, lauk dah habis,” “mari ibu tambahkan lagi,” si anak menghulurkan pinggan. Seusai makan anak-anak ibu mula berehat, si ibu pula sibuk mengemas meja makan dan saki-baki lauk. Ketika si anak mahu mengambil air minuman di dapur, dia melihat ibunya sedang menjamah makan tengahari seorang-seorang di dapur. Dia sempat menoleh, si ibu hanya menjamah kerak nasi dan kaki ayam, saki-baki lauk yang berlebihan semasa makan tengahri tadi. Si anak menoleh pula ke arah kuali, kosong! Rupanya, lauk yang dimakan tengahari tadi sudah habis. Si ibu hanya makan dengan saki-baki lauk yang ada.



EPILOG

Ketika mendengar alunan lagu Sudirman, hati saya sungguh terharu, menghayati lirik lagu dan alunan muziknya membuat jiwa terus dibuai kesedihan.

“Ayah dan Ibu... Ayah dan Ibu...
Itulah permulaan kami,

Dapat melihat bulan dan matahari, ahaai...

Yang dikurniakan...
Dari Ilahi, ahaai...
Ayah dan Ibu... Ayah dan Ibu...
Mestilah di hormati...

Pakailah tunjuk ajar dan nasihat ahaai..

Supaya hidup, supaya hidup... Kita akan selamat...”

Itulah Ayahbonda, berkorban apa sahaja demi melihat anak-anak bahagia. Sesekali kenanglah jasa dan pengorbanan mereka. Sebesar mana pengorbanan kita belum mampu menandingi bakti mereka. Kerana itulah mereka adalah segala
PENGHIBUR, PENGUBAT DUKA, PENYEJUK HATI, PENDIDIK, PENGASUH, dan segala PENGORBANAN mereka adalah pengorbanan yang terhebat dan terbesar.

idea: my_afiq



0 Responses so far.