Ketika saya dan sahabat mahu melelapkan mata seketika di Masjid Universiti, kami didatangi oleh seorang pelajar arab. Dia hampir kepada kami.

“Assalamualaikum, Kaifa Syabab?” dia mula menyapa mesra
.

Waalaikumsalam, Alhamdulillah kheir,” balas kami. Sambil menguntum senyuman manis, dia menghulurkan sehelai kertas kecil kepada saya.


Syu hai ya sodiq? (kertas apa ini, wahai sahabat?)” soal saya sambil-sambil membelek-belek lagi kertas tersebut. Isinya saya tidak faham keseluruhan.

Oh ya, itu iklan. Sekejap lagi kita ada demontrasi untuk palestin di hadapan kuliah syariah,” balas pelajar arab tersebut. Saya masih lagi kurang faham kerana percakapannya terlalu laju. Seketika saya bertanya kepada sahabat saya di sebelah, mungkin dia lebih mengerti, lalu diterjemahkan percakapan tadi kepada saya, barulah saya mengangguk faham.

Insyaallah saufa ijii hunaak” balas saya. Pelajar arab terus berlalu pergi. Saya merebahkan diri dan terus terlelap.



Sejam setengah berlalu, saya terjaga daripada tidur kerana terdengar suara orang bersahut-sahutan sambil melaungkan takbir. Pantas saya mengemaskan beg dan berlalu keluar dari masjid. Saya terkesima seketika, melihat ratusan pelajar arab berkumpul di sekitar kawasan masjid universiti sambil melaung-laungkan PALESTIN...PALESTIN. saya berkira-kira, mahu ke kuliah atau turut serta dalam demo tersebut?? ‘Ahh, demo la, lagi pun dah nak imtihan, kuliah semestinya tiada’ duga saya.


Semangat yang Datang Tiba-Tiba

Mulanya saya tidak berniat langsung untuk menyertai demo tersebut, kalau mahupun hendak juga meninjau-ninjau sekiranya berkesempatan. Namun kemalasan tadi tiba-tiba digantikan dengan semangat berkobar-kobar yang secara spontan datang. Terdengar sahaja laungan takbir, saya terus melajukan langkah. Berdiri di tengah-tengah keramaian pelajar-pelajar arab tersebut sudah cukup untuk menaikkan roma saya. Walaupun saya tidak memahami semua slogan yang di laung-laungkan, saya terus bersama-sama mereka.



Ketika saya teringat kembali peristiwa semalam, saya hampir sebak, lebih menyedihkan jiwa saya adalah bila mendengar tentang kematian anak-anak yang tidak berdosa. GAZA sebuah bumi tenang yang sudah lama tidak dihujani peluru-peluru sesat, semalam berdarah kembali. Satu kehinaan dan kehibaan bagi kita, ketika umat ISLAM di seluruh dunia menyambut tahun baru hijrah, mereka di Palestin menyambutnya dengan deraian air mata dan lelehan darah. 290 orang terkorban dan 700 yang cedera adalah jumlah yang cukup besar dan terburuk setakat serangan yang dilancarkan terhadap umat ISLAM di Palestin. Innalillahi..


Tempikan Muslimat Pencetus Spiritual JIHAD


Seawal demontrasi lagi saya asyik memerhatikan kumpulan muslimat yang sebaris berarak di bahagian belakang. Ada yang berhijab ada juga yang bertudung biasa, namun kebanyakkannya yang berjubah dan bertudung sopan. Dengan kamera yang ada di telefon bimbit, saya sempat merakam aksi tersebut. ALLAHUAKBAR, semangat itu tidak pernah saya dapat ketika berada di tanah air, Malaysia. Laungan dan tempikan mereka itu meremangkan darah saya. Apa tidaknya, sambil berarak, mereka tidak putus-putus melaungkan slogan-slogan laknat ke atas Israel dan doa-doa kepada Palestin walaupun ketika itu pihak muslimin sudahpun keletihan. Tidak cukup sekadar itu, ekxtreme dan kekuatan mereka seolah mereka itu sedang berada di Tanah Palestin. Saya tidak bermaksud untuk membeza-bezakan Muslimat kita dengan muslimat di sini (Jordan/Palestin), namun apa yang saya ingin luahkan adalah, semangat ini tak pernah saya perolehi di Malaysia, samada ketika demontrasi atau apa-apa tunjuk perasaan.




Bagi saya,semangat Ikhwah mereka terlalu kuat diikat oleh kesusahan dan penderitaan sehingga apabila mereka meluahkan perasaan dalam demontrasi tersebut, mereka adalah sebahagian daripada mangsa pengorbanan Israel. Sejujurnya saya amat mengagumi muslimat-muslimat ini, keberanian, kesanggupan dan kekuatan mereka amatlah luar biasa. Satu slogan yang masih terngiang-ngiang sehingga kini (blog ini ditulis) dan menyemarakkan semangat saya “Palestin..Laa, laa..Kalla, kalla..” (palestin, tidak-tidak, dan tidak sesekali). Alangkah bahagianya jika muslimat di tanah air mempunyai kekuatan yang tidak berbelah bagi seperti ini, lebih bahagia jika dia adalah teman sehidup-semati saya...


Jangan Lupa Berdoa Untuk Mereka

Pulangnya saya daripada kuliah, terus saya merencana. Malam ini mesti dilakukan solat hajat dan bacaan Yaasin. Segala-galanya selesai.

Dahulunya, ketika saya di tanah air saya tidak pernah merasakan ikatan seIslam sekuat ini, kalau pun ada hanya ikut-ikutan kawan sahaja. Kawan berdemontrasi saya pun turun, kawan mendengar ceramah palestin, saya juga mendengar, namun menjiwainya langsung tidak ada. Kini saya terasa lebih dekat dengan mereka, Palestin yang dulunya dicerita-ceritakan oleh buah mulut orang kini berada hampir dengan saya. Hanya beberapa kilometer sahaja saya mampu sampai ke tanah suci itu, tapi belum berdaya.



Berkawan dan bergaul dengan sahabat-sahabat arab yang berasal daripada Palestin di bumi Jordan ini menjadikan saya seolah berada di kalangan mereka. Sikap sanggup berkorban dan toleransi mereka cukup saya kagumi sejak mula-mula saya menjejaki kaki ke sini. Hidup mereka sederhana jauh melambangkan keperibadian mereka yang unggul. Tahun lepas, saya punyai seorang kawan Palestin dan dia telahpun bergraduate pada fasal yang lepas. Mungkin sekarang dia berada bersama-sama dengan para syuhada yang berjuang di Tanah Suci itu, YUNUS namanya. Saya berdoa untuknya agar sejahtera dan diberi kekuatan. Apapun cita-cita saya adalah untuk ke sana suatu hari nanti, kalaupun tidak sebagai seorang pejuang yang menyumbangkan tenaga, cukuplah saya sebagai seorang pelawat. Sekurang-kurangnya saya boleh berdoa di sisi maqam mereka.

afiq saleh
mafraq, Jordan
0106 am

p/s: PALEStina tetap di hati..

0 Responses so far.