pedoman

Idea oleh Mohd Afiq Mohd Saleh Monday, December 8, 2008 at 7:58 AM 0 Comments

IBRAHIM A.S. : BUKTI KESETIAAN DAN PENGORBANAN

Puas Ibrahim berfikir, namun tiada jalan keluar. Seakan tidak percaya pada mimpinya sebentar tadi. Hati kecilnya bertanya-tanya, apa benar itu ilham daripada Tuhan atau pun sekadar mainan tidurnya. Memikirkan perkara itu, baginda terus tidak dapat melelapkan matanya untuk kembali beradu. Malam itu sepi dan tenang sekali. Mana mungkin dia mahu terus mengkhabarkan mimpi tadi kepada Ismail. Anak kecil itu mungkin sekali tidak memahami situasi itu.


Terasa seolah seusai semalam kisah Ibrahim mengorbankan anak kesayangannya Ismail a.s. baru berlaku. Hari ini, sejarah itu seolah bermain-main lagi. Cerita suka dan duka mereka masih segar diingatan. Tatkala si ayah berhasrat menyampaikan sesuatu khabaran dari ALLAH azza wajalla kepada si anak kecil, sayu si Ibrahim menatap wajah anak comel yang tidak mengerti itu, lantas diluahkan jua, lalu si anak tanpa rasa gundah dan takut menjawab: “wahai ayahku, seandainya itulah suruhan ALLAH kepadamu laksanakanlah ia, nescaya aku tetap redha” menitis air mata si ayah ketika si kecil Ismail melafazkan kata-kata itu, rupanya anak itu lebih memahami kehendak Tuhan yang Maha Agung. Sekali lagi Ibrahim menatap wajah si kecil itu sepuas-puasnya. Dibelai anak itu lalu dikucup dahi si anak, sejurus hati kecilnya berbisik ‘terlalu besar pengobananmu wahai Ismail’.

Sahabat pembaca sekalian,

Lihatlah betapa besarnya pengorbanan nabi ALLAH Ibrahim a.s. dan Ismail a.s. dalam melaksanakan perintah Tuhannya. Tanpa berdolak-dalih, Ibrahim a.s. menurut walaupun hati berat mengatakan untuk berbuat demikian. Anak yang sekian lama ditunggu-tunggu lahir ke dunia, akhirnya sempat bermanja dengannya hanya seketika kemudian terus hilang dari dakapan seorang ayah untuk menjadi tetamu ALLAH.

Sidang pembaca sekalian,

Ibrahim dan Ismail telahpun membuktikan kesetiaan dan pengorban mereka, Ismailberkorban kerana sanggup disembelih oleh ayahnya, Ibrahim juga berkorban kerana rela berpisah dan ditinggalkan oleh anak tercinta. Itulah lambang kesetian mereka yang sehinga kini menjadi simbol kepada seluruh umat Islam. Bagaimana pula kita?


Pengorbanan seorang Anak kepada Ibu Bapa.

Alangkah indahnya seorang anak yang sehingga kini masih mempunyai ibu bapa di sisi mereka. Begitu juga, mereka yang telah mendapat belaian ibu bapa sejak dari kecil sehinggalah mereka dewasa, setiap detik dan ketika adalah dalam tatangan ayahbonda tercinta. Setiap saat merupakan waktu yang amat bahagia di samping mereka. Itulah jasa ayahbonda terhadap seorang anak. Kata pepatah berbunyi “seorang ibu mampu menjaga puluhan anaknya, namun seorang anak belum tentu mampu menjaga seorang ibu”

Pernahkah kita terfikir sejenak, sejauh manakah bukti kasih dan pengorbanan kita terhadap mereka? Ibu, sewaktu aku kecil kau menyusukan aku, adakah kini aku memberikan mu sesuap nasi ketika engkau memerlukan? Ibu, dahulu kau jua yang mendakapku setiap waktu kerana kudrat ku terbatas, kini adakah aku memimpin tanganmu ketika kau tidak berdaya? Ayah, setiap titik peluh mu mencari rezeki untuk ku, pernahkah aku membalasnya dengan kebanggaan untuk mu? Ayah, kudratmu terlalu banyak kau tumpahkan kepada ku, adakah aku pernah menilai semua itu? Oh ayah dan ibu, pernahkah aku tahu yang kalian adakalanya tersinggung dengan kelakuanku? Tuhan pengorbanan ku terlalu sedikit untuk mereka.


Pengorbanan kepada Agama.

Bila diimbau kenang, di manakah selayaknya aku di tempatkan? Tekadang, agama-MU ku abaikan demi kebahagiaan dunia. Adakalanya, perintah-MU aku kesampingkan semata terdorong dengan ikutan hawa nafsuku. Lantas di manakah pengorbananku untuk agama-MU?

Ya ALLAH, seandainya Muhammad s.a.w. itu bersusah payah membina Islam, aku sewenangnya mencerai-beraikan agama yang dikendong itu. Aku menjual agama, aku menghina agama, aku ingkar akan suruhan agama. Tuhan, aku sedar betapa para sahabat dan tabien bersusah payah membawa Islam sehingga kini nikmat itu mampu ku kecapi.

Itulah pengorbanan, kepayahan sudah menjadi mainan, keseksaan sudah sebati dalam jiwa dek kerana Agama yang ingin dipertahankan. Itulah pengorbanan Bilal bin Rabbah, sanggup bertahan walaudihimpit batu di dadanya. Itulah pengorbanan AL Yaasir, keluarganya dibunuh di hadapan mata kepalanya sendiri. Itulah pengorbanan Muhammad s.a.w. dilontar dengan batu-batuan saat baginda menjejaki kaki ke kota Thaif. Lalu, pengorbanan ku kepada agama di mana?


Nilai Pengorbanan di sisi Allah

Ya ALLAH, korban ku terlalu sedikit untuk dinilai oleh-MU, abaiku pada agama, jauhku pada titah perintah-MU, dosa ku pada ayahbonda membuktikan aku belum bersedia untuk menunai setia dan menghulurkan korban. Aku semahunya terlalu malu. Kerana jahilku, kerana sikapku, kerana lalaiku, dan kerana lemahku aku tidak sanggup untuk berkorban lantas jauh sekali untuk menghadiahkan ikhlas.

Ya ALLAH, aku di sisi-MU terlalu kerdil. Nilai korban ku bukanlah korban sejati kerana hati ini terlalu kotor, namun aku berusaha untuk berkorban apa yang termampu dengan apa yang terbaik, untuk ibu bapa, untuk agama, jua untuk agama-MU.




0 Responses so far.