Mendengar berita kejayaan Adik Nik Nur Madihah, ada dua perasaan yang berbaur, gembira kerana dalam usianya yang begitu dia mampu meraih keputusan dan kebanggaan dalam kerjaya belajarnya, dan tatkala membaca sudut berita yang lain, tiba-tiba terasa sayu serta simpati. Usia 18 tahun mengajarnya banyak erti kehidupan, dua potensi yang ada pada Adik Nur Madiha yang mungkin tiada pula pada orang lain, rasanya termasuk saya juga. Mendepani masa hidup yang penuh liku di samping mengejar masa depan, kedua-duanya saya kira dia hampir menemui kejayaan. Soal hidup dan soal masa depan dia telah hadapi dengan jawapan yang telah kita lihat, 20A dalam peperiksaan SPM. Ayahbondanya tentu bangga tetapi mereka lebih bangga kerana hadiah kekurangan yang diberi kepada Adik Nur Madihah selama ini dibalas budinya dengan kejaayan yang amat luar biasa.


Keratan (muka depan) akhbar Mingguan Malaysia 15 Mac 2009 (Ahad)


Oh ya! Adik Nur Madihah tidak punyai buku rujukan yang banyak untuk mengulangkaji, jauh sekali sebuah komputer riba sebagai bahan tambahan dalam pelajaran seperti orang lain juga, yang menemani beliau hanyalah sebatang pena dan lampu-lampu yang menerangi sudut belajarnya setiap kali mengulangkaji pelajaran. Mungkin ketenangan desir angin pantai membuatkan dia lebih tenang dan cepat meraih ilham, mungkin sekali begitu.

Di kala pelajar lain sibuk dengan kelengkapan belajar yang secukupnya, dia hanya sekadar mencari untuk memenuhi apa yang cukup baginya, belajar dan kehidupan, kehidupan dan belajar. Kemewahan? Nanti dulu.. Bolehkah Berjaya kalau instrumentnya tidak mencukupi? Tanya seorang yang lain. Jawapannya, 20A. Sekelip mata mengubah persepsi yang kekurangan bukan jalan kepada kegagalan. Siapapun boleh Berjaya, tetapi kesanggupan diri itu amat perlu. Mewahlah segala manapun, andai diri masih bermain-main, jawapannya tetap gagal.

"Di kalangan masyarakat kita, sering wujud tanggapan bahawa kemiskinan boleh menyebabkan kegagalan dalam hidup. Tanggapan ini tiada asasnya. Tetapi dengan kesabaran yang tinggi, daya usaha yang tidak pernah luntur, tekad yang kental dan KEIKHLASAN melakukan sesuatu pasti boleh menghasilkan lonjakan ke arah kejayaan"

(Profesor Dr. Sidek Baba)

Tamsilan begini, dua orang yang mahu menuju ke destinasi yang sama juga melalui jalan yang sama, namun apa yang berbeza adalah cara pergerakkan mereka, salah seorang daripada mereka menaiki kereta dan seorang lagi hanya berbasikal. Bila difikir-fikirkan, sememangnya yang berkereta akan tiba dahulu, apalah sangat yang ada pada sebuah basikal, tiada enjin, perlahan, kebergantungannya hanya pada nilai kayuhan dan tenaga berbanding dengan sebuah kereta, sekali menekan pedal hilang terus meninggalkan basikal cabuk, makan asap! Namun diakhir perjalanan, dia yang berbasikal sampai awal ke destinasi yang dijanjikan ketika mana seorang lagi yang berkereta belum pula menampakkan bayangnya. Mungkin juga dikala pemandu kereta sedang leka dengan nikmat sebuah kereta, penat memandu berhenti berehat, penat sekali dua kali berehat, si pengayuh basikal terus konsisten (istiqomah) dengan kayuhannya. Akhirnya terjadi keputusan yang tidak dijangka-jangka.

Soal adik Nur Madihah berpuasa kerana tidak ada duit membeli makanan tidak ada siapa yang boleh menduga, bermula dengan rutin isnin dan khamis lama-lama menjadi tabiat yang berterusan kepada ibadah. Betapa kesungguhan beliau ini telah dianugerahkan dengan keberkatan dalam kejayaan. Susahnya beliau mengajaknya menjadi wanita yang tawadhu’ dan tahu erti bersyukur. Syukurnya pula membawa adik ini ke gerbang jaya. Peribadinya saya mengucapkan sekalung tahniah kepada Adik Nik Nur Madihah dengan kecemerlangannya, biarlah adik cemerlang di dunia lebih-lebih lagi di akhirat.


2 Responses so far.

  1. tngk tu..dengn tak da ape2 pun boleh berjaya..klu ade kelebihan tak berkaya jugak tak tau le...

  2. 1 g sy salute dkt adik madihah ni.
    sy dgr ayah dia ckp, dlm berita la.
    dia xde kamus, nk beli mahal, nk fotostat xmampu.
    so, dia akan pinjam kamus kawan dia n salin.
    sy rasa, sy xkn jumpa dah orang lain yang sama mcm dia.
    n skrg, alhamdulillah, rezeki dia murah.