Saya marah beserta sedih. Kedua-duanya berbaur. Ketika artikel ini ditulis, saya agak beremosi. Pada siapa perlu saya tuju emosi ini saya belum pastikan lagi. Lewat ini, saya rasakan ini adalah teguran yang paling berhikmah bagi masing-masing yang melupai daratan dalam sekian hidupnya dan perjuangan. Bukan persoalan perjuangan itu salah, tetapi soal perjuangan yang mengabaikan tanggungjawab yang perlu-perlu dicanangkan dan diperbetulkan semula, agar perspekif dan pendirian setiap yang berjuang tidak dikaburi ketaksuban semata-mata. Agama tidak begitu!

Sidang sekelian,

Kacang pun, kalau diberikan pilihan dia tak akan melupakan kulitnya. Jika diberi kaki untuk berjalan dan hati untuknya, saya percaya dia akan kembali kepada kulit yang banyak berjasa. Namun, jika berlaku begitu, kita juga yang akan payah dan kempunan. Kerana tidak dapat menikmati kerangupan isi kacang!

Ada orang, dulunya setiap kali beribadah, solatnya saja sudah melangkaui 10 hingga 20 minit (belum dicampuri dengan urusan zikir lagi), kemas lagi berhalus! Selepas diberi jawatan dan berkecimpung dalam arena perjuangan, ibadatnya mula tersisih dan kurang sedikit nilainya. Solatnya pun hanya tinggal beberapa minit, zikir sudah hilang, katanya cukup dalam hati mengingati tuhan. Wudhu’nya pun, kalau dulu ada tujuh anggota namun sekarang tinggal 4 saja! - Perjuangan lebih wajib! – katanyalah.

Semenjak duduk-duduk di kerusi besar dalam lingkungan pelajar, dirinya sudah berjarak-jarak dengan sanak keluarga. Pulangnya pun sudah tidak acapkali, rumah yang dulu jadi perhimpunan dan periuk nasi tidak lagi diingati. Sibukkah sampai ditinggalkan semua itu? Dulu mengapa boleh? Dia mungkin menganggap ketidak-pulanganya ke rumah menjadi kerinduan ayah bonda, oh ternyata silap! Silap dan silap!

Tak tahukah ayah dan ibu yang terkenang? Tak tahukah adik yang merindu? Kakak dan abang yang ternanti-nanti? Ibu dan ayah yang terkenang-kenang akhirnya menjadi kecil hati, abang dan kakak pula sudah jemu berjanji untuk bertemu. Adik pula lagilah, sudah anggap abang yang jarang pulang sebagai mungkir janji dan tidak sayang padanya. Diri-sendiri? ‘rasa syok! Sebab dah lama tak pulang ke laman menjenguk-jenguk kerana perjuangan, perjuangan dan perjuangan! Pasti mereka bangga dengan perjuangan aku! – katanyalah lagi...

Kalau dulu-dulu, kerap kali nampak batang hidungnya bersimpuh di sebalik tiang masjid fakulti membaca zikir-zikir ataupun kuat suaranya mengalunkan Quran. Kadang-kadang berdiskusi dengan teman-teman sebelum ke kuliah. Kebelakangan ini, sudah tiada lagi rutin itu wujud, kerana kelibatnya pun belum pasti ada dalam barisan dan saf-saf solat berjemaah di masjid. Jikalau adapun, masbuk. Habis solat cepat-cepat meninggalkan masjid daripada pesta berzikir yang lazim diamal. Solat sunat ba’diah qadho di rumah atau selepas meeting nanti.

“Tak mahu minum-minum dulukah? Kita sembang-sembang sikit, lama tak berjumpa dah ni? Esok lusa belum tentu boleh bersua”

“Oh ya sahabat, minggu depan ana ada meeting dengan HEP. So kena prepare sikit-sikit. Maybe tak sempat kot nak duduk dengan kalian. Kita jumpa semula ya. Paling awal next week laa...”


Minggu hadapan punya mesyuarat, sampaikan untuk duduk-duduk minum pada petang hari ini pun sudah tidak berkesempatan. Dulu, kawan inilah yang sama-sama ke mana-mana, tidak kira senang atau terdesak, pasti berdua. Sekarang bukan lagi, teman tapi tidak mesra. Sampaikan ada yang mengadu:

‘si polan dan si polan sudah tidak macam dulu lagi, perangainya lain sekarang!’

Saya sendiri mendengar aduan dan rintihan sedih ini di kalangan sahabat-sahabat saya, yang mereka pun sama-sama berjuang tapi jarang saya lihat mereka berubah begitu drastik sekali. Sampaikan melupakan sahabat handai. Kerana semua faham dengan kesibukkan masing-masing, sebab semuanya berjuang, tetapi masih beringat-ingat dengan kewajaran dalam kepentingan bertanggungjawab. Saya tidak mahu mengajar sidang pembaca tentang aulawiyat, kerana fahaman orang yang duduk dalam arena ini sudah melangkaui batasan kebijaksanaan dalam menilai keutamaan, semua bijak-bijak belaka! Kalau diajar nanti, banyak pula alasan dan dalil-dalil bermadah yang akan keluar sebagai hujah untuk memenangkan diri. Semuanya kerana mendokong prinsip mahu mendahulukan perjuangan di hadapan. – katanyalah.

Saya dulu juga seorang kaki-kaki berjuang dengan sahabat-sahabat di kampus, bila masuk perasaan berkobar-kobar, semuanya boleh jadi, sampai lupa perkara lain yang lebih utama. Hampir-hampir saya jadi orang yang membuat derhaka kecil pada keluarga. Bayangkanlah, hujung minggu sahaja aktiviti, sabtu ahad tamrin, esok pula mesyuarat persatuan, masa mana yang ada untuk duduk bersama adik-adik dan ayahbonda? Ada! Cuma kita yang tak mencarinya. Ayah ibu yang sibuk cari rezeki pun masih ada lagi masa untuk anak-anak, inikan pula anak-anak, bahkan belum berkahwin pun, tak akan tiada langsung masa untuk ibu ayah pula?

Kalau yang tidak berjanji tidak mengapalah juga, tapi yang berjanji bagaimana? Kata itu dan ini, tetapi bila sampai masa, ada pula halnya yang lain. Bukan tidak boleh elak, tetapi antara urusan adik dengan urusan yang ‘diada-adakan’ itu lebih besar. Lalu jadilah si adik mangsa keadaan yang ‘dibuat-buat’ oleh abang.

“Emak, abang tak balik ke minggu ni? Dia kata nak bawa Wan tengok-tengokkan buku sekolah esok”

“Abang kamu ada program katanya. Dia telefon emak kelmarin, tak jadi balik hujung minggu ni. Wan pergi dengan emak saja ye”


Lantas, emak dan si adik dua-dua mula berkecil hati. Ketika ini saya mula terimbas semula kata Nabi saw kepada seorang sahabatnya. Dasarnya sahabat itu sudah berkobar-kobar untuk keluar berjihad bersama-sama kaum mukmin tetapi menjadi kelaziman dan feel sahabat sebelum berbuat apa-apa, perlu petunjuk dan kebenaran Nabi, lalu apa kata Nabi? Jika engkau ada seorang ibu yang lebih berhak dalam urusan ini, terbaik engkau bersamanya, nescaya pahalanya lebih besar daripada turun berjihad di kala ini. Nabi tidak tahu aulawiyatkah? Masakan tidak, tetapi ada aulawiyat yang lebih daripada aulawiyat yang perlu di dahulukan.

Akhirnya, saya mula menyimpulkan beberapa wasiat dan pesanan kepada semua pejuang-pejuang agar beringat-ingat:

1. Ibu dan Ayah, Peranan Mereka Usah Diabai. Ketidakseimbangan dalam urusan perjuangan sehingga menyebabkan kelukaan perasaan ibu bapa adalah derhaka kecil yang mungkin boleh mengundang laknat ALLAH taala.

2. Tanggungjawab Menjaga Diri daripada menjauhi urusan ukhrowi, iaitu nilai kebersamaan kita dengan agama dan Allah. Jangan berkurangnya ibadah walaupun urusan dunia kian bertambah.

3. Kawan-kawan Lama, Jangan Tinggikan Hidung Kita Melupai Mereka! Sahabatlah cermin yang memandu kita daripada terus lalai dan terseliuh daripada persimpangan perjuangan sebenar. Pendek kata jangan sombong.


Saya amat berharap agar saya dan semua rakan seperjuangan saya tidak akan menjadi seperti orang yang mudah melupakan jasa. Baik sikit mana sekalipun, orang yang berjasa mesti diberi peranan dan balasan pada budinya sehingga mereka tidak akan berkecil hati. Perjuangan tetap perjuangan, kerana ia indah bila dilampirkan dengan keluangan masa dengan orang yang tersayang. Kalau tersungkur pasti akan ada penasihatnya. Kita berjuang bukan kerana taksub atau kerana perjuangan itu mahu dilihat orang ramai, tetapi kerana agama Islam. Kalau Islam mengajar kita berkasih sayang, mengapa tidak diluangkan masa untuk berkasih sayang?

Untuk read more, tulis di sini...

3 Responses so far.

  1. astaghfirullah...
    Ana benar2 tersentuh dengan artikel ni.. memang penuh pengiktibaran...
    Syukran atas perkongsian!

    Salam Ziarah.

  2. Hmmm... kadang2 manusia memang gitu sifat dia.. bila diberi kuasa mulalh anggap diri paling hebat org lain semua tak hebat.. hmmm... masa2 mcm ni barulah kita boleh nilai siapa yg patut jadi sahabat dlm erti kata yg sebenar...

    kuasa, jawatan, pangkat smua anugerah Allah... sampai masa Dia akan ambik balik jugsk

  3. salam. terima kasih 'mahasiswa ISLAM' dan chimera di atas pandangan yang membina..