Prolog:

‘Dalam kejauhan suasana di rantau orang, dia terus-menerus melunaskan tanggungjawab yang sekian lama diimpikan, namun dekat di benak hati mengharapkan segelus semangat jua kekuatan menempuh alam hadapan.

Dia tahu orang-orang jauh yang dikasihi selama ini bukan tidak menyayanginya lagi, tetapi melupai dirinya sekejap. Sekejap yang begitu lama dan menekan jiwa lelakinya dan jiwa seorang anak. Izehar tidak akan terus berpasrah dalam citra hidupnya’


‘ingin menagih, siapa yang mahu kasihnya. Ingin simpati, Siapa pula mahu melayan kehendak kesunyian yang bersarang sekian lama dulu. Namun, ketabahan terus memelihara dirinya dari terus tewas dengan mainan perasaan. Pasrah bukan jalan mencapai cita-cita hidup…’

___________________________



Petang suram itu tiada beza bagi Izehar, lagi baki beberapa minit azan akan berkumandang. Waktu berbuka puasa kian hampir menjengah waktunya. Beberapa kali Izehar menjeling jam waktu di dinding. Agaknya dia resah menanti waktu berbuka. Menungnya melarat ke arah kejauhan lagi. Waktu sore sebegini, fikirannya acapkali terbang melayang. Jangan katakan sekali-sekala, hampir setiap sore feelnya begini, melayan jauh keheningan petang.

“Izar, kuih ni nak buat sahur ke berbuka?” sapa Abu teman serumahnya sejak tiga tahun lalu. Juga pelajar Syariah seperti Izehar. Cuma berlainan fakulti.

Lama tidak berjawab.

“Izar!! Kau dengar tak? Kuih yang kau beli ni, nak hidangkan untuk berbuka atau simpan masa bersahur?”

”Haa? Kuih? Errr.. hidang-hidang, Qotoifkan?”

“Ishh, celah mana Qotoif, Tokmiyah ni. Berangan lagi banyak-banyak!” Farid ke pantas ke dapur meninggalkan Izehar terkulat-kulat.

‘Astaghfirullah! Berangan lagi rupanya aku. Huh!’ Tanpa sedar, air matanya mengalir di pipi. Izehar lekas-lekas menyeka. Takut-takut Farid atau teman serumah yang lain ternampak.


_________________________________________________



2 tahun lalu, sebelum menjejak kaki ke tanah sejauh ini, Izehar tidak pernah terbayang akan sepanjang ini titik perjalanan yang bakal dilangkah. Dia bukan pelajar pintar, cemerlang jauh sekali. Namun kehendaknya mahu menjadi anak berguna kepada keluarga dan manusia bermanfaat kepada masyarakat. Mahunya hanyalah ilmu-ilmu duniawi dan ukhrawi buat bekal-bekal jika pulang ke tanah air kelak. Tetapi, untuk perjalanan yang sepanjang ini, tidak langsung pernah melintas dibenak fikirnya.

“Angah fikirlah masak-masak, Ummi dan Abah redha kalau itu kehendak Angah. Lagi pun Angah pergi jauh untuk belajar,” kata yang terlontar sejak dua tahun lalu diimbas-imbas kembali.

“Sungguh ke Ummi, Abah?” Izehar renung dalam-dalam anak mata kedua orang tuanya. Dia bimbang akan hati umminya kalau-kalau kata Umminya tadi sekadar menyedapkan hatinya.

“Ya Angah,” balas ayahnya pula.

“Lagipun ramai kawan-kawan Angah yang sudah ke sana, Ummi teringin nak tengok anak Ummi ni jadi ustaz macam anak orang lain juga,” tambahnya Umminya pula. Izehar terasa beroleh sedikit keuatan.

“Ada-ada sajalah Ummi ni,” sampuk Izehar. Dia mencapai tangan halus Umminya lantas dikucup lembut. Umminya membalas dengan belaian.

“Kalau Angah duduk jauh nanti, Ummi dengan Abah jangan lupa hantar surat pada Angah ya!” gurau Izehar. Dia lihat Ummi dan abahnya tersenyum. Ada raut tenang di wajah dua orang tuanya.

“Ya sayang, Ummi tak akan lupa!”

Malam itu cepat saja dia menghubungi Makmun teman karibnya sejak di bangku menengah. Katanya pada Makmun, dia akan bersama-sama dengan Makmun melanjutkan pelajaran ke luar negara. Makmun apalagi, gembiranya bukan kepalang. Sahabat karibnya juga akan terus didampingi lagi sehingga tamat belajar di peringkat sarjana nanti. Kali ini destinasinya adalah ARDUL KINANAH!!

“Izar, kau dah siap? Jom ke bayt Farouq kita sambung tadarrus,” sapa Makmun tiba-tiba. Terus melayangkan angan-angannya sebentar tadi.

“Errr, sudah-sudah. Farid, Abu dengan Sufi tak pergi sekali?” cepat-cepat Izehar sembunyikan angannya tadi. Bingkas dia bangun membetul-betulkan kain jubahnya.

“Farid dengan Abu dah ada di sana, dia orang solat tarawikh di Masjid Kubro tadi. Sufi tak pergi kot, penat katanya. Baru balik dari ALEX,” balas Makmun.

“Kalau macam itu, kita berdua saja? Marilah” Izehar bersiap-siap, mencapai senaskhah Quran di rak kitabnya terus menuju ke pintu.

"Jom!"



___________________________________________________



“Nak hantar pada siapa kad raya tu Izar, mata air ke?” Abu muncul dari belakang. Mengurut-ngurut bahu Izehar. Abu memang suka bergurau.

“Eh tak adalah, nak hantar pada Ummi dan Abah aku,” jawab Izehar ringkas, tekun dia menulis sesuatu pada kad rayanya.

“Aduh! Jiwa-jiwa sungguh la kau ni Izar. Zaman sekarang orang tak hantar dah kad-kad raya ni, kita send guna SMS je. Jimat masa, jimat kos,” balas Abu.

“Tak mengapalah Abu. SMS aku send, kad raya pun aku hantar juga. Lagipun dah lama sangat aku tak kirim surat pada family aku,” jawab Izehar ringkas. Dia meneruskan tulisannya. Matanya mencuri pandang kotak yang dijinjing oleh Abu.

“Apa yang kau bawa ni Abu? Besar betul kotaknya,” sengaja Izehar bertanya-tanya.

“Ini parent aku ada kirim baju melayu untuk pakai masa raya nanti,” beria Abu berkata-kata.

“Bertuah kau ya Abu! Tiap-tiap tahun parent kau kirim baju ke sini. Aku tengok yang tahun lepas pun kau jarang pakai. Tahun ini parent kau kirim lagi,” balas Izehar. Ada sedikit cemburu.

“Aku yang minta diorang kirimkan baju-baju ni, hehe. Oh ya! Emak aku pun ada kirim rempah-rempah rendang, kuah satay dengan ketupat sekali. Aku ingat nak minta kau saja yang masakkan nanti. Kau kan pakar dalam bab-bab memasak ni,” bersungguh-sungguh Abu bercerita.

“Pakarlah sangat aku ni. Boleh je Bu, tapi dengan syarat…..” Izehar menduga Abu. Bibirnya hampir-hampir mengukir senyuman.

“Apa dia?” “Sediakan seekor kambing, boleh?” Izehar cuba berjenaka.

“Kau ni macam-macamlah Izar, bukan kambing je aku sediakan, unta pun aku boleh belikan untuk kau nanti,” balas Abu. Hilang rasa berdebar. Serentak mereka ketawa.

Mereka berdua ketawa berderai. Namun Izehar tetap menyembunyikan hiba di hati dalam derai tawa itu. Abu mungkin tidak mengerti apa yang dirasai oleh Izehar.

Ketika Abu beredar, Izehar melepaskan kelus kecil, perlahan saja nafasnya tetapi semacam ada sesuatu yang teramat besar ditanggung bersama cuba dilepaskan seiringan nafas halus tadi. Kemudian, dalam-dalam dia menyedut kembali nafas baru, agar memperoleh kekuatan.

Hatinya sekali lagi dirundung sayu yang tiba-tiba menjengah. Dia tidak boleh berbicara tentang Ibu atau Ayah, hatinya pasti cepat tersentuh. Jiwanya bukanlah jiwa halus seperti perempuan, tetapi setiap kali menyentuh perbualan ibu dan ayah, lekas saja jiwanya menjadi lemah gemalai. Izehar tahu, dia masih punyai Ummi dan Ayah, namun lewat ini, jiwa ‘kepunyaan’ itu dapat dirasakan terlalu jauh. Jauh yang persis tiada sempadan yang boleh menemukan.

Dia mengelus lagi, kali ini lebih dalam jauh ke sudut sanubari seorang jiwa adamnya.

‘Ummi…Ummi masih ingat pada Angah lagikan?’ Izehar cuba membuang bisik-bisik halus yang melemahkan jiwanya.
‘Ayah…Ayah tak lupa pada Angahkan?’ getus hatinya lagi sendirian.

Tanpa sedari, air matanya mengalir lagi di pipi. Kali ini, dia membiarkan saja air itu mengalir. Dia mahu puas menangis.


______________________________________________________





“Jauh menung Izar?” Sapa Makmun. Sedari tadi dia asyik memerhatikan tingkah sahabatnya itu. Semacam ada yang tidak kena. Semenjak kebelakangan ini, Izehar lebih banyak menyendiri dan bermenung. Makmun tahu, jika Izehar tidak punyai masalah dia tak akan begitu.

“Eh, Makmun! Tak adalah, tengah berehat-rehat ,” Izehar berdalih, cepat-cepat mengalih duduknya.

“Ke mana kau hari ini Makmun, seharian aku tak nampak?” tanya Izehar.

“Aku ke Mansouroh pagi tadi, ziarah Ustaz Fakhri. Zaujah dia baru bersalin, anak perempuan,” balas Makmun ringkas. Dia merebahkan punggungnya rapat di sebelah Izehar.

“Alhamdulillah, dapat juga Ustaz Fakhri anak ya, mesti comel. Tengoklah Ustaz Fakhri, hensem orangnya. Ilmunya tak payah cakaplah,” Izehar sedikit terkejut, sahabat lamanya Ustaz Fakhri sudahpun menimang cahaya mata. Sekian lama khabar Ustaz Fakhri menghilang, baru malam ini Makmun membukanya semula. Dia masih ingat, Ustaz Fakhrilah yang beria benar mahu mempunyai seorang anak perempuan, akhirnya Tuhan makbulkan permintaannya.

“Oh ya! Ini ada kuih dari Ustazah Aisyah. Dia minta aku sampaikan pada kau Izar. Kebetulan aku bertembung dengan dia di rumah Ustaz Fakhri, cepat-cepat Ustazah Aisyah balik ke rumah dia ambil kuih tu. Katanya dia buat kuih tu untuk kawan-kawan,” Makmun menghulurkan sebuah beg kertas kepada Izehar, dalamnya kemas berbalut.

“Terima Kasih, Makmun. Susah-susah je kau ya,”

“Ustazah Aisyah kirim salam sekali,” sambung Makmun lagi, ekor matanya mencuri pandang reaksi Izehar. Namun Izehar tenang sahaja.

Perlahan-lahan saja Izehar menjawab salam tersebut.

“Aku tengok Ustazah Aisyah tu, ambil berat sangat tentang kau Izar. Bertuah tuan punya badan.” Makmun bersuara, kali ini dia cuba memancing Izehar lagi.

“Isy! kau ni Makmun, ke situ pula perginya,” Izehar malu-malu dikenakan begitu. Merah pipinya menahan malu.

“Eh betul apa? Kau saja yang jual mahal Izar. Ustazah Aisyah tu silap-silap dah jatuh hati pada kau,” ujar Makmun.

“Ada-ada je kau ni kalau nak kenakan aku ya!” balas Izehar.

“Sungguh aku kata Izar. Aku tengok eloklah kau Taqdim dia cepat-cepat, sebelum orang lain yang masuk dulu,” Kata Makmun pula, kali ini lebih panjang.

“Siapalah aku ni Makmun. Orang biasa je, lainlah Ustazah Aisyah, best student Mansouroh. Ramai lagi lelaki yang layak dengan dia,” Perlahan nada suaranya menjawab.

“Aduhai kawan aku sorang ni, merendah diri la konon! Ikut kaulah Izar, aku sampaikan nasihat ni. Jangan salahkan aku kalau ‘bunga sudah diambil kumbang lain’. Perigi tak akan cari timba,” Makmun mula berseloroh, dia tahu Izehar memang sudah lama menanam perasaan pada Ustazah Aisyah. Cuma Makmun diamkan sahaja, adakala Makmun juga cemburu dengan Izehar. Sahabatnya itu ibarat bulan yang jatuh ke riba, Ibarat perigi yang mencari timba. Rezekinya murah dalam bab berjodoh, tak perlu mencari, tetapi datang sendiri. Sudahlah baik dapatnya, berbudi bahasa pula.

“Kalau jodoh tak ke mana, Makmun” Izehar membalas selorohnya.

“Oh, ada hati juga rupanya,”

Kata-kata Makmun tadi membuatkan mereka berdua ketawa. Makmun pantas beredar meninggalkan Izehar. Izehar mengalihkan pandangan ke luar jendela. Menghirup angin malam yang bertiup perlahan. Saat itu fikirannya kembali terkenang pertemuannya dengan Ustazah Aisyah 2 tahun lalu.

Gadis desa yang duhulu pernah menarik hati lelakinya. Dia tidak sangka perkenalan yang tidak sengaja yang dimulakan oleh Ustazah Aisyah menjalinkan hubungan persahabatan sejauh ini. Ketika itu, mereka masih menuntut di Universiti Islam Antarabangsa. Kebetulan mereka bersama dalam satu kelas tutorial dan perbincangan kertas kerja projek.

Pada Izehar, gadis itu tidaklah secantik seperti gadis-gadis yang lain. Wajahnya pun sedikit gelap, tetapi manis saja apabila dipandang. Berkali-kali menatapnya pun tidak jemu. Yang menjadikan ayu dan cantik si gadis hitam manis itu tatkala dia bertudung labuh. Tutur kata gadis itupun, sungguh dijaga. Sepanjang mengenali Ustazah Aisyah, belum pernah Izehar mendengar perkataan yang keluar dari bibirnya kata-kata yang kurang sopan. Dalam penulisan begitu juga, baik nota-nota pelajaran, semuanya ditulis dengan bunga bahasa yang cantik dan tersusun kemas. SMS yang seringkali diterima daripada Ustazah Aisyah pun ditaipnya dengan teliti dan sempurna, penuh dengan tatasusila berbahasa. Kadangkala Izehar pula yang naik segan dengan sikap berbudi bahasa Ustazah Aisyah.

Pada Izehar lagi, istimewanya gadis ini, terletak pada budi bahasanya. Banyak saja wanita yang cantik-cantik, bertudung labuh dan berjubah. Tetapi ingin mencari yang tutur katanya dijaga susah sekali mahu ditemui. Izehar tersenyum lagi.

‘Ustazah Aisyah tu, dah cukup sempurna memiliki ciri-ciri seorang muslimah. Apa anta tunggu lagi, kalau anta berhajat, ana sedia jadi orang tengah untuk anta’ kata-kata Ustaz Din tahun lalu masih terngiang-ngiang di telinganya. Izehar bukan tidak mahu, tapi takut bertepuk sebelah tangan.

Hampir setahun dia melupakan perasaannya itu, akhirnya dia terus terlupa dek kesibukkan pelajaran. Namun siapa tahu, hati adamnya masih menyimpan hasrat lama.

Dia tidak sangka. Dia akan ditemukan sekali lagi di tanah sejauh ini. Rupanya dalam diam-diam Ustazah Aisyah mengambil tahu tentang perkembangan dirinya. Izehar dapat tahu keberadaan Ustazah Aisyah di sini pun melalui sepupunya yang sama-sama menuntut di Mansouroh.

Izehar tersenyum kecil bila mengenangkan kebetulan-kebetulan yang berlaku.

Masa berlalu lagi. Hingga hari ini dia tidak sangka sudah berada di tahun akhir pengajiannya. Hampir setengah tahun lagi di bakal bergelar graduan Al-Azhar.

Wajah Ustazah Aisyah seolah menjelma di hadapannya ketika ini. Sejak setahun lalu gadis itu mula berpurdah, Izehar tidak dapat lagi melihat dan menatap wajah manis gadis itu apabila terserempak, namun raut lamanya tetap manis diingatannya.

Sepi.


___________________________________________________



Sudah 3 mesej yang dihantar kepada Umminya tidak berbalas. Berkali-kali dia pastikan yang kredit telefon bimbitnya masih berbaki, jumlah tertera menunjukkan baki 14 Genih. Izehar cuba sekali lagi menghantarnya, masuk ini sudah kali keempat. Dia mendengus kasar. Marahpun ada, sedih juga ada. Kedua-duanya berbaur.

Dua ke tiga hari ini, wajah Umminya sahaja yang sering bermain difikiran. Tidak surut wajah manis itu sering menjelma, kadangkala sehingga terbawa ke tidurnya. Segala kerja menjadi lesu dan tidak bersemangat lantaran situasi itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk menghubungi Umminya. Hampir sepuluh mesej sudah dilayangkan, semuanya dinanti dengan khabar yang hampa.

Samada Ummi atau Ayahnya, kedua-dua orang yang dirindui itu tidak pula membalas mesejnya.

Lalu, Izehar melupakan saja hasrat tadi. Mungkin nanti Umminya akan menelefonnya semula apabila terbaca mesejnya. Dalam hatinya berharap sangat agar dapat bersembang-sembang seketika dengan Umminya, sekurang-kurang dapat menutup lubang kerinduan yang sekian lama ditahan, dapat mendengar suara halus Umminya sudah memadai ketika ini. Tetapi jika mesej pun belum berbalas, masakan akan dibalas dengan panggilan telefon?

Izehar duduk lagi petang itu dengan perasaan yang sayu.

Sepi juga sebak.

Izehar mengalih duduknya, serba tak kena. Kerinduannya masih belum diluahkan. Seakan sebuah babanan yang besar masih disimpan dalam hatinya. Kerinduan kepada Umminya, juga kepada Ayahnya.

Dua tahun dahulu, seawal pengajiannya di sini, terasa seperti Ummi sentiasa berada di sisinya. Belaian dan kasih sayang cukup dengan asam dan garamnya. Ummi adalah nyawanya ketika itu, pemberi semangat, penunjuk panduan dan segala-galanya, sehingga segala masalah diluahkan kepada Umminya. Izehar tahu Umminya seorang penyayang dan lembut budi hatinya. Semua anaknya termasuk Izehar dijagai seperti seorang putera dan puteri.

“Bila Ummi dengan Ayah nak datang ziarah Angah kat sini, Ummi,” tanya Izehar suatu ketika dulu. Beria sungguh mahu mengajak orang tuanya ke negara padang pasir itu.

“Nanti Ummi beritahu pada Ayah dulu. Kalau dia setuju, beruntunglah Angah! Ummi pun teringin nak jumpa anak teruna Ummi ni. Dah besar barangkali, hensem! Entah-entah dah ‘berpunya’, seloroh Umminya. Hati Izehar berbunga riang.

“hihi.. Ummi ni ada-ada sajalah,”

“Mana Ummi tahu, Angah dah ada?” sengaja Izehar mengajukan soalan pada Umminya. Mahu melihat reaksi. Manalah tahu ada green light.

“Ooo..dah berpunya rupanya ana teruna Ummi ni, Ummi teka je. Tak mahu kenalkan pada Ummi ke siapa orangnya?”

“Angah malulah Ummi,” Izehar tersipu, bila soalannya tadi mendapat perhatian Umminya.

“Dengan Ummi pun malu ke? OK lah kalau macam tu, Ummi nak tahu nama dia je,” tanya Umminya lagi.

“Ummi janji jangan kasi tahu pada Ayah dulu ya Ummi?”

“OK! Ummi janji sayang,”


“Nur Aisyah namanya Ummi,” jawab Izehar tersipu-sipu.

“Sedap nama tu, tentu cantik orangnya?” “Biasa-biasa je Ummi, yang penting akhlaknya baik. Kan Ummi?” Jawab Izehar ringkas.

Perbualan dua tahun lalu terhenti di situ, tidak ada sudah gelak tawa yang seperti dahulu. Tiada juga luahan hati atau sembang-sembang keceriaan yang menghiasi perjalanan hidupnya. Izehar tidak pasti mana mungkin Ummi dan Ayahnya sudah berubah sikap, atau mungkin sekali sibuk sehingga terlupa akan seorang anak di kejauhan ini. Sibuk yang memungkinkan kelupaan untuk selamanya?

‘Ah! Tidak mungkin,’ hati Izehar menafikan sangkaan buruk yang datang.

Angin bertiup. Membelai jemari dan lembut rambutnya. Izehar terus melayan fikirannya sore itu.



__________________________________________





Taman Keramat, MALAYSIA.

“Irfan, mari kejap sayang, tengok Baju Melayu yang Ummi belikan ini,” Saadah memanggil anak ketiganya.

“Cantiknya! Ummi beli kat mana?”

“Baju ini Ummi tempah tau! Sebab tahun ini Irfan puasa penuh, Ummi belikan baju melayu,”

“Ily punya baju melayu tak ada ke Ummi?” datang pula seorang anak daranya yang bongsu. Baru berusia 10 tahun.

“Orang perempuan tak pakai baju melayu macam Abang Irfan tu sayang. Untuk Ily Ummi belikan baju kurung yang bunga-bunga, sama coraknya dengan baju Ummi, cantik kan?” pujuk Saadah kepada puteri bongsunya, dia mengusap-usap lembut ubun anak kecil itu. Itulah satu-satunya anak perempuan dalam keluarga mereka. Comel bila tersenyum kerana senyumnya dihiasi lesung pipit halus.

“Cantiknya Ummi!”

“Cuba anak Ayah pakai baju tu, nak tengok Ily sesuai ke tidak,” seloroh Mustapha pula. Cepat sahaja Ily menyarung baju kurung tadi dibantu oleh Umminya Saadah.

“Cantik tak Ily, ayah?” “Amboi anak ayah, cantiknya. Macam anak kucing,” puji Mustapha sambil tersenyum.

“Alaaa, Ily taku suka anak kucing. Ummi, ayah kata Ily macam anak kucing, Ummi,” anak kecil itu merajuk bila dikatakan Mustapha seperti anak kucing. Akhirnya tersenyuk bila dipujuk semula.

“Tak adalah. Anak Ummi ni macam bidadari,” pantas saja Umminya mengambil hati anak kecil itu.

“Bidadari tu apa Ummi?”

Semua isi rumah bising dengan gelak tawa, telatah anak sekecil Ily Balqish yang kecil lagi comel molek itu mengundang lucu. Saadah, Mustapha dan anak-anak yang lain turut ketawa.

Suasana sungguh gembira dan ceria.

“Ummi, baju melayu untuk Abang Izar Ummi tak beli ke Ummi?” tanya Ily si anak kecil selepas menukar pakaiannya. Soalan itu memecah sedikit kedinginan.

Saadah dan Mustapha seakan terkesima dengan soalan anak kecil tadi. Betul, mereka benar-benar terlupa membelikan pakaian hari raya untuk Izehar yang tidak berada bersama-sama mereka. Sudah hampir dua tahun Saadah tidak membekalkan pakaian untuk anaknya yang jauh itu.

“Ummi, Abang Izar bila nak balik raya dengan kita semua,” tanya Irfan pula. Saadah dan Mustapha terkesima lagi.

“Abang Izhar balik lambat lagi. Bila Ily dah besar nanti baru abang Izar balik. Bila Abang Izar balik, Ummi belikan baju raya untuk dia,” balas Saadah, dia berdalih, sebenarnya dia juga teragak-agak mahu memberikan jawapan kepada dua anaknya tadi. Apa yang Irfan dan Ily katakan tadi benar sungguh. Sepatutnya pakaian hari raya mesti dibelikan untuk Izehar. Walaupun Izehar tidak dapat bersama-sama dalam lebaran tetapi tanggungjawab mesti diturutkan dahulu. Saadah mengelus kecil. Sedikit menyesal.

Suasana yang ceria tadi menjadi sepi seketika. Anak kecil yang mengingatkan tentang Izehar tadi menyelubungi perasaan Saadah dan Mustapha. Benar, Izehar itu abang sedarah dan sedaging mereka, Irfan dan Ily.

Serba salah.

“Alaa, bila Angah balik nanti kita belikanlah,” bisik Mustapha ke telinga isterinya perlahan.

“Abang!” Saadah serba salah.


____________________________________________________



‘Mahu ke tidak, mahu ke tidak?’ fikiran Izehar mulai serabut. Selang sehari lagi fajar Syawal akan menjelma. Namun ada satu tanggungjawab seperti saban tahun belum dilunaskan, sehingga waktu kini dia masih berkira-kira.

Mahu menelefon Umminya ataupun tidak. Sekadar mahu mengucapkan selamat hari raya dan salam kemaafan. Itu saja, tetapi dia tidak tahu bagaimana. Serba salah.

‘Ah! Telefon saja’

Segera dia mencapai telefon bimbitnya, mendail. Dengan harapan kali ini Ummi atau Ayahnya mahu menjawab panggilannya. Dengan harapan juga, mereka tidak sibuk lagi.

Masih hampa. Tiada jawapan walaupun dering telefon berbunyi. Izehar mencuba lagi.

“Assalamualaikum! Boleh bercakap dengan Ummi. Ily ke ni?”

“Waalaikumsalam, Abang Izar. Ily ni, kenapa Abang Izar dah lama tak balik rumah? Ily rindu kat Abang,” tanya anak kecil itu. Mungkin dia tidak tahu Izehar berada terlalu jauh darinya.

“Ily sihat? Ummi dengan Abah sihat? Abang Izar pun rindu pada Ily dan Irfan ," Izehar terlalu gembira. Ketika itu dia tidak tahu yang mana satu soalan dan kata-kata yang perlu diluahkan dahulu.

“Ily sihat bang, sekarang Ily dah darjah 4. Ily dah pandai baca sekarang. Abang nak dengan Ily baca buku cerita?” sungguh bersemangat Ily. Anak kecil itu pastinya gembira menceritakan perkembangan barunya, dahulu ketika ditinggalkan oleh Izehar, masih di bangku tadika.

“Emm, nanti bila Abang dah balik, Abang dengar Ily baca ya sayang! Ily baaaaaaaaca banyak-banyak sampai abang tertidur,” jawab Izehar mengambil hati anak kecil itu.

“Ily, boleh panggilkan Ummi sekejap. Abang Izar teringin nak cakap dengan dia,” pinta Izehar.

“Tunggu kejap ye bang,” Anak kecil itu meninggalkans seketika Izehar keseorangan. Hati Izehar menanti penuh mengharap.

“Abang, Ummi tengah sibuk kat dapur. Ummi dengan Mak Lang dengan Mak Usu dengan Mak Cik Leha tengah buat kuih. Ummi kata dia kirim salam kat abang,” kata pesanan anak kecil itu sungguh menghibakan hati Izehar.

“Mak Usu dengan Mak Lang pun kirim salam juga,” tambah Ily lagi. Kalau si anak kecil itu tidak memberitahu yang Umminya meminta menyampaikan salam, dia sudahpun tahu. Dari jauh dia sendiri sudah mendengar suara Umminya meminta dikirimkan salam itu.

Malam itu, dia hanya berbual-bual dan menghilangkan kerinduan bersama adik-adik kesayangannya sahaja. Irfan dan Ily Balqish. Ayahnya keluar kata Irfan. Ummi pula sibuk menyiapkan persiapan hari raya. Izehar tidak mahu memaksa apalagi mengganggu kedua orang tuanya.

Akhirnya dia mengalah kali ini. Sedih mula bertandang lagi. Tanpa sedar, air mata menemani Syawalnya.



______________________________________________




“Esok raya, apa menu kita ni?” soal Makmun.

“Macam biasalah, tahun lepas punya menu. Nasi himpit dengan kuah kacang bersama rendang,” jawab Izehar.

“Izar, kau dah janji dengan aku nak masakkan rendang kambing. Amacam jadi ke?” sampuk Abu pula dari jauh.

“Kalau bahan-bahannya ada, kira jadilah,” balas Izehar lagi.

“Ditanggung beres. Daging unta pun aku ada beli sikit,” Abu menggalas sebungkus plastic hitam, dalam berisi daging unta.

“Wahh! Meriah raya kita tahun ni Makmun. Ada orang mengidam unta rupanya,” Izehar cepat saja menyampuk. Semua mereka berdekah keatawa.



________________________________________



Dari jauh sayup-sayup saja takbir berkumandang di corong-corong pembesar suara masjid. Sayu saja bunyinya. Walaupun tidak semerdu alunan di tanah air, tetapi tetap mengundang perasaan sedih, lagi-lagi duduk berjauhan.

Seusai sembahyang raya di Masjid Azhar terus saja dia, Makmun dan Abu pulang ke rumah. Mereka sudah tidak sabar-sabar menanti juadah special yang semalaman mereka siapkan.

Baru saja melangkah beberapa tapak. Makmun dipanggil seseorang, rupanya Farid.

“Ada apa ni tergesa-gesa Farid?” tanya Makmun apabila melihat Farid berlari-lari anak ke arah mereka.

“Ustazah Aisyah…Ustazah pengsan lepas solat di masjid tadi,” Terus Farid memberitahu hal sebenar.

“Nasib baik ambulans ada di situ. Terus bawa dia ke hospital,” ujar Farid lagi.

“Ya ALLAH,” itu saja yang mampu dilafazkan oleh Izehar waktu ini.

Masing-masing terpaku. Kejadian tadi seolah menghilangkan suasana hening pagi itu. Perlahan-lahan mereka melangkah pulang ke rumah.



______________________________________




Syawal sudah masuk ke lembaran kedua, 1 Syawal amat pantas meninggalkan usianya. Terasa baru semalam bertamu di singgahsana Ramadhan, belum sempat mengutip apa-apa sudah dijenguk pula oleh Syawal. Izehar menyimpan penuh syukur tahun ini dia sempat lagi bersama Ramadhan dengan sempurna. Menunaikan ibadah puasa dengan kepuasan.

Naskhah Al-Quran, mudah saja dia mengkhatam seusai hari ke 27 Ramadhan.

Tahajjud dan Qiyam, hingga ke saat Syawal menjelma, dia masih lagi dikurniakan kekuatan dan istiqomah yang sempurna untuk ibadat itu.

Lailatul Qadr, dia pun belum pasti samada turut dipilih untuk menjadi tetamu agung itu atau tidak. Usahanya adalah amalan, tidak lebih dari itu. Kerana selebihnya adalah bergantung kepada keikhlasan.

Semenjak Syawal pertama lagi, Izehar tidak senang duduk. Lebaran tahun ini menjelma seperti hari-hari yang biasa dilalui, tidak ada rasa istimewa atau apa-apa pemanis. Dia sunyi kerana sesuatu. Sesuatu yang acapkali di damba-damba hingga saat ini belum membuahkan apa-apa.

Antara Kasih Sayang dan Cinta, kedua-duanya hampir dia sirna.

Ustazah Aisyah,

Masuk hari kedua, dia masih belum sedarkan diri daripada koma. Kata Makmun dan rakan-rakan yang lain, gadis itu masih ditempatkan di Unit Kawalan Rapi Hospital (ICU), belum ada apa-apa perubahan tetapi sudah sedikit stabil. Izehar belum ada masa untuk gadis sebaya usianya itu, namun doa tidak lekang dari bibirnya kepada gadis tinggi lampai itu. Nanti bila ada masa, dia juga akan melihat-lihat gadis itu apabila sihat kelak. Lagipun dia tidak ada apa-apa sebab untuk membolehkan dia menziarahi gadis itu sekarang. Sepanjang perkenalan, gadis itu tidak pernah pula memberitahu Izehar bahawa dia menghidapi migrain yang agak serius.

Semalam pun, ketika berita Ustazah Aisyah rebah di perkarangan Masjid, keserabutan sudah mengusuti fikirannya. Sehingga dia terfikir bahawa gadis itu akan meninggalkannya buat selamanya, sejauh itu sekali fikirannya dihasuti kebobrokan.

Hari ini kekusutannya beralih tenang kembali. Doanya akan terus dikunjungkan buat gadis itu.

Ummi dan Ayah,

Lewat Syawal ini, dia teramat sayu dan lemah tanpa kedua inspirasi itu di sisi. Walaupun sehingga lebaran hari kedua ini, tiada apa-apa berita yang dikirim dari tanah air Malaysia, dia tetap tabah menanti. Untuk Ummi dan Ayahnya, Izehar tidak mahu berburuk sangka. Dia sayangkan Ummi dan Ayahnya. Tiga tahun di tanah perantauan ini, Izehar merasakan ikatan kasih sayang antara dia dan Umminya kian carik sedikit demi sedikit, hilang dan surut tanpa sedar. Ummi dan ayahnya sudah jarang menghantar khabar mereka jauh sekali bertanya khabar. Sepatah mesej dilayangkan kepada Ummi dan Ayahnya, belum tentu akan dijawab. Lalu Izehar mengandaikan mereka sibuk dan mungkin terlupa. Mengandaikan yang baik-baik saja untuk mereka, kerana masih sayang.

Izehar tidak takut jika namanya hilang di bibir Ummi dan ayahnya, tetapi amat gusar andai bayang dan namanya sirna dari hati sanubari Umminya, dia takut. Hari-hari dia terus berdoa agar jangan situasi itu mengambil dirinya.

Tuhan,

Kalaulah ujian ini dan cubaan yang KAU datangkan untukku sebagai menguji kesabaran dan imanku, nescaya kesusahan ini terlalu berat untuk aku hadapi. Sesungguhnya ujian-MU lebih agung berbanding dengan nilai kesabaranku yang hanya sedikit cuma. Aku kalah dan tewas saat ini. Sabarku sudah habis dan hampir menemui sisa-sisa, tetapi ujian-MU terus menerus bertandang, akhirnya aku akui bahawa aku adalah lemah dengan ujian-MU. Maka hari ini aku bersedia untuk redha.

Jangan KAU hilangkan kasih sayang yang sedia ada padaku dan jangan jua kau jauhkan cinta yang kini mula aku semai. Jangan KAU tarik Kasih yang ku tanam kepada Ummi dan Ayahku dan jangan pula KAU buang cinta insan lain yang tulus menyintai aku jauh daripada diriku. Tuhan, biar saja aku yang sirna, tetapi usah mereka yang hilang daripada dakapan ku.



_________________________________________




Hari ini menjejak hari ketiga Syawal. Paginya dilalui seperti biasa. Tiada suasana istimewa walaupun di meja awal-awal lagi berbaki hidangan aidilfitri. Juadah hari pertama masih banyak bakinya tidak terusik. Baik Izehar, Makmun mahupun Abu, tidak seorangpun mahu menjamahnya. Makmun sibuk ke sekitar Mansouroh, Abu tahun ini berhari raya di Alex. Sejak hari kedua Syawal sudah bertolak ke sana. Hanya yang tinggal di rumah adalah Izehar dan Makmun.

Pagi itu juga Izehar keseorangan lagi di meja makan, menjamah sedikit sebanyak hidangan yang ada. Nasi Himpit yang direbus hari pertama dahulu masih ada beberapa kampit di dapur. Rendang dan kuah kacang juga ada. Abu yang beria memintanya memasakkan rendang, akhirnya batang hidungnya yang awal-awal tiada. Lalu, tinggallah Izehar seorang diri menggagahkan diri menyuapkan juadah raya, walaupun seleranya mati sejak di awal Syawal, namun dia perlu mengisi perutnya juga.

Dicubitnya sedikit serunding lalu disuapkan ke mulutnya. Rasa mahu menitis air mata menelannya. Izehar tahu, serunding daging itu juadah kegemaran Umminya, Ily juga minat serunding. Menjamah serunding seolah dia membayangkan dapat menikmati hidangan raya bersama Umminya dan keluarga. Terasa seperti duduk di sebelah Umminya.

Namun pagi itu hanya serunding yang dapat menemani duduknya, makanan kegemaran Umminya sahaja yang mampu mengubat rasa rindu. Dia mencubit lagi serunding, kali disertakan dengan nasi himpit. Disuap dengan rasa sebak, air matanya mengalir. Cepat-cepat diseka.

“Kau menangis Izar?” sapa Makmun dari belakang.

“Aku teringatkan Ummi aku Makmun,” jawab Izehar, suaranya yang biasa itu tersekat-sekat menahan sedih.

“Jangan macam tu Izar, Ummi kau masih ingat pada kau. Percayalah!” balas Makmun cuba memujuk Izehar. Dia cuba mententaramkan perasaan lelaki itu. Makmun tahu, Izehar seorang yang lembut hatinya dan mudah tersentuh, namun mudah dipujuk.

“Terima kasih Makmun. Aku tak tahu mahu mengadu pada siapa. Syawal kali ini terasa macam dah hilang sesuatu,” luah Izehar.

“Sudahlah Izar. Lupakan dulu perkara-perkara yang sedih. Kita nak bergembira hari raya ni. Kalau kau sedih, aku dua kali sedih dari kau,” Makmun berseloroh. Cuba menceriakan keadaan yang suram tadi.

“Tak adalah, fine je. Aku OK,”

“Macam ni lah Izar yang aku kenal. Come on la bro! Jom makan,” suasana kembali tenang dan ceria. Izehar terus bersama-sama menjamah hidangan pagi itu. Sekali sekala terdengar hilai tawa mereka.

“Haa…tu? Mesej datang. Aku yakin family kau yang send mesej tu Izar. Bukalah,” ujar Makmun. Izehar cepat-cepat mencapai telefon bimbitnya lalu dibukanya.

“Ini bukan mesej dari Ummi aku. Abu yang send ni,” balas Izehar.

“Apa katanya?” “Kejap aku buka,”

‘SALAM IZAR, BRITA SEDIH. UST AISYAH BARU JE MENINGGAL DUNIA PAGI TADI. JENAZAHNYA ADA DI HOSPITAL. AKU DPAT BRITA NI DARI KAWAN DI MANSOUROH. ESOK MUNGKIN DI BW JENAZAH NYA TERBANG KE MALAYSIA. HARAP KAU BERSABAR’

“Ya ALLAH… Innalillahi wa inna ilaihi raaji’uun,”



___________________________________________________




Monolog:

‘Ketika hati sedang berbicara tentang senyum, ada hati ketikanya diulit dengan derita dan sengsara. Hati yang menanggung adakalanya terpaksa mengalah lantaran ujian yang terlalu berat. Walaupun orang tersayang terpaksa dipanggil atau pergi dahulu. Hati perlu dahulu berkata redha. Kerana takdir yang hadir itu merupakan rancangan yang Maha Kuasa.

Kasih sayang dan cinta yang sirna amat memedihkan jiwa yang menanggungnya. Apatah lagi ia bersemi dan lahir daripada orang yang tersayang dan disayangi. Sirna kasih sayang dan cinta adalah suatu kehilangan yang sungguh perit untuk ditanggung. Namun jika itu adalah suratan yang bernama takdir, hamba tuhan mesti mahu bersyukur lantas mengambil jalan sabar dengan ujian. Itulah Iman.


Kehidupan perlu diteruskan walaupun tanpa kasih dan cinta. Sirna kegelapan itu mungkin akan padam suatu hari nanti dan bakal diganti dengan sinar cahaya. ALLAH adalah pemilik kasih dan cinta. Mengadulah pada-Nya bahwa suatu ketika nanti, kita akan dibelai di bawah lembayung kasih dan cinta-Nya’


cerita asal: afiq saleh - 0234 am - 1 Syawal 1430 H

Untuk read more, tulis di sini...

0 Responses so far.