(sekuel* daripada aritkel lepas – MUDAHNYA KITA MENILAI MANUSIA KAN?)

Ada dua sindrom yang akan terjadi dalam sebuah komuniti manusia (tidak kira jemaah, terutama dalam institusi masyarakat), sekiranya mengamalkan salah satu atau kedua-dua sikap ini, iaitu:

TIDAK MENGAMBIL ENDAH atau,

TERLALU MAHU MENGAMBIL TAHU.

Ia bukanlah fenomena yang datang mengikut musim, tetapi boleh dinisbakan sebagai tradisi berzaman. Ia juga bukan fitrah alam, kerana fitrah hanya sinonim dengan perkara yang baik-baik, tetapi fenomena ini lebih sesuai diistilahkan dengan Tradisi Negatif.

Apabila terjadi simptom TIDAK MENGAMBIL ENDAH, maka muncullah sindrom ‘Jangan Sibuk Jaga Tepi Kain Orang’ yang langsung mengakibatkan manusia saling tidak peduli sesama manusia. Mereka terlalu sibuk dengan urusan dan hal masing-masing tanpa sekejap memikirkan saudara atau manusia yang lain, sehingga sedikit demi sedikit hakisan sikap peduli sudah mula tertanggal lalu timbul pula sindrom yang sama maksudnya atau disebut sebagai sindrom ‘Engkau adalah Engkau, Aku tetap Aku’.

Setelah hilang sikap peduli, masyarakat mula akan merasakan sikap tegur-menegur atas perkara yang mungkar adalah suatu feel yang pelik. Begitu juga, apabila kikisan sikap peduli tadi sudah semakin serius hilang dari dalam jiwa manusia, akhirnya sikap tegur-menegur akan menjadi suatu yang dirasakan sebagai malu atau takut dikatakan menyibuk.

‘Semalam, anak kau tak pakai tudung keluar rumah, kau tak tegur ke Limah?’

‘Hisyy! Dia dah besar, tahulah dia jaga diri. Nanti apa pula kata orang, aku terhegeh-hegeh nak menjaga anak aku. Itu mengongkong namanya Tijah. Kau tu, jaga anak kau sendiri’



Mak Limah mungkin tidak tahu bahawa gejala ‘AKU TAK MAHU TERHEGEH-HEGEH’ tadi itulah yang akan membuahkan dan melahirkan manusia lain yang sudah tidak kisah dengan suasana atau berani buat apa sahaja bila dirasakan selesa. Mahu memakai pakaian ketat, sudah tidak dirasakan salah, asalkan diri sendiri berasa selesa. Akhirnya Mak Tijah yang mahu menarik saudaranya dari jurang neraka disalahkan sebagai Penjaga tepi Kain Orang.

Tapi bukan ini fokus saya untuk kali ini..

Tapi yang ini:


Abu Lahab + Isme

Kewujudan sindrom kedua ini terlalu bahaya jika kedapatannya di dalam sebuah komuniti seperti yang telah disebutkan di atas. Menjadikan sikap "mengambil tahu hal" ehwal saudara sesama muslim adalah suruhan yang digalakkan dalam agama, tetapi apabila sikap ini telah keterlaluan dicampur pula dengan perasaan dengki yang berbaur syaitan, ia akan bertukar menjadi sifat lain yang menjerumus ke arah mazmumah.

Punca hanyalah satu, kerana pihak tertentu merasakan PANGKAT dan STATUS mereka tercabar dan dicabar oleh orang lain. Kombinasi dua sifat ini (kedengkian dan terlalu mencampuri urusan) akan dirosakkan oleh tindakan yang negatif. Pantang melihat orang lain melebihinya tidak kira dari segi pencapaian, harta, kedudukan dan sebagainya, ia pasti tidak senang duduk dan terasa panas punggung. Bagi mereka yang sebelum ini menduduki tempat di mata masyarakat tiba-tiba pula kedudukan mereka dihalang oleh orang lain yang lebih baik daripadanya, mereka akan merasa ini satu cabaran yang bakal memijak kepala mereka.

Cerita ini bukan baru terjadi di zaman atau di era ini, tetapi melangkau ribuan tahun terdahulu dan tidak salah saya menyebutkannya bahawa ia pernah berlaku di zaman Nabi kita saw. Dengan merasakan kedudukannya di mata masyarakat Arab semakin hari semakin berkurang, maka si polan yang bernama ABU LAHAB ini berusaha melakukan pelbagai kegiatan asalkan Nabi saw tidak dapat daripada terus beristiqomah menyebarkan kerja dakwahnya.

Disebarkan cerita tentang keburukan Nabi saw, dihalang kerja dakwahnya, dan pelbagai lagi usaha jahat yang mengganggu gugat kerja dakwah ini. Lalu insan seburuk ini layak dicela sebagaimana telah dilemparkan celaan terhadapnya oleh ALLAH taala.

‘MAKA BINASA DAN CELAKALAH KEDUA BELAH TANGAN ABU LAHAB’

Justeru, adakah kita mahu sepertinya?

Dalam kondisi masyarakat hari ini, kebanyakkannya telah dirosakkan oleh orang-orang ini. Masyarakat atau jemaah yang sepatutnya harmoni dengan kesantunan dan keakraban ahlinya dipecah-belahkan oleh sebilangan ejen-ejen Abu Lahab ini. Mereka tidak mahu melihat sesiapa saja melebihi mereka, pasti akan dijatuhkan.

Siapa mereka?

Ya, mereka juga orang Islam seperti kita, tetapi mereka khianat. Mereka bukanlah kategori manusia yang mahu sangat kepada Islam ini, bagi mereka Islam ini diambil yang penting-penting sahaja, solat puasa, zakat, haji dan mengucap. Lain-lain tidak buat pun tak mengapa. Lalu apabila ada sebuah pihak yang lain yang mahu menjanakan atau melaksanakan Islam sebenar, maka mereka sudah merasakan tidak selesa. Mereka menganggap golongan yang mahu bersungguh terhadap Islam ini akan mengongkong mereka daripada perkara-perkara yang mereka suka. Sedangkan perkara kesukaan mereka itu bukanlah ada sumbangan dan kebaikkan untuk agama.

Akhirnya pelbagai usaha dilakukan semata-mata mahu menjatuhkan golongan yang mahu meneruskan kesinambungan Islam ini. Disebarkan cerita yang bukan-bukan, dilemparkan fitnah yang bermacam-macam, dituduh pula dengan kepelbagaian cerita yang tidak langsung masuk akal. Ada juga di kalangan mereka yang sebelum ini tidak pernah pun memenangi hati orang ramai, tiba-tiba mula mengaburi orang di sekitarannya dengan kebaikkan yang cuma dibuat-buat. Tujuannya hanya untuk mengambil semula hati manusia lain agar sokongan tidak akan berubah arah terhadap mereka di samping kerja-kerja buruk mereka tetap terus dijalankan.

Sambil-sambil memburukkan orang lain, dalam masa yang sama cuba untuk mengambil hati orang ramai, itulah sikap mereka yang nyata. Tidaklah salah jika tujuan mengambil hati manusia itu untuk mendapatkan sokongan agar kerja Islam dapat dilaksanakan, tetapi orang-orang ini terlalu lain dan buruk niat mereka. Mahu mendapat sokongan supaya golongan yang mahu membawa Islam sebenar ini dijauhi, dengan harapan mereka akan mudah merosakkan lagi minda masyarakat.

Apa yang paling buruk adalah, oleh kerana mahu sangat kepada status dan pangkat yang membolehkan mereka menyebarkan kerja buruk ini, mereka sangup melakukan apa sahaja waimmah memutuskan sillaturrahim. Asal mendengar saja kelemahan, dijaja dengan begitu riuh, akhirnya orang yang difitnah itu dipandang jijik oleh masyarakat sedangkan ianya tidak. Inilah akibat kelakuan mereka yang dihasuti dan dibayangi kegilaan Abu Lahab.

Oh, rupanya ada lagi Abu lahab di zaman ini – zaman IT.

Memang ada, bahkan pergerakkan mereka lebih licik. Percayakah anda, Abu Lahab ini bukan sahaja boleh duduk dan menyebarkan fitnah mereka di dalam komuniti masyarakat sahaja, tetapi sudah semakin canggih dan up-date, kerana mereka ini boleh ditemui di jaringan media massa dan internet. Cara mereka juga sama seperti kita menyebarkan dakwah, hanya menaip di blog-blog, email-email, atau apa sahaja peluang dan ruang akan digunakan sebaiknya untuk merosakkan nilai persaudaraan sebuah masyarakat. Sayangnya kerja mereka ini sia-sia sahaja, bukan untuk menaikkan Islam, tetapi mahu mengetepikan Islam.

Kadang-kadang saya sendiri tersenyum melihat gelagat Abu Lahab yang kurang bijak ini. Ibaratnya seorang musuh yang bersenjatakan pisau mahu beradu tenaga dengan seorang yang mempunyai shot-gun, berkecailah jawabnya si pemegang pisau tadi. Apalah takut sangat dengan peraturan Islam ini sampaikan mahu dijatuh-jatuhkan si pembawanya. Wahai sekian pengikut Abu Lahab, kamu ingin menjatuhkan Islam seperti kamu mahu menjatuhkan si Penciptanya dan mencabar-Nya. Beranikah? Siapa kamu? Kamu tidak mampu – sudah-sudahlah.

Saya mengingatkan kepada kita semua agar berhati-hati dengan mereka yang bersifat seperti ini, kita harus curiga dengan mereka kerana mereka adalah punca perpecahan dalam sebuah jemaah dan masyarakat. Merekalah juga selumbar halus yang bakal memecah-belahkan persaudaraan umat Islam. Walaupun slogan mereka mahu menyatukan ummah itu nampaknya baik, tetapi di sebalik itu belum tentu apa yang mahu dibawa.

Dengki + fitnah + hasutan + celaan = ABU LAHABISME.

p/s: sahabat pernah berpesan, orang yang berbuat khianat pada orang lain hati dan hidup mereka tidak akan senang selagi belum meminta maaf pada orang yang dikhianatinya. Saya terkesima lalu bertanya – adakah aku ditempiasi oleh renjis Abu Lahab ini?

Untuk read more, tulis di sini...

0 Responses so far.