Alangkah mudahnya untuk kita menyalahkan seseorang. Fatine boleh sahaja disalahkan bahkan dihukum kerana apa yang telah dilakukannya.

Jangan tampilkan dulu hukuman yang bakal diterima Fatine. Keutamaannya ialah, bagaimana untuk menyerlahkan kepada Fatine bahawa masalah yang dihadapinya itu ada penyelesaiaannya mengikut Islam?

Bagaimana untuk menampilkan kepadanya 'kemesraan' Islam kepada orang sepertinya? Islam tidak menzalimi manusia sepertinya tetapi Islam tampil sebagai penyelamat manusia. Persoalannya, bagaimana mengemukakan Islam sebagai penyelamat kepada Fatine?

Semenjak sekian lama Islam dimomok. Di negara kita sendiri, orang yang bakal memeluk Islam ditakutkan dengan ‘potong’. Seolah-olah itu adalah kemuncak Islam. Pada hal hakikatnya ada perkara lain dalam Islam yang boleh menarik manusia menerimanya. Keadilan adalah salah satu daripadanya.

Pihak berkuasa agama negara kita perlu menyelamatkan Fatine. Jangan tunggu dia pulang sendiri kalau sekiranya diketahui aqidahnya terjejas. Ungkapan ‘dia pandai pergi, pandailah dia pulang’ sewajarnya tidak keluar daripada mulut pemimpin agensi agama kita.

Kalau benar Fatine bersalah dalam perkara agama, dia perlu disedarkan mengenai kesalahannya itu. Orang yang menjadi baik selepas bersalah lebih baik daripada orang yang merasa dirinya tidak pernah bersalah.

Justeru, apa salahnya Fatine dihulurkan bantuan dan pertolongan. Demi aqidahnya, demi sebuah jiwa manusia Muslim. Adakah Fatine menjadi tidak berharga lagi selepas kesilapan yang dibuatnya itu?




Pusat Islam mesti menyelamatkan Fatine, aqidahnya dan agamanya. Jangan sampai Fatine nampak bahawa Islam tidak membela orang sepertinya, atau Islam tidak menyediakan ruang untuk orang sepertinya, hanya kerana sikap orang Islam sendiri yang tidak bersedia membantunya.

Kita tentu pernah membaca hadis yang menceritakan kisah lelaki yang membunuh 99 nyawa dan membunuh lagi menjadi 100 nyawa hanya kerana dia tidak dilayan dengan cara yang betul oleh seseorang.

Namun kesudahannya dia mendapat rahmat Tuhan apabila seorang hamba Allah yang alim menunjukkan jalan keluar kepada masalah yang dihadapinya. Bukankah ini pendekatan yang perlu diambil, menyediakan jalan keluar untuknya?

Tidak mustahil juga kita akan kehilangan seorang Muslim bernama Fatine sekiranya kita gagal membelanya dan dia dibela oleh orang lain yang tidak seagama dengannya. Harap-harap itu tidak berlaku.

p/s: terima kasih ustaz Zolkharnain Abidin. Fatine juga umat Islam yang perlu sama merasai hak dan keindahan Islam. kalau kita dapat rasai manisnya madu Islam mengapa Fatine tidak?

Untuk read more, tulis di sini...

0 Responses so far.