Cari Yang Mana?

i

‘Jangan memilih sangat, kita bukanpun perfect!’ Luah seorang teman saya. Sudah lali dengan perangai kawan-kawan yang terlalu memilih dalam soal jodoh.

‘Jadi, tak bolehlah nak demand?’

‘Bukan tak boleh. Kamu pernah fikirkan apa kehendak kamu yang dalam masa yang sama, juga orang perempuan fikirkan?’

‘Apanya?’

‘Kamu nak cari muslimat yang baik-baik. Mahu yang tudungnya labuh, mahu yang pakai purdah, mahu yang berjubah kemas. Tapi kamu sendiri berkopiah pun jarang sekali’

‘Maksud kamu apa?’

‘Kamu perlu tahu, perempuan baik seperti yang kamu idamkan juga mahu lelaki yang baik. Mereka juga mahu lelaki berkopiah, berpakaian sopan, baik akhlaknya dan macam-macam lagi’


‘jadinya?’

‘maksud saya lagi, permintaan kamu mesti seiring dengan diri kamu sendiri. Kalau mahu yang solehah kamu mesti lebih dahulu jadi yang soleh, tak begitu?’

‘Emm...’

Perbualan kami terhenti di situ dahulu. Masing-masing memikirkan sesuatu. Tentang calon dan tentang diri-sendiri.

ii

Saya bawakan sedikit pesan Nabi saw dalam soal memilih jodoh ini. Sekurang-kurangnya ada panduan yang jelas untuk memilih pasangan, apa katanya:

‘Nikahi wanita itu kerana 4 perkara: kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikkannya dan juga kerana deen (agamanya). Maka pilihlah (utamakan) pada agamanya, maga akan beruntunglah tangannmu’

Semua yang Nabi saw gariskan itu adalah untuk kebahagiaan diri serta kebaikkan agama. 4 perkara itu jelas menyatakan kebahagiaan dan kebaikkan. Keturunan yang baik akan melahirkan anak-anak yang baik pekerti dan sejahtera untuk agama, harta yang banyak lalu digunakan pada jalan untuk membina keluarga yang sejahtera adalah kebaikkan untuk agama. Agama? Sudah tentu kebaikkannya untuk kemaslahatan agama. Cari isteri yang beragama (berpengetahuan agama) adalah untuk kesinambungan agama, beerti isteri yang beragama akan membuahkan kebaikkan yang menyeluruh, kerna itu Nabi menyebutkan di hujung hadisnya agar memilih wanita yang beragama.

Kecantikan.

Ia adalah suatu bentuk kehendak fitrah manusia, kerana agama itu cantik, maka disuruh umatnya memilih yang cantik-cantik. Namun maksud untuk hadis Nabi itu umum, cantik wajah pun ia juga, cantik akhlaknya pun ia juga. Lalu, yang mana satu mahu didahulukan?

Saya masih belum menjumpai jawapan kepada soalan ini. Selalu sahaja sahabat-sahabat bertanyakan soalan ini. ‘Mahu cari yang mana, yang baik atau yang cantik?’ lalu saya terus menyimpulkan: ‘Kalau dapat kedua-duanya lebih baik, cantik wajah dan akhlaknya’

Tetapi saya pasti, tidak semua lelaki mudah tertarik dengan kecantikkan budi (akhlak). Rata-rata hanya melihat pada rupa paras. Pantang melihat seorang wanita itu cantik, comel atau bergaya, cepat saja menjadi target dan sasaran jodohnya. Akhlak nombor dua. – itu yang biasa berlaku. Perempuan pun begitu juga, mencari yang kacak!

Ada sesuatu yang sidang pembaca perlu tahu bahawa kamu akan beruntung sekiranya pasangan hidup kamu itu dipilih kerana kebaikkan budi dan akhlaknya. Bukan saya menghalang atau menafikan yang cantik itu tidak menjamin bahagia dan sejahtera, saya Cuma mahu menjelaskan kepada anda bahawa kecantikkan sahaja masih belum cukup untuk memberikan kebahagiaan berbanding nilai budi pekerti.

Bagi saya:

Seseorang yang hanya mempunyai kecantikan fizikal sahaja tidak akan menjamin kebahagiaan berterusan, tetapi seorang yang walaupun tiada paras kecantikkan dan hanya berbekalkan nilai budi pekerti dia mampu membina serta mengekalkan kebahagiaan kepada anda bahkan untuk selamanya.

Saya tidak menghalang sahabat-sahabat saya mahu mencari yang cantik-cantik, tetapi jika kehendak itu telah menafikan keluhuran budi sebagai authority yang perlu diutamakan saya amat tidak bersetuju sekali.

Untuk muslimat atau wanita di luar sana, yang kurang memiliki kecantikkan, anda usah perlu risau kerana nabi sudah menjaminkan bahawa anda yang mempunyai kecantikan budi adalah pemula kepada kebahagiaan. Kerana itulah Nabi saw menyebutkan ‘pilihlah pada yang beragama, maka beruntunglah tanganmu’. Agama itu adalah akhlak, dan akhlak di dalamnya mengandungi agama yang indah.

Ini kata-kata orang tua, saya tidak pasti kebenarannya tetapi saya akuinya apabila saya melihatnya. Perempuan yang kurang pada cantiknya tetapi memiliki kehalusan budi dan kecantikkan akhlak, semuanya dilihat cantik sampai cantik wajahnya diketepikan dahulu dek kerana kecantikkan budi. Ingatlah kata-kata ini: Tidak Ada wanita yang hodoh, hanya kecantikan yang saja berbeza. Sahabat saya yang nakal-nakal memberitahu tahu pendapatnya: ‘bagi analah, muslimat walaupun kurang lawa, bila dah pakai tudung labuh semuanya nampak manis je’ – itu katanyalah.

Sebagai seorang Islam, anda tentulah mempunyai kayu ukur tersendiri untuk menilai kecantikkan. Anda tentunya mengukur kecantikan wanita mengikut kayu ukur Islam. Dan tentu saja kecantikan yang menjadi penilaian Islam adalah lebih hakiki dan ‘ori’. Misalnya, kalau kecantikan itu hanya terletak pada wajah, wajah itu lambat laun akan dimakan usia. Itu hanya bersifat sementara. Apabila usia meningkat, kulit akan berkedut tentulah wajah tidak cantik lagi. Jadi tentulah ini bukan ukuran kecantikan yang sejati dan abadi tadi – maksudnya tidak ‘ori’

Ya, mata menilai kecantikan pada rupa. Akal menilai pada fikiran. Nafsu menilai pada bentuk tubuh. Tetapi HATI tentulah pada akhlak dan budi. Lalu pada bahagian manakan anda menilai sebuah kecantikan yang ‘ori’ seperti yang dimahukan oleh Islam?

Tidak bahagiakah anda yang mempunyai pasangan hidup yang kurang sedikit daripada kecantikkan wajah tetapi ada budi dan akhlak yang terus kekal hidup bersama anda? Sekurang-kurangnya budi yang baik itu tidak luput sebagaimana pudarnya kecantikkan. Lagipun, bila sudah berusia nanti, adakah wajah yang akan kita pandang?

Saya percaya belum ada seorang manusiapun apabila sudah lajut usia dia akan kelihatan cantik jelita sebagaimana ketika mudanya, percayalah! Siti Nurhaliza juga akan menjadi hodoh jika sampai ke usia tua nanti. Tapi Datuk K tidak perlu risau jika dari sekarang Siti Nurhaliza sudah dididik dengan akhlak yang baik.



Kecantikan yang Membinasakan?

Persoalan

KENAPA ramai wanita yang memiliki kecantikan rupa tetapi musnah hidupnya? Ada ungkapan yang berbunyi: kemusnahan akan menimpa jika wanita mula merasai dirinya cantik dan berbangga dengan kecantikkannya. Sejauh mana benarnya wallahua’lam. Tapi, apa yang pasti menurut Islam jika kecantikkan yang tidak disertai dengan iman yang kuat, maka pemiliknya akan hilang kawalan diri. Dia akan rosak dan merosakkan orang lain.

Cantik tidaklah salah, tetapi salah menggunakan kecatikkan itulah yang salah. Kata orang, wanita yang cantik jarang berakhlak. Umpama bunga yang cantik, jarang yang wangi. Tetapi kalau cantik dan berakhlak, inilah yang paling hebat dan menjadi idaman. Seperti cantiknya wanita solehah di zaman Rasulullah saw, Ummahatul Mukminin Siti Aisyah r.ha, Atikah binti Ziad dan lain-lain lagi.


Jangan Resah Gelisah

Jadi, bagi wanita yang tidak cantik – pada ukuran manusia – janganlah hilang bahagia atau resah jiwa. ALLAH itu Maha Adil. Sekiranya hanya wanita yang cantik layak mendapat cinta dan bahagia, yang buruk tidak, maka di manakah keadilan ALLAH? Tetapi, yang buruk wajah pun masih dapat menikmati cinta, malah cinta yang lebih suci kerana pada mereka ada kecantikkan sejati sekiranya berakhlak baik.

Kata orang, what you see is what you get – apa yang kita lihat itulah apa yang kita akan dapat. Kalau pandangan kita tepat, apa yang akan kita dapat adalah baik. Sebaliknya, jika pandangan kita kabur, maka apa yang kita dapat kemungkinan akan buruk. Pandangan yang paling tepat adalah pandangan yang diselaraskan oleh penilaian ALLAH. Apa yang ALLAH nilai cantik, maka itulah yang kita katakan cantik. Maka, insyaallah kita akan memperolehi kecantikkan itu.

Akhirnya,

Pesan saya, lawan-lawanlah hati, pilihlah yang baik budi walaupun tak cantik ‘body’ – insyaallah kita tidak menyesal nanti. Yang cantik ‘body’ ini kalau dipilih, memang senang awalnya di mata, tetapi sakit nantinya di hati. Akan tiba waktunya (bila sudah tua) sakit juga di mata, lalu semakin sakit pula bertambah di hati. Tetapi jika yang kita pilih yang cantiknya ‘budi’, mulanya mujahadahlah, sakit di mata, tetapi cepat senangnya di hati. Dan lambat laun akan senang juga di mata, senang juga di hati.

Saya tinggalkan anda dengan sebuah kata-kata daripada Bapak Hamka:

‘Kecantikkan yang abadi terletak pada keelokkan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan pada wajah dan pakaiannya’


Untuk read more, tulis di sini...

2 Responses so far.

  1. salam wbth,

    ada sahabat bertanya "salam, ADAKAH ORANG YG PAKAI TUDUNG LABUH, BERKOPIAH, ATAU BERJUBAH SAHAJA DIKATAKAN SOLEH SOLEHAH?

    jawab saya: "YA!"

    namun itu sekadar analogi ringkas, supaya khalayak yg membaca mudah faham.

    jika saya menulis: 'KITA HARUS BERSEDEQAH AGAR KITA DIPANDANG SEBAGAI ORANG YANG BAIK OLEH...'

    maka,

    akan ada yang bertanya: 'KALAU MEREKA YANG TAK BERSEDEQAH BUKAN ORANG BAIK KE?'

    lalu saya ubah tulisan saya kepada contoh yg lain pula: 'JANGAN TIRU ORANG YANG MEROKOK, TAK BAIK!'

    pun ada orang akan berbunyi juga: 'ORANG MEROKOK TAK SEMESTINYA JAHAT USTAZ, ADA JUGA YANG BAIK-BAIK'

    akhirnya saya terpaksa ubah lagi: 'ORANG-ORANG BAIK TAK BOLEH TINGGALKAN SOLATNYA'

    mungkin sampai macam ini pun saya akan ditegur: 'ADA ORANG KADANG-KADANG TINGGAL SOLAT, TAPI RAJIN SEDEQAH,BLA..BLA..BLA.. TAK BOLEH JUGA CAKAP DIA JAHAT'

    Oh tidak, saya jadi buntu seketika,

    tetapi,

    JANGAN sampai ada orang islam yang kata begini sudah: 'TAK SEMESTINYA ORANG YANG TINGGAL SOLAT ITU TAK BAIK, KITA TAK TAHU HATI DIA'

    Apa pun Tahniah pada yg bertanya kerana pertanyaan itu membuatkan saya berfikir 2,3 hari untuk mencari jawapan dan titik temunya.

    PERTAMA, apa yang saya mahu ertikan adalah, yg baik pasti temunya yg baik-baik juga. TUHAN sudah sebutkan lelaki yg baik untuk wanita yang baik.

    KEDUA, permintaan kita harus seiring dengan kemampuan kendiri kita.

    kita mahukan wanita yg baik, namun dalam masa yg sama kita masih kurang molek dari segi perangai dan belum lagi berusaha untuk berubah.

    sama juga tamsilannya begini: mahu membeli kereta BMW, perlulah setaraf dengan kemampuan diri, kalau kerja sebagai Pak Guard, janganlah memasang angan yg bukan2. Mungkin Perodua Kancil sudah memadai bukan? motor pun tak apa.

    berbahagialah dengan jodoh anda. saya sentiasa doakan.

  2. perempuan tak terlalu memilih rupe kot ustaz...