Seperkara yang menjadi pertanyaan seorang sahabat dua hari yang lalu sempat saya fikir-fikirkan seketika. Ada benarnya apa yang dikatakan olehnya. Dahulu, saya pernah berfikir begitu, sama seperti apa yang sahabat ini lontarkan. Tetapi saya memasang keyakinan bahawa janji TUHAN tidak akan pernah meleset dan menyalahi, bahawa lelaki yang baik hanya dikurniakan untuk wanita yang baik. Mungkin tamsilan dalam pepatah melayu yang mengungkapkan ‘Pipih tak akan terbang bersama enggang’ ini boleh dijadikan pedoman awal. Begitu jua, setitis nila yang masuk ke dalam susu akan merosakkan segala yang ada di dalam belanga. Nampakkan? Mekanisma yang baik tidak sesekali akan mudah dicampurkan dengan kejahatan. Apatah lagi manusia.

Ingatlah, dosa dan pahala tidak akan bercampur. Neraka dan syurga pun diciptakan berasingan, azab atau nikmatnya juga lain-lain. Dan al-Quran pun menyatakan pendirian yang sama (At-Thoyyibun lithoyyibat), masakan Kalam ini berdusta, lihat nanti penjelasanya.

Begini kisahnya, dan beginilah mesej yang saya terima daripadanya melalui ruang Facebook:

‘Emm biasanya orang cakap lelaki @ perempuan yang baik akan dapat pasangan yang baik jugakan?? saya ade kenal someone.. saya rase dia baik sangat, dengar cakap orang tua, belajar pandai dan tak dinafikan ramai orang suka dengan dia.. tapi bila dia berkahwin semua berubah. lelaki dia teruk. sudahlah tak bekerja, pagi-pagi sudah keluar rumah malam baru dia balik.. dahlah dorang menumpang di rumah perempuan tu. saya kesian sangat kat kawan saya tu.kenapa ya jadi macam tu??’

Dua ke tiga hari saya memerah idea untuk mendapatkan jawapannya, amat sukar bermain dengan persoalan yang sifatnya berlawanan ini. TUHAN berkata begini tetapi yang berlaku pula begitu atau sebaliknya. Saya merasakan ia adalah hikmah walaupun kebaikkannya disembunyikan.

Saya memulakan bicara ini dengan menyatakan sedikit keyakinan kepada semua pembaca agar berpegang dengan janji ALLAH yang satu ini agar tidak nanti terasa menyeleweng. Bahawasanya, lelaki yang baik akan tetap disediakan untuk wanita yang baik. Walau apapun jua situasi yang berlaku di luar kotak fikiran kita, yang seolah menampakkan ianya berlaku bertentangan dengannya, ia sekadar pengajaran dan hikmah yang sementara waktu untuk sampai kepada janji ALLAH yang satu. frasa ‘baik hanya untuk yang baik’ adalah suatu kepastian yang realiti. Yang ini harus anda percaya dan terus berpegang dengannya.

Memberi tanggapan pada Kalam TUHAN yang menyatakan ‘lelaki baik untuk wanita yang baik’ secara luaran dan mata kasar sahaja belum lagi mencukupi untuk menilainya. Justeru, untuk mendalami kata-kata ALLAH ini perlulah mendalaminya dengan lebih dekat lagi melalui cara berfikiran di sebaliknya. Jika tidak, tanggapan itu akan menjadi rosak dan anda akan mudah bersangka buruk pada TUHAN. Kerana itulah sesetengah orang, apabila melihat sepasang suami isteri yang mana isterinya terlalu baik tetapi suami pula berlaku sebaliknya, manusia mula bersangka sesuatu kepada TUHAN, dan berkata bahawa ‘DIA tidak adil menjadikan begitu dan telah melanggari janji-NYA’

Langsung, kita sudah tersalah anggap pada TUHAN sendiri.


Pemberian ALLAH Itu ‘Berbeza-Beza’ Jalannya

Ada manusia yang dikurniakan oleh ALLAH isteri dan suami yang baik serta soleh semenjak di awal pertemuan lagi. Sebelum diikat sebagai pasangan sehidup-semati dia sudah ditemukan dengan pasangan yang baik-baik, lelakinya berbudi manakala perempuannya pula bersopan, pendek kata mereka pasangan yang ideal dan sekufu dari segi kebaikkannya. Lantas, ia suatu rahmat ALLAH taala kepada mereka ini.

Mahu dijadikan takdir dan ketentuan, akhirnya mereka disatukan di atas jinjang pelamin. Mereka hidup sebagai suami isteri yang sah dan bahagia. Anak yang lahir pula, menjadi anak-anak yang taat dan berbakti kepada dua ibu bapanya. Makanya ternyata kata-kata ALLAH yang menyebutkan ‘lelaki baik untuk wanita yang baik’ telah terbukti di situ.

Anda pasti tahu bahawa TUHAN itu terlalu adil sifatnya sehingga takdir yang dilakarkan untuk manusia itu kadangkala tidak terjangkau oleh fikiran manusia, waimmah buruk pada pandangan manusia itulah yang baik untuk keadaan dan situasi manusia.

Namun, tidak semua manusia yang ALLAH mahu kurniakan sesuatu berharga itu kepadanya dengan jalan yang mudah dan senang, oleh kerana keadilannya juga DIA tetap mahu mengurniakan kepada manusia itu sesuatu yang berharga tetapi mahu diuji terlebih dahulu sejauh mana hebat hamba-NYA. Sudah menjadi lumrah alam, barang yang berharga mungkin sukar untuk diperolehi. Begitulah manisnya madu, Anda mungkin perlu menghadapi risiko disengat lebah, risiko memanjat pokok yang tinggi dan lain-lain lagi, akhirnya barulah madu yang berkualiti dan mahal harganya dapat dirasai lidah – suami dan isteri solehah adalah barang berharga yang lebih dari segala harta.

Kalau tidak di awalnya, pasti pada ‘akhirnya’ dia akan memperolehi ‘barang berharga’ itu.

Soalnya, ‘Habis tu. Kenapa kawan saya tu tak dapat suami yang baik, sedangkan dia perempuan yang baik pada pandangan saya?’ tambahnya pada saya lagi.

Saya mengajak sidang pembaca melewati kisah nabi Yusuf a.s. dan Siti Zulaikha seketika. Mengapa pada ‘akhirnya’ Nabi Yusuf a.s. bersatu menjadi suami isteri bersama Siti Zulaikha sedangkan jika mahu dikatakan Siti Zulaikha seorang perempuan yang tidak baik dan mahu menggoda Nabi Yusuf a.s dengan tujuan untuk melakukan perbuatan terkutuk? Saya mahu katakan di sini bahawa jangan hanya melihat di awalnya tetapi melihat dengan fikiran yang mendalami (lihat di akhirnya).

Siapa tahu, Siti Zulaikha yang pada awalnya berniat jahat akhirnya berubah menjadi wanita solehah kerana tertarik akan akhlak si Yusuf. ‘Akhirnya’ Siti Zulaikha ditakdirkan menjadi wanita baik dan dijodohkan oleh ALLAH taala bersama Nabi Yusuf a.s. Bukankah itu juga dikatakan ‘lelaki baik dikurniakan untuk wanita yang baik’ walaupun Zulaikha tidaklah dikategorikan sebagai wanita baik pada awalnya. Jangan terlalu menghukum sesuatu di awalnya sahaja, lihat pula bagaimana pengakhirannya.

Begitulah yang saya mahu maksudkan kepada semua sidang, mungkin tidak semua manusia ini mudah-mudah untuk TUHAN kurniakan kepada mereka suami atau isteri yang baik. Barangkali terpaksa melalui jalan kesakitan, ujian, keperitan atau pelbagai kepayahan untuk mendapatkan sesuatu yang berharga dan baik.

Mungkin juga, si isteri perlu berhadapan dengan suaminya yang berperangai jahat dan buruk sementara waktu untuk ALLAH mengurniakan kepadanya suami yang baik suatu hari nanti. Siapa tahu, masa yang berlalu bisa merubah si suami menjadi seorang suami yang taat dan baik budi pekertinya. Bukankah itu juga yang disebutkan ‘suami yang baik diciptakan untuk isteri yang baik’. Cuma jalan melaluinya sahaja yang payah.

Apapun, janji ALLAH yang termaktub di dalam Al-Quran tidak sesekali DIA nafikan. Hitam kata ALLAH maka HITAMlah yang akan dikotakan, jika putih katanya, demikianlah.


‘Tidak Semua’ dan ‘Tidak Semestinya’

Hikmah ALLAH itu terlalu luas untuk difahami biarpun sesuatu yang berlaku itu di luar kotak pemikiran manusia. Kerana itu, di dalam mehnah dan fitrah hidup di dunia ini, ‘tidak semua’ yang dikehendaki oleh kita akan terjadi, ‘tidak semestinya’ apa yang lazim berlaku akan berlaku. Bunga yang cantik tidak semestinya berbau wangi, begitulah tamsilannya.

Saya kira ‘tidak semua’ dan ‘tidak semestinya’ ini adalah suatu hikmah tersembunyi dan salah satu kekuasaan DIA yang menjadikan manusia. Misalnya, Nabi ALLAH Nuh a.s. baginda tidak dikurniakan isteri dan anak-anak yang baik. Akhirnya mereka mati ditenggelami bah yang besar kerana enggan beriman dan menurut perintah Nabi Nuh a.s.

Begitu juga Asiah isteri kepada Firaun, bukan sahaja suaminya seorang yang zalim bahkan kufur kepada ALLAH taala. Demikian juga yang berlaku kepada Nabi Soleh a.s. Betapa besarnya hikmah ALLAH yang melaksanakan semua ini. Tugas kita sebagai manusia untuk mengambil manfaat dan pengajaran daripadanya.

Wallahu Ya’lamu wa antum La Ta’lamun (ALLAH lebih Maha Mengetahui dan kamu tidak mengetahui – apa yang berlaku; iaitu di sebaliknya kejadiannya)


Teruja dan Terkejut

Diakhirnya sahabat ini sempat menyebutkan perkara yang memberatkan hati saya. Inilah rahsia kebahagiaan. Bukan sahaja kesan bahagia untuk rumah tangga (suami dan isteri) tetapi penting untuk kebahagiaan dunia dan akhirat, katanya:

‘Abang, mungkin juga tak apa yang berlaku pada kawan saya tu sebab dia melawan kata ibunya? Sebab sepanjang hidup dia, dia seorang yang baik. Cuma pada bab kahwin, dia tak sependapat dengan ibunya. Barangkali ibunya sudah berkecil hati’

Saya hanya menjawab: YA!

Redha ibu adalah jawapan kepada semua kebaikkan dan keburukkan. Pesan saya pada dia, jangan bermain dengan redha ibu yang walaupun nampak kecil, utamakan dia dari segenap aspek.

Itulah KEHIDUPAN – pelik dan luar biasa!

___________________________________


p/s: perasaan saya bercampur-baur lewat dua ke tiga hari ini. Saya mengharap perasaan ini akan mengundang bahagia dan ketenangan atau terus berhenti dari bermain di fikiran saya.

Untuk read more, tulis di sini...

9 Responses so far.

  1. Anak-anak dan isteri kadang kala menjadi ujian buat seorang suami begitu juga sebaliknya. Bersabar menerima ujian daripada Allah tentulah sesuatu yang baik.

  2. SALAM WBTH ustz,

    skng bru sy fhm. TUHAN pasti xkn sia2 kan jnji-NYA pd hamba. mmg laki2 baik utk pmpuan yg baik.

    jd, pmpuan2 yg baik diluar sna xperlu risau krn laki2 sdng mananti anda..

    artikel yg best!

  3. ASSALAMUALAIKUM,

    TAATI LAH ALLAH,
    TAATI LAH IBU BAPA,
    NESCAYA HIDUP BAHAGIA.

  4. Nampaknya, seperti ada masalah besar je nih...
    Mesti ada ape2 ni.
    Jangan lupa telefon ibu, minta restu yea..

  5. :)

  6. Mohon share...

  7. tersentuh hati membaca post ni...sblom ni ramai yang x faham trmasokla sye psl ni..lps bace,alhamdulillah..baru la dpt jwpnnye...

  8. Sangat menyentuh perasaan artikel ni.......betul tu,kita xbole bersangka buruk pada Allah,dan sewenang2nya menuduh Dia melanggar janjiNya.Hakikatnya,Ilmu Allah tu sangat luas dan tiada bandingannya.Dan Allah hanya menakdirkan hanya yang baik2 saja untuk setiap hamba-Nya.Alhamdulillah,satu ilmu baru buat saya..dan ia sgt menyenang dan menenangkan hati saya.Thank You Allah for everything...thanks to penulis jgak,mudah2an bersama2 ilmu ini kita mendapat limpahan rahmat dari-Nya.ameen.....

  9. tq..klau jodoh yg dtg kat seorg pompuan tu terabg2 lelaki x baik, adakah salah klau pompuan tu trime sbb dia sudh tertarik dgn perwatakan lelaki itu..