Sadar Akan Kekurangan Adalah Pemula Kejayaan

‘MAAF, ANA TAK DAPAT JADI YANG TERBAIK UNTUK PERSATUAN KITA’

Saya menerima sepotong pesanan dari teman seperjuangan di dalam persatuan. Bunyinya seakan penyampainya diulit kelemahan ketika itu. Takut kerana sehingga kini dia masih memikirkan dia belum mampu memberikan yang terbaik untuk khidmatnya di dalam persatuan kami. Tetapi saya amat mengenali beliau, bukan calang-calang orang. Semangatnya terlalu luar biasa walaupun apa jua situasi yang dia hadapi. Ikhlas saya akui, saya tidak boleh menjadi sepertinya.

Tidak mengapa yang itu, saya doakan dia akan terus kuat dan tabah. Dia akan perolehi apa yang dia inginkan suatu hari.

Saya memuji teman-teman yang datang kepada saya mengakui kelemahan diri, mengadu tentang diri-sendiri yang tidak mampu memberikan yang terbaik untuk sesuatu perkara. Sekurang-kurangnya mereka sudah menjumpai kelemahan yang ada, cuma tinggal untuk diperkasa dan diperbaiki kelompangan yang ada. Jangan pula menjadi orang yang sentiasa merasakan dialah yang terbaik, kelak apabila terjatuh, dia akan terus mengalah dan berputus asa. Lebih teruk, perjuangan terhenti di takat itu sahaja.

Berkata soal kelemahan, kebanyakkan manusia malu untuk mengakuinya. Mereka menganggap kelemahan adalah keaiban yang tiada manfaat. Jarang sekali saya menjumpai orang yang sanggup akui kelemahan untuk perbaiki keadaan diri, terlalu sedikit. Yang ramai adalah, macam mana mahu buat itu ini, dan bagaimana mahu berjaya.

Apa yang ramai tidak tahu adalah nilai kelemahan dan kegagalan adalah sebenarnya menjadi fungsi atau tunjang utama untuk memperbaiki dan meningkatkan produktiviti diri. Kerana itu, mereka yang sedar akan diri tidak mampu menjadi terbaik, adalah pemula kepada langkah untuk mengenali dan mencari kekurangan diri lalu membawanya ke arah yang lebih baik dan perfect!

Caranya bukan dengan mengalah dan mengakui kelemahan sahaja. Kesedaran memang perlu, tetapi kalah dengan kekurangan bukan jalannya untuk perbaiki diri. YA, untuk menjadi perfect atau yang terbaik sememangnya tidak akan ada manusia yang boleh mencapainya, waimah ia dicipta oleh pakar sekalipun, ia tetap akan mengalami situasi ketidaksempurnaan. Jika kita seorang beragama ISLAM, kesedaran bahawa sifat kesyumulan dan kesempurnaan itu hanya wujud pada DIA (ALLAH taala Pencipta segala ciptaan). Lalu, seawalnya lagi kita sudah perlu sedar bahawa, mendapatkan sesuatu yang sempurna adalah mustahil sama sekali.

Buktinya ialah, setiap perkara atau cipataan pasti ada kritikan dan cacat celanya. Masakan handphone pun ada perbezaan jenis, disebabkan terdapat kekurangan yang masing-masing punyai. Kalaulah segalanya perfect, nescaya syarikat NOKIA akan bankrupt, kerana Telefon bimbit keluarannya tidak dibeli akibat sebuah handphone sahaja sudah memadai membelinya dan ia tidak akan rosak sampai bila-bila, serta memliki segala kelengkapan yang ‘perfect!’


‘Beri’ dan ‘Usaha’ Adalah Nilai Utama, Bukannya ‘Hasil’

Baru-baru ini, saya telah menulis berkenaan "nilai sesuatu". Keutamaannya terletak pada sudut yang mana? 'Usaha ke arah penghasilan' atau 'hasilnya'? Kata saya, ‘sebuah usaha’ itu lebih penting daripada hasilnya. Kerana usaha adalah hak dan pilihan manusia selagi mereka mampu, sebaliknya hasil merupakan hak mutlak ALLAH taala. Sekuat manapun usaha kita, jika tidak diizinkan kejayaan dari-NYA, ia tidak akan dapat diperolehi.

Saya ulangi di artikel yang terdahulu, ‘apa yang penting adalah USAHA’

Pakar Motivasi dan Pengkaji Barat menyatakan, kejayaan yang terhasil adalah daripada 99 peratus ‘Usaha Diri’ dan hanya 1 peratus daripada kebijaksanaan diri, ‘All you needs is 99% hardwork and 1% of genius’. Seperti yang saya katakan, anda tidak berhak memutuskan dan menentukan sesuatu hasil atau kejayaan, tetapi berhak berusaha untuknya dengan cara apa sekalipun.

Begitu juga dalam soal menjadi yang terbaik, usah risau atau gusar jika kita sudah berusaha untuk lakukan yang terbaik tetapi tidak berjaya mendapat yang terbaik, anda sudah dikira berjaya kerana usaha anda. Selebihnya hanya diserahkan kepada ALLAH untuk memberikan apa yang sepatutnya dan seadilnya. ALLAH tidak menilai hasilnya dahulu, tetapi sejauh mana usaha manusia itu.

TUHAN tidak akan bertanyakan kepada manusia, kenapa agama ISLAM tidak berjaya di Malaysia? Tetapi DIA akan bertanyakan ‘adakah kamu sudah berusaha untuk menaikkan Syariat ISLAM? Demikianlah konklusinya, soal memberi kemenangan kepada ISLAM bukanlah tanggungjawab kita dan tiada siapa yang boleh menentukan, sebaliknya usaha ke arah itu jauh lebih penting daripada kejayaannya.

Lalu, jangan perlu bersedih dan lemah semangat jika tidak mampu menjadi terbaik!


Memilih Pasangan Juga Begitu, Kita Tak Akan Jumpa yang Perfect!

Pada suatu hari, Khalid bin Safwan melihat satu perhimpunan di dalam sebuah masjid di Basrah. Lalu beliau bertanya akan tujuan perhimpunan itu diadakan kepada seorang lelaki yang hadir di situ:

‘Apakah tujuan perhimpunan ini wahai saudara?’

‘Seorang wanita sedang menerangkan tentang ciri wanita yang layak dikahwini’ jawab lelaki tadi apabila ditanya oleh Khalid bin Safwan. Lalu Khalid terus menyatakan hajatnya kepada wanita tadi. katanya:

‘Aku inginkan perawan berpengalaman seperti seorang isteri. Bila dikahwini sesuci perawan. Manis apabila didekati. Mulia bila berjauhan, dia mampu hidup dalam kemewahan tetapi bila dilanda kemiskinan dia masih punya keperibadian seperti orang kaya dan dan kerendahan hati si miskin. Apabila kami kaya, kami hidup seperti warga dunia. Pabila miskin, KEHIDUPAN kami seperti warga akhirat’ begitulah permintaan Khalid yang diajukan kepada wanita tersebut.

Tiba-tiba, seorang wanita bangun lalu menjawab permintaan Khalid bin Safwan: ‘Aku kenal akan wanita yang kamu maksudkan itu’

‘Di mana dia wahai saudari?’ tanya Khalid lagi.

‘Dia ada di syurga ALLAH. Jadi, bekerjalah untuk ke syurga dan temui dia di sana’ terkejut dengan jawapan itu, Khalid bin Safwan didatangi dengan sebuah keinsafan. Dia berlalu.

Moral: ‘Jangan terlalu ideal dalam memilih pasangan’. Kita tidak bisa temui yang sempurna sebaik bidadari. Tetapi berusaha menjadi dan mencari kesempurnaan mestilah sentiasa ada dalam diri.

Berusahalah dan bekerjalah seolah kita akan hidup seribu tahun lagi, beramalah seolah kita akan mati di esok hari.

Untuk read more, tulis di sini...

0 Responses so far.