Cinta Itu Syarat Bahagia

Suatu masa dahulu, adat ibarat bunga yang menghiasi manusia. Orang Melayu memang terkenal dengan adat dan budaya hidup, tujuannya hanyalah untuk menjaga budi dan pekerti masyarakat agar dipandang tinggi, ianya berhasil membuahkan manusia yang penuh dengan adab sopan dan bertatasusila. Lihat sajalah, sehingga kini, baju kurung dan baju Melayu masih lagi menjadi budaya kebiasaan. Bukan sahaja ia dipakai ketika Hari Raya, tetapi dibudayakan juga semasa bekerja. Pepatah ini biasa disebut-sebut sebagai menampakkan keagungan adat dan budaya melayu.

‘Biar mati anak, jangan mati adat’

Tidak dinafikan, kebanyakkan adat-adat ini ada baiknya, ia bukan sekadar moral dan panduan untuk Dara dan Teruna, bahkan jika bijak mengaturnya ia boleh dilihat dan dipraktikkan sebagai peraturan serta amalan dalam KEHIDUPAN. Wanita dengan malunya, lelaki dengan beraninya, memang cantik perumpamaan sebegini, bahkan ISLAM juga selari dan menganjurkan sifat sedemikian.

Percayakah anda, dalam adat Melayu ini ada baiknya, kerana itulah saya katakan, terdapat sebahagiannya yang bertepatan dengan garis panduan yang dianjurkan oleh agama. Tidak salah mengamalkan adat, tetapi jangan sampai mengabaikan ibadat.

Orang tua-tua dahulu, jarang bercinta tetapi bahagianya panjang hingga ke mati. Orang tua dahulu, bila bercinta tuturnya dijaga, adabnya dipelihara, cukup hanya berutus surat. Yang memegang cinta mereka adalah setia. Tetapi, orang muda sekarang sungguh berbeza, setia mereka terletak pada SMS, pada hadiah dan lain-lain material. Jika terlupa memberi hadiah hari jadi, maka merajuklah si dara. Puas si teruna memujuk dengan pelbagai cara, akhirnya setelah berpuluh kali cubaan memujuk barulah hilang rajuknya.

‘Pak Wan dan Mak Wan dulu, mana pernah berjumpa. Pernah sekali saja Pak Wan sempat melihat wajah Mak Wan kamu, itupun semasa Ayah kamu hendak bernikah. Akhirnya, Tok Ayah yang satukan kami. Bahagia tak bahagia, Mak Wan kamu tu sampai sekarang berkepit je dengan Pak Wan’

Terlalu kagum dengan cara orang dahulu bercinta, tiada semaian cinta, tiada berkepit di taman bunga dan tiada juga berpegangang sebelum berkahwin, tetapi mampu mencapai bahagia. Bukan setakat bahagia sahaja, bahkan boleh memberikan bahagia itu kepada anak-anaknya.

Mungkin ini salah satu berkat yang mereka perolehi. Cinta sebelum berkahwin banyak mengundang dosa dan maksiat. Apa tidaknya, kini sudah terlalu banyak alat komunikasi yang memudahkan pasangan untuk berhubung, kerana itu adat yang janggal sudah bertukar menjadi kebiasaan, amalan yang dilarang agama sudah menjadi kelaziman. Alasannya terlalu mudah:

‘Mahu mengenali hati budi masing-masing sebelum berumah tangga’

Saya pernah menulis dahulu, cinta sebelum berkahwin bukanlah jaminan untuk bahagia selepas perkahwinan, mengenali hati budi sebelum berkahwin dengan cara yang bertentangan dengan agama belum pasti menjanjikan anda bahagia. Jika anda percaya akan sebuah cinta suci dan kesetiaan, mungkin sudah memadai cinta itu disemai selepas perkahwinan. Kan itu lebih indah? Cinta yang masih belum diambil apa-apa kesucian daripadanya, maka terokailah sepuas-puasnya oleh pasangan semasa di alam perkahwinan nanti.

Saya berani katakan, ramai yang kecundang selepas berkahwin akibat terlalu banyak cinta yang telah dikorbankan semasa di alam perkenalan. Segala kehendak kekasih ditunaikan sedangkan di waku itu belum ada apa-apa ikatan yang sah. Sewaktu bercinta, semua sudah ditanya. Jadi setelah berkahwin tiada apa-apa lagi yang hendak ditanya. Semuanya sudah diketahui, takkan mahu ditanya perkara yang sudah tahu? Lama-kelamaan rumah tangga menjadi sunyi dan sepi.

Bagaimana, bersetujukan anda?

Cinta menjadi tidak indah indah selepas berkahwin sebab manisnya sudah diambil sewaktu di alam percintaan. Ada orang mengambilnya sikit-sikit, ada orang mengambil separuh dan ada juga yang mengambil kesemuanya. Jadi, apabila manisnya tiada, apalagi yang mahu dinikmati? Jangan terkejut, apabila semakin ramai bayi-bayi comel yang tidak berdosa dijumpai di kawasan pembuangan sampah. Inilah sebahagian akibatnya jika terlalu baik menyerahkan cinta sebelum berkahwin, bukan sahaja cintanya sahaja diserahkan, bahkan jiwa raga turut digadaikan. Oh, berdosanya cinta begini..

Percayalah, tiada ruginya apabila cinta itu disimpan dahulu. Selepas berkahwin buatlah apa sahaja untuk si dia, waktu itu cinta anda sudah bertukar Halal bahkan berpahala jika betul caranya. Ibarat sebotol madu yang mahal, jika hari-hari dihirup maka akan cepatlah ia kehabisan, seeloknya ia seronok dinikmati semasa waktu-waktu memerlukan sahaja. Amat melegakan jika seorang yang menghidap batuk menghirup secawan air suam dicampurkan dengan madu.

Ramai teman-teman saya yang bercinta di usia remaja menemui kegagalan dalam cinta mereka, dan saya tidak menafikan ada sebahagian yang menuju bahagia. Selepas gagal dengan perempuan ini, beralih pula dengan yang lain, bertukar pasangan itu perkara biasa. Jika cinta sebelum berkahwin itu diibaratkan sebagai madu, maka benarlah kata pepatah Melayu yang berbunyi:

‘Habis Madu Sepah dibuang’

Ada konklusi yang berani saya buat, bahagia boleh disemai walaupun tanpa cinta sebelum berkahwin.


Bahagia Dengan Semaian Agama dan Adat

Tidak perlulah anda merasa risau sekarang, jika hati sudah meyakini bahawa jalan agama itu pasti akan dapat memberikan kebahagiaan.

Cinta itu sudah tersedia ada di dalam diri manusia, cuma manusia sahaja yang salah mengeluarkannya pada waktu yang tidak sesuai dan jalan yang salah. Masa bila cinta itu harus diberi dan kepada siapa cinta itu harus diserahkan, sangat-sangat perlu dititik-beratkan. Jika tersalah cara, ia akan menyingkir kebahagiaan.

Lewat ini telah menyaksikan muda-mudi diambang mabuk dalam bercinta. Adat sudah tidak mampu mengawalnya melainkan ia mesti diambil alih oleh agama.

Saya mempunyai bukti teman-teman yang bahagia walaupun mereka tidak pernah melalui zaman bercinta sebelum berkahwin. Cinta mereka mudah sahaja, dihubungkan melalui orang tengah yang dipercayai. Sebelum berkahwin, walaupun bertahun-tahun mereka berpisah oleh jarak masa kerana komitmen belajar, 'ikatan sementara' itu masih kukuh, akhirnya boleh bersatu di bangku pelamin – tiada bercinta, tetapi diikat oleh kesetiaan.

Seorang teman saya di Yaman sudah dikurniakan seorang anak perempuan yang comel, Syarifah Aisyah namanya. Dahulu tidak pernah menyangka yang dia akan berkahwin dengan wanita pilihannya, bertemu semasa kami sama-sama mengadakan program anak angkat. Isterinya biasa-biasa sahaja, tetapi sudah menjadi luar biasa baiknya apabila mencapai bahagia. Perkara yang sama – tiada percintaan sebelum berkahwin, tetapi boleh membina bahagia.

Seorang teman bertanya, ‘kalau sudah ‘berpunya’ mengapa tidak selalu menelefon atau bertanya khabar? Beri hadiah ke, tak takut si dia merajuk?’

Saya menjawab: ‘Biarlah, tak mengapa. Itu cara dan cinta kami. Kalau setia, kami tak akan ke mana-mana. Kalau dia boleh menanti, mengapa saya tidak boleh menunggu? Jodoh itu ALLAH taala yang aturkan’

Namun, tidaklah saya menghalang kepada khalayak sekiranya mahu mengenali hati budi wanita yang ingin dinikahi, bahkan itu sudah menjadi keperluan jika benar-benar berniat untuk ke gerbang perkahwinan. ISLAM menyediakan jalan yang disusun rapi untuk mengenali wanita. Tidak salah selain menggunakan khidmat orang tengah, berkunjunglah sekali-sekala ke rumah keluarganya, membina ikatan sillaturrahim. Mengenali keluarganya mungkin sudah memadai untuk mengenali hati budinya. Nabi pun menyarankan agar mencari wanita dari keturunan yang baik-baik. Baik ibu bapanya, besar kemungkinan baiklah anaknya.


Penutup:

Lewat menyemai cinta tidak bermakna kita tidak sempat merasai bahagia. Jika anda percaya cinta itu bersih dan suci, maka semailah ia diwaktu yang disucikan dan dibenarkan. Anda bisa membina bahagia jika jalan yang dilalui itu tidak dikotori dengan dosa walaupun tanpa cinta diawalnya.

[Usah Jemu Memberi]

Untuk read more, tulis di sini...

3 Responses so far.

  1. SLM WBTH UST

    akhirnya tjwab jg yg tuan pmilik blog nie sudh berpunya, 'aya-ayat' akhr tu mmbuktikn kesasihannya..

    smoge ust suksess slalu, kawen jgn lpe jmput ya ust..

    all de best

  2. oppss..!!

    mcm xpercye je..btul ke?

    tp xmustahil lah, pminatnya mmg ramai.
    beruntunglah si dia ya ust afiq.

    gud luck!!

  3. oh tidak!!
    aku bru nk sunting ko jadi menantu mak aku..

    adik2 prmpuan aku ramai fiq..
    peminat blog ko ke??
    cayalah bro..