Dahulunya, saya dan Aizat hanya lebih kecil dari seekor Rusa Nani


‘Berapa keping semuanya ni?’

‘Tunggu je!. Gambar syahdu punya ni’ balasnya. Minggu lalu saya memintanya mengirimkan gambar-gambar lama. Gambar keramat yang hampir seusia dengan kami, 20 tahun yang lalu. Saya dan adik saya Aizat.

‘Jangan menangis tau!’ guraunya lagi.

‘Itu yang the best picture Dijat pilih. Kalau masuk bertanding dapat award!’ sambungnya lagi. Lama saya menatap potret-potret tersebut. Hati berkocak, air mata seakan mahu mengalir.

Gambar yang baru saja dikirim melalui email tadi memulakan segala kisah KEHIDUPAN kami adik-beradik. Biarpun ada yang duka, tetapi melaluinya menjadikan ianya cukup manis. Apabila dikenang kembali, banyak makna yang dahulunya saya tidak tahu akan ertinya tetapi hari ini memahamkan saya maksud tersirat.

Mungkin belum lagi terlewat untuk saya tuliskan sesuatu untuk bonda, bersempena hari istimewa untuknya. Ia sebuah perjalanan yang bermakna untuk kami.


Hidup Sebagai Medan Memberi.

Kalau mahu melihat seorang pemberi yang paling jujur atau pemberiannya yang paling ikhlas, lihat saja pada seorang ibu. Percaya dan yakin saya, bahawa seramai manapun anak-anaknya, mereka tidak mampu menandingi seorang ibu dalam sifat memberi. Tahukah anda, sucinya seorang ibu kerana dia memberi tanpa minta dibalas.

Saya lewat mengenali bonda saya, zaman kecil bersamanya belum cukup untuk saya memahami rentak hidupnya. Saya dan adik-beradik hanya menjadi penerima yang tak jemu-jemu diberi olehnya. Seawal 5 pagi hinggalah ke hujung malam, bonda jarang mengecewakan kami. Kalau perlu dialah yang paling awal membuka mata dan orang terakhir sekali melelapkan mata, sedang kami yang asyik lena dibuai mimpi.

Penat dan lelah bonda hanya dia yang tahu, memberi bukan lagi menjadi kehendaknya tetapi telah menyerap sebagai darah dagingnya yang sebati, kerana itulah bonda akan marah jika kami tidak mendengar katanya.

Kerana lewat mengenali bonda, kami seperti orang yang tidak faham akan budi dan penat lelah. Yang tahunya hanyalah meminta. Seperti dalam artikel-artikel yang lalu, saya katakana anak lelaki hatinya keras sedikit, soal perasaan sukar untuk mereka salami. Kami juga begitu.


Bonda, ke mana sahaja tangan tidak lepas memimpin kami.


Bonda memberi dalam senyap, tetapi saya sempat melihat dari jauh tingkahnya, sempat mentafsir sikapnya bahawa itulah sebuah pengorbanan. Jika kari yang dijamu kepada anak-anaknya, dia hanya menjamah leher ataupun kaki ayam yang berbaki, jika Nasi Lemak (juga makanan kegemaran saya sepanjang hayat) yang ditanak, makannya cuma kerak-kerak nasi. Pengorbanan ini sangat jauh dari kudrat kami untuk memahami bagaimana cara bonda memberi, terlalu agung!

Sehingga kini saya masih kagum akan sikap memberinya. Kita selalu saja memahami erti memberi itu dengan makna menyerahkan sesuatu kepada seseorang. Tetapi jauh dari sudut itu ia terdapat makna selainnya yang lebih mulia, iaitu mengorbankan kesukaan diri dan keinginan diri untuk siapa yang disayangi walaupun diri yang memberi itu terpaksa menanggung kesukaran.

Jelaslah, bahawa seorang ibu memiliki segala sifat-sifat itu. Baru kini saya perasan, bonda terlalu sayang akan anak-anaknya, sewajarnya soalan ini perlu saya lontarkan sejak dahulu lagi, kenapa jasa bonda sering tak dihargai?

Kami kebanyakkan adik-beradik bersekolah jauh dari kota kediaman. Saya dan Aizat menuntut di Terengganu, seorang lagi di Perak. Cuma yang berbaki hanya 3 orang yang kecil-kecil menemani Ayah dan Bonda di rumah. Lalu, setiap kali pulang bercuti dari asrama, bonda pasti akan menyajikan masakan special untuk kami. Bayangkan, setiap kali mahu memasak, saya dahulu akan ditanya: ‘Abang Pit nak makan apa hari ni, Ibu nak ke pasar beli barang?’ jika saya tidak sibuk dia akan membonceng dengan motosikal bersama saya. Begitu juga, sekiranya bonda tidak memasak dan membeli lauk-pauk di luar, anak-anaknya akan ditanya dahulu. Lalu, mana lauk kegemarannya? Apa yang anak-anaknya makan, itulah kegemarannya.

Apabila saya berfikir-fikir, saya akan tersenyum keseorangan kerana sampai bila-bila pun saya tidak akan boleh menjadi seorang ibu apatah lagi seperti bonda, kerana saya seorang lelaki, dan mahu tidak mahu status yang layak untuk saya hanyalah gelaran bapa.

Saya mahu berkongsi dengan sidang pembaca bahawa tingginya prinsip memberi ini dalam sebuah KEHIDUPAN. Dalam ISLAM, ia tidak mengehadkan kepada sesiapa untuk memberi waimmah dia seorang yang tidak mempunyai apa-apa. Percaya atau tidak, pada prinsip agama dalam hal memberi ini ,ia masih mampu dilaksanakan walaupun kita tidak mempunyai apa-apa?

Bagaimana caranya?

Inilah dia prinsip memberi tanpa berkurang, iaitu memberi budi dan jasa. Menolong manusia yang berada di dalam kesusahan adalah suatu pemberian tenaga tanpa mengurangkan kepunyaan diri. Ia juga membawa maksud, pemberian seperti ini tidak memerlukan sebarang harta atau wang. Hanya mengorbankan sedikit kesenangan diri untuk kesenangan orang lain.


Hidup Bukan Sekadar Menerima dan Mengharap

Apabila merasakan Hidup sebagai suatu medan untuk mencurahkan bakti dan menabur khidmat, anda tidak akan mudah kecewa, kerana setiap perlakuan dan tindak-tanduk hanyalah untuk orang lain menikmatinya.

Apabila memberi, jangan pula mengharap untuk segala-galanya perlu dibalas, cukuplah ianya dihargai oleh sesiapa sahaja. Kalau boleh, budi yang ditabur itu, cepat-cepat saja dilupakan agar tiada rasa untuk mengungkit di kemudian hari.

Jangan mengharapkan kesempurnaan pada pasangan (suami isteri), kelak jika dia melakukan kesilapan kita sukar untuk menerimanya. Sebaliknya berusaha untuk membaiki diri ke arah kesempurnaan. Jadilah seperti sebuah pohon yang rendang dan berbuah, apabila dibaling dengan kayu, pokok tetap membalasnya dengan buah-buahan yang ranum.

Mohd Afiq dan Mohd Aizat


Jadilah pemberi seperti seorang ibu, berinya tiada mengharap, budinya tidak perlu diketahui oleh sesiapa, hatinya tegar memberi apa sahaja selagi kudratnya mampu.

Saya tidak merancang untuk duduk sejauh ini, beribu-ribu batu dari kejauhan ayah juga bonda. Penat lelah berpisah semasa menuntut di sekolah menengah dahulu masih belum pudar, sekali lagi saya dihantar sejauh ini. Ia menjadikan hati sedikit terkilan kerana jarak kejauhan seumpama ini membuatkan saya tidak sempat bersama adik-adik yang lain untuk memberi bakti kepada Bonda.

Setelah melepasi kejauhan yang dahulu, saya dihantar sekali lagi lebih jauh daripada mereka.


Penutup

Mengenang kisah-kisah bonda dalam mencurahkan bakti dan memberikan yang terbaik kepada kami, ia membuka hati saya berfikir sesuatu. Memberi tidak perlu kenal erti jemu. Dunia menyaksikan bahawa kita ketandusan orang-orang yang memberi berbanding menerima. Jauh dari sudut itu, kita juga semakin lemah kerana terburu-buru dengan sikap diri sendiri yang selalu mengharap tanpa mahu memberi dan berkorban.

Ia seperti sebuah fenomena alam. Bagaimana ya, jika semua manusia hanya mahu menerima dan semakin jemu memberi. Memberi dalam pengharapan untuk dibalas akan mengundang sikap berputus asa.

Hiduplah dalam pemberian tanpa jemu, ia akan memaknakan sebuah perjalanan hidup.


____________________________________________________

p/s: Selamat Hari Ibu, dari jauh ini saya hanya kalungkan doa-doa untuk kebahagiaannya. Dia mengenali saya lebih awal dan lama, kerana itu hidup saya telah difahami olehnya. "ALLAH kurniai untuk bonda apa sahaja kebaikkan dan jauhkan dari-nya apa saja keburukkan"

Untuk read more, tulis di sini...

5 Responses so far.

  1. salam ust afiq

    comel ya msa kecik2 dulu, aizat pun sme.
    but, sedih & t'haru bca kisah bonda.

    hepi mother day

  2. Salam.
    Teringat sekali kita penah buat ibu menangis kat rumah lama..
    Rasa bersalah sampai sekarang. Tapi alhamdulillah peristiwa tu sangat melekat di hati sehingga menjadi sebaik ini.. Sayang ibu. Terima kasih bonda atas pengorbanan.

  3. to anonymous (1): shukran-shukran..yeke comel? tapi mungkin sekarang tak secomel dulu.

    mudah-mudahan "kisah bonda" menjadi motivasi buat semua untuk keazaman menjadi anak yang soleh.

    to dijat: hmm, memang ingat sampai bila-bila. bampit berkira-kira nak tulis kisah tu dalam artikel ni, tapi akhirnya tak jadi, biarlah jadi pengalaman dan pengajaran untuk kita.

    salah bampit juga, nakal sangat masa tu. tak tahu nak duduk diam-diam. mengacau adik-adik saja.

    bampit juga sayang ibu dan abah, juga semua adik-adik bampit. semoga kalian bahagia selalu.

  4. salam... artikel yang menggamit rasa pilu dan rindu dihati....

    syukran kerana membuat diri kian terkenang pada jasa bonda....

  5. Comel..
    dua2 comel..
    muka aizat dari kecik smpi skrg mmg xlari..mcm sama je..

    lama xjumpa..nk bertegur segan..

    nwy, all the best!