Buang Rasa Kekurangan

Seorang wanita cepat merasakan kekurangan diri apabila dia dilihat tidak secantik temannya yang lain. Puas dia mengenalpasti apakah kekurangan itu, tetapi tidak juga ditemui. Namun jauh dari sudut hati mengatakan ‘Aku tidak secantik dan sehebat si polan’

Kulit gelap, hidung tidak mancung, rambut kerinting, bertubuh gempal dan lain-lain lagi kekurangan yang kadangkala membawa kepada rasa tidak puas dengan apa yang dikurniakan oleh ALLAH taala. Akhirnya terbawa-bawa ke dalam sikap yang menjurus kepada merendah diri akibat malu berhadapan dengan teman-teman yang lain. Apabila melihat diri dengan kekurangan, ia akan menyebabkan anda terus mentafsir semua orang di sekeliling anda adalah sempurna, sedangkan mereka juga seperti anda – CANTIK!

Bila tafsiran cantik itu diberi dengan makna menawan pada wajah dan tubuh badan, ia mungkin sekali salah. Ternyata sungguh ramai yang berpegang dengan kata-kata itu. Cantik wajah selalu disinonimkan dengan kesempurnaan seorang wanita. Persoalannya, apakah seorang wanita yang tidak memiliki wajah dan raut yang begitu cantik dia terus terkeluar daripada kategori wanita baik dan sempurna?

Dari ukuran mana anda menilai sebuah kecantikan?

Sungguh zalim dan tidak adil sekiranya kecantikkan diukur melalui material semata-mata. Tidak dinafikan, bahawa kecantikkan itu wajar dinilai melalui pandangan mata kasar, tetapi jauh dari sudut yang lain ia perlu diambil kira – AKHLAQ adalah kayu ukur yang tepat.

Jangan khuatir kepada wanita yang merasakan kekurangan diri, RASULULLAH saw ada berkata: ‘Tuhan tidak melihat kalian pada cantiknya paras rupa, tetapi menilainya pada apa yang ada di hati-mu’

Anda seharusnya mendahulukan syukur kepada ALLAH taala apabila nikmat pertama telah diberi oleh-NYA tanpa membayar apa-apa, iaitu lahir tanpa kecacatan fizikal. Cantik atau tidak cantik itu nombor dua. Mahukah anda bayangkan jika anda termasuk di dalam golongan yang dilahirkan cacat? Buta? Lumpuh dan sebagainya? Ia boleh terjadi kepada anda jika itu yang TUHAN mahukan.

Lalu, untuk terus memotivasikan diri anda yang sememangnya diciptakan sempurna, jauhi daripada memikirkan segala kekurangan yang terdapat pada diri. Fikiran dan konsentrasi kepada memperbaiki kualiti amalan diri adalah lebih bermakna daripada terus berpanjangan memikirkan soal kelemahan dan kekurangan diri. Tidakkah lebih baik, berusaha untuk berfikir bagaimana mahu meningkatkan kualiti sembahyang, puasa dan kecemrlangan diri dalam pelajaran. Itukan yang lebih bermakna?

Seorang wanita yang hebat jiwanya adalah wanita yang tidak kalah dengan kekurangan diri dan sentiasa berfikir untuk ke hadapan walaupun diri merasa tidak sempurna.

Diingatkan, berapa ramai sudah wanita yang memiliki kesempurnaan dan kecantikkan tetapi lebur dalam arus keduniaan. Semuanya gara-gara mahu mengejar kecantikkan yang sementara. Mahu kulit yang licin, tubuh yang langsing, kulit yang gebu dan sebagainya. Kalaulah tubuh yang langsing dan gebu itu menyebabkan para wanita ramai yang terlupa akan auratnya, maka tidak memiliki tubuh secantik itu adalah langkah yang lebih tepat, asalkan prinsip agama dapat dipelihara.

Seorang penulis pernah menukilkan tentang kecantikkan berkata: ‘kecantikkan berada di mana-mana saja. Sungguhpun kita sering mendengar bahawa kecantikkan itu adalah sesuatu yang terlalu subjektif yakni sangat tertakluk kepada relitiviti penilai tetapi selaku seorang yang mahu menjadi seorang mukmin, kita harus memaksa diri sendiri untuk terus percaya bahawa piawaian mutlak ukuran KECANTIKKAN itu berada di neraca ALLAH taala’

Pesan saya, tidak elok merasakan atau melabelkan diri anda tidak mempunyai apa-apa nilai, gagal dan kalah berbanding orang lain. Ini kerana, setiap manusia itu diciptakan dengan kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. Tiada manusia yang perfect!!

Kalian tetap cantik dan anggun jika budi pekerti yang lebih menyerlah.


Rendah Diri, Menjadikan Diri Ketinggalan

Apabila wanita berhadapan dengan situasi yang berat, mereka mudah mengalah lebih-lebih lagi yang merasakan diri terlalu dhaif berbanding orang lain. Diri akan kerap berkata: ‘Aku tidak mampu buat seperti mereka buat’ kata-kata sebegini selalunya akan merencatkan keupayaan sebenar yang pada asalnya anda memang mampu untuk melakukannya. Kerana Manusia itu dilahirkan dalam upaya yang sama. Maksud saya, perbezaan kemampuan yang tidak jauh. Jika seorang wanita mampu memasak, wanita lain juga turut pandai memasak. Sedap atau tidak sedap dikira lain, pokoknya wanita tahu dan reti teknik memasak. Sama bukan?

Hanya seorang kanak-kanak kecil yang masih berhingus di hidung sahaja yang wajar mengeluarkan kata-kata tersebut.

'Aiman tak pandai'

Jika anda wahai wanita masih lagi tidak yakin dengan kemampuan diri, Ini adalah petua yang hebat dan berkesan, dengan bermodalkan alasan yang sama (aku tidak mampu seperti mereka) anda mesti mengambil iktibar kekurangan yang ada untuk meningkatkan keupayaan dan membuang segala aspek kelemahan diri.

Seandainya terasa diri kurang yakin dengan penampilan di depan khalayak, maka perhebatkan gaya penampilan pada pakaian anda dengan cara berpakaian kemas, menarik, dan indah dipandang tanpa berlebih-lebihan (tabarruj). Begitu juga dengan kekurangan yang lain, ia dapat diatasi apabila kita sedar akan kekurangan dan bersemangat untuk memperbaikinya. Kerana itulah, berfikiran positif terhadap diri sendiri amatlah penting. Ia akan menterbalikkan norma negatif kepada positif.

Kekurangan bukan untuk disesali, tetapi untuk diperbaiki dan disayangi.

Sesudah mengenalinya, serlahkan segala potensi diri yang ada untuk melakukan perubahan. Ya, wanita harus berani membuat sesuatu tindakan sekiranya ia baik untuk diri. Keluarkan dan gantikan sikap MALU yang selama ini bersarang kepada BERANI untuk melakukan sesuatu dan bertanggungjawab.

Potensi dapat dicungkil melalui kesungguhan dan kemahuan yang ada pada anda. apa yang penting, anda MAHU dan tidak MALU. Jika betul-betulkan mahukan sesuatu, kesungguhan akan menangkis sikap malu, akhirnya anda mampu melakukan tanpa merasa ada kekurangan diri.

Ketika itu, anda adalah wanita yang sukses! Dalam kerjaya dan juga KEHIDUPAN.


Cantik dan Solehah

Alangkah indahnya pada seorang wanita itu apabila ia memiliki bukan sekadar wajah yang cantik tetapi juga hati dan budi yang indah. Fizikalnya menampakkan kesempurnaan, kemudian ia ditambah pula dengan keindahan budi serta akhlaknya. Ohh, betapa anggunnya saat wanita ini menjadi kepunyaan hati seorang lelaki, ia mempunyai dua kelebihan diri yang diidam-idamkan oleh semua manusia.

SOLEHAH pada diri dan CANTIK pada budi.

Bayangkan jika anda mempunyai teman yang ayu dan comel rupa parasnya tetapi suka mengumpat, tidak menjaga lidahnya daripada menyakiti hati orang lain, menfitnah, menghina teman-teman, dengki dan gemar menyusahkan orang lain. Ketika ini, adakah kecantikkannya masih boleh diiktiraf?

Fikirlah seadanya.

Wahai wanita, tidak mahukan anda menjadi seperti jelitanya Saidatina Aisyah r.ha? atau memiliki keupayaan seumpama Saidatina Khadijah r.ha yang sering menjadi kekuatan dan Inspirasi kepada Rasulullah saw? Ketahuilah kerana kehebatan mereka dalam semangat juang dan jati diri yang kuat serta berkeyakinan tinggi, mereka ini mampu melakukan sesuatu lebih daripada kuasa seorang lelaki.

Biarlah tidak cantik tetapi reti berbudi, biar tidak jelita tetapi tahu pekerti. Saya percaya, seorang wanita itu mempunyai kekuatan mistik yang tersendiri kepada seorang lelaki. Benar atau tidak, seorang wanita yang cantik dan solehah bisa merubah seorang lelaki menjadi SOLEH sepertinya juga.

Wanita juga mampu menjadi INSPIRASI dan ASPIRASI kepada seorang lelaki dengan hanya memiliki kecantikkan budi dan akhlaknya. Cantik pada wajah belum pasti menjanjikan kebaikkan, tetapi cantik pada budi itulah kecantikkan hakiki.


_____________________________________________________

p/s: saya punyai teman yang gemar memandang wanita yang bertudung labuh. Jika berjalan bersamanya, matanya tidak lepas memandang jika ada sepasang suami isteri yang bertudung labuh. saya jua mungkin begitu. Apa tidaknya, Hati terasa sejuk dan tenteram.

nota: 'Menjadi Cantik Solehah (2), antaranya berkisar 'Muslimah: Menjaga Imej di hadapan Lelaki, Tetapi Tidak Dengan Orang Lain'


[Usah Jemu Memberi]

Untuk read more, tulis di sini...

2 Responses so far.

  1. salam wbth ust

    tahniah ust, artikl yg amat memotivasikan muslimah. minta kebenarn copy ya ust.

  2. salam alaik

    artikel yg sangat menarik..

    ana mohon izin copy ya ustaz..

    jzkk