CINTA itu lahir pada sebuah Kasih dan Sayang


Ibarat Makan Tapi Tak ‘Kenyang’

BERCINTA TAPI TIDAK BERKASIH? Pasti ramai yang pelik dengan istilah sebegini, dan pasti ada juga yang tertanya-tanya akannya: ‘Takkanlah dah makan tapi tak kenyang? Mustahil’ sememangnya ia suatu yang mustahil tetapi bukan tidak wujud.

Dalam pepatah Melayu selalu saja disebut-sebut,
mandi tapi tak basah, tidur tapi tak lena, dan pepatah yang paling kontemporari serta kelakar disebut: kentut tapi sudah tidak berbau. Apapun ia tidak mustahil berlaku kerana buktinya sudah ada pada pepatah melayu ini. Mungkin ia sekadar pepatah, tetapi ia melambangkan sebuah perbezaan makna, kerana lazimnya apabila seseorang itu makan dia akan kekenyangan tetapi berlaku sebaliknya.

Makan yang kenyang dan makan yang tidak kenyang, YA, ia sangat berbeda. Mari ikuti pula maksud yang sama dengan istilah-istilah di atas.

Ada orang menutup rambut dan tubuh badan, tetapi tidak menutup atau memelihara aurat. Orang-orang begini mahu saja mengikut aturan Islam tetapi tersalah cara dan tersilap langkah. Tudungnya disanggul-sanggulkan ke atas, bajunya pula dimuat-muatkan dengan saiz tubuh sehingga menampakkann apa yang patut tidak dinampakkan.

Ada orang yang berstatus Muslim tetapi tidak Mukmin. Begitu jua halnya yang ini, mereka mendaftarkan diri sebagai manusia yang beriman kepada ALLAH taala tetapi mereka tidak melaksanakan apa yang disuruh dan dipinta. Akhirnya jadilah muslim yang bukan mukmin, jauh sekali muttaqin (yang bertaqwa) atau mukhlisin (yang ikhlas).

Negara Orang Islam dan
‘Negara Islam’ juga berbeza maknanya. Maknanya berbeza kerana caranya juga berbeza.

Pendek kata, segala aspek yang tidak tercapai maksud atau tujuannya banyak berpunca daripada salah cara dan tersilap langkah. Lalu, tidak peliklah jika ada di kalangan kita yang bercinta tetapi tidak berkasih, ada juga yang berkasih tetapi tidak pula bersayang.

Justeru, anda jangan merasa pelik jika situasi ini berlaku di depan mata, nampak macam HALAL tetapi sebenarnya HARAM. Dari jauh nampak macam lelaki tetapi bila berselisih bahu rupanya perempuan. Nampak macam cantik, tapi tak berakhlak. Ayuh, kita ikuti pula bagaimana yang dikatakan tersalah cara itu tidak akan membuahkan matlamat yang diinginkan, dan bagaimana pula jika tersilap langkah itu telah merubah tujuan yang hendak dicapai.

Muslim yang tersalah cara beriman, tidak akan berjaya memasuki status mukmin,

Menutup rambut yang tersilap langkah, tidak akan mencapai maksud memelihara aurat,

Cinta yang tersalah cara dan tersilap tekniknya, tidak akan mengecap nilai sebuah kasih dan sayang.

Ada Cinta, Tapi Tak Pandai Merealisasikan

Benarlah kata pepatah Arab menyebutkan:
‘Seseorang itu akan menjadi hamba kepada apa yang di cintai’

Cinta yang mempunyai nilai kasih itu bergantung kepada siapa dia menaruhkan dan meletakkan cinta. Maka, beruntunglah jika yang dicintai itu sesuatu yang baik-baik, kita akan menjadi hamba kepada kebaikan dan mendorong diri ke arah itu – ia sebahagian tanda kasih sayang.

Sebaliknya, jika yang dicintai itu berupa suatu yang buruk atau kejahatan, alangkah rugi dan hinanya kita kerana sudah menjadi hamba kepada keburukan. Saat itu, tiada lagi cinta sebenar dan jauh sekali untuk mendapat nilai sebuah rasa yang bernama kasih sayang.

Cinta itu indah, namun jika cara menterjemahkannya tidak bertepatan keindahan itu akan bertukar kepada cinta yang kehilangan kasih sayang.

Saya pernah menulis bahawa cinta itu adalah terjemah daripada sebuah perbuatan. Ini bermakna, jika kita cinta dan sayangkan kepada seseorang kita mesti menterjemahkan rasa itu dengan perbuatan. Kata bijak pandai Barat: 'Love is Verb'. Suami yang cintakan isterinya tidak cukup dengan hanya melafazkan
'I Love You' sahaja setiap hari tanpa ada bukti daripada lafaznya itu, sebaliknya si suami mestilah berusaha membuktikan rasa cinta itu melalui pemberian nafkah, penjagaan fizikal atau perasaan, dan sanggup mengorbankan kesenangan diri sendiri kepada si isteri, barulah namanya cinta yang melahirkan kasih sayang.

Kerana itulah, ramai pasangan (suami isteri) yang berjaya melepasi tahap percintaan yang asas tetapi masih belum berjaya untuk mendapatkan cinta yang bernilai kasih. Cinta bukanlah hanya perasaan suka semata-mata tetapi mesti saling mengasihi antara satu sama lain. Apabila sudah berjanji untuk mengasihi, kita tidak akan membiarkan seseorang yang dikasihi (dicintai) itu dilukai. Salah satu tanda kasih kepada yang dicintai adalah memelihara pasangan daripada terjebak ke lembah dosa.

Benarlah fitrah alam ini, ketika mana ALLAH taala itu kasih dan cintakan hambanya Dia akan memberikan nikmat berupa ujian tanda sayang-Nya Dia kepada hambanya. Itulah cara ALLAH membuktikan kasih-Nya.

Ada Cinta, Tapi Tersalah Cara

Kalau bersungguh mahu bercinta, mengapa membenarkan kekasih anda atau diri sendiri terjerumus dalam kancah dosa dan maksiat. Jika mahu cinta itu memberi makna kasih, anda seharusnya mengasihi kekasih atau diri anda daripada ditempatkan di neraka nanti.

Bercinta yang membawa makna berkasih adalah cinta yang mampu memandu cara bercinta ke arah kebaikan. Cinta yang baik adalah cinta yang membuahkan hasil yang terbaik untuk pemilik cinta, iaitu kasih sayang. Cinta kepada seseorang akan memberi maksud kasih kepadanya. Namun, seandainya bercinta tetapi dalam masa yang telah tersilap mengatur geraknya ia tidak lagi membawa maksud berkasih. Sebaliknya, telah mengundang sisih.

Bercinta tetapi dalam pada saat bercinta seronok membuat dosa, beerti tidak kasih kepada diri kerana membiarkan tubuh dibakar oleh api neraka kelak.

Bercinta dengan seseorang, namun cara meluahkan cinta itu dengan jalan yang salah dan bertentangan dengan agama, ia juga bererti tidak kasihkan orang yang dicintai kerana membiarkannya dijamah oleh api neraka.

Sungguh ataupun tidak, begitulah realitinya. Menyintai seseorang namun masih belum mengasihinya. Bicara pada mulut mengatakan cinta kepada Nabi saw, walhal pada perbuatan tidak langsung menunjukkan kasih kepada baginda, sunnah-sunnahnya tidak diamalkan. Adakah cinta seperti ini boleh dianggap mempunyai nilai kasih atau sayang?

Tepuk di dada, tanyakan iman.

Saya masih tertanya-tanya, bagaimana ada manusia yang sedang memiliki cinta namun sukar untuk dia membuktikan cinta itu sebagai kekasih dan sebuah kasih. Kalaulah dia mengetahui siapa yang mahu dicintainya sudah tentu dia akan mengasihinya dengan sepenuh hati. Dia bukan sekadar memberikan cintanya bahkan lebih dari sebuah rasa iaitu kasih dan sayang.

Tujuan asal percintaan adalah untuk kasih mengasihi. Tidak ada lagi matlamat terbesar dalam percintaan selain untuk mendapatkan kasih dan sayang. Sesiapa yang sudah merasai dan mengecapi rasa itu sesudah bercinta, dia telah berjaya memiliki manisnya erti percintaan.

Pesan saya,

Pandai Bercinta, pandailah berkasih.
______________________________________________

Nota Kehidupan: Cerpen DIA BUKAN CINTA-KU sudahpun berakhir, namun ramai teman-teman yang bertanya: ‘Kenapa di penghujung ceritanya sad-ending?’ ‘Tak ada sambungan ke?’. Insyaallah, ada sambungannya jika saya berpeluang menulis novel nanti.

Tajuk asal cerpen ini adalah ‘HIKARI NO MERITTO’ bermakna 'Dia Harus Ku-Tinggalkan'.

[Usah Jemu Memberi]

2 Responses so far.

  1. salam u.afiq,
    wah..mantop blog!!

    Fully true..!!
    some person anggap cinta itu adalah menyerahkan segalanya apa yg ada. After tht baru nak fikir bab dosa..

    Gud Job!!

    kerja orang bercinta..
    wish u happy bro!

  2. thanks bro!