ALAM adalah warna-warni Kehidupan


Saya suka dan tertarik dengan hidangan SOLUSI pada kali ini (siri 20). Bual bicaranya menuntut kita bercakap dan berfikir dengan persekitaran. Belajar dengan alam adalah fokus yang terbaik setakat ini. Menilai sejauh mana manusia mampu berkomunikasi dengan alam dalam mencari ibrah dan tauladan. Alam yang kita nampak biasa jika setiap hari memandangnya dengan pandangan mata semata-mata, namun jauh dari itu ia sebenarnya menyembunyikan seribu rahsia yang unik.

‘Cuba tanyakan kepada sepuluh orang tentang makna kehidupan. Pasti kita akan memperoleh pelbagai jawapan dan erti sebuah kehidupan. Kehidupan begitu sukar difahami maknanya kerana jalan kehidupan itu tidak semudah garisan yang lurus’ (MEMBERI MAKNA KEPADA KEHIDUPAN – Ir. Ahmad Jais Alias) – Lihat pada helaian 14 dan 15.

YA, potongan ayat ini amat memotivasikan saya.

Selagi manusia berada di dalam ini, dia harus belajar daripada alam. Sayangnya ramai manusia yang gagal belajar daripadanya. Lihat, betapa ramai manusia hanya melihat nikmat, tetapi melupakan Pemberi Nikmat (ALLAH taala). Ramai yang memuji alam tetapi jarang memuji Penciptanya. Benarlah kalau dikatakan ALLAH itu sangat dekat, tetapi terasa jauh kerana manusialah yang sering menjauh!

Alam Itu Sekolah Insan

'Alam ialah layar yang memancarkan kebesaran ALLAH untuk manusia mengenali dan mencintai Penciptanya. Bulan, Matahari, bintang, tumbuhan, haiwan adalah tanda-tanda (sign) yang boleh membuka fikiran, jiwa dan perasaan manusia untuk dekat kepada ALLAH. Dan dekat kepada ALLAH itulah sumber kekuatan, ketenangan, kejayaan dan kebahagiaan dalam menjalankan peranan sebagai hamba ALLAH dan khalifah'
(Editor – Ustaz Pahrol Md Juoi)

Pastinya saya tidak lepas untuk terus menatap hasil tulisan beliau.

Antara tajuk yang menarik dan mesti anda baca adalah
Pemburu dan Penggoda Cinta, Belajar Daripada Alam (Ustaz Pahrol Md Juoi), Awas Daripada Muflis di Akhirat (Ustaz Syed Mohd Norhisyam), dan artikel Agama Tidak Membunuh Pertanyaan (Ustaz Hasrizal Abdul Jamil).

Bagi yang meminati subjek motivasi diri, ini saya lampirkan bacaan yang pasti menaikkan kembali spirit keyakinan diri iaitu
Bersaing Dengan Diri-Sendiri (Hj Muhammad Zakaria).

Artikel
Tentang Hati karangan Noraslina Jusin (pada helaian 58 dan 59) amat memberikan bekas kepada hati saya saat membacanya. Kupasan mengenai dosa dan pahala dengan jalan pengalaman bersama anaknya cukup berhemah dan santun ketelitiannya.

Apapun, anda yang masih belum mempunyai naskhah ini perlu segera mendapatkannya agar tidak ketinggalan, walaupun ketika ini SOLUSI siri ke 21 sudahpun memasuki pasaran. Namun tidak rugi untuk membaca pada keluaran yang lalu. Pesan Editor:

‘SOLUSI isu ke 20 ini tampil dengan peringatan, Alam itu sekolah insan. Maka jadilah pelajar yang baik. Belajarlah daripada alam’

[Usah Jemu Memberi]


0 Responses so far.