CINTA - Kejujuran, Kesetiaan, Kecintaan dan Perasaan.


Telefonnya berbunyi. Mesej masuk. Hadi mulai takut untuk membaca mesej-mesej yang masuk. Bimbang mesej itu yang bakal melukai hatinya lagi. Lama dia membiarkan akhirnya dia membukanya.

Mesej daripada Razman rupanya, dia menarik nafas lega.

WEH! NASI GORENG AYAM TAK ADA, KAU NAK MAKAN APA? AKU ORDERKAN NASI GORENG CINA BOLEH? KITORANG KAT WARONG MAN NI (RAZMAN)

___________________________________________


Malam itu mereka berbuka puasa di Restoran mamak berhampiran dengan taman perumahan mereka. Di hujung-hujung Ramadhan begini, semua sudah mula malas memasak, akhirnya Restoran mamak sahaja yang menjadi destinasi berbuka puasa.

Sedar tak sedar sudah hampir separuh Ramadhan telah berlalu. Masa dirasakan terlalu cepat bergerak. Kadangkala masa yang pantas ini sangat mencemburui tanggungjawab yang tak pernah habis. Cuma manusia sahaja yang lalai dan leka menguruskan masa mereka.

‘Adi, kau OK ke ni?’ soal Razman. Sedari tadi dia melihat Hadi hanya mendiamkan diri.

‘Come on lah Adi, dari tadi asyik memuncung je, nasi goreng pun tak luak lagi ni. Ada masalah ceritalah kat kami’ Sampuk Rusydi pula.

‘Tak adalah, aku OK’ balas Hadi pendek, dia cuba menyembunyikan perasaan sebenar.

‘Kalau OK, kenapa nasi tu tak makan? Ni kes Nur tak balas mesejlah ni, kan? Tak pun Miss Chia bagi assignment berlambak-lambak?’ Razman berjenaka, ingin mengusik Hadi. Sengaja disebut nama Nur. Rusydi tergelak kecil, Hadi hanya tersenyum tetapi pahit dirasakan.

‘Eh, korang ni, ke situ pula. Sudahlah, jom makan. Kejap lagi nak tarawikh pula’ ujar Hadi.


__________________________________________


25 Ramadhan.

Hari ini hari terakhir kuliah berjalan, esok bermula cuti seminggu. Aidilfitri bakal tiba tidak berapa lama lagi. Suasana di setiap fakulti sudah tidak sesibuk seperti kebiasaan, ada sebahagian pelajar yang sudah tamat kuliahnya lebih awal sudah mula meninggalkan asrama mereka untuk pulang ke kampung masing-masing.

Kuliah komunikasi pagi ini adalah kuliah terakhirnya, Hadi tidak bercadangpun untuk menghadiri kuliah itu dan Profesor Zambri juga tidak mewajibkan pelajarnya untuk hadir. Tetapi pagi itu tujuan Hadi ke kolej hanya untuk bertemu dengan Nur. Kebetulan Nur dan Faeza juga menghadiri kuliah komunikasi pagi itu. Razman pula tidak dapat hadir kerana perlu ke Kuala Lumpur untuk mencari tiket bas.

Entah kenapa, dia terasa malu untuk berjumpa dengan Nur pagi itu. Memandang wajahnya pun dirasakan seperti Nur orang yang tidak dikenali. Rasa bersalahnya hadir ketika itu. Bersalah kerana menolak lamaran Ustaz Taufiq. Barangkali Nur tidak tidak diberitahu lagi tentang khabaran itu daripada Ustaz Taufiq.

Namun, wajah Nur amat muram pagi itu, tidak seperti Nur yang dikenalinya sebelum ini, ceria dan peramah. Hadi tidak mahu bersangka yang bukan-bukan, jika Nur sudah mengetahui sekalipun jawapan yang diberikan kepada Ustaz Taufiq, dia harus berani menghadapi apa jua kemungkinan yang akan berlaku.

Hasratnya untuk bertemu dengan Nur pagi itu tidak kesampaian apabila Nur terlebih dahulu tergesa-gesa beredar meninggalkan bilik kuliah. Dia hanya mahu menyampaikan ucapan hari lebaran untuk Nur sebelum pulang bercuti. Mahu dikejar, Nur seolah-olah kelihatan mahu melarikan diri darinya. Akhirnya, dibatalkan saja hasratnya pagi itu.

Hadi bergegas pulang ke rumah, mengemas barang-barang untuk pulang ke kampung petang nanti.


__________________________________________


28 Ramadhan.

Malam itu selepas bertarawikh, dia berhasrat untuk ke rumah Alang Ngah adik kepada arwah bapanya untuk menghadiri kenduri tahlil. Arwah bapanya sudah meninggal hampir 15 tahun yang lalu. Seingatnya ketika itu dia masih bersekolah rendah. Arwah menghidap penyakit darah tinggi dan jantung berlubang. Dua minggu arwah terlantar di hospital akibat terjatuh di bilik air, kemudian dijemput Ilahi. Kata doktor yang merawat arwah, darah bapanya ketika itu sangat tinggi.

Hadi berjalan keseorangan menuju ke rumah Alang ngah. Sambil melihat anak-anak kecil bermain bungan api. Riuh rendah di sekeliling kampung malam itu dengan bunyi mercun. Hampir setiap rumah kelihatan terang disimbahi dengan lampu pelita minyak tanah.

Entah mengapa malam itu, tubuhnya terasa kurang enak. Sewaktu berbuka puasa bersama Umminya tadi dia tidak banyak menjamah nasi apatah lagi lauk-pauk yang terhidang. Lauk Daging Salai Masak Lemak kegemarannya pun tidak banyak dijamah. Lain benar perasaannya malam itu. Kadangkala fikirannya terbayang-bayang pada Salwa dan Nur.

Tut..tut.. Hadi tersedar apabila bunyi mesej masuk.

'SALAM WBTH HADI, MAK CIK MINTA MAAF LAMBAT MEMBERITAHU BERITA INI PADA HADI. HARAP HADI DAPAT MENERIMA DENGAN HATI YANG TENANG. SALWA BARU SAJA MENINGGAL DUNIA PAGI TADI, KAPAL TERBANGNYA TERHEMPAS, SEMUA PENUMPANG TERBUNUH. JENAZAHNYA AKAN DIBAWA PULANG KE TANAH AIR DUA HARI LAGI. MOGA HADI BERSABAR DENGAN DUGAAN INI…'

'Ya ALLAH..'

Hampir terjatuh tubuhnya apabila membaca mesej daripada Ibu Salwa. Langkahnya terhenti, hampir-hampir dia tidak dapat berjalan. Rupanya, rasa kurang enak tadi adalah isyarat kepada 'pemergian' Salwa.

Sungguh besar dugaan Tuhan pada kali ini. Ketika hampir menjelang hari lebaran dan mahu menatap wajah Salwa, insan itu dipanggil Ilahi. Dijemput ketika dia mahu menyuburkan semula janji setianya kepada Salwa.

Bulan dan bintang dilihatnya kusam. Malam itu menjadi saksi akan pemergian Salwa buat selama-lamanya. Dengan lemah dia meneruskan langkah.

Sepi.

________________________________________


Buat sekian kalinya, Hadi menadahkan tangan memohon doa kepada ALLAH agar diberikan kekuatan. Agar diberi sebuah semangat untuk meneruskan baki kehidupan. Dua orang insan yang amat disayangi pergi dalam sekelip mata. Dalam samar-samar cahaya lampu dia menggagahkan diri menadahkan kedua tangan sambil berdoa:

‘Ya ALLAH tika aku memerlukan sebuah CINTA dia hadir mengisikan kekosongan cintanya kepada diriku. Apabila dia memerlukan cinta daripadaku, aku menolak lamaran cintanya. Ya ALLAH, ketika aku mengikat janji kepadanya dia mampu setia kepadaku, namun aku telah berpaling daripada kesetiaannya. Tuhan, saat ini aku merasakan diriku telah keseorangan sehingga hanya Engkau yang aku punyai untuk meluahkan segalanya’

‘Tuhan, kala ini Engkau menarik dua cinta daripada dua insan yang amat aku sayangi disaat aku memerlukan cinta itu. Sehingga tidak terdaya untuk aku melepaskan perasaan ini kepada mereka. Ya ALLAH, jika inilah takdir yang Kau tuliskan kepadaku, aku redha andai ini adalah yang terbaik untukku. Rahmatilah kedua mereka kerana meraka insan yang banyak berjasa kepadaku’

‘Rabbana aatina fiddunia hasanah, wa fil akhiroti hasanah waqina azabannar’

‘Amin Ya Robbal a’lamin’

Perlahan-lahan dia meraupkan kedua tapak tangannya ke muka. Pipinya dibasahi suam-suam air mata.

‘Maafkan aku Nur kerana menolak lamaranmu dahulu, aku amat menghargai CINTA-mu’

‘Maafkan aku Salwa kerana kita tidak ditakdirkan untuk terus setia dalam ikatan ini, aku amat menyanjungi KESETIAAN-mu’

Lebaran ini mengakhiri segala kisah pahit manis percintaannya selama ini. Barulah kini dia sedar bahawa perasaan dan kesetiaan adalah nyawa dalam sebuah percintaan.

[Tamat]

Untuk read more, tulis di sini...

7 Responses so far.

  1. sangat sedih ending nyer..tapi citer ni memang best..teruskan berkarya

  2. nice story..rase cm nk menitik airmata tyme bce crite ni..so sad ending..kdg2 xsume crite happy ending kan..

    p/s: xde smbungan da ke??

  3. Ustaz ni mmg pakar bab2 hati dan perasaan..

    bila pula nak jumpa "SURI DI HATI"??

  4. SUMAIYAH: terima kasih atas sokongan.

    CAHAYAPETUNJUK: terima kasih juga atas kesudian membaca. kadangkala 'sad ending' juga boleh membuahkan pengajaran yang 'happy moral'

    belum ada lagi, kalau ada maybe akan keluar dalam bentuk Novel.
    tunggu ya!

    ABU BAKAR: Ustaz Abu, Selamat menyambut hari bahagia bersama SURI PILIHAN HATI. Ana tumpang bahagia.

  5. salam ziarah,

    besh la cerpen ni..
    sy shared di FB :)

  6. cerpen ni best lar....
    erm...salwa ngn nur 2 org yg sma ke laen???
    slm prkenln...

  7. Saudara Afiq..
    ending yg sgt menyentuh hati, penuh pengajaran yg berbekas di hati..
    InsyaAllah..
    teruskan semangat n perjuangan dlm berkarya =)

    2 jiwa 1 HATI,
    -NUR di Al-bayt, Mafraq-