MALU - Jadilah anda satu dalam ribuan wanita


Sungguh pelik? Mengapa harus malu lagi pada suami, bukankah dia telahpun menjadi milik kita? Pendek kata, apa sahaja yang tak dapat dilakukan sebelum berkahwin kini sudah menjadi halal, kenapa mesti malu? apalagi yang mesti dimalukan di hadapan suami sendiri?

Isteri harus pemalu pada suami, itulah petua kekal bahagia yang panjang!

Kekalkan sifat malu yang ada dalam diri seorang isteri, itulah kehendak sebenar seorang suami. Naluri suami menginginkan seorang isteri yang pemalu dengannya, mengharapkan malu itu terus berpanjangan sehingga ke usia tua perkahwinan. Orang dahulu, sampai beranak sepuluhpun masih lagi mempunyai sifat malu mereka kepada suami.

Janganlah menganggap status halal untuk menghilangkan segala sifat malu kepada suami. Kadangkala suami akan bertambah meluat, jika isteri selalu mengada-ngada dan terlalu manja. Ini salah satu angkara isteri yang tertinggal sifat malunya.

MALU YANG MENDATANGKAN SAYANG

Cuba anda bayangkan, apabila suami pulang daripada penat bekerja, si isteri menyambut kepulangan suami dengan berpakaian t-shirt lusuh dan kain batik yang sering digunakan untuk memasak, bau usah dikata. Sambil-sambil terkulat senyum si isteri mencapai briefcase suami lalu beredar. Apa perasaan suami ketika itu?

Di hujung minggu pula, isteri tidak langsung pandai untuk berfesyen, dan masih lagi kekal dengan kain batiknya dan t-shirt lusuh, cara berjalan juga sudah ‘bersepah’ tidak seperti ketika mula-mula diijab-kabulkan, rambut mengerbang seperti Mak Lampir! Jangan terkejut jika suami sendiri tiada selera untuk menatap wajah anda sedangkan wajah itu jugalah yang pernah membuatkan si suami tidak tidur malam dan angau sewaktu bercintan dahulu.

Kalau dahulu sebelum berkahwin, jika bakal suami ingin bertandang ke rumah bakal mertua, si isteri akan mengenakan pakaian yang paling cantik, muka dibedakkan dengan teliti sampai hilang jerawat batu. Tutur katanya pun sopan sahaja, anak matanya walaupun rasa teringin untuk menatap wajah bakal suami, tidak terus-menerus dizahirkan, bahkan hanya mencuri pandang dari jauh.

Alangkah bahagianya ketika itu, kerana setiap tingkah-laku dirapikan dengan sebuah perasaan malu. Malu kalau-kalau bakal suami tahu akan keaiban dan kelemahan diri, lalu setiap pergerakannya disantuni dengan sikap berhati-hati. Pendek kata, malu ketika itu adalah malu yang sungguh perfect! (sempurna).

Ah! Itu semua ceritera malu semasa bercinta dan sebelum berkahwin yang sudahpun berlalu. Bila sudah memiliki, malu sudah tidak ada peranan lagi dalam perhubungan suami isteri. Oleh kerana ramai yang beranggapan beginilah, si suami tidak segan-segan untuk berpoligami, bukan kerana lelaki yang bernafsu tinggi, tapi salah isteri yang kurang menjaga malu.

Alahai..

Tahukan anda, malu seorang isteri itu ibarat perawan, iaitu memelihara kesucian gadisnya agar tidak tercemar. Kesuciannya hanya diserahkan kepada insan yang bernama suami. Jiwa dan raganya jua tidak mudah diberikan kepada sesiapa. Itulah gambaran sifat malu seorang isteri.

Saya percaya dan yakin, apabila seorang isteri senantiasa mengiringi setiap perbuatannya dengan malu, dia pasti akan melakukan apa saja untuk suaminya dengan usaha yang terbaik kerana sayang dan cinta akan suaminya. Apabila mahu menyajikan makanan, maka si isteri akan menyediakan masakan yang paling sedap, dan bimbang jika suami berkecil hati kalau-kalau masakan yang dihidangkan tidak menepati selera suami. Atau dengan kata lain, si isteri malu jika tak mampu menyediakan segala yang terbaik untuk suaminya.

Inilah dia malu yang bakal membibitkan rasa kasih dan sayang antara pasangan.

Ketahuilah, apabila isteri sering bersikap malu dengan suaminya, suami akan sentiasa memerhatikan dan sering mendambakan. Bila berdekatan terasa bahagia, bila berjauhan pula datang rasa rindu, terbayang-bayang wajahnya selalu. Tidak mustahil jika isteri yang pemalu ini, suami sentiasa mengharapkan kehadirannya pada setiap masa untuk mendampinginya, kalau boleh biar ke mana-mana sekalipun suami mahu bersamanya.

Lama-kelamaan, malu ini akhirnya mengeratkan sebuah hubungan. Semakin tinggi malunya, semakin erat kasih dan sayangnya. 'Semakin malu, semakin laku!'

Suami kadangkala tertanya-tanya, mengapa tiada ada lagi suasana seperti dahulu. Semasa mula diijab-kabulkan isteri selalu ‘menjual mahal’, tutur kata tidak menyakitkan, pakainya selalu yang indah-indah untuk suami, kini suasana itu seakan sudah hilang, isteri terlalu murah buatnya, mudah saja mendedahkan segalanya. Adakah malu pada isteri sudah tiada?

Kalau semua perkara mudah didedah, tiada lagilah yang indah. Hambar.

Malu akan menambahkan seri buat isteri, kerana segala-galanya akan dilakukan dengan berhati-hati. Apa tidaknya, bermula dari sekecil-kecil perkara sehinggalah di kamar tidur, si isteri sentiasa memelihara tingkah-lakunya, tidak hairanlah jika isteri selalu menjual mahal, maka suamilah orang pertama dan terakhir menjadi pemburu isteri yang setia.

Jika berjauhan, terasa membuak-buak hati suami mahu pulang ke rumah, jika berdekatan seakan tidak mahu berpisah. Ditatap wajah si isteri namun tidak puas, kerana di sebalik wajah itu ada penyeri yang mengindahkannya, iaitu sifat malu.

Anda mesti terasa sejuk, apabila isteri yang mula-mula anda kenal dahulu tidak jauh berbeza dengan dia yang ada sekarang. Sifat malu yang dipelihara dahulu masih lagi dilihat sehingga kini. Kalau dahulu sering berwangian, duduknya dijaga rapi, rambut pula disisir cantik dan segalanya seakan dilihat masih terpelihara. Seperti baru semalam mengenali si isteri. Cantik isteri dipelihara dan dihiasi dengan sikap malunya.

Hati suami mungkin berkata: ‘kalau beginilah isteri-ku, dialah bidadari dunia dan akhirat-ku!’

RASUL ITU PEMALU ORANGNYA!

Rasulullah seorang yang pemalu. Dalam sebuah hadith ada menyebutkan: ‘Malu Rasululullah saw itu melebihi seorang gadis. Jika ada sesuatu yang kurang menyenangkan baginya, kami dapat melihat melalui raut wajah baginda’ (Sahih Bukhori)

Kata Nabi saw lagi: ‘Apabila kamu tiada malu, lakukanlah segalanya’ (At-Tarmizi).

Lalu tidak hairanlah, seandainya hilang sikap malu dalam diri seorang muslim, maka akan terjadilah perilaku yang tidak boleh diterima akal kerana dia bisa melakukan segalanya tanpa segan dan silu.

Bila tiada rasa malu antara pasangan, samada isteri mahupun suami tanpa rasa malu mendedahkan cerita-cerita yang seharusnya menjadi rahsia dalam rumah tangga. Isteri mencanangkan keburukan suami kepada orang lain, suami pula sering memperlekehkan kemampuan isteri dan kelemahannya. Sedangkan jika malu yang menjadi pegangan antara pasangan, mereka akan meletakkan rasa saling menghargai. Kelemahan dijadikan guru dan pengalaman untuk diperbaiki.

Para isteri, ingat-ingatlah saat indah sebelum berkahwin, anda menjadi buruan kerana ketika itu anda seorang yang pemalu. Pakainya dijaga kerana malu, tutur-kata dipelihara kerana malu, akhlaknya disantuni kerana malu, semuanya dijaga kerana malu. Kerana itu anda menjadi buruan suami yang sentiasa diperhatikan. Cantik itu bukan sahaja pada paras rupa tetapi pada keelokkan adab dan rasa malu. Itu lebih mahal daripada segala-galanya.

Mahal harga seorang isteri pada sifat malunya, murah harga dirinya setelah hilang malunya.

PENUTUP

Selagi malu yang menjadi pedoman antara pasangan, kebahagiaan akan terus berpanjangan dalam rumah tangga. Isteri yang pemalu adalah idaman semua lelaki. Tiada yang lebih berharga selain dikurniakan dengan pasangan hidup iaitu seorang isteri yang pemalu. Kerana malu, seluruh kehidupan suami isteri akan terjaga.

Malu diibaratkan seumpama sebutir permata yang disimpan rapi, siapa saja yang mahu melihatnya perlu membukanya dengan berhati-hati. Ia tidak mudah dibuka oleh sebarangan orang. Kerana ia terlalu berharga maka ia disimpan dengan jagaan yang baik.

Malu itu dipelihara dan akan memelihara tuan empunya diri.

__________________________________________________

Nota Kehidupan (1) ‘Saya menaip artikel ini bersama alunan nasyid Isteri Solehah dendangan Kumpulan Saff-One agar jiwa mengenai penulisan ini datang bersama’

Nota Kehidupan (2) ‘Membuat keputusan antara sebuah hidup dan mati adalah terlalu rumit. Kadangkala ia mendorong diri serba menyalahkan kalau-kalau tersilap mengatur sebuah pilihan. Mungkin itu adalah yang terbaik namun hati gusar dan sukar menerimanya. Saya harus menangis hari ini untuk kegembiraan masa datang nanti’

[Usah Jemu Memberi]

0 Responses so far.