JANGAN KHIANATI CINTA-MU DENGAN BERBOHONG!

Saya diajukan dengan soalan yang sama melalui email yang dihantar ke kotak masuk. Kebanyakkan yang bertanya itu saya dapat rasakan, mereka terdiri daripada kaum Hawa. YA, saya tahu, mereka inilah yang mudah bermain dengan perasaan cinta. Mereka juga yang senang ditolak cinta mereka, kadangkala mereka menjadi mangsa cinta oleh orang lain. Namun, lebih malang mereka menipu diri mereka sendiri. Di hati mereka berusaha mencintai seseorang, tetapi di mulut berkali-kali menafikannya. Akhirnya, mereka telah menyeksa tubuh dan perasaan mereka dengan menjauhi orang yang mereka cintai.

Jawapan saya hanya satu, kalau mahu ikhlas dengan hati, kita mesti jujur dengannya. Jujurlah dengan cinta, jika itulah kata hati.

Tahukah anda, bagaimana mahu melahirkan sebuah perasaan kepada suatu realiti untuk membuktikan sesuatu perasaan? Jawapannya mudah, sejauh mana kerelaan kamu untuk melakukan apa sahaja kepada sesuatu yang kamu cintai itu, sudah cukup untuk membuktikan cinta kamu kepadanya. Ini bermakna, cinta adalah suatu terjemahan kepada perbuatan kerana cinta akannya.

Apabila kamu sudah mulai mencintai ALLAH, kamu akan tahu apakah kehendak-Nya, kamu juga akan mengerti apakah kemurkaan-Nya. Lebih menguntungkan kamu telah mengetahui apa jua kesukaan dan kemarahaan-Nya. Lalu, dengan pengetahuan itu, kamu akan sentiasa memberikan yang terbaik dan tidak akan sekali melukakannya.

Cinta yang jujur jarang sekali menyeksa empunya cinta, bahkan jika cinta yang terus dengan kejujuran maka akan berkekalan keindahan cinta untuk selama-lamanya. Suami dan isteri yang bercinta atas tiket kejujuran, mereka akan mengecap nilai kebahagiaan yang lama dan abadi, mungkin sampai ke syurga cinta mereka masih kekal dan berbunga.

Apa jua dalam sebuah perbuatan, jika hati dan perbuatan tidak seiring matlamatnya, akan disebut sebagai hipokrit. Cinta begitu juga, apabila perbuatan seolah-olah mengambarkan kecintaan tetapi hati tidak langsung menunjukkan rasa cinta tersebut, ini bermakna cinta anda bukanlah cinta yang jujur. Di dalam Islam, ia disebut pula sebagai Munafiq. Pendek kata, sikap munafiq ini bukan sahaja bahaya kepada orang yang beriman kepada Tuhannya, tetapi ia juga mengundang bahaya kepada orang yang sedang bercinta. Lebih mendatangkan bahaya apabila, dia sendiri meletakkan sikap itu di dalam dirinya.

Dalam pada dia mengikat tali percintaan dengan kekasihnya, hatinya tidak ada pada yang itu. Ya, hatinya ada pada seseorang lain yang lebih dicintainya.

Dalam pada dia mencintai seseorang, namun berkali-kali lidahnya menafikan cinta itu, sedangkan hatinya memberontak mengatakan insan itulah yang terbaik untuk dicintai.

Dalam pada mengakui DIA-lah tuhan yang layak dicintai, hatinya tidak langsung ada pada keinginan untuk bertuhan, dalam kepatuhannya, dia turut mengundang kemurkaan Tuhannya.

Semua ini adalah laluan Hipokrit dan Munafiq!

CINTA DAN BAHAGIA ITU ADA PADA KEJUJURAN

Beberapa bulan yang lalu dan sehingga hari ini, saya menerima komen daripada beberapa orang pembaca, meminta saya agar diberikan pandangan dan buah fikiran kepada mereka atau cara mengawal perasaan hati yang telah terlanjur mencintai seseorang. Membaca luahan itu, saya turut merasakan apa yang dia rasakan.

Akhirnya saya memutuskan untuk mengulangi semula artikel ini sebagai jawapan untuknya dan sekalian pembaca. Terimalah!

Tahukan anda, apabila hati sudah selalu mendampingi TUHAN, kamcing berbicara dengan-NYA atau segenap perkara selalu mendahulukan DIA. Nescaya suatu pemberian yang tiada pada orang lain akan dianugerahkan kepada anda. iaitu firasat hati.

Orang bertanya, bagaimana mahu mengenali firasat hati yang suci? Mudahnya begini, jika kita jarang berdosa dengan TUHAN dan meletakkan DIA sentiasa di dalam hati, maka segala kehendak kita dan bisikan hati itu kemungkinan datangnya juga daripada kehendak TUHAN. Prinsipnya senang sahaja, kita memberi TUHAN jua memberi. Kita melaksanakan, TUHAN pula membalas. Jadi tidak hairanlah, segala susah payah kita pada DIA diberi pula kepada kita suatu pertolongan dari jalan yang tidak kita sangka-sangka. Iaitu firasat hati.

Kadangkala hati terasa berat terhadap sesuatu kebaikkan, ‘mahu buat atau tidak, mahu buat atau tidak’ (ini yang selalu diungkapkan) pesan saya, usah terlalu banyak ‘bertidak-tidak’ dalam melakukan amal kebaikkan. Kebaikkan yang sering tertangguh dan hilang moodnya kerana terlalu biasa dengan was-was hati yang mengajak kepada tidak melakukan, akhirnya semangat beramal hilang atau surut akhirnya ia berganti pula kepada rasa takut untuk melakukan.

Lalu, dalam soal mencari jodoh bagaimana pula?

Saya faham, dalam urusan mencari jodoh atau pasangan ini, kebanyakkan orang terlalu berhati-hati dalam membuat keputusan dan nilaian. Halus dan teliti untuk merencana. Betullah kata seorang teman saya, mencari pasangan bukan seperti membeli baju sejuk, kalau tersilap beli atau bosan memakainya boleh digantikan dengan yang lain. Saya menambah pula:
‘tapi kamu kena ingat, ia boleh ditambah, kahwin lagi satu!’ berdekah-dekah ketawa kami.

Tidak salah jika anda mengamalkan sikap berhati-hati dan teliti dalam soal jodoh, kerana pasangan yang dipilih bukanlah untuk KEHIDUPAN sehari dua sahaja, kalau boleh hendak juga seperti kata ‘
bergandingan sampai ke syurga’ atau ‘aku menanti-mu di pintu syurga’. Siapa yang tidak mahu begitu? Dialah satu-satunya teman kita bermula dari dunia (pandang pertama) sehingga ke alam syurga, alangkah bahagianya!

Yang menjadi salah dan selalu terjadi adalah sikap ‘
terlalu’. Hati sudah berkali-kali berkata YA, perasaan dan jiwa seolah-oleh telah berkata ‘pergilah, pergilah, katakan padanya (si dia) aku ingin melamarmu sebagai suri hidupku’, namun, sikap yang dikatakan ‘terlalu’ tadi telah menghalang segala-galanya. Sehingga ke saat kritikal dan lamunan perasaan sudah menggila pun masih lagi ‘bertidak-tidak’. Akhirnya, kata hati (firasat) yang meronta-ronta lalu diabaikan. Tinggallah jiwa yang terseksa menanggung cinta dan perasaan. Sedangkan hasrat murni itu jika awal-awal ditunaikan, akan dapat menutup sebahagian dariada pintu-pintu dosa.
Maka tidak terjadilah peristiwa
‘syok sendiri’.

Kalaupun dia bukan jodoh kita atau ‘
proposal’ ditolak, sekurang-kurangnya kita sudah mengetahui dan boleh membuat keputusan atau langkah seterusnya, atau terus membuang si dia daripada perasaan hati daripada duduk menantikan jodoh yang belum pasti akibat sikap diri yang ‘bertidak-tidak’ tadi. saya percaya, ramai yang kecewa dan ‘melepas’ disebabkan sikap ini terutamanya apabila ia depengaruhi dengan sikap ‘malu mendahulu’ dan ‘nanti dahulu’. Begitulah apa yang telah terjadi kepada saya dahulu!

ISTIKHOROH TEMAN YANG JUJUR

Selain dariada bergantung kepada firasat hati, mukmin yang sejati kebergantungannya mesti diletakkan kepada TUHAN sebagai pendahulu dan pengakhiran. Mendahulukannya dengan memohon petunjuk (iaitu doa), dan mengakhirinya dengan tawakal, serta syukur selepas memperolehinya. Kaedah ISLAM ini terlalu cantik dan indah, dalam apa jua situasi ia sentiasa diberi ganjaran. Di kala gembira kerana mendapat sesuatu kita akan beroleh pahala, ketika sedih kerana kekecewaan pun kita dijanjikan pahala.

Begitu jua dalam hal ini, iaitu soal mencari pasangan, ia lebih-lebih lagi memerlukan petunjuk daripada ALLAH agar dibukakan apa yang pada mata kita tidak nampak akan kebaikkan dan keburukannya. Kerana itu DIA ada menyebut di dalam al-Quran pada surah al-Baqaroh, kata-NYA:
‘Mungkin apa yang kamu sukai itu tidak baik bagi kamu, dan apa yang kamu benci itu terbaik untuk kamu, ALLAH lebih mengetahui sedangkan kamu (wahai manusia) tidak mengetahui (baik dan buruknya). Cara mengetahuinya dengan berdoa memohon petunjuk daripada-NYA.

Kerana itu saya tuliskan pada artikel yang lalu, ‘Jodoh Itu Luar Biasa Sifatnya’. Luar biasanya adalah kerana manusia itu tidak mengetahui apa yang TUHAN ketahui.

Dalam ISLAM memohon petunjuk melalui solat disebut sebagai Solat/sembahyang
istikhoroh. Para ulama tidak kira di dalam perkara yang kecil mereka akan mengamalkan solat ini, agar petunjuk sentiasa berada bersama mereka. Apatah lagi jika ia berkaitan dengan perkara yang besar seperti mencari dan memilih teman hidup. Jawapan yang anda bakal perolehi adalah jawapan yang terbaik, direct daripada TUHAN waimmah jawapan yang diilhamkan itu tidak sama seperti perencanaan kita, ia tetap terbaik kerana itu adalah hasil rencana TUHAN.

Oleh kerana itu, istikhoroh adalah cara terbaik memohon segala petunjuk.

PENUTUP

Meniti KEHIDUPAN yang jauh ini seolah tidak tahu di mana perhentiannya dan di mana titik noktah di hujungnya nanti. Kerana tidak tahu apa yang bakal terjadi, maka TUHANlah selayaknya menjadi teman penyuluh jalan. Doa dan tawakal jangan pernah dilupakan.

[Usah Jemu Memberi]

___________________________________________

Nota Kehidupan (1): Apabila anda terasa dijauhi, anda bukanlah telah dibenci tetapi mungkin sekali anda sedang dicintainya.

Nota Kehidupan (2): Anda akan merasa lebih teruji apabila anda diuji dengan apa yang pernah anda cakapkan dahulu.

1 Response so far.

  1. saya setuju!