BERKONGSI DUKA-CITA DENGAN UMAT ISLAM DI MALAYSIA
Budaya berfesyen adalah tidak asing lagi dalam dunia kotemporari seperti hari ini. Bahkan fesyen sangat diperlukan demi membuktikan bahawasanya agama juga tidak bersifat ketinggalan dalam soal berpakaian. Lalu, kepelbagaian fesyen masakini tidak dinafikan telah merubah sedikit sebanyak landskap terhadap cara ‘orang kita’ berpakaian.
Ya, fesyen tidak harus dipersalahkan kerana ia seni dalam sesuatu nilai. Tetapi prinsip ‘Thabat wa murunah’ (fleksibel dan tetap) adalah sendi kepada pelaksanaannya untuk mendepani arus perdana.
Berpakaianlah selagi anda mampu berpakaian, soal mahal ataupun murah bukanlah ukuran kesempurnaan dalam etika berpakaian, tetapi di dalam Agama Islam, kayu ukurnya adalah dinilai melalui sejauh mana pakaian itu mampu menjauhkan diri pemakai daripada bahaya fitnah.
Menutup tubuh dan rambut jika tidak sesuai dengan cara Islam maka ia belum mencapai makna menutup aurat.
Saya pasti masyarakat di Malaysia masih berada dalam dilema dengan cara berpakaian mereka. Tiada panduan yang khusus atau tatatertib yang tertentu untuk memastikan etika ini dikuat kuasakan. Akhirnya muncul ijtihad jahiliyah yang kononnya mahu melakukan pembaharuan terhadap Islam melalui pakaian.
Ya, Islamic Festival Fashion (IFF).
Apabila saya membaca dan menliti setiap perkembangan program tersebut, saya turut menyatakan kekesalan. Kesalnya kerana Islam telah dicerobohi secara halus. Pakaian adalah lambang Islam yang sentiasa diperhatikan oleh agama lain, jika dari sudut itu kita sudah gagal mempamerkan Syiar tersebut, apakah terdapat aspek yang lain yang mampu dipamerkan lagi?
Pakaian itu adalah Akhlaq.
Kekesalan ini berdasarkan beberapa perkara yang telah melanggari hukum yang digariskan oleh agama. Antaranya adalah:
1. Dalam festival tersebut, pakaian yang dipamerkan tidak banyak mempamerkan ciri-ciri yang telah digariskan oleh Islam bahkan jika dilihat ia lebih tertumpu ke arah mahu memodenkan fesyen Islam.
2. Terdapat unsur-unsur penghinaan apabila secara terang-terangan menggunakan kalimah ‘Muhammad’ pada pakaian yang tiada langsung menepati prinsip Islam.
3. Menggunakan label Islam hanya untuk mendapatkan populariti. Ia seolah-oleh mengambil kesempatan terhadap nama Islam yang sedang naik dan mendapat tempat di hati masyarakat sekarang.
Saya amat pasti, sebilangan umat Islam merasa sedikit terguris dengan festival ini. Terguris akibat Islam telah ditafsirkan dengan pandangan yang salah.
APABILA ISLAM DIFAHAMKAN DENGAN AKAL SEMATA
Sekian ramai di kalangan masyarakat kita terutama di Tanah Air Malaysia mengalami sindrom kurang faham akan prinsip menutup aurat, dan mereka jarang didedahkan dengan pengetahuan seperti itu. Segelintirnya hanya difahamkan melalui cakap-cakap orang yang kebanyakkannya kurang berilmu tentangnya. Akhirnya ia ditafsirkan dengan tafsiran akal semata-mata.
Tidak hairanlah ada yang sudah menutup rambut tetapi masih lagi menjadi buruan Sang Perogol.
Kalaulah bangsa Arab itu sahaja dijadikan panduan untuk menghayati syiar Islam ia belum lagi mencukupi dan sangat jauh menyeleweng. Islam tetaplah Islam yang hakiki yang diturunkan kepada bangsa arab, tetapi bangsa arab bukanlah menjadi tafsiran kepada Islam seluruhnya. Buktinya sudah banyak kerana ramai bangsa itu musnah ditelan peredaran zaman, yang tinggal hanyalah segolongan kecil yang mengamalkan Islam yang syumul.
Al-Quran adalah garis panduan untuk segala tindak-tanduk manusia, bermula dari sekecil-kecil perbuatan sehinggalah kepada soal pentadbiran sebuah Negara, semua memerlukan rujukan daripadanya, kerana ALLAH taala mengetahui akal manusia tidak akan mampu untuk pergi sejauh itu. Nafsu adalah penghalang utama.
PENUTUP
Saya mewakili Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan (MPPMJ) menyarankan agar penganjuran program seperti ini dapat dikaji semula terutama dari sudut kesesuaiannya dengan prinsip yang digariskan oleh Islam. Bukan sahaja terhadap mekanisma pakaian, apa jua program mestilah terlebih dahulu digandingkan dengan Islam supaya tidak timbul lagi isu sensitiviti dan kemarahan umat Islam.
Badan-badan kerajaan yang ditugaskan memantau harus juga bekerjasama untuk memastikan kemaslahatan umat Islam di Negara kita lebih terpelihara dan terjamin.
Negara Malaysia sudah dikenali dengan Negara yang mengamalkan dasar Islam dalam sebahagian struktur perlembagaannya, maka tidak harus ia dicemari dengan sesuatu yang dapat menjatuhkan imej tersebut. Sewajarnya ia perlu diperhebatkan lagi dengan aktiviti yang dapat menaikkan imej agama disamping imej kenegaraan.
Semoga Agama Islam di Malaysia terus maju bersama peredaran zamannya dengan syumul.
Mohd Afiq Mohd Saleh
Presiden,
Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan (MPPMJ)
Sesi 2010/2011
0 Responses so far.
Post a Comment