LELAKI DAN SUAMI TAK SAMA?

Kalau ditanya pada isteri atau kaum hawa yang sudah mendirikan rumah tangga, pasti kata mereka: ‘Macam tak percaya saya sudah berkahwin, terasa baru semalam menyarungkan cincin dan dahi saya dikucup suami’

‘Sekarang saya mempunyai 3 orang anak, 8 tahun terasa sekejap!’ Itulah kemungkinan jawapan yang bakal diperolehi jika pasangan tersebut menjalani kehidupan yang aman serta bahagia.

Tidak hairanlah jika sampai sekarang lafaz darling, sayang, honey dan hubby masih lagi kedengaran dalam perbualan harian. Bergaduh dan bermasam muka itu biasalah, sedangkan gigi dan lidah yang hidup mereka cuma dipisahkan dengan jarak seinci pun masih boleh tergigit (kadangkala sampai berdarah), apatah lagi suami isteri yang tidurnya setiap hari bersebelahan, ia adalah fitrah.

Berbalah dalam hal rumah tangga itu halwa dan rencah dalam mengeratkan hubungan. Bila bergaduh, mesti ada yang merajuk dan mesti ada yang memujuk. Kalau tidak suami, isterilah. Tetapi selalunya isteri yang akan merajuk suami pula sebagai pemujuk.

Wahh, kan romantik gitu?

Kalau suami yang pandai memujuk, pasti ada sesuatu kejutan yang bakal dibuat, bukannya untuk siapa, untuk si isteri tercinta juga. Kalau boleh suami tak mahu menghadap muncung isteri bak ikan Yu setiap masa. Ada suami, sebagai menyatakan kesalahannya dia adakan candle light dinner. Kalau di rumah dia berpakat bersama anak-anak untuk menyediakan juadah istimewa. Kalau terasa mahu privacy lagi, carilah restoran makanan laut yang ekslusif. Masa inilah masa untuk berdua-duaan.

Itu mungkin 5 tahun dahulu, masa mula-mula di alam perkahwinan. Darah masing-masing masih lagi manis. Pandang muka masih malu-malu, kerana itu semuanya menjadi rindu.

Ya, itu juga mungkin semasa sebelum berkahwin, ketika zaman-zaman mengorat dan bercinta. Jarang bertemu menjadikan hati sentiasa tidak jemu.

Lelaki dan Suami itu kadangkala menjadi lain maksudnya bergantung kepada sikapnya.

Dahulunya, ketika bercinta semuanya manis. Untuk si gadis apa jua sanggup dituruti. Biarlah emas segunung, yang penting mata tidak puas merenung. Zaman bercinta ala-ala monyet dahulu, segalanya menjadi indah, waimmah lelaki mahupun perempuan kalau boleh tidak mahu menyakitkan hati pasangan. Kalau bergaduh, dua-dua sanggup mengalah dan saling bermaafan. Berebut-rebut siapa yang paling dulu meminta maaf!

Namun, apabila sudah sampai ke usia belasan tahun perkahwinan, jangankan suami mahu memujuk, senyumpun tidak, sampaikan si isteri hilang rajuknya sendiri akibat lupa dan sibuk dengan tugas harian. Kasihan si isteri, jarak yang semakin lama dalam perkahwinan menjadi dia tidak dapat lagi melayan perasaan hati seperti dahulu kerana tiada siapa yang memahami.

Suami senang saja berkata: ‘Dah tua-tua pun nak merajuk, malulah sikit dengan anak-anak’

Berbeza dengan lafaz semasa bercinta: ‘Saya minta maaf kalau menyinggung perasaan awak siang tadi. Harap awak tak ambil hati’

Eh, lelaki dan suami itu tak sama?

Kalau dahulu, bila diajak keluar bertandang ke rumah bakal mertua, si lelaki sanggup keluar sejam awal dari tempat kerja dan bergegas ke tempat yang dijanjikan. Buah tangan berplastik-plastik, sebungkus untuk Bakal mertua, sebungkus untuk adik ipar, sebungkus lagi untuk orang gaji. Yang pelik, untuk jiran sebelah pun disediakan peruntukkannya sekali. Punyalah hendak menjaga hati si gadis buah hati jantung pisang.

Tapi sekarang tidak lagi, ketika si isteri bertungkus lumus dan bersemangat menyiapkan majlis ulangtahun perkahwinan ke 30, si suami masih lagi di pejabat berborak bersama rakan. Walaupun pada siangnya berkali-kali diingatkan oleh isteri bahawa malamnya ada suatu yang istimewa untuk mereka berdua, tapi si suami masih juga hati batu, tak faham. Akhirnya isteri berkecil hati, juadah yang disediakan dijamah bersendirian ketika anak-anak semua sudah melelapkan mata. Suami pula, sehingga jam 2 pagi tidak juga pulang ke rumah.

Apabila tiba di rumah, jangankan hadiah, hakikatnya si suami memang terlupa akan ulangtahun tersebut. Tarikh lahir isteri? Tarikh lahir anak-anak? Jauh sekali…

AMBIL KESEMPATAN?

Ada suami yang berkata dengan bongkak: ‘Tak perlu nak bergaya-gaya sekarang. Isteri dah ada, apa lagi nak? Dia dah jadi milik kita’

‘Kalau tak hensem pun, isteri tak larilah’

Itulah lelaki, apabila sudah dapat apa yang diinginkan segala-galanya akan berubah, mereka kembali kepada watak mereka yang asal. Perempuan pun ada juga yang bersikap begitu, tetapi realitinya lelaki lebih ramai.

Lihatlah kalau duduk di majlis-majlis keramaian, suami hanya berseluar slack lusuh dan berkemeja T tanpa berkasut, si isteri pula berbeza, kalau boleh mahu memilih pakaian yang paling cantik dan kemas. Bukanlah tujuan untuk bertabarruj (berhias-hias) atau menunjuk-nunjuk, tetapi sekadar manis dipandang oleh tetamu yang hadir.

Itulah sikap sebahagian suami, dalam segala hal mahukan yang paling simple dan mudah, yang menyusahkan dan rumit ditolak ke tepi walaupun dengan cara itu dapat mengharmonikan suasana rumah tangga. Akhirnya, hilanglah kemanisan rumah tangga akibat sikap sambil-lewa suami yang suka mengambil mudah dalam kebanyakkan hal.

Seolah-olahnya dalam hati suami mahu berkata: ‘Apa saja yang aku buat, dia takkan lari. Sekarang dia sudah menjadi milik aku, kuasa talak di tangan aku!’

Kesempatan sebegini tidak patut disalah gunakan oleh suami.

MENDIDIK PASANGAN DENGAN RASA MEMBERI

Saya pasti tidak ada pasangan yang inginkan jika tabiat itu terjadi dalam rumah tangga mereka. Setidak-tidaknya, walaupun si suami agak pemalas tetapi masih tidak mengabaikan tanggungjawab kepada seisi keluarga. Isteri juga tidak mahukan jika suami mempunyai sikap tersebut. Namun, suami harus berhati-hati, kadangkala kesempatan ini digunakan pula oleh isteri ketika mana suami seorang yang ringan tulang.

Saya tidak dapat membayangkan jika situasi sambil-lewa dan sikap pemalas ini dimiliki oleh seorang isteri. Mungkin setiap hari suami akan menjamu selera di kedai mamak atau restoran tomyam Pak Ali atau warung janda Mak Lina. Baju dan pakaian pula dihantar ke kedai dobi, manakala tugas membela anak-anak diserahkan sepenuhnya kepada ‘tarbiyyah orang gaji’

Jangan terkejut jika sikap isteri sebegini terus berpanjangan si suami akan bermadu secara sembunyi-sembunyi dan si isteri dipakaikan dengan ‘payung emas’ dalam paksaan atau tidak rela.

Dalam kebanyakkan tulisan saya berkenaan rumah tangga, saya selalu menekankan agar istilah ‘SALING’ ini mesti dipraktikkan sepanjang melalui alam rumah tangga yang penuh cabaran. Jika salah seorang sakit, salah seorang yang lain mesti saling membantu, jika kedua-duanya mempunyai masalah, mereka mesti saling memahami. Apa jua situasi dan keadaan yang berlaku, jika SALING ini diamalkan, ia tak akan menggugat kedudukan rumah tangga yang dibina, bahkan akan kekal bahagia sampai ke anak cucu.

SALING yang saya maksudkan akan memupuk sikap memberi. Rumah tangga adalah medan untuk memberi bakti sebanyak-banyaknya tanpa sedikitpun mengharapkan apa-apa penerimaan sebagai balasan. Suami yang memberikan nafkah kepada isteri dan anak-anak bukanlah bertujuan meminta kembali nafkah seumpamanya sebagai balasan, tetapi kerana tanggungjawab.

Kalau sudah namanya tanggungjawab, kita akan cuba memberi sedaya upaya selagi mampu bahkan cuba memberikan yang paling baik untuk pasangan. Si isteri mahu melihat si suami bahagia dengan hasil pemberiannya selamanya ini, suami juga begitu.

Ketika memasak, isteri memasak dengan kasih sayang kerana sedar akan tanggungjawab memberikan yang terbaik untuk suami.

Ketika bekerja, suami memberikan sepenuh tumpuan dan ikhlas kerana tahu akan tanggungjawab memberikan yang terbaik untuk isteri.

Apabila suami seorang yang mithali, isteri akan menjadi bidadari.

Tiada lagi kesempatan dalam rumah tangga kerana suami dan lelaki itu adalah sama.
________________________________________________

Nota Kehidupan: Saya terasa seperti sedang menduduki peperiksaan SPM apabila jadual exam pada semester ini berderet-deret selama 7 hari. Sabtu dan Ahad adalah harapan untuk merewang dan berhibur!

[Usah Jemu Memberi]

2 Responses so far.

  1. salam wbth

    hebat artikl ni, dah kawen ke empunya blog ni?

  2. mantop3..! keep it up akh..menarik! bermanfaat..bermakna sekali...