Inilah kembara saya, 12 hari mencari kehidupan di tanah suci.


Alhamdulillah (segala pujian bagi ALLAH),

Saya harus memanjatkan rasa bersyukur kepada ALLAH sebanyak-banyaknya. Rukun Islam kelima sudah saya tunaikan, tinggal lagi untuk saya menunggu hasilnya di akhirat nanti. Seperti insan lain yang ke tanah suci, saya juga mengharapkan agar ibadat itu diterima sebagai buah tangan yang
mabrur.

Bayangan Al-
mukarromah dan Al-Munawwaroh masih kelihatan difikiran saya. Bukan itu sahaja, ribuan manusia yang berkunjung ke sana tidak dapat saya lupakan. Dalam jutaan manusia yang berbondong-bondong ke tanah haram itu, nawaitu mereka hanyalah satu.

Mereka juga menuntut cinta yang serupa seperti cinta saya, iaitu cinta kepada ALLAH taala.

Walalupun bangsanya berlainan, tujuan mereka adalah sama iaitu tawaf pada Kaabah yang satu. Walaupun bahasa dan kulitnya berbeza, wukufnya pada tanah yang satu, mereka juga merasai apa maknanya Arafah sebagai ‘Mahsyar Kecil’. Walaupun datangnya dengan berbagai-bagai cara, saienya tetap pada laluan yang pernah dijejaki oleh Siti Hajar ketika mencari air untuk Si Ibrahim as.

Cinta yang satu ini sungguh pelik dan ajaib, walaupun perlu melalui perjalanan yang payah dan sukar, manusia tetap berusaha meraihnya demi mendapatkan sebuah cinta dan redha. Cinta yang satu ini tidak akan habis dan kontang sampai berzaman-zaman, sehingga mereka menemui Sang Pencinta yang sebenar.

ALLAH
azza wajalla.

ALLAH taala itu, meskipun cinta-Nya dibahagi kepada seluruh manusia, namun ianya tidak pernah berkurang. Meskipun semakin ramai yang merebut Cinta-Nya, sedikitpun ia tidak mengurangkan nilainya. Semuanya berhasrat kepada cinta yang satu, semuanya mengharap kepada cinta yang serupa, iaitu cintakan ALLAH.

Kalau ditanyakan mengapa mesti bersusah-payah untuk ini? jawabnya: kerana aku cintakan-Nya seperti yang kamu cinta.

Tetapi lain pula pada manusia, jika cinta mereka dikongsi-kongsi, maka ada sebelah pihak yang akan cemburu dan terkorban cintanya. Ternyata cinta manusia tidak sehebat cinta ALLAH taala. Walaupun ada manusia yang sanggup berkorban untuk manusia lain, tetapi tak akan sampai ke mana. Walaupun lautan api yang dicanang-canangkan kononnya berani untuk diredahi, namun sampai sekarang belum ada manusia yang sanggup berbuat demikian. Manusia mudah berbohong dengan cintanya.

Saya pernah terfikir, mengapa ada manusia yang sanggup bersusah payah hanya kerana solat yang lima waktu itu. Dikala manusia lain sedang nyenyak tidur, mereka menggagahkan diri untuk menjamah air dan meninggalkan keenakkan mimpi, lalu dikerjakan solat sambil mengharapkan sesuatu. Bukankah jika difikirkan tidur itu lebih enak berbanding bangkit yang menghilangkan nikmat dunia?

Semuanya adalah kerana mengharapkan cinta yang serupa.

Puasa jua begitu, di siang hari mereka perlu menahan diri daripada makan dan minum sehingga sampai waktunya, malam pula ditambahkan dengan ibadah yang tiada dibulan lain. Sudahlah siangnya letih menahan lapar, malam pula disuruh mengerjakan ibadat tambahan. Bukankah jika dihitung-hitung berkenyang-kenyangan itu lebih lazat daripada menahan lapar yang menyeksakan tubuh?

Semuanya adalah kerana mengharapkan cinta yang serupa.

Zakat. Harta yang penat-lelah dicari hasil titik peluh sendiri perlu diberikan kepada fakir yang tidak dikenali. Semuanya atas dasar keprihatinan kita sesama Islam. Perniagaan itu jika sampai haul (kadarnya) perlu dikeluarkan sedikit daripadanya untuk zakat. Tanaman juga apabila sudah cukup tempohnya mesti diagihkan kadar tertentu untuk dizakatkan. Bukankah jika harta yang banyak itu hasil kudrat sendiri jika dikumpul-kumpul boleh menambahkan kekayaan? Mengapa perlu diberikan kepada fakir yang tidak dikenali?

Semuanya adalah kerana mengharapkan cinta yang serupa.

Haji menuntut kepada seluruh pengorbanan dan kesungguhan. Saya amat pasti andai tiada kekuatan pada
‘cinta yang serupa ini’ mereka tidak akan berupaya untuk melaksanakannya. Belanja untuk ke sana sahaja sudah mencecah ribuan ringgit, perlu berpanas-terik, perlu berjalan kaki sejauh berkilo-kilo meter, tidurnya tidak selalu lena, makannya jarang kekenyangan. Mengapa manusia sanggup melakukan semua itu?

Semuanya adalah kerana mengharapkan cinta yang serupa.

Pernahkah anda terfikir, ada manusia yang sanggup berbuat lebih daripada itu demi mendapatkan sebuah cinta yang serupa ini? Adakah anda pernah terfikir, ada sebahagian manusia yang terdahulu telah menjualkan darah-daging serta jiwa raga mereka hanya untuk mendapatkan cinta yang serupa itu?

Kadangkala kita harus menangis seketika mengenangkan manusia-manusia hebat yang sanggup berkorban demi meraih
‘cinta serupa’ ini. Tidak seperti kita yang mudah saja mengeluh apabila didatangkan dengan ujian yang berat. Rupa-rupanya semangat mereka dalam mencari cinta ini jauh berbeza berbanding kita. Cinta yang serupa untuk diraih, tetapi kesanggupan yang berbeza-beza. Ada yang sanggup berkorban, ada yang tidak.

Ada yang rela bersusah, ada yang tidak mahu langsung merasai kepayahan.

Kita tidaklah setanding pengorbanan Rasulullah saw yang sanggup berdarah tubuhnya akibat kejahilan penduduk Thoif dalam sebuah perjuangan baginda. Kita juga tidak seperti Bilal bin Rabbah yang tubuhnya dilandaskan dengan batu berat, kita juga bukan seperti Ali-Yassir yang sanggup berkorban keluarga semata-mata untuk mendapatkan ‘cinta serupa’ ini.

Pendek kata,
‘cinta serupa’ ini bukan senang untuk diraih dan dicapai melainkan dengan mujahadah dan kesungguhan yang tinggi. Tingginya kesungguhan manusia hanya dapat diukur dengan sejauh mana keimanan seseorang.

TIDAK MANIS TETAPI MENJANJIKAN KEMANISAN

Siapapun yang sedang berusaha mencari cinta ini pasti akan diuji dengan kepayahan dan ujian. Itu sudah janji Tuhan dan fitrah dalam pencarian ini, sebab itulah proses pencarian ‘cinta serupa’ ini dipanggil juga sebagai perjuangan.

Perjuangan melawan hawa-nafsu demi mendapatkan cinta sejati.

Perjuangan jiwa dan raga demi meraih cinta abadi.

Perjuangan segala-galanya untuk mendambakan sebuah cinta hakiki.

Cinta abadi, cinta sejati dan cinta hakiki semuanya disatukan dengan cinta yang serupa, iaitu cinta ALLAH taala.

Seandainya matlamat kita sama dalam pencarian (pengorbanan) ini, maka kita sedang menuju ke arah matlamat dan tujuan yang sama. Kita akan sama-sama mendapat susah dan bakal dijanjikan dengan kemanisan yang sama iaitu syurga. Kesusahan yang sementara tetapi kesenangan yang selama-lamanya.

‘Allahumma, thabbit qulubana a’la dinika’

______________________________________________

Nota Kehidupan (i): Saya mendapat banyak nilai kehidupan sepanjang kembara saya menunaikan haji pada tahun ini. Sehinggakan saya hampir menitiskan air mata.

Nota Kehidupan (ii): Mungkin sesekali kita harus dipaksa untuk tertinggal sahabat agar tidak 'tertinggal ' ALLAH dalam kehidupan kita.

[Usah Jemu Memberi]

0 Responses so far.