TITIK MULA, TAPAK KEJAYAAN

Bila kali terakhir anda mengimpikan sesuatu? Atau paling kurangpun mengidamkan sesuatu yang indah-indah? Saya pasti, tahun baru adalah titik tolak bagi pencinta keazaman untuk membina dan memperbaharui azam mereka. Jika tahun-tahun sebelumnya cita-cita masih tidak tercapai, maka pada tahun berikutnya adalah penentuan. Jika tahun sebelumnya adalah tahun usaha, maka tahun selepasnya adalah tahun menuntut hasil dan buahnya. Ramai yang menyimpan azam yang pelbagai, sehingga kepelbagaian itu sudah beratus-ratus disenaraikan, tetapi hati belum tergerak mahu mengusahakannya.

‘Mahu cemerlang dalam peperiksaan SPM, 21 A!’

‘Tahun ni kalau tak dapat berkahwin, sekurang-kurangnya dapat mencari teman hidup sudah memadai’

‘2011 – Tahun akhir aku di Universiti. Mesti usaha agar tidak gagal dan bla…ble…bla’

‘Kalau tidak Toyota Estima, BMW. Salah satunya mesti dalam genggaman’

‘Tahun ini, tahun membuang sikap malas’ ‘Insyaallah, jika dipanjangkan usia dan dimurahkan rezeki. Ke Baitullah kita tunaikan haji. Amin’

‘Ini tawun manyak ong maaa! Lu bikin azam manyak-manyak, Tuhan kasi makbul nanti’

‘Balik Malaysia nanti, aku nak makan Masakan Melayu puas-puas!’ – Eh? itu juga sebahagian daripada azamkan? Walaupun ia hanyalah angan-angan dan kemahuan (keinginan) terhadap makanan.

Hai, macam-macam azam ada! Mas Azam pun ada, Sampaikan tak terazam.

Kata orang bijak pandai, lebih baik manusia yang mempunyai cita-cita yang tinggi tetapi tidak terlaksana daripada manusia yang tidak ada langsung azam atau impian. Orang seperti ini bukan sahaja tidak mempunyai garis akhir pada destinasinya (matlamat) tetapi sudah merugikan dan bakal meranapkan hidupnya sendiri.

Orang yang mempunyai impian dan menanam cita-cita adalah mereka yang sudah menjumpai titik permulaan hidup mereka untuk bergerak dan berusaha walaupun hanya dimulakan dengan langkah yang kecil. Kata pepatah, sikit-sikit, lama-lama jadi bukit.

Titik permulaan yang kecil dan tidak seberapa ini bakal mengubah anda kepada sebuah kejayaan yang besar dan tidak disangka-sangka nanti.

SEMAKIN BESAR 'KOTAK', SEMAKIN BANYAK 'TENAGA' DIPERLUKAN!

Ya, semakin tinggi cita-cita dan impian, semakin tinggilah usaha yang diperlukan!

Keinginan yang kecil maka usahanya pasti mudah, begitulah sebaliknya. Keinginan seseorang yang mahu mendapatkan sepotong apam balik tidak sama usahanya dengan keinginan seorang yang berusaha mahu membina sebuah pasaraya. Tentulah impian untuk membina dan merealisasikan sebuah pasaraya menuntut usaha dan pengorbanan yang lebih besar daripada usaha untuk mencari sepotong apam balik.

Itulah dia kaitan nilai sebuah USAHA dan IMPIAN. Dibalik-balikkan sahaja; jika mahukan impian yang tinggi terlaksana, maka usahanya juga perlu tinggi. Begitu juga dengan usaha, jikalau lebih usahanya dan tinggi pengorbanan yang dilaburkan untuk sebuah impian, maka akan terhasillah sebuah impian yang sama tarafnya dengan nilai usaha tadi. ianya saling menuntut dan memberi. Banyak pemberian banyaklah juga pulangannya.
Suatu perkara yang kerap menjadi tabiat manusia, iaitu menunggu dan mengharapkan sesuatu tanpa usaha. Ramai kawan-kawan saya yang bersikap begitu, mengharapkan berlaku keajaiban di depan mata. Mahukan cemerlang dan terbaik dalam peperiksaan, tetapi usahanya terlalu sedikit, tidak berbaloi dengan apa yang dimahukan. Yang ditunggu-tunggu adalah ‘wahyu’ semasa menjawab peperiksaan nanti.

Janganlah begitu, saya terlalu percaya anda semua adalah boleh dan mampu pergi lebih jauh daripada apa yang anda impikan, cuma sesuatu yang menghalang itu terlalu kuat iaitu sikap malas. Apa yang anda mahukan memerlukan usaha. Salah satunya (USAHA dan IMPIAN) tidak akan wujud jika tiada salah satunya.

Begitulah juga cinta, ia tidak akan berbunga dan subur jika tidak disiram atau hanya bertepuk sebelah tangan!

IMPIAN ADALAH INSPIRASI DAN MOTIVASI

Azam dan impian adalah keinginan (kesungguhan) terhadap sesuatu. Analoginya begini:

Suatu hari, hasrat anda mahu menjamah ayam goreng KFC tidak kesampaian atas sebab-sebab tertentu.

Walaupun cita-cita atau keinginan anda (pada awalnya) mahu menikmati hidangan ayam goreng KFC tidak tercapai kerana stokisnya ditutup Sempena Hari Raya Cina, sekurang-kurangnya anda dapat menjamah ayam goreng Anak Dara Mak Cik Leha di Pasar Malam Seri Gombak pun jadilah! Yang penting perut sudah berisi dan kekenyangan. Hati menjadi senang walaupun separuh impian belum terlaksana.

Eh, ayam goreng jugakan? Cuma yang menggorengnya adalah hasil daripada air tangan Anak Mak Cik Leha. Tidaklah sesedap rempah KFC, tetapi adalah jua rasa-rasa basic ayam goreng. Kalau saya diberi pilihan, saya mahu ke gerai Mak Cik Leha. Silap hari bulan bukan Ayam Gorengnya saja yang menjadi santapan tetapi anak daranya pula menjadi pasangan pengantin saya.

Justeru, apa yang lebih penting adalah usaha kita untuk mendapatkan sesuatu sudah berhasil separuhnya, cuma yang menghalang keinginan hanyalah Kedainya yang tutup, itu saja. Kita tidak mampu untuk menghalangnya. Tetapi bukankah minggu hadapan stokis KFC itu akan dibuka semula? Masa itu cita-cita kita akan semakin cerah dan mudah jalannya disebabkan kegagalan yang lalu.

Bahawasanya anda tidak wajar merasa rugi dan gundah-gulana jika setiap cita-cita dan impian anda tidak tercapai atau terlaksana selepas gigih berusaha. Bahkan perlu berbangga kerana itu adalah kredit pemudah jalan kepada anda semasa mencuba untuk usaha kali kedua.

Rupanya hasil bukanlah tujuan utama dalam mengejar keinginan dan impian, sebaliknya yang dinilai adalah usaha. Peganglah bahawa, usaha yang gagal pada masa lalu adalah pemudah cara untuk mencapai cita-cita dan impian pada masa akan datang. Maka tidak hairanlah beberapa tokoh barat seperti
Wright bersaudara (pencipta kapal terbang), Philips (pencipta Mentol) dan Alexander Graham Bell (pencipta telefon), mereka hadir dengan sebuah kejayaan yang besar selepas menghadapi siri kegagalan yang memeritkan.

Itu adalah cerita mengenai orang yang berjaya mendapat apa yang mereka mahukan dan impikan. Ya, tidak semua manusia yang mampu menghasilkan apa yang mereka mahukan, mungkin akan berlaku kekurangan pada hasil dan impian, dan mungkin juga mereka boleh menghasilkan sesuatu yang lebih baik daripada itu. Tetapi jangan pula bersedih jika apa yang diinginkan itu tidak kesampaian. Bukankah saya sudah katakan tadi, yang dinilai adalah USAHA.

Antara ‘menang mudah’ dengan cara menipu dan kalah setelah berusaha gigih, lebih mulia kekalahan dengan usaha berbanding kemenangan mudah yang penuh dengan tipu daya.

Apa yang kita perolehi itulah sebenarnya hasil daripada titik peluh kita, kita mesti menghargainya supaya suatu hari nanti ia bakal menjadi pencetus semangat untuk mendapat sesuatu yang lebih baik. Betullah kata-kata bijak pandai:

‘Kadang-kadang kita tidak semestinya dapat apa yang kita suka, tetapi kita mesti belajar menyukai apa yang kita dapat’

KEHIDUPAN akan memberikan anda semua perkara yang belum terlintas di mata atau fikiran. Kerana itulah impian yang tinggi merupakan motivasi utama dalam mengejar sesuatu matlamat. Kegagalan dan kejayaan dalam mengejar impian bukanlah penentu utama sesuatu yang dikejar, tetapi kemenangan itu diambil daripada sebuah usaha dan kegigihan.

Semakin tinggi impian, ia menuntut usaha yang tinggi, menjadikan semakin tinggilah motivasi anda.

[Usah Jemu Memberi]


0 Responses so far.