HANG TUAH DAN MELOR

Suatu pagi yang hening, sehari sebelum Tuah berangkat meninggalkan Gunung Ledang, si Tuah mahu bersua muka dengan kekasihnya si Melor yang dikenalinya semenjak lama dia berguru di situ. Melor adalah kekasihnya yang banyak sudah terhutang budi dengannya. Hasrat si Tuah mahu menyampaikan suatu berita duka.

‘Ceritalah, apa yang seronok padamu Tuah?' Soal Melor sambil tersenyum.

’Kau tahu, Tok Guru sudah ajarkan padaku ilmunya Melor’ Balas Tuah membuka bicara. Dia memaut dagu di Melor menghadap wajahnya.

‘Itu sudah ku ketahui’

‘Ada lagi cerita yang lebih seronok’ ujar Tuah pula, berat hatinya mahu meluahkan.

‘Aku sayang padamu Melor’ Namun bukan berita itu yang mahu dikhabarkan oleh Tuah sebenarnya.

‘Itu cerita dahulu juga, aku sudah mengerti’ Balas Melor lagi, kali ini Melor seakan dapat merasa sesuatau yang ingin disampaikan oleh Tuah.

‘Kalau cerita itu cerita dahulu, ada lagi cerita yang baharu, mahukah kau dengar Melor?’

‘Esok pagi-pagi aku mesti tinggalkan tempat ini..’ sambung Tuah.

‘Mengapa begitu lekas, Tuah?’ Soal Melor gundah. Matanya menakung air jernih.

‘Apa boleh buat Melor, tadi tok guru sudah beri perintah. Janganlah kau mengeluarkan air mata mu Melor, berat rasanya hatiku hendak meninggalkan tempat ini..’

‘Tetapi apa boleh buat, kewajipan tanah air telah memanggil, kau mesti ingat Melor, ada masa datang dan ada masa pergi’ sambung Tuah lagi sambil menahan sebak. Membelai lembut rambut si Melor.

‘Tuah, bolehkah kau berjanji padaku Tuah?’

‘Janji apa Melor?’

‘Pada suatu hari nanti, jikalau tok guru melepaskan aku pergi, aku akan pergi ke Melaka mencari engkau. Bolehkah kau menunggu aku selama itu Tuah?’ Lama Si Tuah berdiam, mencari sesuatu kekuatan. Melor sudah bertakhta di hatinya, namun dia harus berpisah saat cinta mahu bersulam. Tuah menggagahkan bibirnya melafaz janji setia.

‘Melor, perahu bertutup dengan daun, penuh sarat berisi lokan, kalau hidup seratus tahun, sepanjang hayat aku nantikan..’

‘Tuah, Kedodong batang supitan, batang padi aku lurutkan, tujuh gunung Sembilan lautan, kalau tak mati aku turutkan..’

Kasih dan cinta mereka tidak habis di situ, Gunung Ledang adalah pertemuan dan berputiknya kasih, Melaka menjadi saksi kesudahan cinta mereka. Selepas beberapa tahun berpisah, Melor menunaikan janjinya, merentasi lautan dan gunung, melewati Kota Melaka mencari kekasih hatinya Si Tuah. Penuh harapan.

Namun, bukan Tuah yang ditemui, tetapi tulah yang melanda dirinya. Melor dicolek saat Tuah bermusafir ke Negeri Pahang untuk menemui Tun Teja, lalu dia dijadikan dayang dalam istana Melaka, bermakna dirinya sudah menjadi milik penuh Sang Sultan. Namun, siapa yang tahu akan sedihnya hati si Melor, ingatannya terhadap Tuah terus mekar. Janjinya dahulu akan dituruti jikalau nyawanya masih belum diambil. Tuah segalanya buat Melor.

Beberapa hari berlalu, hatinya terubat pabila kepulangan Tuah dari Negeri Pahang sampai kepadanya. Saat bulan mahu mengambang, janji Tuah mahu menemuinya di istana raja. Rindu terubat, kasih bersambung semula, cinta terus berputik.

Perpisahan yang lama dan jauh hanya diikat dengan satu kesetiaan. Akhirnya,

Melor mati di hujung lembing tajam saat mempertahankan cintanya untuk Tuah.

Jebat pula mati ditikam si keris Tamingsari ditangan sahabat sepersaudaraannya Tuah, saat mempertahankan kebenaran cinta si Tuah kepada Melor.

Tuah terus diulit rasa bersalah. Di antara taat akan kesilapan Sultan dan kesetiaan Melor yang ikhlas dalam percintaan.

Kesetiaan sudahpun tertulis dalam lipatan sejarah, Melor tetaplah Melor yang sungguh dengan kesetiaannya. Itulah arjuna Cinta Melor untuk Tuah kekasih hidup dan matinya.

SETIA DAN SEDIA

Agaknya begitulah lambang kesetiaan orang-orang dahulu. Abstrak dijadikan lambang dan isi kesetiaan. Bukit, gunung, lautan bukanlah penghalang jarak percintaan. Kerana itu, cinta orang-orang dahulu kekal sampai turun-temurun.

Kalau bercinta, biarlah hujugnya bukan di dunia sahaja tetapi membawa sampai ke taman syurga. Kalau setia biarlah talinya sepanjang lautan, tapi ikatannya tidak akan terlerai. Kerana itulah, apabila orang yang setia dia akan sedia berkorban. Berkorban jarak dikejauhan, berkorban masa dek penantian. Asalkan orang yang dicintai terus bertakhta di hati.

Arakianlah, cinta setia Adam dan Hawa, berputik di dalam syurga tetapi dipisahkan saat jatuh ke bumi, akhirnya ditemukan semula, tanah Arafah menjadi lambang dan saksi pertemuan dua insan yang berkasih. Cinta mereka akan kembali bersulam ditempat asal bermulanya cinta, iaitu di syurga.

Pokoknya adalah setia, sampai ke mana-mana cinta tak akan terurai.

_____________________________________

‘Kau tak boleh membawaku keluar dari tempat ini Tuah?’ Soal Melor saat bersua muka. Malam bulan mengambang itu menjadikan pertemuan terakhir mereka.

‘Iya, siapapun tidak boleh. Walau aku sekalipun, jangan kata hendak membawa kau keluar dari sini Melor, berjumpa begini pun sudah melanggar undang-undang istana’ balas Tuah, rasa bersalah kerana tidak dapat menunaikan permintaan Melor. Dia terikat dengan rukun istana.

‘Tapi Dato-dato itu kata, aku duduk di sini cuma sementara menunggu kau balik Tuah’

‘Melor, mereka itu semua musuh-musuhku Melor, kau ditipunya untuk menyakitkan hatiku. Kau tahu apa hukumannya nanti jikalau Tuanku dapat tahu aku berada disini? Aku akan dipancung. Tapi bukanlah aku takut mati Melor’ Tuah melahirkan rasa hati, suaranya sebak menahan sedih. Dia semakin diulit rasa bersalah.

‘Tapi aku tak mahu kau mati Tuah. Aku tak mahu kau mati Tuah. Keadilan apakah ini Tuah? Aku sayangkan kau, dan kau sayangkan aku. Undang-undang yang kejam ini menjadi batu penghalangnya’ Rayu Melor bersungguh-sungguh. Air matanya kini sudah membasahi pipinya.

Lama mereka menyepi disaksikan penuh bulan menganbang akan kesetiaan mereka.

‘Pergilah Tuah, jangan sampai orang dapat tahu pertemuan ini. Lupakanlah aku, memang sudah nasib kita tak dapat hidup bersama, tapi aku takkan melupakan kau Tuah walau habis nyawaku di badan sekalipun’

‘Selamat jalan tuah, selamat jalan pahlawan hati’ Dalam keberatan hati menahan seksanya perpisahan, Melor melepaskan Tuah. Pergi jauh daripada matanya, namun terus dekat dan bersemi dalam hatinya.

___________________________________________

KECINTAAN

Cerita cinta bukanlah cerita dongengan atau permainan. Selagi namanya perasaan ia tidak lari dari sebuah rasa. Akar umbi sebuah cinta adalah kesetiaan. Apalah nilai sebuah nyawa jika cinta sudah setia di hati. Apalah tinggi sebuah bukit atau gunung jika tinggi kesetiaan mengatasi segalanya. Apalah ada pada lipatan badai dilautan, jika setia sudah melanda cinta di hati.

Bayarlah sebuah cinta itu dengan bayaran yang suci dan tulus, agar nantinya lahir sebuah cinta yang kudus. Kalaulah cinta diikat dengan tali kesetiaan, pisau yang tajam sekalipun tidak bisa memutuskannya.

Hidup bukanlah bertuankan cinta, tetapi memasakkan cinta dengan sebuah kesetiaan, agar abadinya tiada penghujung.

[Usah Jemu Memberi]

0 Responses so far.