Suhaila cuba menghubungi beberapa kali namun tetap gagal, talian masih tidak berjawab. Sekali lagi dia mencuba, lama, barulah seorang lelaki menjawab panggilan tersebut.

“Hello, Micro Holding Sdn Bhd, boleh saya bantu?” soal lelaki tersebut.

“Boleh saya bercakap dengan Encik Zahid, saya isterinya,” balas Suhaila ringkas.

“Sebentar ya puan,”

“Hello,”

“Assalamualaikum abang,” sahut Suhaila.

“waalaikumsalam,” jawab Zahid sepatah.

“Maaf kalau Ila mengganggu abang. Abang hendak balik makan tengahari?” soal Suhaila mulakan bicara.

“Oh ya, abang lupa nak beritahu Ila, abang tak dapat balik tengahari ini. Ada meeting jam 2 petang nanti. Ila makanlah dulu,” balas Zahid.

“Baiklah,” balas Suhaila pendek. Harapannya hendak makan bersama Zahid tidak kesampaian lagi.

“Abang…”

“Abang tak fikir-fikirkan permintaan bonda semalam?” soal Suhaila memberanikan diri untuk bertanya Zahid. perlahan dan teragak-agak.

“Bukankah abang dah beritahu Ila, abang belum ada masa untuk itu lagi. Kerja yang bertangguh abang mesti siapkan sebelum projek terbaru bermula,” balas Zahid panjang lebar.

“Tapi Ila teringin nak bertemu bonda,”

“Ila, tolonglah faham keadaan abang. Jangan bebankan abang dengan kehendak Ila yang tak seberapa tu. Bonda tak akan ke mana, lepas bersalin nanti kita pulanglah,” tambah Zahid lagi.

“Hmm, abang dah lewat. Nak prepare untuk meeting. Kalau bonda telefon, sampaikan salam abang padanya. Katakan kita tak dapat pulang dalam masa terdekat ni,”

“Assalamualaikum,”

“waalaikumsalam,” sayu suara Suhaila menjawab salam. Talian dimatikan.

* * * * * * * * * * *

Zahid terjaga daripada tidurnya apabila terdengar alunan suara orang membaca ayat al-Quran. Dia memerhati dengan teliti, ‘Suhaila’ bisik hatinya. Suhaila yang membelakanginya khusyuk berteleku mengalunkan ayat suci tersebut. Zahid meraih sedikit ketenangan. Dia membuka sedikit lagi kelopak matanya, dia yakin Suhailalah yang mengalunkan bacaan itu. Sungguh terpesona Zahid, dari jauh dia asyik memerhati tubuh Suhaila dan mengamati bacaan itu.

Suhaila tidak menyedari perbuatannya diperhatikan oleh Zahid sedari tadi, dia ralik dengan bacaannya. Sepanjang dia mengandungkan anak yang pertama ini, setiap malam Suhaila tidak lekang dari membaca Al-Quran, dengan harapan anak yang bakal lahir nanti menjadi pewarisnya yang soleh atau solehah.

Suhaila meneruskan bacaannya, sesekali tersangkut-sangkut dia membetulkan bait bacaan namun dia tetap meneruskannya. Bila dikira-kira hampir setengah juzuk, malam itu Suhaila merasakan sesuatu yang amat bahagia baginya, tidak seperti malam-malam yang lain, setengah juzuk terasa pendek. Seusainya, Suhaila menadah tangannya berdoa:

“ YA ALLAH ya Tuhanku, Ampunkanlah dosa-dosaku dan suamiku, berikanlah kebahagiaan buatnya di dunia dan di akhirat. Sejahterakanlah hidupnya. Sekiranya aku bersalah terhadapnya, maka KAU layak menghukumku YA ALLAH. Jadikanlah aku seorang isteri yang solehah, yang mampu berbakti kepada suamiku sehingga dia tidak terguris dengan perbuatan dan tutur kataku. Amiin YA RABBAL alamin”

Suhaila menyapu kedua telapak tangannya ke muka. Tanpa disedari air matanya mengalir ke pipi. Suasana malam terus menyepi.

* * * * * * * * * * *

Pagi itu sungguh mendamaikan. Kicauan beburung di sana sini cukup menjadikan suasana pagi itu tenang dan damai. Sinaran mentari tidak terlalu panas tetapi cahayanya tetap berseri. Pagi Sayyidul Ayyam yang berkat itu sungguh bahagia. Suhaila sedari tadi sibuk mengemas halaman rumah, selepas menyapu halaman dia menyiram bunga.

Namun pagi itu, Suhaila merasa sedikit kurang enak. Kepalanya sejak malam tadi berdenyut-denyut. Tekaknya pula sering loya. Dia tidak mengesyakki dia akan bersalin dalam masa terdekat. Kata doktor yang memeriksa kandungannya, kemungkinan dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi dia bakal melahirkan anak itu.

Zahid pula tidak bekerja pagi itu. Entah mengapa tiba-tiba dia terasa hendak berehat di rumah. Pagi-pagi lagi dia sudah menghubungi Sufian, mengatakan dia bercuti ‘urgent’. Sufian mengiyakan sahaja.

Di halaman Suhaila sibuk menyiram dan mengemas bunga-bunga yang tergantung. Suhaila cuba mengalihkan pasu bunga ke sudut yang lain, tiba-tiba dia merasakan sakit yang teramat pada kandungannya. Berkali-kali dia cuba bertahan namun gagal. Akhirnya Suhaila rebah.

“Abaaaaaaaaaaang!”

“YA ALLAH, Suhaila!” Zahid pantas menoleh.

Dia terkejut, Suhaila terbaring mengerang kesahitan, hampir seluruh tubuhnya berlumuran darah. Tanpa berlengah dia mencapai telefon bimbitnya dan menghubungi ambulan.

* * * * * * * * * * *

‘tidurlah sayang’ bisik Zahid di dalam hati. Dia merenung anak kecil di sisinya itu. Wajahnya lembut, selembut sehelai kain putih, suci tanpa noda.

‘Darah ibu mu kini adalah darah daging milikmu’ Tambah Zahid lagi. Hatinya sayu.

‘Ibu mu seorang yang sangat baik pekertinya’ Luah Zahid dalam-dalam walaupun anak kecil itu masih tidak mengerti kata-kata Zahid tadi, namun Zahid tahu anak itu mendengarnya meskipun tidak difahami. Entah mengapa hatinya tiba-tiba menjadi sebak. Tanpa disedari air mata lelakinya mengalir membasahi pipinya. Mengenangkan Suhaila adalah mengundang kesedihan dan penyesalan. Zahid pantas menyeka air matanya, bimbang akan menitis ke wajah anak kecil itu. Tangisnya semakin sayu.

‘Alis dan matamu persis ibumu’ Zahid tersenyum kecil, cuba menyejukkan hatinya yang sebak. Dia berusaha mengukir senyuman namun gagal. Air matanya terus mengalir. Pemergian Suhaila adalah kehilangan yang tiada galang gantinya. Zahid mengerti apa yang terjadi adalah suratan takdir yang disusun ILAHI.

Malam ini genap 1 tahun pemergian Suhaila ke alam abadi. Zahid mulai faham kehilangan seorang isteri dan ‘puteri’ bernama Suhaila adalah kehilangan sebuah permata dan cahaya dalam seri hidupnya. Dialah bidadari. Dialah permaisuri dan dialah segalanya. Lantaran itu, dia mula menyesali sikapnya yang dingin terhadap Suhaila sepanjang melayar hidup bersama Suhalia. Namun segalanya sudah berakhir.

‘Maafkan abang, Ila’

‘Maafkan abang, Suhaila’ bisik hati kecilnya lagi.

Sepi.

Suara rengekan si anak kecil mengejutkan Zahid dari lamunan. Dia cepat-cepat mengusap-ngusap ubun-ubun anak itu. Anak kecil kecil itu sedikit merengek dan kembali terlena bila diperlaku begitu oleh Zahid. Zahid tersenyum lagi bila memandang ke wajah ayu anak itu. Kini si anak sudah menjangkau usia 3 tahun. Kepetahan bercakapnya cukup mengundang ceria bagi Zahid. Harapan Zahid biarlah si anak ini menjadi seperti ibunya suatu hari nanti, menjadi wanita penyejuk mata apabila dipandang, menjadi ‘qurratu a’yun’ bagi sesiapa yang memilikinya.

‘Tidurlah sayang’

‘Pejamkan matamu sayang’

‘Suhaili puteriku.......’ Zahid mengucup dahi anak kecil itu buat sekian kalinya lantas ke kamar mandi untuk berwudhu menunaikan Solat Tahajjud. Dia mahu mendoakan kebahagiaan untuk Suhaila di alam ‘sana’ sepuas-puasnya. Jua kebahagiaan diri dan anaknya Suhaili dalam meneruskan kehidupan di sini.

“YA ALLAH, kurniailah aku seorang Isteri yang mampu memberikan daku cintanya dan CINTA-MU yang hakiki, yang mampu mendidikku sehingga aku mampu bertaqarrub dengan DIRI-MU di setiap masa dan ketika. Kurniailah aku seorang Bidadari di dalam keluargaku yang mampu bersamaku ketika senang dan susah. Jua yang senantiasa mendoakan daku apabila aku bertemu dengan-Mu nanti. Jika aku ditakdirkan ke taman syurga-MU, maka pertemukanlah kami di sana, Wahai Tuhan yang Maha Agung,”

“Rabbana hablana min azwajina wazurriyatina qurratu a’yun, waj’alna lil muttaqiina imama, Rabbana aatina fiddunnia hasanah, wafil akhirati hasanah waqina azaabannar YA ALLAH, Amin Ya Rabbal A’lamin,”

Zahid meraup kedua telapak tangannya ke muka. Hatinya tenang dan puas. Kini tiada lagi lirik mata yang menemani tidur Zahid untuk malam ini dan selamanya.

Tamat

[Usah Jemu Memberi]

5 Responses so far.

  1. ending sedih & mnyayat hati. terbaekk!!

  2. alahaii..dahh ending ke ustaz? baru ja nak feel.. pasni boleh buat novel ya ustaz..

  3. aah la ust, baru je nk menjiwai dh habis.

    teruskn brkarya ustad..

  4. wlpu dh bnyk kali bca, tp tak pernah boring..

    trasa mcm nk jdi suhaila pulak..huhu.

    inilah critera kehidupan..

  5. Assalamualaikum wbth semua pembaca.

    satu masa nanti, saya akan panjangkan jalan ceritanya untuk dijadikn sebagai novel.

    ada sebuah cerpen yg menarik akan saya kongsikan kepada anda dalam masa terdekat ini. tajuknya: "CINTA GADIS YAHUDI"

    terima kasih kerana sentiasa tidak jemu membaca di sini.

    sekian.