“Kamu sepatutnya sedar Rizal, seorang mahasiswa seperti kamu harus bertindak matang, jangan terlalu mengikut darah panas saja. Saya kenal sangat semangat orang muda seperti kamu ni” Ujar Profesor Ramlee panjang lebar. Sudah hampir setengah jam mereka di bilik itu, suasananya yang berhawa dingin tidak langsung dirasakan oleh Rizal.

“Tapi prof, ini berkaitan dengan isu kemanusiaan saja, saya cuma…”

“Saya juga pernah jadi anak muda seperti kamu, Rizal. Zaman belajar ini, tumpukan sepenuh masa untuk pengajian, jangan sibuk mahu menyertai politik” belum sempat Rizal menghabiskan kata-katanya, Profesor Ramlee memotong.

“Tidak kiralah isu kemanusiaan ke, atau isu politik sekalipun. Masa sekarang belum sesuai untuk kamu sebagai mahasiswa menyertai itu semua”

Berdesing telinga Rizal dengan kata-kata itu.

Rizal tidak berpuas hati namun dia tidak mahu banyak berkata-kata atau memberi penjelasan. Dia sudah lali dengan kondisi itu, jika sudah dihadapkan ke muka HEP, yang betul pun akan jadi salah. Yang bersalah apatah lagi.

Dia tidak takut, namanya sudah acapkali dipanggil oleh Profesor Ramlee, cuma kali ini kesnya agak serius kerana demontrasi yang disertai bulan lalu ada kaitan dengan parti politik bersayap kiri. Lagi pula, pada hari demontrasi itu berlangsung dia tidak hadir ke kuliah, mungkin itu juga salah satu sebab pergerakkannya diketahui oleh HEP dan dia dipanggil hari ini.

“Kamu pula Abu, sepatutnya kamu sebagai rakan serumah perlu ingatkan kawan kamu, kalau kamu pun ikut sama, apa guna jadi rakan baik?” ucapan yang keluar dari mulut Profesor Ramlee semakin memanaskan telinga Rizal. Dia menahan sabar lagi.

Abu Ikrima tunduk memandang lantai. Perasaannya bercampur-baur, takut dan risau. Ini adalah kali pertama dia menjejakkan kaki ke bilik Profesor Ramlee kerana melakukan kesalahan di kampus.

“Pihak universiti boleh dakwa kamu berdua di bawah AUKU, kamu mahu?”

Abu Ikrima tersentak, namun Rizal tetap tenang seperti biasa. Ugutan seperti itu sudah biasa baginya. Abu Ikrima mencuri pandang ke arah Rizal. Wajah Rizal tenang seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. AUKU sememangnya menjadi ketakutan oleh setiap pelajar universiti. Dengan akta itu, pelajar universiti boleh dibuang universiti dan didakwa di mahkamah.

“Rizal, saya lihat kamu student yang cemerlang dan banyak menyertai program-program di universiti mahupun di kampus. Tidak cukup lagikah program-program yang universiti anjurkan sampai kamu perlu menyertai aktiviti politik?” soal Profesor Ramlee.

Rizal diam. Abu Ikrima masih memandang lantai.

“Abu, tak cukup lagikah?” Profesor Ramlee mengalihkan pandangan ke arah Abu Ikrima. Berderau jantungnya menatap wajah Profesor Ramlee yang bermisai tajam itu.

“Sebagai seorang student di universiti ini, kamu berdua bertanggungjawab menjaga nama baik. Mujurlah kamu tidak di dakwa di mahkamah, kalau tidak, apa saya nak menjawab pada naib canselor nanti?”

“Maafkan kami prof, izinkan saya beri penjelasan sedikit”

“Apa lagi yang kamu mahu berikan penjelasan pada saya? Duhulupun kemu beri jawapan yang sama. Isu kebajikan masyarakatlah, isu kemanusiaan dan macam-macam lagi. Kalau nak jadi hero, tak perlu belajar di universiti ini” bertambah panas telinga Rizal mendengarnya. Profesor Ramlee sememangnya tidak faham akan jiwa seorang anak muda sepertinya. Dia tidak langsung diberi peluang menerangkan situasi sebenar.

‘Dasar HEP, memang diktator!’ bisik hati kecilnya, marah dan meluat.

Kalau bukan dia dan umat Islam yang lain memperjuangkan isu kemanusiaan dan sensitiviti masyarakat, siapa lagi yang akan membelanya? Jarang benar dia menjumpai umat Islam yang peka terhadap keadaan umat Islam yang lain. Masing-masing sibuk dengan haluan sendiri. Sampaikan agama sendiri dihina masih lagi berdiam diri.

“Rizal, saya beri peluang dan amaran terakhir pada kamu. Kali ini saya tak akan bawa kes kamu ke pihak atasan. Cukup sekadar kita selesaikan di sini. Kamu mesti hargai peluang yang saya beri ini. tetapi jika lain kali nama kamu naik lagi di sini dan ada laporan-laporan yang sampai kepada saya, saya tidak teragak-agak mengambil tindakan kepada kamu, walaupun terpaksa menggantung pengajian kamu, faham?”

“Faham, prof” jawab Rizal pendek. Dia mahu segera keluar dari bilik ‘puaka’ tersebut.

“Hantarkan kepada saya surat tunjuk sebab dalam tempoh seminggu ini” sambung Profesor Ramlee lagi sebelum menutup perbualan.

“Baiklah, kalau tak ada apa-apa lagi, kamu berdua boleh beredar”

“Terima kasih, prof” ujar Rizal. Dia segera mencapai begnya dan keluar dari bilik tersebut. Abu Ikrima jua tergesa-gesa mengekori langkah Rizal.

Di luar bangunan HEP, Abu Ikrima mencari-cari kelibat Rizal. Rupanya dia ada di tempat parking kereta. Dia berlari-lari anak ke arah Rizal.

“Macam mana Rizal?” ujar Abu Ikrima, perasaan takut masih lagi menyelubunginya.

“Abu, enta tak perlu risau, ana akan selesaikan semuanya” jawab Rizal tenang sambil melontarkan senyuman kecil kepada Abu Ikrima.

“Ana tengok enta cool je tadi? tak takut ke kalau kena gantung pengajian?”

“Ana dah biasa kena panggil dengan Prfesor Ramlee tu. Kalau kena gantung sekalipun, universiti lainkan ada banyak lagi di Malaysia ini. Lagipun kita bukan buat perkara salah disisi agama” balas Rizal, Abu Ikrima hanya menganggukkan kepala.

“Rizal, Rizal. Ana punyalah cuak dengan Profesor Ramlee tu bila dia ugut nak dakwa dengan AUKU, enta boleh rilex je. Ilmu apa enta pakai ni?” Abu Ikrima berseloroh.

“Ayat pengasih tujuh gunung” serentak mereka tertawa. Mereka berjalan beriringan menuju ke kafetaria di hujung kuliah Al-Banna.

“Abu, kalau bukan kita yang memperjuangkan hak umat Islam siapa lagi? Nak tunggu anak muda yang melepak di tepi-tepi jalan tu? Anak muda di kampus mesti dahulu sedar, barulah masyarakat akan sedar” Rizal melontarkan apa yang terbuku dalam pertemuan tadi. Dia menyambung bicara.

“Satu lagi ana nak pesan pada enta, dalam perjuangan ini, tak ada istilah senang atau selesa. Kadangkala kita diugut, kadangkala kita disakiti. Rasulullah juga begitu, mehnah perjuangan memang begitu. Kalau ana digantung pengajian sekalipun kerana membela nasib umat Islam, ana rela” panjang lebar Rizal meluahkan isi hatinya.

“Rizal, ana kagum dengan enta”

“Abu, ana ni insan biasa je, tapi matlamat kita sama, mahukan syurga ALLAH. Bila matlamat kita serupa, perjuangan kita sudah tentu ke arah yang satu” Bibirnya mengulas senyum kecil.

Masing-masing menyepikan diri seketika. Abu Ikrima memikirkan kebenaran kata-kata Rizal sebentar tadi, memang ada benarnya. Sedikit demi sedikit dia mulai semangat untuk menanamkan azam, mahu menjadi seperti sahabatnya itu.

“Abu, jom kita kafetaria sekejap, terasa lapar pula perut ni”

“Eh, bukan ke kita dah makan sebelum jumpa prof Ramlee tadi? takkan lapar lagi kot?”

“Ana kalau dah marah, cepat je rasa lapar. Kalau tak kerana dia ada jawatan di HEP, dah lama ana ‘makan’ Prof Ramlee tu”

“Amboi, marah benar tu, Rizal”

Gelak-ketawa mereka berdua memecah keheningan. Sambil berjalan manuju ke kafetaria, Rizal tidak putus-putus memberi kata-kata semangat kepada Abu Ikrima. Dengan harapan, sahabatnya itu bakal menjadi sepertinya suatu masa nanti.

Menjadi aktivis yang memperjuangkan nasib rakyat, nasib bangsa dan nasib Agama ISLAM di Malaysia kelak.
____________________________________

“Kak Nurul, siang tadi Syu nampak Ustaz Rizal dengan Abu Ikrima pergi bangunan HEP. Masa diorang keluar dari bilik professor Ramlee, Syu ternampak diorang berdua” Syuhada memulakan bicara di meja makan sambil menyendukkan nasi ke pinggannya.

“Akak tahu sebab apa?” Dia bersuara lagi bila melihat Nurul tidak memberi respon.

“Kenapa?”

“Ustaz Rizal kena panggil sebab join demontrasi di Masjid Kampung Bharu bulan lepas” jawab Syuhada. Sejurus Nurul memandang ke arah Syuhada, ada raut terkejut di wajahnya.

“Betul ke Syuhada? Dari mana Syuhada tahu berita ni? Habis tu macam mana Ustaz Rizal dan Abu Ikrima?” bertalu-talu soalan siajukan kepada Syuhada, dia mulai risau.

“Abu Ikrima yang sampaikan pada Syu lepas kuliah siang tadi. Mujurlah Prof Ramlee beri peluang kali terakhir, kalau tidak Ustaz Rizal kena tindakan gantung pengajian”

“Diorang kena tulis surat tunjuk sebab” sambung Syuhada lagi. Dia tahu, Nurul sedang bimbang dengan keadaan Ustaz Rizal.

Suapan Nurul terhenti seketika, saat itu terbayang wajah lembut Rizal di ruang fikirannya. Lelaki yang sudahpun menawan hatinya sejak mula-mula pertemuan dua mata dahulu.

“Akak janganlah risau, Abu Ikrima kata dia akan setlekan urusan itu minggu ini. Ustaz Rizal pun dah janji akan bertanggungjawab dalam hal ini” Syuhada bersuara lembut, memujuk Nurul yang dalam kerisauan. Syuhada sangat faham akan kerisuan tersebut, dia tahu siapa Rizal di hati Nurul.

“Akak risau kalau apa-apa berlaku pada Ustaz Rizal. Kalau dia digantung, siapa lagi yang mahu perjuangkan hak mahasiswa di kampus kita?”

“Hmm, Ustaz Rizal tu degil sangat kak, dah keluar masuk lokap pun tak serik-serik lagi”

“Ish, tak baik Syuhada cakap macam tu pada Ustaz Rizal. Mana nak cari orang yang tinggi pengorbanan macam Ustaz Rizal tu, satu dalam seribu. Kalau tak ada dia di kampus kita ni, agaknya student kita semakin teruk dengan gejala sosial” puji Nurul.

“Lagipun dia tak buat sesuatu yang salah disisi agama. Syuhada sanggup turun tengah panas-panas semata-mata nak bela nasib umat?” Syuhada menggeleng kepala.

“Usrahpun kadang-kadang selalu ponteng, betul tak? Macam mana nak berjuang?” Nurul mula berseloroh.

“Alaa, Kak Nurul. Ponteng bersebab tau. Syu tengok akak risau sangat dengan Ustaz Rizal sampai terlupa Abu Ikrima, ada apa-apa ke Kak Nurul?” kali giliran Syuhada menyakat Nurul.

“Sudah, sudah. Mari kita sambung makan. Kalau akak melayan kamu ni, sampai esok akak kena sakat & perli. Tak habis-habis dan mengenakan akak” Nurul menyedok seketul Ayam Masak Merah ke pinggannya.

“Nakal-nakal pun, adik akak juga..”

“Ishh…” Nurul mencebikkan bibirnya.

bersambung..

[Usah Jemu Memberi]

0 Responses so far.