‘Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melaikan ALLAH, dan Nabi Muhammad sebagai pesuruh ALLAH’

Lafaz itu meruntun air matanya lagi.

Setahun yang lalu, dia tidak sesuci hari ini, seolah bayi yang baru dilahirkan. Semalam dan hari-hari yang mendatang dilaluinya dengan penuh ketenangan dan keyakinan sebagai manusia. Hidupnya kini sudah disuluhi dengan cahaya yang tidak akan padam.

Pantas sungguh masa berlalu, kini dia telah dikurniakan dengan seorang teman hidup. Bakal memandunya ke arah kebenaran. Sangat lain kehidupan dahulu dengan kehidupan yang sedang dilalui kini, setiap masa adalah ketenangan dan kebahagiaan. Tambah pula, dia memiliki seorang suami yang sungguh memahami jiwanya.

Aisyah cepat-cepat menyeka air mata yang mengalir di pipinya, putih kemerah-merahan. Malam itu, malam yang sungguh istimewa.

“Malam ni, abang masak isteimewa untuk kita” Hilmi muncul dari dapur membawa hidangan, Kerapu goreng masak 3 rasa. Aromanya memukau.

“Mahu Aisyah tolong abang?”

“Eh, tak payah-tak payah, Aisyah duduk aje, abang siapkan semuanya,” Hilmi melemparkan senyuman manja kepada Aisyah.

Hilmi kembali ke dapur, mengambil baki-baki hidangan, keluar degan baki-baki hidangan. Kalau dikira-kira hampir 7 jenis semuanya.

Siang tadi Hilmi tidak bekerja, menyiapkan semua masakan. Sehari suntuk dia duduk di dapur. Aisyah juga tidak jemu membantunya melakukan semua kerja-kerja.

“Malam ni abang nak dengar Aisyah bacakan doa makan,” ujar Hilmi. Mereka menadah tangan. Aisyah membacakan doa makan, tersangkut-sangkut dengan pelatnya.

“Selamat Ulangtahun perkahwinan yang pertama, sayang,” Hilmi membisikkan ke telinga Aisyah. Sungguh terharu jiwanya. Mempunyai seorang suami yang berjiwa lembut seperti Hilmi.

“Aisyah tak mahu suapkan abang?” seloroh Hilmi memulakan bicara. Malam yang hening itu hanya mereka berdua sahaja. Aisyah masih malu-malu dengan Hilmi.

“Abang ni, suka usik Aisyah,” Aisyah tertunduk malu.

“Tak salahkan kalau abang mengusik Aisyah? Lagipun dah setahun Aisyah tak suapkan abang, paling akhir masa kenduri kahwin kita dulu,” tambah Hilmi lagi, berjenaka. Mahu menghidupkan suasana di meja makan tersebut. Hilmi tahu, Aisyah masih malu dengannya.

“Kalau tak sudi, tak apalah,” Hilmi pura-pura merajuk.

“Abangggg…” Aisyah serba salah berbaur malu. Dia mahu menyuapkan Hilmi tetapi dia malu dan berdebar-debar. Perasaan itu selalu datang apabila mereka berduaan. Dia tidak boleh bertentang mata dengan Hilmi. Akhirnya, Aisyah menyuapkan sesudu nasi ke mulut Hilmi.

Sungguh bahagia dirasakan malam itu. Mempunyai seorang suami seperti Hilmi, telah melengkapkan seluruh kehidupannya. Dia tidak punyai insan lain melainkan Hilmi. Seluruh kehidupan telah diserahkan sepenuhnya buat Hilmi. Dia tidak tahu, bagaimana Hilmi telah menjadikan dia tertarik untuk dikenali 2 tahun yang lalu.

Aisyah yakin, agama yang ada pada Hilmi akan membahagiakan kehidupannya nanti. Berlainan bangsa tidak menghalang mereka untuk menjadi pasangan suami isteri yang bahagia seperti pasangan yang lain. Islam telah menyatukan dua hati mereka, berjanji sehidup semati untuk agama, dan bertemu di syurga.

Sepi.

“Aisyah, kenapa menangis sayang?” soal Hilmi. Cepat-cepat dia menghampiri isterinya, menyeka lembut dengan jarinya air mata yang jatuh.

“Abang terlalu baik buat Aisyah,” hanya lafaz itu yang mampu diucapkan ketika itu. Hati Aisyah mulai sebak. Dia sangat bahagia malam itu. Air mata yang tumpah adalah air mata kebahagiaan. Dia seorang wanita, nalurinya tidak mampu menahan sebak.

Perlahan-lahan Hilmi memegang lembut tangan Aisyah. Merenung ke dalam mata isterinya.

“Aisyah, abang cintakan Aisyah kerana ALLAH. Hari ini dan selama-lamanya” ucap Hilmi.

“Abang, Aisyah bukan isteri yang terbaik untuk abang. Aisyah hanya orang biasa,” tersekat-sekat suara Aisyah melontarkan kata-kata.

“Jangan cakap macam tu Aisyah. Abang bertuah dikurniakan isteri seperti Aisyah. Aisyah sempurna di mata abang. Aisyah mesti janji dengan abang, Aisyah akan berada di samping abang untuk selama-lamanya,”

“Aisyah janji, abang. Aisyah takkan tinggalkan abang, Aisyah juga cintakan abang kerana ALLAH,” akhirnya terkeluar juga lafaz yang ingin diucapkan oleh Aisyah.

Malam hening itu menyaksikan dua insan memeterai janji sehidup-semati. Hilmi dan Aisyah. Bertemu di jalan dakwah ketika sama-sama sedang mencari hakikat kehidupan. Ketika Aisyah sedang keseorangan menanti hidayah, ALLAH mengurniakan Hilmi memancarkan sinar itu ke hatinya.

Sungguh agung perjalanan hidayah itu, di samping merubah seluruh kehidupan seseorang, ia juga telah mempertemukan dua hati.

Gadis Tiong Hwa berpipi merah itu telah menarik hati lelakinya. Pertemuan dua tahun dahulu telah membibitkan rasa cinta untuk lebih mengenalinya. Hilmi yakin, Aisyah mampu menjadikan jalan dakwah yang ingin dibawa suatu masa nanti akan terus bercahaya.
______________________________________

Petang itu, Hilmi tidak sempat ke masjid kerana pulang lewat dari tempat kerja, cuma solat berjemaah di rumah bersama Aisyah. Begitulah rutin harian mereka setiap hari, jika Hilmi pulang awal, mereka akan menunaikan solat Maghrib di surau berhampiran, jika tidak mereka akan berjemaah di rumah sahaja. Jika punyai masa lapang, pula mereka akan bertadarus al-Quran bersama-sama.

“Hari ini, kita sambung juzu ke berapa?” soal Hilmi. Aisyah menyelak-nyelak helaian muka surat, mencari-cari sambungan bacaan terakhirnya minggu lalu.

“Juzu 6,”

“Aisyah dah lancarkan bacaan siang tadi? Tak mahu sangkut-sangkut macam yang lepas,” ujar Hilmi. Dia menyelak al-Qurannya.

“Siang tadi Aisyah sempat baca setengah juzu. Aisyah ulang dua kali,”

“Alhamdulillah rajin sungguh isteri abang. Cuba Aisyah baca, abang nak dengar,”

Selepas memulakan bacaan dengan istia’zah dan basmalah dia membaca bait-bait ayat suci tersebut satu demi satu, penuh berhati-hati. Selepas habis helaian pertama, dia beralih ke helaian seterusnya. Hilmi khusyuk mendengar Aisyah mengalunkan ayat suci tersebut. Sesekali dia membetulkan bacaan Aisyah yang salah.

Aisyah memberhentikan bacaan. Hilmi mahu menerangkan sesuatu dari makna ayat tersebut. Hilmi selalu begitu, sambil bertadarus, dia tidak lupa menceritakan kandungan ayat-ayat yang sedang dibaca. Dia mahu Aisyah faham akan makna-maknanya.

“Aisyah tahu, apa yang ALLAH sebutkan dalam ayat ni?” Hilmi memulakan bicara. Aisyah menggelengkan kepala tanda tidak memahami keseluruhan ayat tersebut.

“Maksudnya, untuk orang-orang yang beriman ini ALLAH telah membeli jiwa-jiwa dan jasad mereka untuk agama. Dan ganjaran serta pulangan untuk mereka adalah syurga. Apabila orang-orang beriman menyerahkan diri mereka dan bekorban untuk agama ALLAH, tiada yang layak untuk mereka melainkan syurga,” panjang lebar hilmi menerangkan kepada isterinya.

Aisyah mengangguk perlahan.

“Abang dah cerita pada Aisyah ke belum apa nikmat-nikmat yang ada dalam syurga?” soal Hilmi pula. Aisyah menggeleng kepala lagi. Dia mulai tertarik dengan kata-kata Hilmi. Dia selalu membayangkan syurga tapi belum berkesempatan untuk mengenalinya. Baru hari ini Hilmi mahu menerangkannya. Kebetulan ayat yang dibaca sebentar tadi ada menyebut tentang kalimah jannah. Itu saja yang dia tahu. Perkataan Jannah maksudnya syurga.

“Kalau Aisyah nak tahu, syurga itu adalah nikmat dan kurniaan ALLAH yang paling besar sekali kepada orang beriman. Dalamnya ada nikmat yang tak pernah kita lihat dengan mata. Ada air sungai daripada susu dan madu, ada bidadari dan macam-macam lagi nikmat yang kita tak dapat bayangkan. Abang sendiri tak dapat gambarkan macam mana indahnya syurga ALLAH itu” sambung Hilmi lagi panjang lebar.

“Bidadari?” Aisyah bersuara. Dahulu dia hanya mendengar perkataan itu, rupanya dalam Agama ISLAM pun ada disebutkan. Cuma dia ingin tahu adakah sama gambaran yang dia fikirkan dahulu berbanding agama ISLAM.

Hilmi tahu Aisyah kurang faham. Dia meneruskan lagi penerangannya.

“Biadadari adalah wanita-wanita syurga yang dikurniakan ALLAH kepada lelaki yang beriman. Kata Nabi saw, kalaulah bidadari itu meludahkan air liurnya, nescaya bumi ini akan subur selama-lamanya. Hebatkan?” Aisyah mengangguk tetapi masih memikirkan sesuatu.

“Aisyah fikirkan apa tu?”

“Maknanya bidadari tu akan dikurniakan kepada lelaki saja? Macam mana kalau lelaki itu dah berkahwin? Dia juga ada bidadari?” soal Aisyah. Hilmi tersenyum kecil, dia tahu Aisyah cemburu.

“Ya,” jawab Hilmi ringkas, mahu melihat reaksi Aisyah. Dia perasan Aisyah mencebikkan bibirnya.

“Aisyah tak suka kalau abang ada bidadari di syurga nanti?” Aisyah tidak menjawab. Wajahnya sedikit masam. Hati wanita mana yang tidak cemburu jika suaminya mempunyai wanita lain, apatah lagi bidadari yang digambarkan oleh ALLAH itu sangat cantik.

“Aisyah cemburu ye? Sebenarnya, Aisyahlah bidadari abang sampai ke syurga walaupun di syurga nanti ada bidadari yang lagi cantik.

Aisyah tersipu-sipu. Dia malu kerana rasa cemburu tadi. Dia tak sepatutnya bersangka tidak baik kepada Hilmi.

“Tak mahulah muka masam macam ni, nanti cepat tua nanti tak cantik tau, macam mana nak jadi bidadari abang?” Hilmi mengusik Aisyah lagi. Kali ini Aisyah tersenyum, manis menampakkan lesung pipitnya yang halus. Pipinya yang putih berubah merah.

“Aisyah nak baca lagi ke tidak ni?”

“Nak,”

“OK, sambung ayat yang kita berhenti tadi,”

Aisyah meneruskan bacaan lagi. Tinggal beberapa helaian lagi cukup setengah juzu’ untuk malam itu. Hampir masuk waktu Isya’ mereka berdua selesai bertadarus. Jika Hilmi mempunyai ruang dan pulang kerja awal pada malam esok, mereka akan bertadarus lagi.

“Eh, Aisyah nak ke mana ni cepat-cepat,” tegur Hilmi melihat Aisyah bangkit menyimpan telekungnya.

“Nak masak nasi dan panaskan lauk, kejap lagi abang nak makan?”

“Kalau macam tu, abang ke surau dulu,” Hilman mencapai kopiah putihnya dan berjalan meninggalkan bilik tersebut.

bersambung..

10 Responses so far.

  1. Subhanallah.... ana suka gaya penulisan cerpen nie... jd peringatan buat diri

  2. ust afiq dh khwen ke? sgt mnarik cerpen nie. pnulis mcm dh ada pngalaman..

  3. masha Allah..kagum2

    1st time bce cerpen mcm ni. bertuah si isteri dpt suami mcm hilmi.

    keep it up ustz.

  4. masyaAllah..
    blh ana nk tahu mcm mn ust afiq blh menghasilkan cerpen2 yg menarik ini?
    adakah ini cerita benar, pengalaman atau ilham ust sendiri?

  5. salam perjuangan..amboi sama namanya seperti keluarga saya nunn jauh di kampong halaman.

    Didoakan penulis tak lekang menulis dikala musim-musim durian ini:)

  6. assalamualikum wbth buat semua pembaca blog saya. semoga anda semua berada dalam sihat sejahtera.

    To Ahmad Syakir: Terima kasih. Semoga peringatan buat saya juga

    To Anonymous (1): Saya belum berkahwin apatah lagi pmempunyai pengalaman berumah tangga.

    To Anonymous (2): Terima kasih saudara/i

    To Anonymous (3): Cerpen ini sekadar rekaan dan ilham saya sendiri, bukan diambil dari kisah sebenar.

    Saya mahu berkongsi petua menulis, saya banyak membaca novel & menonton filem-filem melayu. Selain itu, saya juga banyak membaca artikel berkenaan alam rumah tangga.

    To Firdaus Suhaimi: Nama serikandi. Musim durian, jangan tinggalkan ibadat ye!

    Terima kasih buat semua yang tidak jemu-jemu mengnjungi blog saya.

    p/s: Insyaallah, cerpen ini akan dibukukan.

    afiq saleh

  7. assalamualaikum...mohon share ya :)

  8. salam..bila nak sambung cerita ...