Nota kehidupan (1): Hari ini saya membuka seketika lembaran 'diari lama' yang sudah berzaman saya tinggalkan. Tidak banyak yang berubah cuma dipenuhi ‘habuk’. Rupanya, ada cerita yang belum puas saya tatapi dan ada cita yang belum sempat saya lunasi.

Masa telah berubah, tulisannya tidak pernah berubah.

Nota kehidupan (2): Sadar dan tidak sadar, saya telah melalui separuh abad meminjam nikmat nyawa daripada Tuhan. Sepanjang itu jualah saya terhutang budi dengan empunya kehidupan ini.

Masa berubah, hambanya turut berubah, namun Tuhan tidak pernah sekali berubah. Maha Penyayangnya tidak sedikitpun berkurang. Kadangkala ketika cinta hamba-Nya beralih, DIA masih lagi Pemurah mengurniakan nikmat rezeki, tanpa jemu.

Dahulu hanya sebesar tapak tangan, kini sudah besar panjang, segalanya sudah berubah terang. Cuma ada terselit rasa bimbang, kalau-kalau amalan baik masih belum cukup berat untuk ditimbang. Saban hari saya bermonolog sendirian, ke manakah destinasi yang bakal dituju jika kehidupan sekarang masih tidak berubah.

Masa berubah, tetapi langkah kaki masih teragak-agak ke arah perubahan. Mahu menjadi hari ini lebih baik daripada semalam ataupun tidak?

Nota kehidupan (3): Masakan semua perkara mesti berubah seiring berubahnya waktu, ada jua yang tidak akan berubah ketika masa berubah.

Menerima cinta-Nya tidak pernah berkurang, memberi cinta untuk-Nya jarang sekali hilang, setiap saat kasih-Nya tidak akan terbuang. Inilah ALLAH yang Maha Penyayang.

Masa berubah, DIA tidak pernah berubah.

Nota kehidupan (4): Kadangkala terdetik rasa bosan setiap kali berguru dengan manusia. Ada yang ego ada juga yang sombong. Apabila selalu diminta, manusia mula jemu memberi.

Sesekali cubalah berguru dengan alam, kerana pemberiannya tulus dan ikhlas. Ketika melihat awan, ambillah sesuatu agar beroleh pengajaran. Ketika terpandang aliran air, lihatlah dengan mata hati agar tauladannya masuk ke dalam hati. Ketika melihat bulan dan matahari, renunglah ‘mereka’ dengan hakikat, agar cahayanya bisa menerangi kegelapan.

Kadangkala awan itu cikgu kita.

Kadangkala air juga menjadi guru kita.

Adakalanya, bulan dan matahari adalah murobbi yang menunjuk jalan.

Mereka tidak pernah meminta untuk diajar, tetapi kita harus belajar daripada mereka. Belajar daripada kehidupan merupakan guru yang paling agung. Tidak perlu dipaksa, tetapi hanya perlu berfikir, bermuhasabah dan sedikit kekuatan untuk berubah.

Nota kehidupan (5): Bukan ingin mengenang tapi agar tidak hilang. Dahulu saya pernah melalui dunia percintaan. Berputiknya secara tidak sengaja dan melaluinya dengan perjalanan yang biasa-biasa, tetapi insannya luar biasa pekertinya. Meskipun dunia kami tidak sama seperti anak muda lain yang dilamun cinta, laluannya sungguh bahagia dan tenang, jauh daripada kotor dosa.

Sebulan sekali hanya mengirim khabar dan bertanya berita, sesekali jua saling berutus kata dan menyulam nasihat. Dalam kiriman nasihat terlerai sedikit rasa rindu, saya juga seperti manusia lain yang punyai rasa itu. Jarak bukanlah penghalang jika robitohnya adalah hati.

Tadbir bukanlah syarat takdir, akhirnya terputus di sempadan jalan kerana kekurangan saya sendiri. Saya amat menyayangi jalinan itu lantas berjanji untuk terus dalam ikatan persahabatan, kerana perjuangan kami di medan yang sama, kerana susurnya menuju cinta dan redha yang sama.

Masa berubah, tetapi mengapakah hati ingin turut bersama masa yang telah berubah?

Nota kehidupan (6): Ada banyak cita-cita dan perkara yang saya inginkan tetapi seringkali tidak tertunai. Ya, sepanjang hidup saya tidak banyak yang saya inginkan itu menjadi kenyataan.

Oh, rupanya ALLAH itu memandang jauh lebih hadapan. DIA memberikan sesuatu kerana keperluan manusia bukan menurut kehendak manusia. Adakalanya saya menghendakkan yang ini tetapi sebenarnya saya lebih memerlukan yang itu, lalu DIA berikan yang itu walaupun hamba-Nya seringkali merungut.

Kini, barulah saya menyedari, apa yang baik itu bukanlah kerana kehendak dan aturan saya tetapi datangnya daripada ALLAH yang lebih memahami keperluan saya. Hari ini saya mampu tersenyum dengan semua kurniaan ini, kalaulah dahulu saya tidak bisa menahan satu peratus daripada kesabaran saya kerana menurut kehendak hati, mungkin saya tidak akan memperolehi kebahagiaan seperti hari ini.

Masa berubah, saya berdoa agar ketetapan iman ini tidak akan berubah hingga ke akhir nyawa.

Nota Khidupan (7): Terima kasih sahabat saya Abu Bakar kerana memahami situasi saya saat ini, moga ALLAH memberi kekuatan hati untuk saya. Nota kehidupan ini tercetus kerana kamu. Moga ALLAH merahmati kamu selalu. Kata-katamu ini penuh hikmah: ‘Times change everything"

Afiq Saleh
Mujamma’ Amman, Mafraq (10 Mei 2011 – 0817 am)

[Usah Jemu Memberi]