MUQADDIMAH

Semua manusia sudah tentu mahukan perubahan, cuma mereka sahaja tidak tahu bagaimana untuk berubah atau mereka terasa sulit untuk membuat perubahan.

Manusia yang mengakui sebagai muslim dan mukmin, tidak harus mengabaikan aspek perubahan dalam dirinya kerana ia suatu yang berkait rapat dengan kehidupan selepas mati nanti.

Pernahkah anda terfikir untuk berubah?

KEPERLUAN UNTUK BERUBAH

‘Setiap manusia memerlukan perubahan, kerana perubahan pada diri manusia adalah sebuah keperluan yang penting. Manusia mesti berubah kerana ia sebuah keperluan’

Jangan keliru dengan kenyataan di atas, apa yang saya ingin sampaikan adalah kita sebagai manusia mesti dan mesti berubah. Paling-paling tidak, selagi anda masih duduk di atas garisan kehidupan, anda tetap akan dipaksa untuk berubah walaupun anda tidak mahukan perubahan tersebut.

Sedarkah anda, bahawa anda yang dahulunya hanya pandai merangkak kini sudah mampu berlari? Perasankah anda, 20 tahun yang lalu anda hanya tahu menangis, namun sekarang anda sudah mampu berfikir lebih jauh, mempunyai perasaan sendiri bahkan ada yang sudah pandai bercinta!!

Dari aspek fizikaliti anda akan terus mengalami perubahan selagi nyawa dikandung badan. Tetapi bagaimana pula dengan nasib dan situasi diri-sendiri? Adakah anda mahu membiarkan sahaja ia tertinggal kebelakang?

Perubahan fizikal dan nasib (situasi) diri mestilah membesar dalam pembawaan yang seiring, barulah anda boleh menjadi manusia yang sukses. Amatlah malang, orang yang hidupnya hari ini masih sama dengan kehidupannya 20 tahun yang lalu tanpa adanya perubahan. Jika dahulu dia hanya bekerja sebagai peniaga goreng pisang, sampai kini dia masih lagi ‘berpeluh-peluh’ menjadi peniaga goreng pisang di tengah panas tanpa terfikir sebenarnya dia mampu menjadi tauke gudang pisang jika dia mahukan perubahan.

Selaras dengan firman ALLAH taala yang membawa maksud: ‘Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengubah nasib sebuah kaum itu melainkan mereka mengubah nasib diri mereka sendiri’

Firman ALLAH itu ternyata membuktikan bahawa segala perubahan yang mahu dilakukan bergantung kepada daya usaha manusia itu sendiri. Nasib manusia akan ditentukan dengan sejauh mana usaha yang dilakukan. Pendek kata, jika tiada usaha maka tiadalah nasib atau hasil.

Jika anda kurang jelas dengan firman ALLAH itu, mari saya bawakan perumpamaan mudah untuk difahamkan. Sebungkus beras mentah tidak akan berubah menjadi nasi sekiranya anda sendiri tidak mengubahnya dengan memasak sehingga dengan nasi tadi anda beroleh tenaga untuk beribadah. Yang paling penting dalam pembikinan seperiuk nasi yang boleh dimakan bukanlah pada air atau apinya, tetapi adalah diri anda sendiri iaitu sikap!

Sikap, sikap dan sikap!

Anda yang mahukan perut anda kenyang, anda sendiri yang harus mengusahakannya dengan apa cara sekalipun supaya perut anda yang lapar boleh terisi.

Lalu, mengapa manusia perlu kepada perubahan?

Manusia memerlukan perubahan untuk meningkatkan kualiti dan prestasi diri kepada kitaran hidup yang lebih sempurna. Peningkatan inilah nanti akan menjadikan kehidupan anda kepada kehidupan yang lebih berkualiti. Biarlah bertambahnya usia bersama-sama peningkatan kualiti diri dan amalan.

Jika hari ini kita hidup dalam kesusahan, kita tidak mahu selamanya akan terus hidup dalam beban kesengsaraan. Begitu jugalah, jika hari ini kita sudah merasai kesenangan, di masa hadapan pula, kita mesti meningkatkan kesenangan tersebut, ataupun terus mengekalkannya.

Kita tidak mahu menjadi umat yang celaka seperti yang pernah disebutkan oleh Saidina Ali. Berbekalkan prinsip ‘Hari ini mestilah lebih baik daripada semalam’ manusia haruslah berubah kepada nasib diri yang lebih sempurna.

ANALOGI PERUBAHAN

Telah saya katakan, untuk melakukan sesuatu perubahan, keadaan sekeliling bukanlah faktor terbesar yang membantu, tetapi faktor paling utama adalah berbalik kepada diri-sendiri atau sikap. Untuk memasak nasi, api dan air hanyalah agen pembantu, faktor yang paling penting adalah bergantung kepada diri anda samada mahukan perubahan ataupun tidak.

Sikap adalah agen utama dalam setiap perubahan yang mahu dilakukan.

Saya mahu bercerita, agar dengan cerita berbentuk analogi ini mampu memberikan kesedaran buat kita semua bagaimana cara untuk kita membuat perubahan.

Bayangkan jika anda mempunyai rakan bernama Abdul Kasul dan dia seorang yang pemalas. Di samping bersikap malas, dia juga seorang yang pengotor. Selepas pulang daripada kuliah, kasut dan stoking dicampakkan merata-rata walaupun rak kasut telah tersedia. Baju yang telah dipakai semasa ke kuliah pula di ‘sangkut’ bersusun-susun di atas sofa ruang tamu. Kadangkala kitab-kitab kuliahnya boleh ‘dijumpai’ di dapur atau meja makan.

Siangnya dia berkuliah manakala disebelah malam pula dia kerap menghabiskan masanya dengan bermain game atau bertandang ke rumah kawan-kawan dan menghabiskan masanya untuk bersembang serta bergelak tawa. Tiba masa keputusan peperiksaan dia hanya mendapat markah yang secukup makan. Baginya, itulah kesyukuran paling besar buatnya.

Akhirnya setiap hari, andalah yang menjadi ‘suri-rumah’ sepenuh masa untuk mengemaskan keadaan rumah tersebut angkara perbuatannya dengan sangkaan bahawa dengan cara itu rakan anda akan berubah suatu hari nanti.

Ternyata anda telah melakukan kesilapan kerana situasi rumah anda yang ‘bersepah’ tersebut tidak akan berubah selagi mana Abdul Kasul yang pemalas itu tidak dahulu diubahkan sikapnya. Pokoknya, anda harus mengubah puncanya terlebih dahulu kemudian barulah situasinya akan turut berubah.

Jika anda terus-menerus mempertahankan situasi tersebut anda tidak mungkin akan berjaya bahkan bakal berdepan dengan rasa putus-asa. Tetapi jika anda berusaha mengubah sikap Abdul Kasul, secara automatiknya situasi juga akan turut berubah, 2 dalam 1, mudah bukan?

Tidak susah untuk berubah, hanya memerlukan sedikit kekuatan melawan sikap malas, kita mampu melakukan perubahan. Mulakan perubahan dengan langkah yang kecil, lama-kelamaan ia akan merubah seluruh lanskap hidup anda.

Namun, hakikatnya manusia tidak begitu di alam realiti sekarang. Mereka lebih gemar hidup ditakuk yang lama dan menyusahkan diri-sendiri berbanding mengorbankan sedikit kesakitan untuk membuat perubahan. Lebih malang, ternyata lebih ramai yang suka menunggu ‘keajaiban’ untuk membuat perubahan.

Kerana itulah, sebahagian mereka yang mendakwa belum menerima hidayah sampai bila-bilapun tidak akan mendapat wahyu tersebut, kerana mereka hanya menunggu perubahan bukannya mencari atau mengusahakan perubahan.

Manusia yang telah berazam untuk berubah tetapi takut untuk melakukannya lebih baik daripada manusia yang tidak mahu berubah.

TAHUN TRANSFORMASI MAHASISWA

Apabila melihat tahun 2010, saya merasakan tahun ini sebagai tahun perubahan kepada mahasiswa. Tidaklah saya ini seorang yang obsess terhadap bilangan nombor, tetapi memandangkan sudah hampir 10 tahun MPPMJ diberikan kesempatan untuk bernyawa, tahun ke sepuluh inilah suatu kewajaran untuk kita semua menuntut satu arus perubahan.

Mahasiswa dan mahasiswi di Jordan bukanlah seperti mahasiswa sedekad yang lalu, makannya perlu disuap, belajarnya perlu disuruh, dan kerjanya perlu dipaksa. Zaman itu telah lama berlalu meninggalkan kita, dalam setiap perkara mahasiswa terutamanya harus melakukan perubahan bukan kerana dipaksa atau desakan, tetapi kerana kesedaran untuk meningkatkan prestasi diri.

Tema transformasi ini sebenarnya cuba memberikan satu suntikan motivasi dan mengajak anda semua untuk membuat anjakan dari segenap aspek. Transformasi hijrah Rasul saw dari Kota Makkah ke Kota Madinah harus diteladani simboliknya dalam kehidupan seharian, ia membawa maksud jika mahukan kehidupan yang lebih baik, kita harus cepat melakukan perubahan. Saya percaya, ISLAM ketika itu lebih cepat berkembang selepas berlaku beberapa transformasi ke suatu tempat yang baru.

Justeru, saya menyeru kepada seluruh mahasiswa untuk bersama-sama kami melakukan perubahan tersebut. Jika besar perubahan yang dituntut, besarlah kekuatan yang perlu dikumpulkan. Maka, andalah sebagai aset kami dan modal insan untuk membuat perubahan tersebut.

‘Menjana Transformasi Mahasiswa Islam Global’

MOHD AFIQ MOHD SALEH
Mantan Presiden,
Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan
Sesi 2010/2011
___________________________

Nota Kehidupan (1): Semalam 7 Mei 2010 secara rasminya telah berakhir tugas saya. Setahun yang saya lalui ini penuh dengan suka & duka. Medan tarbiyyah ini sangat indah.

Nota Kehidupan (2): Terlalu banyak kenangan manis saya bersama mahasiswa di Jordan sepanjang sesi pentadbiran ini. Akan saya abadikan sebaik mungkin dalam diari hati saya. Tanpa mereka mungkin saya tidak mampu membawa persatuan ini sejauh yang ada hari ini. Benarlah kata pepatah Inggeris: "behind every successfull men, there is a women"

Nota Kehidupan (3): Amat sukar berbicara dari hati ke hati sehingga dipaksa membenci apa yang disukai oleh hati.

Nota kehidupan (4): Selamat hari ibu. Ibu, baca ye tulisan anakanda ini.

[Usah Jemu Memberi]

2 Responses so far.

  1. assalam..
    sekali air bah, sekali pantai berubah..setiap perubahan ada pengubahnya...Allah berikan kita akal untuk gunakannya sebaik mungkin, akal yg waras dijana dgn iman dan amal itu lah yg mendorong hati untuk melawan nafsu dan berusaha untuk berubah, yakinlah Allah melihat sejauh mana usaha kita untuk berubah bukan mata manusia yg selalu ingin melihat kejayaan perubahan itu besar atau sedikit.....biasanya kita (saya) kalah di peringkat pertama lagi, kita sendiri juga ingin melihat kejayaan itu mengubah segalanya lantas gagal memartabatkan usaha yg telah diusahakan, Terima kasih untuk saudara Afiq yg membangkitkan semula semarak ini, semoga kita sama2 menemui jalan sinar ke negeri abadi. wassalam