Mengisi masa lapang dihujung minggu dengan rakan-rakan adalah suatu yang menyeronokkan, tambahan pula jika kita mempunyai minat dan hobi yang sama. Kalau minat memancing, pasti sungai yang tenang menjadi destinasi, kalau hobi seseorang suka membaca, duduk terperap seharian di dalam bilik pun tak mengapa, buku-buku sebagai makan dan minumnya.

Jika minat memasak, jom kita pergi ke dapur, tak perlu ke sungai atau duduk di dalam bilik, tetapi sebelum itu, harus dahulu ke pasar untuk menyediakan bahan-bahan memasak. Oh ya, ada ke orang lelaki yang hobinya begini? Isi masa lapang dengan memasak?

Ada, sayalah salah seorangnya.

Saya dan rakan-rakan tidaklah mahir memasak, tetapi suka mencuba resipi baru. Pantang terjumpa resipi yang menarik, mesti ada yang mengajak untuk ke dapur. Lebih seronok dan terkesima jika masakan yang dicuba-cuba menepati citarasa lidah.

Di tempat kami Jordan, sukar untuk mendapatkan bahan-bahan mentah yang sama intipatinya seperti di Malaysia, kalaupun ada tetapi tidak semua boleh diperolehi dalam bentuk yang segar. Al-maklumlah di Negara arab, tidak sama tradisi masakkan mereka dengan kita. Walaupun sekali pandang nampak macam maskulin, tetapi orang arab tidak makan masakan yang pedas.

Ok, cukuplah sebaris dua mukaddimah, mari kita ke dapur pula, ada satu resipi yang saya ingin kongsikan dengan anda semua dan saya amat meminatinya. Sememangnya kalau di Malaysia, saya seorang yang ‘hantu’ dengan masakan ala-ala Thailand, ada kepuasan tersendiri. Baiklah terimalah seadanya cubaan menu dari resipi kehidupan: ‘Sup Kambing Thai Sawadikap’

Bahan-bahan yang diperlukan:

1. Daging Kambing (Lembu bagi yang tidak meminati kambing)
2. Bawang Putih dan Halia (Diketuk)
3. Bawang merah (dikisar/ditumbuk)
4. Sup Bunjut (Saya suka sup tulang Adabi)
5. Rempah Sup Adabi
6. Kiub Daging Knorr dan Kiub Sup Tulang Knorr
7. Daun Bawang
8. Bawang Goreng (Lebih enak digoreng sendiri)
9. Garam dan Gula secukup perasaan (rasa)
10. Buah Lemon
11. Batang Serai (Dihiris)

Cara-cara penyediaannya sangat mudah:

1. Rebus Daging Kambing bersama-sama Bawang Putih dan Halia yang diketuk sehingga air mendidih. Kemudian masukkan Sup Bunjut.

2. Kisar bawang merah (saya lebih suka jika ia ditumbuk dengan menggunakan lesung batu) dan digaulkan bersama-sama rempah Sup Adabi. Kemudian tumiskan ia sehingga pecah minyaknya. Tuangkan hasil tumisan ke dalam Rebusan daging kambing tadi.

3. Biarkan Sup selama setengah jam dan masukkan Kiub daging Knorr dan Kiub Sup tulang Knorr serta kacau. Boleh juga jika mahu masukkan sedikit Kiub ayam untuk perisa tambahan.

4. Cili kering digunting halus dan dimasukkan bersama-sama batang serai yang dihiris. Jika anda yang gemarkan masakan pedas, anda boleh menggunakan lebih banyak cili kering.

5. Perahkan sedikit lemon ke dalam sup (mengikut citarasa sendiri). Mungkin ada yang tidak gemarkan sup yang masam, jadi perahkan sedikit sahaja untuk memberikan rasa seperti sup Thailand.

6. Jangan lupa masukkan garam dan gula secukup rasa. (maksud saya dengan perasaan yang ikhlas, jangan campak-campak) sambil tersenyum.

7. Akhir sekali, apabila daging kambing sudahpun lembut dan empuk, masukkan bawang goreng dan daun bawang ke dalam sup setengah jam sebelum ia dihidang untuk memberikan rasa yang sebati.

8. Sup Kambing Thailand enak dihidang bersama sambal belacan dan Nasi Putih bersama Sayur Kailan masak Ikan Masin.

Tak rugi bagi orang lelaki, sekiranya mereka pandai memasak, paling-paling kurang jika isteri pergi bekerja, kita tidak perlu bersusah payah ke restoran untuk mencari masakan yang kena dengan citarasa sendiri. Kita yang memasak, jadi kita sendiri yang tahu apa kita ingini.

Memasak sememangnya memerlukan kemahiran, ramai orang yang memasak mahukan kesedapan. Tetapi bagi saya sedap itu terlalu subjektif, sedap bagi saya tidak sama sedapnya seperti lidah anda. Jadi, yang melazatkan sesuatu masakan adalah keikhlasan.

Kita boleh bezakan antara masakan yang ada nilai keikhlasan dan tidak ada. Percayalah!

Selamat menchoba!
_________________________________

Nota Kehidupan (1): Ada yang kita jarang tahu, sebenarnya masakan adalah tanda kasih sayang. Cinta jua boleh disemai melalui masakan.

Nota Kehidupan (2): Saya tidaklah bercita-cita menjadi tukang masak, tetapi suka mempelajari kaedah dan resipi masakan supaya tidak mudah ditipu. Saya cerewet!!

Nota kehidupan (3): Selamat menyambut Ramadhan al-Mubaraq.

Usah Jemu Memberi

4 Responses so far.

  1. x sngka slain pndai mnulis blog, ust afiq pndai mmasak jgak. bruntungnya..

  2. ust, mohon copy resipi ye. nmpk mcm mnarik aje..

  3. trbaiklah fiq, lpas ni bleh kongsi resipi lain plak, xsia-sia jd tukng masak mafraq..

    keep it up!!

  4. nampak sedap...tp bila la ana nak rasa masakan ustaz afiq ni...xkn hidang kt blog je kot...rmh xjauh mana kot:D