Malam ini, malam kedua Hilmi tidak pulang ke rumah, bermalam di Port Dickson kerana mengikuti program motivasi yang dianjurkan oleh NGO Islam seluruh Malaysia. Mungkin berbaki 2 hari lagi dia bakal keseorangan di rumah. Malam terasa sepi tanpa diisi oleh suara Hilmi.

Aisyah rindukan belaian dan hilai-tawa suaminya.

Jika tidak setiap malam ada saja usikan Hilmi kepadanya. Gurau sendanya membuatkan hatinya terhibur setiap kali bersama Hilmi. Ketiadaan suaminya malam itu terasa seperti kehilangan yang sungguh asing.

Malam ini, Tiada gurau-senda dan tiada usikan nakal daripada Hilmi.

Dia akui, dia tidak bisa jauh daripada Hilmi. Setiap hari dia ternanti-nanti Hilmi pulang dari tempat kerja. Rindu untuk mengucup tangan lembut Hilmi. Rindu untuk makan bersama, rindu untuk mendengar cerita-cerita Hilmi sebelum melelapkan mata.

Kalau diikutkan, malam ini Hilmi akan bercerita pula tentang kisah Siti Zulaikha dan Nabi Yusuf as. Setiap malam, rutin itu yang paling ditunggu-tunggu, mendengar kisah-kisah Para Anbiya’ dan Sahabat-sahabat Nabi. Hilmi pandai bercerita, seolah-olah bakat itu bakat semujadi yang ada pada suaminya. Walaupun hampir setiap malam dia mendengar celoteh dari Hilmi, dia tidak pernah jemu.

Aisyah menarik nafas, menghembuskan perlahan-lahan, meraih sedikit ketenangan. Fikirannya masih teringat pada Hilmi. Terbayang-bayang wajah lembut Hilmi. Aisyah tersenyum sendirian. Dia mencapai telefon bimbitnya dan mencari nombor Hilmi.

Dia berhenti sejenak, hasratnya terbatal untuk menelefon Hilmi, bimbang mengganggu tugas Hilmi ketika itu. Akhirnya dia cuma menghantar pesanan ringkas untuk Hilmi.

‘ASSALAMUALAIKUM ABANG HILMI, SELAMAT MALAM. MOGA ABANG SIHAT, ABANG TENGAH BUAT APA? TENTU SIBUK. MAAF, KALAU AISYAH MENGGANGGU MASA KERJA ABANG. AISYAH RINDU PADA ABANG, SEJAK SEMALAM AISYAH TERINGATKAN ABANG. ABANG LEKAS BALIK YA…’

Dia menekan butang send. Mendakap telefon bimbitnya ke dada. Rasa rindunya terubat sedikit. Selang 5 minit, telefon bimbitnya berbunyi, tertera nama Hilmi.

“Abang Hilmi?,” detiknya dalam hati, dia segera menjawab panggilan tersebut.

“Assalamualaikum Abang,”

“Waalaikumsalam Aisyah. Kenapa tak tidur lagi sayang?”

“Belum mengantuk lagi, abang sihat? Aisyah tak mengganggu abang ke?” Aisyah gembira. Akhrinya dia dapat mendengar suara Hilmaimalam itu.

“Tak apa-apa, abang baru je lepas beri ceramah tadi, tiba-tiba Aisyah mesej abang, ingatkan ada apa-apa tadi. Aisyah dah makan?” soal Hilmi.

“Dah abang, tapi tak kenyang,” jawab Aisyah. perlahan suaranya dihujung talian, seperti tidak bermaya.

“Kenapa?” Hilmi hairan.

“Sebab tak ada orang temankan Aisyah makan malam ni,”

“Ish Aisyah ni, buat abang risau aje. Aisyah kena jaga makan dan minum, kalau sakit nanti abang yang risau,” ujar Hilmi, hatinya lega sedikit.

“Tapi…” suaranya terhenti di situ, berat mahu diluahkan. Rindunya kepada Hilmi membuatkan dia tidak mampu untuk meneruskan kata-kata.

“Aisyah, kenapa ni sayang?”

“Aisyah rindukan abang. Aisyah nak makan sama-sama dengan abang,”

“Abang juga rindukan isteri abang, tapi abang yakin, abang ada seorang isteri yang kuat. Dia tak mudah mengalah. Aisyah seorang yang kuatkan?” ujar Hilmi memberi kata-kata semangat buat Aisyah. Dia tahu, Aisyah terasa keseorangan sejak ditinggalkan 2 hari lalu. Namun, demi tugasnya untuk masyarakat, Hilmi terpaksa berpisah seketika dengan Aisyah.

“Aisyah kuat kalau abang ada disisi Aisyah,” balas Aisyah pendek.

“Abang, lekas balik ya,” sambungnya lagi.

“Ya Aisyah, insyaallah lagi 2 hari abang balik. Aisyah kena janji dengan abang, jaga diri baik-baik. Abang buat semua ini untuk Aisyah dan agama. Aisyah kena bantu tugas abang,” Hilmi meneruskan lagi kata-kata peransangnya buat Aisyah supaya dia tidak rasa kesunyian.

“Baik abang,”

“Kalau macam tu, abang minta diri dulu. Lepas ni abang ada mesyuarat dengan AJK program pula. Sebelum tidur jangan lupa amalan-amalan yang abang ajarkan pada Aisyah. selamat malam sayang,” Hilmi mengakhiri kata-katanya.

“Assalamualaikum,” Hilmi mematikan talian.

“Waalaikumsalam wbth”

Hatinya puas, dapat bercakap dengan Hilmi sebentar tadi. terasa semua rindunya terubat dan terlerai apabila mendengar suara Hilmi. Suara yang satu-satunya menghiasi tidurnya setiap malam dengan kata-kata hikmah.

Aisyah bangkit dari sofa menuju ke bilik tidur, dia bercadang mahu melelapkan mata awal sedikit. Lagipun, semua kerja-kerja rumah telah diselesaikan petang tadi. Baru saja melangkah pergi meninggalkan sofa telefonnya berbunyi lagi, kali ini menandakan pesanan ringkas masuk. Dia cepat-cepat membukanya

‘ABANG SAYANGKAN AISYAH, SAYANG UNTUK SELAMANYA. SELAMAT MALAM AISYAH’

Aisyah tersenyum. Mesej dari Hilmi itu seolah memberi suatu semangat kepadanya. Esok dia berjanji akan menghadapi kehidupan seterusnya dengan lebih ceria.
_________________

Seusai makan malam, Hilmi menuju ke balkoni rumah, mengambil angin malam di situ. Meraih ketenangan dan menghilangkan sedikit penat selepas 4 hari mengikuti program di Port Dickson baru-baru ini.

Bulan terang memberi tenang pada suasana malam. Angin bertiup perlahan terasa segar dan sejuk menyapa pipinya. Hilmi memejamkan matanya seketika, mengosongkan fikiran. Selepas beberapa saat, dia menghembuskan nafasnya. Terasa segala keletihan keluar bersama hembusan nafas tadi.

Malam terus sunyi dan sepi.

“Abang, ini kopinya,” sapa Aisyah dari belakang.

“Terima kasih,” Hilmi menyambut kopi yang dihulurkan.

“Aisyah, mari duduk sebelah abang,” Aisyah tidak jadi ke dapur, dia menghampiri suaminya dan merebahkan diri duduk di sebelah Hilmi.

Hilman membelai perlahan-lahan rambut Aisyah.

“Cantikkan bulan malam ni?” Hilmi memulakan bicara. Aisyah mengangguk tidak bersuara.

“Aisyah tak suka tengok bulan?” soal Hilmi.

“Suka,” balasnya pendek.

“Sepanjang abang tak ada, setiap malam Aisyah tengok bulan ini sorang-sorang,” sambung Aisyah lagi. Matanya merenung bulan purnama yang indah.

“Yeke, kenapa?” ujar Hilmi, dia memandang wajah Aisyah.

“Sebab nak hilangkan rindu pada abang, Aisyah tahu abang juga akan pandang bulan yang sama,” jawab Aisyah seperti berpujangga. Hilmi tersenyum, ada benarnya kata-kata Aisyah tadi.

“Pandainya isteri abang, abangpun tak terfikir macam tu. Patutlah bila abang pandang bulan semalam, abang nampak muka Aisyah, tapi isteri abang lagi cantik daripada bulan purnama” Hilmi berjenaka.

“Ishh, abang ni, suka kenakan Aisyah tau,”

“Eh betul-lah, cuba tengok bulan tu, dia tak ada pipi yang merah macam Aisyah ni,” Hilmi mencubit perlahan pipin lembut Aisyah, Aisyah cuba mengelak tetapi Hilmi lebih pantas. Dia terus menyakat isterinya.

Aisyah pura-pura merajuk, dia mengalihkan tubuhnya.

“Aisyah marah abang ye?”

Aisyah diam, dari arah lain dia tersenyum kecil melihat gelagat Hilmi yang mahu memujuknya. Hatinya berbunga-bunga dipuji begitu, apatah lagi yang memujinya adalah Hilmi.

Hilmi cuba mengalihkan tubuh Aisyah tetapi Aisyah berkeras, dia masih berpura-pura merajuk. Dia sengaja mahu Hilmi memujuknya.

“Haa!” menyergah Hilmi.

“Aisyahhhh, terkejut abang. Nak kena ni,” Hilmi tersentak bila dijerkah begitu. Aisyah cepat-cepat bangkit dan berlari meninggalkan Hilmi di balkoni sambil tertawa. Dia menuju ke ruang tamu. Hilmi terus mengejarnya.

“Aisyah, nak lari ke mana? Siaplah,”

“Kalau berani, tangkaplah Aisyah,”

Aisyah berlari menuju ke meja makan, Hilmi mengekor di belakangnya. Hampir-hampir dia dapat menangkap Aisyah tetapi terlepas. Dia cuba mengejar lagi. Kali ini dia berlari lebih pantas. Hilman gagal lagi kerana kakinya terlanggar kerusi. Semakin galak Aisyah ketawa, lucu melihat telatah Hilmi.

"Aduhh.." Hilmi mengerang sakit. Aisyah risau, tapi tak mengendahkan, bimbang Hilmi akan menangkapnya.

“Alaaa, kesiannya suami Aisyah ni, terlanggar kerusi ye,” Aisyah sengaja mengusik Hilmi yang terhenjut-henjut menahan sakit di kakinya. Walaupun terasa sengal di kakinya, Hilmi terus mengejar Aisyah mengelilingi meja makan tersebut.

“Kalau abang dapat tangkap Aisyah, Aisyah kena urutkan semula kaki abang supaya sembuh tau!” balas Hilmi. Dia mengejar lagi sambil tercungap-cungap.

Tiba-tiba Hilmi rebah ke lantai.

“Abangggg!!” Aisyah terkesima. Tidak sangka adegan kejar-mengejar tadi menyebabkan Hilmi jatuh pengsan. Dia segera menuju ke arah Hilmi. Sambil menggerak-gerakkan tubuh Hilmi yang kaku, dia cuba memangku kepala Hilmi. Hatinya mula menjadi tidak tentu arah melihat suaminya pengsan.

“Abang Hilmi, bangun abang, Aisyah tak sengaja. Abang…” Perlahan-lahan Aisyah mengusap kepala Hilmi dengan harapan Hilmi akan sedar. Tanpa sedar air matanya mengalir.

Sepi seketika, tiba-tiba..

“Haa!” Hilmi bersuara, Aisyah pula tersentak.

“Sayang juga Aisyah pada abang ye, sekarang ke mana Aisyah nak lari?” Hilmi bangkit dari lantai dan memegang erat tubuh Aisyah.

“Abang jahat, tipu, tipu, tipu…” Aisyah merengek kecil, dia terkena lagi kali ini. Hilmi memang bijak bermain situasi. sengaja dia berpura-pura pengsan. Akhirnya dia kalah dalam dakapan Hilmi. Mereka berdua tertawa kecil. Terasa sungguh bahagia dikurniakan suami seperti Hilmi. Dalam senyumannya tiada siapa tahu yang dia amat bahagia disamping Hilmi.

Pada ALLAH dia berdoa, agar ikatannya dengan Hilmi akan kekal sehingga ke akhir hayat. Malam itu, menyaksikan sepasang kekasih membina gerbang kebahagiaan.

Bersambung..

[USAH JEMU MEMBERI]

0 Responses so far.