Kata orang, cabaran pertama menjadi seorang suami bermula sebelum bergelar suami, iaitu semasa upacara melafaz akad lagi. Sebulan sebelum majlis, si bakal suami sudah mula menghafal ‘skrip’ ringkas, walaupun pendek tetapi jika tersilap, tiada ‘cut-cut’ bahkan perlu diulang sampai menjadi. Si isteri di belakang hanya melemparkan senyuman bahagia menanti saat suami berjaya melafazkan ungkapan ‘Aku terima nikahnya’ tanpa ada debaran.

Apabila sudah dipastikan ‘sah’ maka jantung suami yang berhenti seketika berdegup kembali. Saat itu dia telah menggalas tanggugjawab sebagai seorang suami.

Rupa-rupanya cabaran itu tidak terhenti disitu saja, bahkan menanti dengan lebih banyak ujian dan tanggungjawab yang lebih besar. Sebahagian daripada tanggungjawab isteri dan anak-anak adalah terletak dibawah tanggungannya. Soal peranan usah dikata, jenuh si suami mengerah tulang empat kerat memberikan yang terbaik untuk keluarga, tapi masih ada keluhan daripada anak-anak.

Tidak ada suami yang tidak mahu melihat keluarga yang dibina tidak bahagia, untuk isteri biarlah dia mendapat apa yang dihajati dalam perkahwinan iaitu perhatian, untuk anak-anak pula si suami mahu melihat mereka sampai ke menara gading, setidak-tidaknya suami sudah boleh melepaskan lelah dan nafas lega seketika apabila tanggungjawab itu terlaksana.

Saya tidak pasti, apakah keajaiban yang berlaku pada tahun 2011 ini, teman-teman yang seusia bahkan ‘kurang usia’ daripada saya berderet-deret melangkah ke dunia perkahwinan. Ada yang sudah lama dirancang tetapi ada juga yang menjadi bidan terjun. Namun, kedua-duanya tidak memihak kepada saya, rancang tidak menjadi, bidan pun tak terjun-terjun.

Saya bukanlah seorang kaunselor jauh sekali motivator kekeluargaan, isteri pun tidak ada apatah lagi pengalaman berumah tangga, tangga rumah saja yang saya kenal. Tetapi teman-teman yang datang bertanyakan pendapat seolah-olah saya ini sudah berkahwin. Saya selalu berpesan dan menasihati kepada bakal pengantin supaya mereka tidak gusar untuk melalui kehidupan berumah tangga nanti, dalam kesenangan menjadi seorang suami, ada kesusahan yang mesti dialami.

Namun, untuk mencapai kebahagiaan dalam rumah tangga tidaklah sesukar yang disangka, asalkan tahu caranya dan betul gayanya, saya pasti mawaddah dan rahmah sentiasa mekar tumbuh dalam suasana kekeluargaan. Itupun sudah cukup, tidak perlu harta berkoyan-koyan, rumah besar-besaran, kereta juta-jutaan, ataupun pangkat yang tinggi, cukuplah dengan title suami yang bertanggungjawab dan melaksanakan peranannya untuk membeli harga sebuah kebahagiaan.

Lalu, suami yang bagaimana yang perlu anda contohi? Inilah dia peranan suami yang perlu dilaksanakan untuk mencapai mawaddah dan rahmah:

YANG MENGAWASI AGAMA ISTERI & ANAK-ANAKNYA

Yang dimaksudkan dengan mengawasi agama isteri dan anak-anak bukanlah mengahwini seorang isteri yang beragama Islam semata-mata, tetapi mengawasi yang diertikan adalah bagaimana agama Islam itu dipraktikkan oleh dirinya, diri isterinya dan diri anak-anaknya sepanjang tempoh pembinaan rumah tangga.

Tidak cukup hanya suami sahaja yang selalu mengerjakan solat, anak-anak dan isterinya mestilah bersama-sama suami dalam mengamalkannya. Jika ada yang culas dengan solat 5 waktu, pastikan mereka dihukum dengan sewajarnya. Jika ada yang terlupa akan tanggungjawab yang perlu ditunaikan untuk agama, suamilah menjadi orang pertama yang mengingatkan.

Ada suami yang selesa dengan kebaikan sendiri, solatnya berjemaah di masjid tidak pernah tinggal, ketayap di kepala setiap masa, apabila ada masa lapang dipenuhi dengan perkara yang berfaedah tetapi isteri dan anak-anak dibiarkan terabai. Pakaian isteri tidak diambil berat, tudungnya singkat, bajunya pula ketat menampakkan susuk tubuh. Anak-anaknya pula diberikan kebebasan sepanjang masa, keluar pagi pulang malam, bergaul antara lelaki dan perempuan tanpa batasan.

Agama suami sudah terjamin tetapi agama anak dan isterinya punah-ranah.

Suami adalah orang yang dipertanggungjawabkan untuk mengawasi agama setiap ahli keluarganya. Dia perlu sentiasa menilai prestasi agama anak-anak dan isterinya dari semasa ke semasa. Dia mesti tahu, kenapa si Syafiq ini dahulunya rajin sembahyang berjemaah tetapi sekarang sudah jarang, kenapa si Ahmad dahulunya menghormati orang tua namun sekarang sudah pandai membantah kata orang tua. Kenapa isterinya dahulu seorang pendiam tetapi sekarang gemar mengumpat. Semua itu harus diketahui oleh suami, kerana ia melibatkan tahap dan nilai agama yang ada pada ahli keluarganya.

Jika terkurang dan menurun prestasinya, harus diberikan suntikan semangat untuk diperbaiki lagi kenaikkannya. Apabila sudah cemerlang agama dalam diri ahli keluarganya, maka cerahlah masa depan keluarga yang bakal dilahirkan lagi.

YANG MELAHIRKAN ‘MANUSIA’ BUKANNYA ZURIAT SEMATA-MATA

Kata orang tua-tua, anak-anak semasa kecil biar selalu ‘ditangan-tangankan’ supaya bila besar nanti menjadi manusia. Jika nakal, biarlah kulitnya berdarah kerana dirotan, jangan sampai hati kita berdarah melihat kenakalan anak-anak apabila sudah dewasa.

Nabi saw bangga akan umatnya yang ramai, bangga bukan kerana ramainya sahaja tetapi ramainya bersama-sama kualiti yang dilahirkan. Lebih baik mempunyai seorang anak yang soleh daripada 10 orang anak yang ‘tidak menjadi’ manusia.

Ini juga salah satu tugas seorang suami dalam mewujudkan kesinambungan keturunannya agar zuriat yang lahir itu semuanya baik-baik belaka. Kalau 10 yang lahir, biarlah sepuluh-seluluh itu menjadi ustaz atau ustazah, ataupun doktor yang beragama, ataupun jurutera yang beragama.

Bukanlah seorang ayah itu wajib menjadikan anak-anaknya seorang yang berjawatan atau berpangkat tinggi tetapi yang diinginkan adalah yang berkualiti. Kalau anaknya seorang menteri biarlah menteri yang mengenang budi, kalaupun anak itu seorang penarik beca, biarlah penarik beca yang tidak mensia-siakan agama Allah.

Pendek kata, yang mahu dilahirkan adalah manusia, bukannya anak semata-mata. Anak yang ramai belum menjamin sebuah keluarga itu berjaya, tetapi anak yang mempunyai sifat kemanusiaan dalam dirinya adalah nilai kejayaan dalam keluarga.

YANG MENG-QUDWAHKAN PERIBADI MULIA

Suami adalah ikon dan idola.

Suami adalah orang yang mencipta karektor positif dan mampu mempamerkan kepada seluruh ahli keluarganya. Dia juga harus mendahului semua ahli keluarganya dalam meneladaninya. Jika dia menyuruh anak-anak dan isteri mengerjakan solat, suami terlebih dahulu mesti menunjukkan sikap itu kepada mereka. Jika suami mahukan isterinya menutup aurat, aurat suami harus ditutup terlebih dahulu. Jika suami mahukan anak-anaknya berperangai baik, akhlak suami harus diteliti terlebih dahulu.

Dalam segala aspek dan perkara baik, suami harus menjadi pendahulu agar ia mudah dicontohi oleh anak-anak dan isterinya.

Jangan salahkan anak-anak yang culas mengerjakan solat 5 waktu kalau ayahnya sendiri jarang solat. Jangan salahkan isteri yang berpakaian ketat, kalau si suami masih lagi berseluar pendek. Janganlah bermimpi mahukan anak menjadi ustaz, kalau si ayah sendiri sepanjang masa menghisap rokok. Jarang berlaku jika ayah seorang penagih dadah anaknya pula seorang guru agama, yang ada jika ayahnya seorang pencuri barangkali anaknya seorang perompak. Ohya, Nabi Ibrahim as itu special kes.

Qudwah itu bermaksud yang dicontohi dan mampu dicontohi. Seorang suami mesti mampu menunjukkan contoh yang baik dan sikap itu boleh dicontohi dan diikuti oleh seluruh ahli keluarganya. Saya pasti, jika suami seorang yang soleh, anak-anaknya nanti akan dua kali lebih soleh daripada ayahnya. Bukan itu saja, anak-anak akan bangga mempunyai seorang ayah yang boleh manjadi ikon kepada mereka.

YANG MENGHARGAI JASA ISTERI

Bayangkan, semasa anda pulang dari tempat kerja dalam keadaan yang meletihkan dan lapar, anda melihat rumah anda berserakan dan anak-anak pula sedang bergaduh dan menangis. Perasaan anda bercampur baur ketika itu, marah dan tension. Ketika itu barulah anda teringat yang isteri anda telah sebulan meninggalkan anda selepas terlibat dengan kemalangan jalan raya.

Oh baru ku tahu, besarnya peranan seorang isteri, "aku rindukan kamu, Bedah" kata Razak di dalam hati sambil memeluk bantal dan baju kurung milik Bedah.

Seorang isteri kerjanya tidak pernah berhenti. Jika isteri seorang kerani, dia akan menunaikan tanggungjawab seorang kerani ketika di pejabat dan meneruskan tugasnya sebagai seorang isteri selepas tamat tugas seorang kerani. Ketika suami melepaskan lelah dari penat bekerja, si isteri yang juga bekerja masih belum berehat dan terus menyambung kerja-kerja seorang isteri. 8 pagi hingga 5 petang adalah tugasnya sebagai seorang kakitangan pejabat, 5 petang hingga 8 pagi keesokkan harinya adalah tugasnya sebagai kakitangan rumah tangga. Begitulah sehingga dia pencen nanti.

Akhirnya, suami tanpa mengerti penat lelah isteri setiap masa menyalahkannya, ada saja yang tidak kena. Lauk tawarlah, teh kurang manislah dan sebagainya.

Maka, pada usia mereka yang semakin dimamah usia, si isteri harus diberi penghargaan. Cukuplah puluhan tahun usia mereka memboyot mengandungkan anak, membengkak kaki menguruskan kerja-kerja rumah, kini suami haruslah memahami, tugas seorang isteri itu terlalu banyak dan tidak terhitung jasa-jasa mereka. Isteri tidak pernah mengharapkan balasan, tetapi cukup sekadar penat lelah mereka dihargai.

Hargai mereka dengan perhatian dan kasih sayang.
_____________________________

Menjadi seorang suami memang tidak semudah yang disangka, kerana mereka bukanlah sekadar seorang lelaki, tetapi menggalas tugas seorang bapa yang juga ketua keluarga yang setiap hari harus memuhasabah diri mereka dengan tanggungjawab yang diberikan.

Bagi yang akan berumah tangga, mereka harus bertanya: “Layakkah aku berstatus suami nanti?”

Yang telah lama mendirikan bahtera, mereka harus bermuhasabah: “Suamikah aku?”

USAH JEMU MEMBERI

1 Response so far.

  1. best sub-topik. merangkumi perkara2 paling penting. keep on :)