IBU

“Along turun makan, panggil adik-adik semua. Berapa kali ummi dah pesan, bila masa makan semua mesti ada di meja,” laung ibu. Sibuk keluar masuk dapur menghidangkan lauk-pauk.


“Kak ngah, adik, jom makan. Ummi dah panggil ni,” jerit Along pula. Menyambung tugas ibunya.


Along merapatkan diri ke meja makan, melihat satu persatu lauk yang dihidangkan oleh umminya. Pantas mencemikkan bibirnya. Tiada satu lauk pun yang membuka selera, jauh sekali yang istimewa.


“Ummi, along rasa dah kenyanglah,” Along memberi alasan, padahal lauk yang dimasak tidak menepati seleranya.


“Kenyang? Along makan apa?”


“Sarapan pagi tadi,”

“Along jangan mengada-ngada, makan sikit, ummi dah masak ni. Kak ngah, adik, apa tunggu lagi makanlah,” Kak ngah dan adik juga begitu. Tiada selera apabila melihat lauk yang terhidang. Ikan kembong Goreng kunyit, sayur sawi masak air dan daging masak kari. Langsung tidak membuka selera mereka.


Masing-masing mencedok nasi ke pinggan, mahu tidak mahu mereka memaksakan diri untuk menjamah hidangan tengahari itu.


“Kari je?” bisik adik kepada kak ngah.


“Shhhhhh… Adik!!” Kak ngah memandang tajam kepada adik. Perlahan nadanya tetapi tegas.


Dari dapur ibu terpandang gelagat anak-anaknya, ibu mengelus kecil. Dia tahu, anak-anaknya sudah jemu menjamah lauk masakannya, tetapi ibu tak mampu mahu menyediakan lebih daripada itu. Tanpa sedar ibu mengalirkan air matanya.


‘Ummi sayangkan kamu, nak’ bisik ibu dalam hati kecilnya.


SUAMI


“Abang cuba usahakan ya,”


Azlan meletakkan gagang telefon. Dahinya berkerut memikirkan permintaan isterinya. Dia tahu, isteri memerlukan wang tersebut. Untuk membiayai perniagaan jahitnya. RM5000 sebuah jumlah yang besar bagi seorang kerani seperti Azlan.


Puas dia berfikir, tetapi buntu.


Akhirnya dia mengambil keputusan untuk menjual motornya, dia akan ke tempat kerja dengan menggunakan bas untuk sementara waktu. Kereta kancil yang dibeli 7 tahun lalu diberikan kepada isterinya untuk kegunaan perniagaan.


Namu, hatinya belum pudar dari rasa bimbang, motor yang seburuk itu tidak pasti berapa jumlah wang yang bakal diperolehi untuk menunaikan permintaan isterinya. Dia memujuk hatinya, sekurang-kurangnya dia yakin mampu untuk membiayai separuh daripada wang tersebut. Selebihnya dia akan berusaha untuk mencarinya melalui jalan lain.


Kerja lebih masa, itulah jalan terbaik.


Mulai minggu itu, Azlan akan pulang lewat ke rumah dan berhujung minggu di pejabatnya. Padanya, apalah sangat titik peluh yang dikorbankan untuk isterinya berbanding rasa cinta yang harus dibayar. Azlan tersenyum kecil.


CINTA YANG TERSEMBUNYI


Orang yang mencintai kamu pasti ada cara tersendiri bagaimana dia menyatakan rasa cinta dan kasihnya kepada kamu. Barangkali dia tidak berkemampuan, tetapi dia aka cuba sedaya upaya untuk mengadakan sesuatu untuk kamu. Sekiranya makanan di dapur sudah kehabisan, dia mungkin tidak mampu untuk memberi wang untuk membeli makanan di kedai tetapi mungkin dia akan meninggalkan sedikit makanan di dalam peti ais sebagai alas perut kamu. Dalam erti kata lain, dia tidak akan membiarkan kamu lapar pada hari itu.


Ya, orang yang mencintai kamu akan lakukan apa saja demi kamu walaupun kamu tidak nampak akan nilainya.


Sekiranya kereta kamu rosak di tengah jalan, dia mungkin tiada wang untuk mengupah mekanik membaiki kereta kamu tetapi dia mungkin akan memanggil kenalannya untuk menolak kereta kamu ke tepi jalan, menumpangkan kamu ke tempat kerja sehinggalah dia dapat fikirkan bagaimana dia dapat membaiki kereta kamu.


Jika kamu tidak mampu melakukan sesuatu, mungkin orang yang mencintai kamu tidak mampu untuk menyelesaikan pertolongannya kepada kamu secara menyeluruh, sekurang-kurangnya dia membantu sedaya-upayanya untuk melihat kamu tersenyum. Menyara orang yang dicintai dan disayangi dengan cara memberi sesuatu atau mengeluarkan peluh dan tenaga adalah sebahagian cara dia membuktikan sebuah rasa yang dipanggil cinta, mungkin dia tidak melafazkan ‘Aku mencintai-mu’ atau ‘I love you’ tetapi tindakannya sudah memadai untuk menyatakan seluruh hasratnya itu kepadamu.


Jika dia benar-benar mencintai kamu, dia sentiasa mengambil berat akan dirimu sekalipun dirinya tidak mampu.


Mungkin seorang ibu tidak mampu menyediakan makanan yang lazat untuk anak-anaknya, tetapi atas rasa cintanya, dia takkan membiarkan anak-anaknya lapar dan sakit.


Barangkali kekasih hatimu tidak mampu untuk menunaikan kehendakmu, tetapi dia akan berusaha dan segera memuaskan hatimu dengan jalan yang lain yang dia mampu, apa yang dia inginkan daripadamu adalah melihat kamu tersenyum. Penat lelahnya agar terbayar dengan senyuman atau ucapan terima kasih.


Begitulah cinta, adakala ia terlindung dibalik sepinggan nasi dan lauk, adakala ia terlindung dibalik setitis peluh dan keringat, adakala ia terlindung dibalik air mata yang gugur. Sekalipun lafaz cinta tidak pernah diungkapkan, tetapi nilai cinta tetap ada.


Orang yang mencintai kamu mungkin tidak tahu mengapa dia mencintai dirimu, tetapi pengorbanan yang dibuktikan cukup untuk menyatakan rasa cinta itu kepadamu. Barangkali kamu tidak perasan dan menyedari curahan kasih dan cinta itu, kerana cinta itu terlindung dibalik pengorbanan.


Hargailah orang yang mencintai kamu sebelum mereka hilang untuk mencurahkan cinta!


3 Responses so far.

  1. hamdulillah akhirnya KEHIDUPAN kembali aktif taww..kali ni dgn Chenta yang terlindung..ngeee

  2. ya saya mengaku :D

    "orang yang mencintai kamu akan lakukan apa saja demi kamu walaupun kamu tidak nampak akan nilainya"

    INDAH

  3. ya..btul klau kita cntakan sseorg 2, xsmstinya kt tnjukkan, jadi hargailah org yg mencintai kita seadanya...