Gambar ihsan - Zulhasmin
‘Apa yang menyebabkan Abang Long terpikat dengan Kak Nur? Macam mimpi
je, saya sangka Abang akan memilih yang lebih baik’ Suatu petang kami
berbual, tiba-tiba terlintas dari mulut Azman bertanyakan saya soalan ini.
‘Kak Nur adalah yang terbaik yang pernah Abang temui. Percaya?’ Balas saya.
‘Gadis kampung yang cuma bekerja di kilang?’ Dia cuba menduga saya.
‘Ya!’ Jawab saya lagi.
‘Kan Abang boleh cari yang lebih baik daripada tu? Yang berjawatan setaraf dengan Abang Long’
‘Kamu tahu Man, betapa susahnya nak mencari yang berbudi macam Kak Nur
kamu tu? Walaupun tiada lulusan yang tinggi-tinggi, tapi budinya tinggi tau!’ Memahamkan seorang yang berasal dari bidang
akademik sepertinya agak payah. Saya cuba memberikan dia kefahaman dengan
jawapan yang dia sendiri cari.
‘Hanya kerana budi je Abang Long buat keputusan nak berkahwin dengan Kak
Nur? Ajaib!’ Azman bertanya
lagi, kali ini nampak seperti dia semakin memahaminya.
‘Man, kamu mahu isteri yang cantik dan berjawatan tinggi tetapi pemalas,
bersikap buruk dengan suami dan tiada adab sopan?’ saya pula mahu menduganya. Dahinya berkerut
memikirkan sesuatu.
‘Tak naklah bang’
‘Kalau begitu, carilah yang berbudi’ Lama dia berfikir. Lalu dia bersuara lagi, kali ini mengenakan saya
pula.
‘Habis tu, bila nak makan nasi minyak bang?’
‘Ish, kamu ni Man. Ada-ada je! Lambat lagilah!!’
_________________________________
BUKAN PADA PAKAIAN SEMATA-MATA
Pada seri seorang
wanita itu, yang dipandang adalah pada zahirnya terlebih dahulu. Begitulah
selalunya pentafsiran dan pandangan seorang manusia. Jika baik luarannya, baik
juga dalamannya. Ya, itu adalah prinsip yang tepat dalam penilaian manusia.
Kita bukan Tuhan yang mampu menghukum mana-mana manusia sebagai baik atau
buruk. Apa yang dipandang itulah yang ditafsirkan.
Pakaian.
Ia adalah penilaian yang paling
mudah untuk dinilai. Tetapi ia bukanlah tafsiran 100% untuk mengatakan seorang
itu baik melalui pakaian semata-mata.
Dalam membincangkan
soal akhlak, ia tidak tertumpu semata-mata kepada aspek pemakaian sahaja, jauh
dari sudut itu adalah soal ‘nilai tambah’ yang membolehkan seseorang itu
menjadi muslimat yang mempunyai ciri-ciri kemuslimatannya dan jua menjadikan
dia lebih istimewa. Tudung sahaja belum memadai jika tingkah-lakunya masih persis
‘wanita murahan’. Menutup aurat juga tidak bererti jika tutur katanya tidak
‘ditutup’ dan dijagai rapi.
Menutup aurat dan berpakaian dengan baik mengikut garis panduan agama
adalah soal hukum sahaja.
Pakaian mungkin
menjadi simbolik kepada akhlak luaran yang boleh dipamerkan. Namun, di sebalik
itu ada pakaian yang lebih hakiki yang akan menggambarkan imej muslimah yang
sebenar iaitu pakaian akhlak.
Kerana itulah,
apabila Rasul saw menceritakan kepada para sahabatnya tentang perihal wanita
yang solehah, baginda akan menggambarkan bagaimana akhlak yang harus dimiliki
tanpa mengkhususkan bahawa pakaian itu sebagai tafsiran menyeluruh kepada makna
sebenar akhlak. Pakaian hanya bersangkutan dalam soal hukum-hakam, yang telah
menutup auratnya dengan sempurna sudah dikira terlepas daripada kewajipan
hukum.
Tinggal lagi, bagaimana seseorang itu bisa menjadi cantik dengan hukum
yang diamalkan seiring dengan akhlak baik yang dimilikinya.
Bukankah lebih indah, jika prinsip hukum itu digabung-jalinkan dengan
kecantikkan akhlak?
Namun, mutakhir ini dunia kian terbalik.
Pakaiannya lebih cantik mengalahkan akhlaknya yang kurang cantik. Pakaiannya
mampu dibeli dengan harga yang sangat mahal, tetapi akhlaknya terlalu murah
harganya.
Muslimah sejati bukan dilihat dari kecantikan dan keayuan
wajahnya semata-mata. Wajahnya hanyalah satu peranan yang amat kecil,tetapi
muslimah sejati dilihat dari kecantikan dan ketulusan hatinya yang
tersembunyi.itulah yang terbaik.
Muslimah sejati juga tidak dilihat dari bentuk tubuh
badannya yang mempersona, tetapi dilihat dari sejauh mana ia menutupi bentuk
tubuhnya yang mempersona itu. Muslimah sejati bukanlah dilihat dari sebanyak
mana kebaikan yang diberikannya ,tetapi dilihat melalui keikhlasannya ketika ia
memberikan segala kebaikan itu. Muslimah sejati bukanlah dilihat dari seberapa
indah lantunan suaranya tetapi dilihat dari apa yang sering mulutnya bicarakan.
Muslimah sejati bukan dilihat dari keahliannya berbahasa, tetapi dilihat melalui
bagaimana cara dia berbicara dan berhujah kebenaran.
Muslimah sejati bukan dilihat melalui kekhuwatirannya digoda
orang di tepi jalanan tetapi dilihat dari kekhuwatirannya dirinyalah yang
mengundang orang tergoda. Muslimah sejati bukanlah dilihat dari seberapa banyak
dan besarnya ujian yang ia jalani tetapi dilihat dari sejauh mana ia menghadapi
ujian itu dengan penuh rasa redha dan kehambaan kepada TUHAN nya, dan ia
sentiasa bersyukur dengan segala kurniaan yang telah diberi.
BAHKAN LEBIH BURUK DARIPADA SEORANG LELAKI
‘Kamu tahu Man, kenapa Nabi kita dipanggil Al-Amin oleh orang Arab Quraisy?’ Kami menyambung lagi perbualan petang itu. Sambil menghirup
secawan Nescafe saya bertanya kepadanya.
‘Sebab dia baik pekerti’
‘Lagi?’
‘Sebab dia Nabi kot? Dan sebab dia dipercayai’ Azman menjawab dalam seloroh. Antara tahu dan tidak
tahu.
‘Kamu tahu tak Man, Nabi saw seorang ummi? Bermakna ketika itu Baginda
seorang yang tidak sangat berilmu. Nabi tak boleh membaca apatah lagi mahu
menulis syair’ Tambah saya.
‘Tahu’
‘Adakah kamu kira, orang yang berilmu itu akan dihormati jika tanpa
akhlaknya yang baik?’
‘Tak, bang!’ Dia mulai
faham akan maksud saya.
‘Nabi saw hanya perlu berakhlak untuk disanjung. Jadi, antara yang
berpakaian cantik dan berakhlak baik, mana satu pilihan kamu?’
‘Tentulah yang baik Abang Long, kalau boleh nak dua-dua sekali’
Pecah suasana hening petang itu dengan hilai-tawa kami. Azman memang
nakal orangnya tapi mudah diajak berbincang. Saya beruntung mempunyai adik saudara
sepertinya.
______________________________________
Apabila saya menulis pendapat sebegini, adakah
orang laki-laki terlepas daripada tanggungjawab untuk berakhlak mulia? Oh, Tidak
sama sekali, lelaki juga perlu berakhlak jika ingin ke syurga. Akan tetapi,
kesan buruknya akan lebih terpamer kepada wanita berbanding lelaki jika mereka
tidak berakhlak.
ALLAH taala telah
menetapkan ada sebahagian perkara yang boleh dilakukan oleh wanita dan ada
sebahagiannya ditugaskan kepada orang lelaki untuk melaksanakannya, kerana Dia
lebih tahu akan baik buruknya sesuatu.
Adat-adat yang
disusun oleh tradisi Melayu kita pun banyak mementingkan dan menjaga nilai
kesopanan seorang wanita. Antaranya, anak gadis dilarang menyanyi di dapaur
ketika sedang memasak. Soalnya bukan kerana perbuatan tersebut dikira kurang
beradab sahaja, tetapi soal suara itu adalah aurat jika didengari oleh kaum
laki-laki. Bukankah jika seorang wanita yang terjerit-terlolong itu lebih buruk
feelnya berbanding lelaki? Bahkan 2 kali ganda tahap kurang sopannya.
Pesan nenek saya: ‘Orang
perempuan cara duduknya biarlah sopan. Duduk bersimpuh supaya nampak cantik dan
juga beradab’
Saya ingat pesannya sampai sekarang. Eh, tidak
bolehkah jika seorang wanita mahu duduk selain bersimpuh atau menjulur kaki
ketika tetamu bertandang? Boleh sahaja, apa salahnya. Selebihnya anda
bayangkanlah sendiri rupanya…
Awas! Jangan sesekali cemarkan imej pemakaian anda yang baik dengan
tingkahlaku yang boleh menjatuhkan kredibiliti tersebut. Percayalah, orang akan
memandang akhlaknya dahulu selepas pakaian sebelum menilai aspek-aspek yang
lain. Biarlah kurang cantik, tetapi akhlaknya dijaga baik. Biarlah tidak manis,
tetapi tutur-katanya ditapis.
Lelaki juga sama, kalau berkopiah atau
berketayap biarlah perangainya seperti orang yang berketayap bukannya
‘berkayap’. Jangan hanya meminjam imej Islamik atau berlagak alim kerana ingin
memikat seorang wanita semata-mata tetapi perlu menjadikan ia (imej) sebagai
peribadi yang berpanjangan.
PENUTUP
Pendek kata, yang berakhlak sempurna itu
bukanlah dalam kalangan yang berjubah dan bertudung semata-mata, bukan juga
yang berkopiah atau berserban sahaja, tetapi mereka yang mempunyai kesempurnaan
akhlak adalah mereka yang mempunyai gabungan kedua-duanya, kerana ia melambang
syiar sebuah agama. Gandingan antara hukum dan akhlak harus bersifat seiring
untuk membuktikan akhlak itu bukan sahaja pada material (pakaian) semata-mata.
Kalau hendak
menjadi seorang wanita adalah sangat mudah dan senang, tetapi jika mahu
menyandang gelaran muslimah itu lebih sukar apatah lagi jika ingin menjadi yang
solehah.
Ia seumpama satu
masakan yang dihidangkan untuk tetamu, masakan akan menjadi enak dan sedap
dimakan bukan saja pada hiasannya (pakaian) yang cantik, lebih penting daripada
itu adalah ramuan (akhlak) yang digunakan dalam masakan. Gabungan antara
dekorasi yang dihiasi dengan cantik dan ramuan akan menghasilkan masakan yang
sempurna.
Jangan kata terliur, pastinya akan terbawa-bawa sampai ke dalam mimpi
anda.
Itulah kuasa wanita solehah.
0 Responses so far.
Post a Comment