Beberapa hari lagi, situasi dan kondisi kepimpinan di Jordan akan melahirkan generasi baru. Kiranya kalau diibaratkan seperti manusia, mereka yang bakal lahir itu adalah bayi yang comel-comel belaka. Putih yang mesti dicorakkan.

Semenjak dua menjak ini, saya dapat merasakan angin yang bertiup itu ada sedikit rasa hangat dan bahang. Barangkali kepanasan musim panas? Bukan juga! Tetapi kepanasan ini adalah berupa abstrak. Tidak terasa di kulit tetapi di dalam spirit dan semangat.

Inilah Pilihanraya Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan 2012 Bakal mengundang kehangatan juga dimensi baru dalam arena perubahan.

Sekarang adalah pasca perubahan, nantikan pula perubahan keseluruhannya.

Sebagai seorang bekas pengundi yang sah dan bebas seperti anda juga, saya juga mempunyai sedikit kekuatan hak untuk bercerita mengenai apakah pandang sisi saya terhadap suasana pilihanraya di Jordan ini. Jujurnya saya tidak mahu melibatkan mana-mana pihak atau di tuduh melobi, kerna itu di awal tulisan ini, saya jujur mengakuinya, supaya anda semua yakin dengan penulisan saya ini dan tidak melemparkan sebarang syak wasangka terhadap saya. Bolehkan? Anggaplah cerita saya ini seperti cerita Sang Kancil ketika menanti lena malam.

PENTING TAPI 'MAIN-MAIN'?

Apabila ada yang berpendapat tidak penting, terjadilah situasi ‘'main-main' ketika memilih calon. Apabila salah memilih calon, kita akan melalui kesengsaraan sepanjang tempoh kepimpinan itu, salahnya kembali kepada kita sewaktu memilih calon dahulu.

Jangan salahkan pemimpin yang tak cakna & tidak bekerja, kerana kita sendiri yang memilih pemimpin yang tidak mahu bekerja.

Saya teringat kisah di hari kewafatan Rasulullah saw, sebelum sempat jenazah baginda diuruskan, para sahabat segera berkumpul untuk memilih siapa yang bakal menggantikan tugas Nabi sebagai pemimpin selepas kewafatan itu. Kefardhuan memilih pemimpin bukan lagi urusan sampingan tetapi keutamaan yang harus didahulukan.

SOROTAN MASA LALU

Saya gerun melihat nama-nama besar yang bakal bertanding nanti. MAFRAQ, IRBID, MU'TAH dan AMMAN. Semuanya mempunyai kekuatan tersendiri, gah mereka itu kadangkalanya tersorok dan tidak Nampak. Tidak hairanlah kepahlawanan mereka-mereka ini hanya terserlah apabila menganjurkan program-program besar.

Lihatlah PERTAMA, KARISMA dan yang bakal muncul nanti, MEKAR. Semua program ini ada identiti tersendiri yang dicipta oleh mantiqah masing-masing, ini adalah trademark untuk mengenali mereka semua. Hebat bukan?

IRBID, bukti yang terbaik.
MUKTAH, lambang keunggulan.
AMMAN, kebangkitan dan juga perubahan.
MAFRAQ, ada kesungguhan murni dan komitmen.

Saya tidak mahu memuji kepada beberapa pihak sahaja, tetapi pujian ini saya lakarkan untuk semua yang bekerja dan menjayakan semua aktiviti MPPMJ semata-mata untuk menaikkan nama MPPMJ di persada ahli. Saya juga pernah terlibat dengan urusan persatuan, maka saya tahu akan selok-belok, kesukaran dan kepayahan dalam berpersatuan. Oleh kerana itu, mereka yang berkhidmat ini harus dilambungkan kepujian buat mereka, supaya rasa dihargai untuk mereka dapat dinyatakan.

Tahniah dan segulung terima kasih adalah apresiasi saya untuk anda. Senyumlah sikit?
Pembaca yang budiman,

4 tahun saya bermukim di tanah Jordan ini, saya dapat memfokuskan sesuatu yang unik di tanah ini yang mungkin tiada di tempat-tempat lain. Di Iribid misalnya, daya intelektual itu ada pada mereka, mungkin juga kerana ramai kelahiran doktor yang berkampung di sana. Tapi apa kurangnya pada profesionalis dari Muktah, Amman dan Mafraq? Mereka ini semuanya mempunyai kekuatan yang hampir sama dalam memimpin, bezanya hanyalah pada bidang, tetapi kita boleh berkawan, bersembang-tawa dan akhirnya mesti bersatu, bersatu ya!

Ini Cuma difikiran saya, apalah salahnya dua kekuatan daya ini (intelektual & profesionalis) digabungjalinkan membentuk satu momentum luar biasa untuk menerajui MPPMJ nanti. Doktor boleh memimpin, ustaz juga mampu mencorakkan sesuatu. Cantik bukan?

Ini pula adalah teori saya saja, bukan arahan atau suruhan. Namun saya pasti dan dapat mengagak, juga melihat sesuatu yang sejahtera dan aman apabila suasana ini berlaku, maka hasilnya dapat saya jangkakan ia adalah berupa kebaikkan yang dapat dirasa oleh ‘rakyat-rakyat marhaen' seperti kita, indah dan toleransi. Saya fikir anda juga bersepakat bersama saya. Tidakkah begitu?

Saya teringin mahu melihat satu kepimpinan majmuk di dalam barisan kepimpinan MPPMJ nanti yang mempunyai fikrah dan hala tuju yang seiring dan sama, iaitu ISLAMIK dan AKADEMIK, ataupun USTAZ dan DOKTOR bersatu tenaga. Ada ustaz dari Mafraq yang bekerja, Ada pula doktor gigi dari irbid, ada juga ustazah dari Muktah, dan ada juga profesionalis dari Amman. Ohh, sungguh cantik dan molek gandingan ini!

Yang penting adalah kesatuan.

PILIHLAH ORANG YANG 'BAIK-BAIK'

Apabila ada kawan-kawan yang bertanya saya: ‘Nak pilih siapa ni?' jawab saya ‘pilihlah orang yang kamu lihat dia baik' Tanya dia lagi: ‘baik saja?' jawab saya ‘ya!'

Mari saya terangkan pada anda mengapa saya berkata pilihlah yang baik. Bila mana orang meminta pandangan kepada saya, aspek mana yang saya dahulukan untuk memilih pemimpin, kredibiliti (akhlak) atau kepandaian (akademik)? Saya sejujurnya mendahulukan kredibiliti kerana itu adalah izzah dan akhlak.

Akhlak adalah nombor satu, akademik bukan nombor dua! Inilah maksud saya yang sebenar.
Mari saya ceritakan lagi, Kali ini tentang nabi kita Muhammad saw. Mengapa Nabi kita ini sangat disegani, dipandang tinggi dan disanjung-sanjung walaupun dari kalangan orang bukan Islam suatu ketika dulu, iaitu sebelum wahyu di gua Hira turun? Adakah kerana Nabi ini alim dengan ilmu agama atau akhlak nabi yang indah? Saya pasti mestilah akhlaknya, tetapi mengapa ya? Begini, Nabi digelar Al-amin bukan kerana ilmunya, kerana ketika itu baginda masih kecil, tetapi baginda mendapat gelaran itu kerana kecantikkan akhlak baginda.

Maksudnya bukan Nabi tidak pandai atau alim, tetapi kedudukan akhlak itu dipandang lebih tinggi daripada kepandaian. Tidak hairanlah berapa ramai orang di Makkah yang memeluk Islam hanya kerana terpaut dengan akhlaknya, ada juga yang memeluk Islam dengan hanya mendengar kebaikkan budi pekerti nabi walaupun tidak sempat bersua muka dan bertemu baginda? Sungguh hebat bukan kekuatan AKHLAK ini?

Namun bukan maksud saya untuk mengetepikan kepandaian, elemen ini penting juga tetapi tidak boleh mengatasi kepentingan berakhlak. Kepandaian mudah diasuh dan dijana. Tetapi akhlak amat rumit untuk diterapkan bagi yang tiada kesungguhan. Maka pilihlah orang yang mempunyai walaupun sedikit ilmunya tetapi murni akhlaknya. Mak-mak dan ayah-ayah yang mahu memilih menantu pun mula-mula akan melihat kepada akhlak calonnya. ‘ustaz ke polis?' ada juga yang berkata: ‘mak teringin sangat kalau kau dapat suami yang menghafal quran' dan macam -macam lagilah, semuanya berkaitan dengan akhlak.

BUNGA-BUNGA HARAPAN

Ketika ini saya dan anda semua pastinya meletakkan harapan yang tinggi terhadap MPPM untuk mengkaderkan pimpinan baru yang lebih mantap dan berkualiti.

Beberapa bulan dan minggu-minggu yang lepas semenjak ura-ura pilihanraya mahu diadakan. Saya dapat rasakan kempen pilihanraya sudah mula bergerak secara kecil-kecilan. Ada yang menyokong calon ini dan ada yang menyokong calon lain. Bagi saya ini adalah persaingan dan kempen yang positif serta menyerlahkan kematangan mahasiswa di Jordan.

Bila melihat calon-calon yang bakal bertanding, saya terus akui kehebatan mereka. Kredibiliti mereka bukan calang-calang lagi, semua mereka ini pernah berkhidmat cemerlang di dalam persatuan sebelum-sebelum ini. Tidak hairanlah nama-nama seperti saudara Kailani (Mu'tah), Khairy (Mafraq), sudah mula disebut-sebut oleh ‘peminat'. Perempuan pula Saudari Aziah tidak kurang hebatnya menjadi buah mulut di kalangan ahli MPPMJ. Maaf, itu yang saya dengar sahaja dari kejauhan, mungkin anda juga mendengar nama lain yang Sedang menjadi buah mulut. Silakan, itu pilihan anda!

Betul ke mereka ini hebat? Saya ada buktinya, saya agak rapat dengan mereka ini, jadi saya tahu sedikit sebanyak keramahan mereka. Yang lain pula bagaimana? Ohh, mereka juga adalah hebat-hebat belaka orangnya, sama juga seperti pimpinan yang lain. Saya tabik!

Jadi apa pilihan saya? Pilihan saya adalah orang yang baik-baik dan mempunyai sedikit kepandaian serta pengalaman dalam memimpin, suatu prinsip memilih yang senang dan ringkas!
Anda pula bagaimana? Kalau masih belum mempunyai pilihan atau masih teragak-agak memilih siapakah calonnya, saya tidak kisah jikalau anda mahu mengikut dan ‘'meniru' saja (calon) yang telah saya sebut-sebut tadi, itu pun boleh. Sekurang-kurangnya saya sudah terangkan pada anda bagaimana cara memilih seorang pemimpin. Mahu terus dengan pandangan dan prinsip tersendiri pun tidak mengapa. Masing-masing ada kehendak sendiri. Yang pasti, anda adalah yang akan mencorakkan suasana kepimpinan kita akan datang. Tersalah pilih, maka itu tanggungjawab anda. Terserahlah!

MEMBINA PARADIGMA BUKAN MENJADI PARASIT

Sekiranya kurang berpuas hati, salurannya masih terbuka luas, jalannya adalah bersuara. Tetapi haruslah mengikuti lunas-lunas keadilan. Maksudnya, bersuara di atas landasan yang disediakan, setidak-tidaknya prinsip keadilan dalam bersuara dapat diharmonikan. Tidak manislah jika asyik berkata-kata di belakang. Dalam praktikalnya, masalah harus naik ke atas supaya pimpinan dapat mendengar serta mencari jalan keluar.

Janganlah membina puak-puak lalu menghentam persatuan dengan hasrat mahu membetulkan sistem. Kalaupun tujuan itu murni tetapi kaedahnya nampak kurang matang jika yang melakukannya adalah mahasiswa + Islam.

Kita tidak terlalu hairan jika terdapat banyak kelompangan dalam setiap sesi pentadbiran, tugas ahli adalah mengisi kelompangan yang kosong itu, jangan pula menjadi parasit, yang sudah lompang bertambah rompong!

Membina paradigma bermaksud membawa sesuatu kepada suasana yang lebih baik. Jika kondisinya sebuah persatuan, maka ahlinya perlu mengambil seorang sedikit rasa tanggungjawab untuk memajukan persatuan. Jika tidak mampu banyak, sedikitpun sudah memadai. Jika tidak mampu memperbaiki persatuan, jangan pula merosakkannya, jika tidak mampu memberi kebaikkan kepada persatuan, pilih saja orang yang baik-baik untuk memimpin supaya kita dan orang lain dapat merasai kebaikannya. Mudah bukan?

Sehingga hari ini, MPPMJ dapat terus bernyawa kerana masih ramai ahli-ahlinya yang berkomitmen. Anda adalah salah seorang daripadanya!

"KITA SEMUA MPPMJ"

Bait-bait itu swmakin sinonim di bibir ahli MPPMJ, walaupun ada yang menuturkannya dalam konotasi jenaka dan santai, namun ia membuktikan mesej persatuan telah sampai ke 'rumah-rumah' ahlinya. Saya menyokong penuh gagasan ini. Setidaknya, ia telah membina semangat kekitaan untuk memajukan organisasi induk di Jordan ini. Yang mahu dilahirkan adalah sifat kebersamaan.

Apa yang cuba saya bawa sepanjang sesi lepas telah dizahirkan oleh tampuk kepimpinan sekarang, saya mahukan transformasi (perubahan &kemajuan), saya memandang 10 tahun yang telah dilalui oleh MPPMJ perlu memulakan langkah baru. Dengan segala usaha yang dibuktikan dalam sesi ini, saya dari kejauhan menumpang bangga atas prestasi ini, generasi yang saya harapkan amat membuahkan hasil.

Tahniah saya kalungkan kepada saudara Husin dan Saudari Syahirah Salwa serta barisan "anak-anak kapalnya" yang lain. Dalam pilihanraya kali ini, saya ingin sekali melihat MPPMJ dapat melahirkan lebih ramai "husin" dan "syahirah" yang berketrampilan dalam arena kepimpinan untuk memacu persatuan.

Memacu persatuan tidak semestinya dengan semua harus menjadi pemimpin, cukuplah dengan hanya kita memilih pemimpin yang layak. Masa depan MPPMJ ada di tangan anda.

Saya menyeru agar semua ahli yang terlibat dalam pilihanraya raya kali ini bijak membuat penilaian serta memandang serius, supaya platform dan medium yang ada ini mampu dimaksimakan ke arah melahirkan pimpinan yang berqudwah hasanah.

Akhirnya, saya mengucapkan selamat mengundi kepada seluruh warga Malaysia di Jordan, semangat anda amat saya kagumi. Saya mahu anda sentiasa teguh bersama MPPMJ ini. Biarkan kita sama-sama dapat menaikkan nama MPPMJ kita seperti nama-nama besar di luar sana. Kita mampu berbuat demikian dengan sokongan ahli seperti anda.

Selamat membuang undi dan Salam juang buat semua!

oleh:
Mohd Afiq bin Mohd Saleh

0 Responses so far.